Miracle Of Han River: Kisah Keajaiban Negara Korea

0
1464
views

Siapa yang pernah ke Korea Selatan pasti terkesima dengan kemudahan infrastrukturnya yang serba moden. Negara ini bukan sahaja terkenal dengan gelombang K-popnya yang meraih jutaan peminat, malah ia dipandang tinggi sebagai antara negara termaju yang disegani. Syarikat gergasinya seperti Hyundai, Samsung, dan LG berjaya menembus pasaran ke seluruh negara dan merupakan antara pesaing terbesar dalam ekonomi global. Namun, terdapat cerita di sebalik kejayaan Korea yang diraih kini.

Tahukah anda, Korea berjaya bangkit daripada kancah peperangan yang dahsyat sehingga menjadi antara sebuah negara membangun yang dihormati? Yang lebih menarik lagi, semua ini berjaya dicapai dalam masa kurang daripada satu generasi. Kebangkitan ini digelar sebagai “The Miracle of Han River” dan menjadi salah satu tempoh pelaksanaan pembangunan Korea yang terpenting dalam sejarah.

Pembangunan Korea Selatan yang pesat selepas Perang Korea pada 1950 ( Foto Kredit : 4.bp.blogspot.com)

Pada abad ke-16 Korea hampir ditakluk oleh Jepun yang ketika itu sedang berperang dengan puak tentera Ming dari China. Selebihnya, Korea lebh banyak berlindung menjadi naungan China. Bahkan ada beberapa ketika, menjadi sebahagian daripada empayar China itu sendiri.

Begitulah kehidupan Korea sehingga ke zaman moden apabila akhirnya Jepun mengalah kepada Amerika dan Kesatuan Soviet pada perang dunia kedua. Dua kuasa besar ini jugalah yang memecahkan Negara Korea kepada dua bahagian yang kita kenali sekarang sebagai Korea Utara dan Korea Selatan.

Fahaman komunisme dan kapitalism yang berbeza antara Korea Utara dan Korea Selatan mencetuskan perang saudara antara mereka sekitar 1950 hingga 1953. Rakyatnya cukup terkesan dengan Perang Korea dan dilaporkan sehingga ratusan ribu warga Korea terkorban kerana kebuluran, kemiskinan dan penyakit menular. Perang yang berakhir meninggalkan Korea sebagai antara negara yang termiskin ketika itu.

Kemusnahan yang berlaku akibat peperangan antara Korea Utara dan Korea Selatan (Foto Kredit : korea.net)

Untuk bangkit semula dan membina negara selepas kemusnahan peperangan bukanlah mudah. Ia memerlukan perancangan rapi oleh pihak pentadbir. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Korea Selatan yang ketiadaan sumber semulajadi dan bahan galian. Terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemajuan ini iaitu pemimpin yang berjaya merangka pelan pembangunan yang berkesan dan warga Korea yang memberi sepenuh tenaga dan kerjasama dalam merealisasikan rancangan kerajaan. Selain itu Korea juga terlibat dalam mendapat bantuan dana antarabangsa.

Kepimpinan Park Chung Hee yang mencetuskan kemodenan Korea Selatan (Foto Kredit : pds.joins.com)

Kepimpinan Park Chung Hee pada 1961 mencetuskan langkah pertama kepada pembinaan negara Korea Selatan melalui industri ringan. Industri ringan yang memerlukan modal kecil namun memberi pulangan yang besar diperkenalkan sebagai permulaan bagi pengukuhan ekonomi negara. Industri ini juga dilihat berkesan bagi menstabilkan nilai matawang won dan merupakan usaha bagi memperkenalkan sains dan teknologi dalam kehidupan rakyat Korea.

Pelaksanaan awal pelan ini tidaklah memberi kemewahan serta merta kepada negara tetapi mampu menjadi asas yang kukuh untuk membina negara moden pada masa akan datang. Walaupun gerakan ekonomi yang ditadbir Park Chung Hee dikritik kerana masih tidak menyelesaikan masalah kebuluran rakyat ketika itu, namun gaya kepimpinannya diingati sehingga kini apabila industri ringan mula membuahkan hasil. Beliau juga disanjung tinggi kerana gaya hidupnya yang sederhana dan mesra dengan warga Korea yang lain.

Waqaf Saham

Park Chung yang turun padang melihat progress industri berat pada 1970an (Foto Kredit : english.chosun.com)

Korea Selatan melebarkan sayapnya lagi dalam industri eksport dan mengambil langkah berani dengan melabur kepada industri berat pada 1973. Banyak kilang-kilang dibuka bagi mencapai target eksport produk industri berat yang membawa pulangan yang lumayan. Sehingga kini, Korea juga dikenali kerana kemajuan industri beratnya yang fokus kepada industri pembinaan kapal, pembuatan besi, mesin, barangan elektronik dan petrokimianya yang gah.

Walaupun negara tersebut berhadapan dengan krisis nilai matawang pada 1997, namun ia berjaya stabil semula dalam masa dua tahun sahaja dengan penstrukturan semula pelan industrinya kepada yang lebih kukuh. Tempoh krisis kewangan di seluruh dunia pada antara 2008 ke 2010 juga tidak menggoyahkan kedudukan negara tersebut ketika itu. Korea Selatan kini berjaya menjadi negara eksport ketujuh terbesar di dunia sehingga berjaya mengalahkan United Kingdom dan Kanada.

Rakyat Korea yang berjiwa patriotik antara penyumbang besar kepada pemodenan Korea Selatan kini. (Foto Kredit : static3.businessinsider.com)

Kejayaan negara Korea Selatan sebagai negara maju tidak dapat dicapai tanpa rakyatnya yang bercita-cita tinggi dan menyokong pelan pembangunan kerajaan sepenuhnya. Rakyatnya dengan sukarela berkempen bagi menyumbang emas untuk membayar hutang kerajaan yang meminjam dana daripada Tabung Kewangan Antarabangsa ketika krisis kewangan 1997. Sebanyak 3.5 juta rakyatnya menyertai kempen ini bagi membantu kerajaan membayar hutang negara sehingga 227 tan emas berjaya dikumpul. Rakyatnya juga sejak dahulu menyokong kerajaan dalam merealisasikan pelan pembangunan dengan menyertai industri ringan dan berat yang diperkenalkan. Kepercayaan mereka terhadap ajaran Counfucianism juga menyumbang kepada semangat patriotik dan nasionalisma yang tinggi kepada negara sendiri.

Korea Selatan juga sedari awal bahawa negaranya memerlukan pertolongan kewangan bagi menghidupkan semula negara selepas pergolakan perang. Oleh itu, Korea Selatan bertindak mendapatkan pertolongan dana antarabangsa daripada  Pertubuhan Bangsa Bersatu. Jika negara lain menggunakan dana tersebut untuk kelangsungan hidup rakyat, Korea Selatan menumpukan dana tersebut semata-mata untuk pembangunan negara.

Pengorbanan daripada pemimpin dan rakyat terdahulu untuk membina negara maju masih dikenang oleh warga Korea sehingga kini. (Foto Kredit : architectureimg.com)

Pencapaian Korea Selatan sebagai negara moden dalam masa kurang 50 tahun menjadi iktibar baik kepada negara yang sedang berkembang ke arah kemajuan. Walaupun negara ini kekurangan sumber semulajadi yang kaya, tetapi dengan perancangan pembangunan dan kewangan yang baik oleh pemimpin serta nilai patriotik rakyat yang cintakan tanah air mampu menjadi asas yang kukuh ke arah pembinaan negara maju.

SUMBER RUJUKAN

Mykola, Syruk (2015). Day Kyvia. On the three factors of “the Miracle on the Han River”. https://day.kyiv.ua/en/article/economy/three-factors-miracle-han-river

Korea.net. The Korean Economy – the Miracle on the Hangang River. http://www.korea.net/AboutKorea/Economy/The-Miracle-on-The-Hangang

A.K Sing. Miracle on the Han River, Success Story of South Korea. http://www.academia.edu/13903740/Miracle_on_the_Han_River_Success_Story_of_South_Korea

Korea Joongan Daily. (2016).The two faces of Park Chung Heehttp://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/article.aspx?aid=2911842