Mimaland: Keriangan Yang Menjadi Tragedi

7,908

https://bit.ky/kombowww

Sebut saja taman tema air, ramai membayangkan nama seperti Desa Water Park, Mines Wonderland atau Sunway Lagoon. Tetapi bagi generasi lama, mereka lebih mengingati Mimaland. Mimaland bukan sekadar taman tema air terbesar negara malah merupakan taman tema air pertama yang wujud di Malaysia.

Mimaland yang dibuka pada tahun 1975 terletak di Batu 12, Ulu Gombak. Bagi warga kota, ia merupakan tempat terbaik untuk mereka melepaskan diri dari hiruk-pikuk kesibukan kota kerana hanya terletak 20 kilometer dari Kuala Lumpur. Menariknya, Mimaland turut mempunyai taman bertemakan Jurassic Park, 30 tahun sebelum filem arahan Steven Spielberg itu ditayangkan di pawagam.

Rajah 1: Contoh haiwan pra-sejarah di Mimaland.

Taman tema ini bukan saja mempunyai replika haiwan pra-sejarah bersaiz besar. Bahkan, Mimaland mempunyai gelungsur-gelungsur air dan menawarkan pelbagai aktiviti luar kepada para pengunjung di taman yang berlatarkan hutan tropika termasuk memancing dan menaiki perahu di kawasan tasik buatan manusia.

Bagi yang ingin menginap di Mimaland, mereka boleh menginap sama ada di motel yang mempunyai 24 buah bilik, 10 buah chalet yang dibina di tepi tasik dan sebuah rumah persinggahan terdiri daripada empat dormitori dan 100 buah katil. Yang pasti, pengunjung Mimaland bukan saja terdiri daripada orang awam tetapi juga selebriti dan orang kenamaan.

Peminat-peminat filem lama pasti perasan sesetengah filem menjadikan Mimaland sebagai latar tempat filem mereka. Bagi pengarah Othman Hafsham, Mimaland pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran dua filemnya iaitu Mekanik (1983) dan Suara Kekasih (1986).

Manakala dalam filem Gila-Gila Remaja, Azroy (Faizal Hussein) mengingatkan kekasihnya Suziana (Rehana Yasin) agar tidak lupa temu janji mereka di situ. Malah, adegan mereka turut dirakam di Mimaland.

Bagi penduduk di luar Kuala Lumpur, lawatan ke Mimaland ialah satu prospek yang tidak boleh dilepaskan seperti diceritakan suri rumah, Chitty Yeoh, 55. Dia berkata, “Kami pernah pergi ke Mimaland pada tahun 80-an tetapi saya tidak ingat harga tiket ketika itu.

Rajah 2: Semasa zaman kegemilangannya, gelungsur air Mimaland sentiasa menarik minat para pengunjung.

“Kanak-kanak antara yang paling seronok, saudara-mara saya datang dari Pulau Pinang datang melawat kami semasa cuti sekolah dan taman tema pula baru dibuka. Ia penuh dengan orang ramai seperti Sunway Lagoon pada musim cuti.” Yeoh memberitahu mereka tidak pernah bermalam di Mimaland kerana menetap di Kuala Lumpur dan pulang pada waktu siang.

Bagaimanapun, reputasi Mimaland mula terjejas apabila dilanda beberapa kontroversi. Pada Januari 1993, seorang pelancong Singapura ditemui m4t1 lemas dalam kolam taman itu. Ini disusuli tanah runtuh kecil yang tercetus akibat kerja pengubahsuaian pada bahagian kolam pada 1994. Isu keselamatan memaksa pihak pengurusan menutup terus Mimaland pada tahun sama.

Sejak itu, Mimaland tidak lagi seperti dahulu. Bangunan-bangunan yang dahulu pernah diisi dengan hiruk-pikuk bunyi pengunjung kini rebah menyembah bumi. Manakala replika haiwan pra-sejarah pula kini dilitupi dengan semak-samun.

Suasana sebegini yang liar dan menakutkan menarik minat individu-individu berhati kering mencari hantu di kawasan taman yang ditinggalkan. Apa yang dilakukan mereka agak berani memandangkan Mimaland masih lagi dimiliki oleh pemilik persendirian dan dikawal oleh pengawal keselamatan.

Jika tidak terserempak dengan pencari-pencari hantu, Orang Asli dari petempatan berhampiran juga dikesan berada di kawasan berkenaan. Mereka dikatakan selalu memburu musang dan tupai. Jika bernasib baik, mereka kadang-kadang mendapat babi hutan dan rusa sebagai haiwan buruan.

Pada satu ketika, wujud rancangan membangunkan semula Mimaland membabitkan kerjasama Mimaland Bhd yang dikawal MPHB Capital and Magna Senandung Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Bandar Raya Developments Bhd. Menerusi satu laporan New Straits Times pada 2011, kedua-dua syarikat membangunkan kawasan tanah seluas 131 hektar per segi.

Mengikut perancangan, kedua-dua syarikat mahu membangunkan projek perumahan mewah berlatar belakangkan alam semulajadi termasuk laluan air dan kawasan lembah dengan harga permulaan RM500,000. Bagaimanapun, projek tersebut dibatalkan pada tahun 2015 tanpa dinyatakan sebab pembatalan.

Kini, Mimaland menjadi subjek filem seram arahan Nevin Hiong iaitu Mimaland. Filem yang diterajui Fattah Amin dan Sophia Albarakbah mengisahkan sepasang suami isteri diberi peluang membuat rancangan realiti televisyen di Mimaland. Tetapi sebaik mereka melangkah ke kawasan taman yang ditinggalkan, mereka berdepan satu misteri yang meng4nc4m nyawa mereka. Mimaland kini ditayangkan di pawagam.

RUJUKAN:

Yusof, Teh Athira. (2020). NST175: The rise and fall of Mimaland. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2020/10/629480/nst175-rise-and-fall-mimaland

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.