Milik Siapakah P Ramlee?

0
2238
views

Sekitar tahun 1990-an telah timbul satu persoalan siapa yang lebih layak memiliki dan mengabadikan jasa seniman tersohor Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Seorang wartawan hiburan dari ahkbar Harian Metro bernama Adam Salleh yang lebih dikenali dengan jolokan Jarum Emas pada ketika itu telah mengupas persoalan ini di dada akhbar tabloid No.1 Negara itu. Menurut tulisan Adam Salleh, wajarkah Malaysia menobatkan seniman agung yang lahir di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 itu sebagai milik rakyat negara ini atau Singapura lebih berhak kerana sebahagian besar kerjaya seninya dihabiskan di negara republik itu. Tidak kurang ada dikalangan rakyat Acheh yang turut mempertikaikaan asal keturunan P.Ramlee jika merujuk dari susur galur ayahandanya yang bersasal dari negeri Serambi Mekah itu.

Singapura melalui Menteri Penerangan dan Kesenian, George Yeo, pada ketika itu pernah mengeluarkan kenyataan dengan berkata, “Tiada P.Ramlee tanpa Singapura”. Kenyataan itu menggambarkan nama dan karya seni P.Ramlee, terutama berbentuk filem tidak akan wujud tanpa bantuan dan dokongan pelbagai pihak di republik itu, terutama pada era Studio Jalan Ampas.

Bukti Singapura lebih berbangga dalam mengangkat nama P.Ranlee lebih ketara apabila negara republik itu menganjurkan satu majlis sempena ulangtahun pertama Suruhanjaya Filem Singapura (SFC) di Galeri Seni Fort Canning pada 16 April 1998. Tema yang dibawa di majlis berkenaan ialah “P.Ramlee Perintis Pembikin Filem Singapura”. Tema ini menjadi pertikaian kepada sesetengah pihak dikalangan seniman dan seniwati veteran pada ketika itu dengan mengatakan lebih tepat jika digunakan “P.Ramlee Perintis Pembikin Filem Melayu”.

Bagi pihak kerajaan Negara Malaysia, selain dianugerahkan darjah Tan Sri daripada Yang Di-Pertuan Agong pada 1990, jasa dan sumbagan seniman agung itu juga diabadikan menerusi Pustaka Peringatan P.Ramlee dan sebatang jalan di ibu negara, Auditorium P.Ramlee di Angkasapuri dan menjadikan rumah asal P.Ramlee di Pulau Pinang sebagai salah satu warisan serajah yang perlu pelihara. Tidak ketinggalan pihak Pos Malaysia Berhad juga pada ketika itu telah melancarkan setem kenangan yang memaparkan wajah seniman agung itu. Malah pada ketika itu stesen televisyen tempatan juga kerap menayangkan kembali filem-filem arahan dan lakonan seniman agung itu.

Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang juga Timbalan Naib Censelor (Hal Ehwal Pelajar) UKM, Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, berkata Allahyarham adalah milik sekitar 250 juta rakyat gugusan Melayu dan Singapura. Menurutnya, Singapura boleh memberi pelbagai anugerah kepada P.Ramlee jika diambil kira kejayaan diraih beliau ketika memerah keringat di republik itu tetapi jangan lupa P.Ramlee adalah warganegara Malaysia. Status seorang warganegara itu penting bagi menentukan P.Ramlee aset siapa. Menilai P.Ramlee pula tidak boleh ada sempadan politik kerana khazanah seni yang ditinggalkan oleh Allahyarham adalah dalam wilayah budaya Melayu.

Waqaf Saham

Menurut seniman veteran Aziz Sattar (Datuk) yang juga rakan seperjuangan P.Ramlee mempunyai pendapat beliau yang tersendiri dalam menentukan P.Ramlee milik siapa. Aziz Sattar berpendapat adalah tidak wajar jika Singapura mengatakan P.Ramlee adalah aset mereka kerana jika dirujuk melalui sejarah, pihak republik itu terlebih dahulu meminta P.Ramlee untuk berhijrah ke Singapura melalui sorang pengarah yang sedang berhidmat dengan syarikat filem Shaw Brothers iaitu B.S Rajhans. Menurutnya bakat P.Ramlee dikesan oleh B.S Rajhans ketika menonton nyanyiannya di Pulau Pinang dan telah meminta P.Ramlee untuk berhijrah ke Singapura. Aziz Sattar tidak menafikan zaman kegemilangan P.Ramlee dan filem Melayu adalah di Singapura dimana ketika itu adanya dua syarikat gergasi yang bermukim di negara republik itu seperti Shaw Brothers dan Cathay-Keris. Tetapi bakat P.Ramlee tetap dari Malaysia pada ketika itu Malaya. Jika dirujuk kepada beberapa fakta, Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, P.Ramlee terlebih dahulu meninggalkan Singapura dan kembali semula ke negara kelahiraannya pada bulan April 1964.

Tokoh Budaya dalam masa yang sama Ketua Pengarah Arkib Negara pada ketika itu, Datuk Zakiah Hanum, berkata bukti penghormatan Malaysia terhadap P.Ramlee tidak terbilang berbanding Singapura. Menurutnya, semangat patriotik P.Ramlee terhadap tanah air jelas apabila menyedari pihak republik Singapura kurang berminat untuk meneruskan industri perfileman di republik itu, Allahyarham terus pulang ke tanah air. Jika P.Ramlee tidak sayangkan tanah tumpah darahnya, mungkin P.Ramlee terus menetap di republik itu bersama rakan-rakan artis lain, katanya.

Kemuncak persoalan ini akhirnya terhenti apabila Sasterawan Negara yang juga merupakan sahabat baik P.Ramlee, Datuk Abdullah Hussain mengeluarkan kenyataannya bagi menutup segala persoalan ini. Kata Abdullah Hussain, “P.Ramlee adalah milik Malaysia begitu juga Singapura dan lebih tepat lagi P.Ramlee milik Nusantara.  Namun siapa yang tahu di era kegemilangan P.Ramlee, beliau tidak pernah membezakan di antara Malaysia dan Singapura”.

 

Sumber :

Metro Ahad, 25 April 1998 – Adam Salleh

Gagak Di-Rimba – Abdullah Hussain