Semua sedia maklum tentang kisah kejelitaan Cleopatra sehingga berjaya menambat hati dua pemimpin Rom yang hebat iaitu Julius Caesar dan Mark Antony. Tetapi apakah permaisuri Mesir itu benar-benar cantik seperti didakwa, ia masih sukar dibuktikan sehingga hari ini. Tetapi pakar arkeologi kini mengetahui apa jenis pewangi yang digunakan Ratu Mesir itu. Dan ia ada kaitan dengan rutin mandian susu keldai!

Idea menghasilkan minyak wangi sebegini datang dari dua orang saintis dari Universiti Hawaii di Manoa, Robert Littman dan Jay Silverstein. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan arkeologi melakukan ekskavasi di Tell-El-Timai, sebuah tapak arkeologi yang dahulunya menjadi sebahagian daripada bandar lama Thmuis.

Ia juga menjadi lokasi kilang pengeluar minyak wangi terkenal pada zaman purba, Mendesian dan Metopian. Pada tahun 2012, pasukan arkeologi menemui tapak sebuah rumah pembuat minyak wangi termasuk satu kawasan yang digunakan untuk menghasilkan cecair pewangi dan beberapa botol kaca dan amphora yang mengandungi sisa minyak wangi.

Berdasarkan rekod sejarah terutama dari Yunani, Thmuis sememangnya merupakan kawasan pengeluar minyak wangi yang terkenal pada masa purba. Dan rekod sama turut menyatakan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi sebegini.

Antara bahan yang dinyatakan ialah myrrh (sejenis resin yang diambil dari pokok berduri yang terdapat di Afrika dan Semenanjung Tanah Arab), buah pelaga, minyak zaitun dan kulit kayu manis. Ini berdasarkan analisis kimia yang dibuat oleh dua pakar minyak, Dora Goldsmith dan Sean Coughlan berkenaan sisa yang terdapat dalam botol-botol minyak wangi itu.

Melihat kepada semua bahan ini, tidaklah mengejutkan jika ia jauh lebih pekat dan melekit berbanding minyak wangi yang kita gunakan hari ini. Tetapi ia turut menghasilkan bau minyak wangi yang kuat, pedas dan lebih tahan lama berbanding minyak wangi moden sekarang. Proses penghasilan semula minyak wangi ini amat mengujakan bagi Littman dan Silverstein dan ini boleh dilihat semasa sidang media pengumuman kisah minyak wangi Cleopatra ini, “Ianya amat mengujakan untuk menghidu minyak wangi di mana tiada siapa pernah menghidunya dalam tempoh 2,000 tahun dan berkemungkinan digunakan oleh Cleopatra.”

Tetapi semua ini tidak menjelaskan obsesi baginda terhadap wangian terutama air mawar. Dalam kes ini, Cleopatra bukan sekadar menggunakannya untuk mencantikkan rambut atau menghias tempat tumpuan yang dikunjungi baginda. Bahkan pada satu ketika, seluruh kapalnya turut direndam dengan air ros bagi membolehkan ia dapat dihidu dari jauh oleh kekasihnya, Antony semasa baginda berkunjung ke Pulau Tarsus.

Dan ini ada kaitan dengan rejim kecantikan baginda termasuk mandi susu keldai. Cleopatra mengamalkan amalan mandi susu ini bertujuan bagi mencantikkan lagi penampilan kulitnya agar lebih licin dan halus. Tetapi dengan bau sebegitu rupa, tidak hairanlah mengapa baginda menggunakan wangian untuk menutup bau sebenar tubuh badannya.

Bagaimanapun menurut pembuat minyak wangi, Mandy Aftel, tidak diketahui sama ada minyak wangi yang dihasilkan itu benar-benar digunakan oleh Cleopatra atau sebaliknya. Ini kerana beliau percaya baginda mempunyai kilang minyak wanginya sendiri dan sudah pasti mempunyai citarasa minyak wangi yang tersendiri daripada memakai apa yang ada di pasaran.

Walaupun wujud kemungkinan ia tidak dipakai oleh Cleopatra, golongan elit dan berkuasa ketika itu memakai wangian yang hampir serupa dengan minyak wangi yang dihasilkan oleh Littmann dan Silverstein ini. Bagi yang berminat dan menghidu minyak wangi ini, boleh saja berkunjung ke pameran Queens of Egypt anjuran National Geographic Society yang sedang berlangsung hingga pertengahan September ini.

SUMBER

1. Ashley. (2019). Cleopatra’s Perfume Recreated – A Scent That Once Masked The Odor Of Sour Donkey Milk!. Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/ancient-perfume-0012412

2. Daley, Jason. (2019). Cleopatra May Have Once Smelled Like This Recreated Perfume. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/may-be-what-cleopatra-smelled-180972854/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.