https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Mimar Sinan – Arkitek Genius Empayar Uthmaniyah

2,675

Mimar Sinan menghasilkan paling kurang 374 buah rekaan bangunan sepanjang hidupnya. Kebanyakan projeknya ini dihasilkan semasa zaman pemerintahan Sulaiman Agung. Namun, beliau juga berpeluang menumpahkan bakti kepada Sultan Selim II dan Sultan Murad III.

Sinan dilahirkan pada tanggal 29 Mei 1489 di Agirnas, Karaman Eyalet, kini Wilayah Kayseri (Caesarea di Cappadocia), Turki. Walaupun sebilangan sejarahwan tidak meyakini bahawa beliau adalah seorang warga Turki, sebilangan penyelidik memperakuinya. Mereka malah menafikan bahawa Sinan adalah orang Armenia ataupun Yunani. Maklumat ini disahkan menerusi sebuah penyelidikan yang dijalankan pada tahun 1935, tahun di mana jasad Sinan digali semula dan tulang-tulangnya dikaji.

Lukisan yang menggambarkan Mimar Sinan

Ketika Mimar Sinan masih kecil, beliau sering ikut membantu bapanya yang bekerja sebagai seorang tukang bina. Menurut kisah tradisi, ketika beliau masih belia, Mimar Sinan mendengar berita tentang kunjungan Leonardo da Vinci ke ibu kota pada tahun 1502 dan 1505 Masehi. Seiring peredaran masa, beliau menumpahkan rasa kagum terhadap tokoh Itali itu.

Pada tahun 1512, Mimar Sinan dibawa ke Konstantinopel (Istanbul) dan beliau mula diajar dan dilatih sebagai seorang Janisari. Beliau dilahirkan sebagai seorang Kristian, namun kemudian memeluk agama Islam (menerusi sistem devsirme – satu sistem penukaran agama secara paksa) dan mula berkhidmat sebagai anggota tentera Janisari. Beliau sempat berp3rang bagi pihak Sultan Selim I dalam kempen di Rhodes dan seterusnya di Belgrade.

Patung Mimar Sinan di Ankara, Turki

Pada masa yang sama, beliau turut menimba ilmu seni bina dengan harapan suatu hari nanti beliau berpeluang menghasilkan bangunan-bangunan indah. Kemudian, Mimar bertukar lapangan menjadi kapten infantri, komander yang mengendalikan mesin-mesin p3rang, dan juga ketua arkitek dalam pasukan tentera.

Berikutan pencapaiannya yang hebat dalam lapangan-lapangan tersebut, beliau dinaikkan pangkat menjadi kolonel dalam barisan pengawal peribadi sultan.Dipercayai bahawa sesudah tahun 1520, Mimar menyandang jawatan sebagai salah seorang Janisari bagi Wazir Agung Pargali Ibrahim Pasha, iaitu teman rapat Sultan Suleiman. Kemudian, beliau menjadi pakar pemanah, seorang komander Janisari yang digelar sebagai ‘aga’ dan beliau terlibat dalam banyak pertempuran di Eropah, Timur Tengah dan Parsi.

ARKITEK SULTAN YANG BERSIFAT RENDAH DIRI

Usia Mimar Sinan hampir mencecah 50 tahun semasa beliau dilantik sebagai arkitek diraja. Tidak diketahui siapakah yang bertanggungjawab mencungkil atau menemukan bakatnya dalam lapangan itu. Berkemungkinan besar individu tersebut adalah Ibrahim Pasha yang gemar mengambil tahu tentang kemahiran yang dimiliki oleh para tenteranya. Beliau juga lazim berbual dengan mereka tentang minat masing-masing selain daripada minat yang berkaitan p3rang. Mungkin sahaja pada suatu petang, Pasha pernah bertanya tentang pelan bangunan yang dilukis oleh Mimar semasa sedang berehat di kem p3rang.

Masjid pertama yang direka oleh Mimar Sinan untuk Sultan Suleiman adalah Haseki Hurrem Cami, atau masjid Hurrem Sultan. Kompleks Haseki Hurrem turut merangkumi sebuah medrese (seumpama kolej), imaret (dapur awam), hospital dan sekolah. Mimar Sinan memulakan rekaan masjid tersebut pada tahun 1538M dan menyiapkannya 20 tahun kemudian. Namun, terdapat banyak lagi masjid dan bangunan-bangunan lain yang turut diperintahkan pembinaannya oleh Hurrem dan Sultan Suleiman.

Roxelana (Hurrem Sultan) dan Suleiman Agung yang dilukis oleh pelukis Jerman, Anton Hickel (1780)

Masjid ini diangap sebagai simbol kekuasaan Empayar Uthmaniyah. Ia siap dibina pada tahun 1557 dan dibuka pada tahun 1558. Kompleks masjid ini kemudiannya menjadi tempat bersemadinya jasad sultan, isterinya, beberapa orang kerabat dan beberapa orang sultan penggantinya. Dalam rekaan seni binanya, Mimar Sinan sering mengaitkan tradisi Byzantine dengan gaya Empayar Uthmaniyah.

Projek Mimar Sinan yang dianggap paling mengagumkan adalah Masjid Suleiman, atau dikenali sebagai Suleimaniye (atau Suleymaniye). Projek ini juga merupakan projek beliau yang paling besar. Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada tahun 1550. Andre Colt pernah menulis tentang masjid ini, “Menerusi pembinaan Suleimaniye, iaitu masjid besar di Istanbul yang dinamakan bersempena Sultan Suleiman, Mimar Sinan mengambil satu lagi langkah menuju kesempurnaan dalam bidang seni bina. Beliau memilih sebuah pelan binaan yang sangat mirip dengan Saint-Sophia, demi, katanya, mengalahkan keindahan seni bina Yunani di tanah mereka sendiri.”

Mimar Sinan juga bertanggungjawab mereka masjid-masjid yang didedikasikan kepada putera dan puteri Uthmaniyah – puteri Mihrimah dan putera-putera seperti Selim, Cihangir dan Mehmet. Antaranya adalah kompleks Sehzade Camii. Pada tahun 1543, putera sulung mereka iaitu putera mahkota Mehmet m4ngkat akibat peny4kit cacar. Walaupun usianya baru mencecah 21 tahun, beliau menjadi sumber harapan Uthmaniyah. Sultan Suleiman pada hakikatnya mempunyai seorang putera yang lebih tua, iaitu Mustafa, puteranya dengan Mahidevran Sultan. Namun, baginda berhasrat menabalkan Mehmet sebagai penggantinya.

Tatkala putera kesayangannya itu m4ngkat, Sultan Suleiman duduk di sisi jen4zahnya selama tiga hari sebelum memperkenankan agar jen4zah tersebut disem4dikan. Sesudah hari pertama berkabung, baginda meminta Mimar Sinan untuk membina sebuah kompleks masjid yang jauh lebih indah berbanding projek-projeknya yang lalu. Kompleks ini turut merangkumi sebuah sekolah, hostel, imaretmedrese dan makam Putera Mehmet. Pembinaannya berlangsung dari tahun 1544 sehingga tahun 1548. Mimar Sinan sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya itu dan beliau malah memanggil Sehzade Camii sebagai ‘mahakarya’.

Pemandangan di dalam Sehzade Camii


Mimar Sinan juga menyumbangkan seni bina bagi sejumlah sekolah, hospital, istana dan permakaman. Di sebuah daerah di Istanbul yang dipanggil sebagai Besiktas, beliau membina sebuah makam bagi ketua laksamana armada laut Uthmaniyah, iaitu Hayreddin Barbarossa Pasha.

SUMBANGANNYA BUKAN HANYA TERHAD PADA SENI BINA MASJID

Sultan Suleiman sendiri m4ngkat pada tahun 1566, lapan tahun selepas kem4tian isteri kesayangannya, Hurrem. Kem4ngkatannya membawa pengakhiran bagi satu era penting dalam sejarah Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak menutup lembaran yang berkaitan dengan seni bina. Mimar Sinan masih mencurahkan baktinya di zaman pemerintahan Selim II dan seterusnya Murad III.


Lukisan yang mungkin menggambarkan Mimar Sinan (kiri) sedang menyiapkan makam Sultan Suleiman I

Sinan juga merupakan seorang penulis yang mengarang tentang seni bina, di mana ia disalin oleh ramai arkitek Uthmaniyah yang lain. Beliau memulakan kariernya sebagai arkitek pada pertengahan usia, namun beliau berupaya menyumbangkan begitu banyak seni bina.Beliau sempat menghasilkan rekaan bagi sejumlah masjid, jambatan dan bangunan-bangunan lain di Eropah Selatan.

Antara lain termasuklah Jambatan Mehmed Pasa Sokolovic yang masyhur, iaitu jambatan yang terletak di Sungai Drina, Visegrad. Jambatan tersebut didedikasikan untuk Sokollu Mehmet Pasha, salah seorang individu paling berpengaruh dalam Empayar Uthmaniyah pada kurun ke-16. Pada tahun 2007, jambatan tersebut dimasukkan ke dalam Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

NAMA BAIKNYA KEKAL ABADI

Mimar Sinan merupakan arkitek bagi 92 buah masjid besar dan 52 buah masjid kecil. Selain itu, beliau turut menyumbangkan rekaan bagi 7 buah seminari, 22 buah kompleks makam, 3 buah rumah sakit mental, 35 buah istana dan rumah agam, 17 buah fasiliti kesihatan, 57 buah kolej, 46 buah rumah tumpangan, 48 buah dewan mandi, 17 buah dapur awam, 8 buah jambatan dan banyak lagi binaan lain. Sentuhannya yang sangat sofistikated membuatkan Mimar Sinan kadangkala disetarakan dengan Michelangelo.

Akueduk Maglova oleh Mimar Sinan, dilukis oleh Jules Laurens (1847)

Mimar Sinan meninggal dunia pada tanggal 17 Julai 1588. Usianya ketika menghembuskan nafas terakhir adalah 98 tahun dan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyah pada masa itu adalah Murad III, putera Selim II. Sinan dikebumikan di makam yang direka oleh beliau sendiri. Dengan perkenan khusus daripada sultan, beliau dikebumikan berhampiran dengan makam Sultan Suleiman dan Hurrem, terletak betul-betul di luar tembok Masjid Suleimaniye.

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (9 Jun 2016). Mimar Sinan – A Genius Architect for the Ottoman Empire. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mimar-sinan-genius-architect-ottoman-empire-006052

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.