Mexico – Tempat Perlindungan Karya Perubatan Islam

0
532
views

Selepas Raja Ferdinand II dari Aragon dan Ratu Isabella berjaya menewaskan kerajaan Islam terakhir di Andalusia iaitu Granada pada tahun 1492, ia menandakan berakhirnya penguasaan umat Islam di Sepanyol. Semasa era baginda juga menyaksikan bermulanya era penjelajahan di mana negara-negara Eropah berlumba-lumba mencari laluan perdagangan ke Timur termasuk Dunia Baru. Tetapi Dunia Baru atau lebih tepat Mexico juga merupakan tempat di mana ilmu-ilmu yang dikarang ilmuan Islam terselamat dan menjadi asas kepada pengajian bagi para pelajar di sana semasa penjajahan Sepanyol.

Semua sedia maklum disiplin-disiplin ilmu membabitkan negara-negara Eropah ketika itu tidaklah sehebat disiplin ilmu yang diajar semasa Era Keemasan Islam. Ini kerana disiplin-disiplin ilmu mereka banyak dicampuri dengan pelbagai unsur karut dan ini diakui sendiri oleh ramai penjelajah ketika itu dari Christopher Columbus hinggalah Hernan Cortes. Selepas berjaya menewaskan kerajaan Aztec dan perlahan-lahan membina asas penjajahan Sepanyol di Mexico, beliau mula mempelajari ilmu perubatan. Cortes sedar sekiranya Madrid mahu bertahan di Dunia Baru, mereka perlu mempunyai perkhidmatan kesihatan yang bagus. Ini kerana jika dibandingkan tahap perkhidmatan kesihatan di Eropah Utara, tahap perkhidmatan kesihatan mereka amat mengecewakan.

Dan tidaklah mengejutkan bagi mana-mana doktor yang ditugaskan ke Dunia Baru, salah satu bahan bacaan wajib mereka ialah buku karya Ibnu Sina atau Avicenna. Dan sesetengah buku pakar perubatan Islam ini menjadi asas kepada buku mereka. Contohnya Francisco Bravo, seorang doktor yang pernah menuntut di Universiti Alcala de Henares dan Osuna menulis buku pertamanya bertajuk Opera medicinalia.

Selain Ibnu Sina, Bravo turut menyatakan pengaruh ilmuan lain seperti Galen, Al-Razi (Rhazes), Hippocrates dan Valles. Kebanyakan karya Galen, Ibnu Sina dan Al-Razi merupakan bahan bacaan wajib para doktor dan ia sentiasa diterbitkan dari semasa ke semasa. Walaupun Bravo tidak menyatakan mana karya Ibnu Sina yang digunakan sebagai inspirasi, kebanyakan teori dan cara rawatan diambil dari buku Kanun Perubatan (al-Qanun fi al-Tibb). Dan pada abad ke-16, ia merupakan bahan rujukan penting di sekolah-sekolah perubatan Sepanyol seiring dengan karya Galen dan Hippocrates.

Selain Opera medicinalia, ada sebuah buku yang diterbitkan di Venice pada tahun 1523. Buku bertajuk Praesens maximus codex est totius scientiae medicine principis Alboali Abinsene sebenarnya karya terjemahan Kanun Perubatan dalam Bahasa Latin di mana setiap komentar dan interpretasi diselia oleh pakar-pakar perubatan terkemuka dari Itali ketika itu. Buku ini merupakan bahan rujukan penting di semua pusat perubatan Sepanyol dan turut dijadikan sebagai panduan menanda kertas peperiksaan perubatan di Alcala de Henares.

Selepas Sepanyol menubuhkan Royal and Pontifical University di Mexico pada tahun 1553, ada dua buku yang menjadi bahan rujukan para pelajar perubatan terutama selepas fakulti perubatan universiti itu dibuka pada tahun 1582. Dua buku berkenaan ialah Epitome of Avicenna (Miguel Capella) dan Prima primi canonis Avicena section (Miguel Jeronimo de Ledesma).

Waqaf Saham

Buku pertama Capella itu berkisar tentang terjemahan dan komentar karya Ibnu Sina itu merupakan antara karya yang mendapat sambutan ramai. Selain kedua-dua buku berkenaan, para doktor di Mexico turut menggunakan Liber canonis de medicines cordialibus et cantica, sebuah karya terjemahan Kanun Perubatan Ibnu Sina. Karya tersebut diterjemah dan diterbitkan oleh Joan Hervagios pada tahun 1560 dan menjadi rujukan pengamal perubatan pada abad ke-16.

Sedikit mengecewakan di mana sesetengah penulis enggan mendedahkan karya-karya Ibnu Sina sebagai sumber utama atau inspirasi kepada karya mereka. Tetapi bila kita melihat sentimen pada abad berkenaan, kita memahami mengapa mereka berbuat demikian. Ini kerana pada ketika itu, kerajaan Sepanyol melancarkan kempen membersihkan semua elemen Islam dan Arab dari Sepanyol termasuk dari segi disiplin ilmu dan teknologi. Justeru, tidaklah mengejutkan mengapa mereka tidak menyatakan atau disebut sekadar sepintas lalu. Juan de Cardenas misalnya yang menulis buku Primera parte de los problemas y secretos maravillosos de las Indias tidak menyatakan sumber utamanya tetapi mendedahkan sumber inspirasinya ialah Ibnu Sina.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan Sepanyol di tanah besar Sepanyol dianggap sesuatu yang menyedihkan tetapi di Dunia Baru terutama Mexico, ia sebenarnya satu perkara yang amat membantu mereka. Bagi para pelajar yang mahu mempelajari anatomi tubuh manusia, mereka merujuk karya Agustin Farfan Tractado Brebe de Medicina yang diterbitkan pada tahun 1592. Kajian anatomi menggunakan karya Ibnu Sina, teori berdasarkan teori-teori Galen dan nota-nota tambahan berdasarkan komentar Al-Razi. Selain itu, mereka turut menggunakan batu bezoar bagi merawat pelbagai jenis keracunan di Mexico. Malah, sesetengah cara rawatan seperti pelecuhan, bekam dan plaster banyak dijumpai dalam buku Summa perfectionis yang dihasilkan oleh Geber (Jabir ibnu Hayyan). Karya Jabir bukan saja dikenali oleh Ibnu Sina tetapi juga menjadi bahan rujukan di Mexico.

Selain kempen oleh Ferdinand Aragon, karya-karya para ilmuan Islam juga terdedah kepada ancaman kempen Holy Inquisition yang digerakkan oleh gereja-gereja Roman Katolik di Eropah. Mereka melihat sebarang bentuk karya yang bertentangan dengan ajaran gereja harus dihapuskan dan ini termasuk semua karya ilmuan Islam yang menjadi bahan rujukan para cendekiawan Eropah. Misalnya pada tahun 1576, seorang penjual buku Sepanyol bernama Alonso Losa berjaya membawa keluar buku terjemahan karya Yuhanna ibnu Masawaiyh yang bertajuk Exposición sobre las preparaciones de Mesue hasil terjemahan Antonio de Aguilera yang diterbitkan pada tahun 1569.

Nama Yuhanna turut diselitkan bersama dalam buku Juan de Barrios, erdadera medicina, cirugía y astrología yang diterbitkan pada tahun 1607. Sementara pada tahun 1648, seorang pakar anatomi dari Royal and Pontifical University bernama Juan de Correa menulis sebuah buku bertajuk Tratado de la qualidad manifiesta, que el mercurio tiene. Menerusi buku ini, de Correa menulis tentang kehidupan para pelombong yang melombong dan bagaimana mereka mengalami keracunan sulfur. Buku yang dihasilkan de Correa ini menggunakan karya Ibnu Sina dan Jabir ibnu Hayyan.

Pengaruh perubatan Islam pada buku Verdadera Medicina, Astrología y Cirugía (1606) oleh Juan de Barrios:

  1. Menerusi buku tersebut, de Barrios menyifatkan sakit kepala dan hemikranium menurut pandangan Ibnu Sina merupakan satu penyakit yang menakutkan di mana sendi-sendi kepala kelihatan terdilat dan boleh membuka kepala sesiapa yang menghidapinya. Dan sekiranya ia pada tahap yang membimbangkan, ia boleh membawa maut kepada penghidapnya.
  2. Bagi memulihkan pesakit yang mengalami masalah katarak (keadaan apabila kanta mata tidak dapat ditembusi cahaya, yang mengakibatkan pandangan menjadi kabur), doktor yang merawat perlu menggunakan udara panas dan kering. Bagi si pesakit pula, mereka tidak boleh minum wain dan hanya boleh mengambil air madu atau air kulit kayu manis dan ayam betina. Tetapi mereka juga perlu mengelak dari mengambil susu atau makan ikan.

SUMBER

Neri-Vela, Rolando. Muslim Heritage. Avicenna’s Medical Thinking in Colonial Mexico. http://www.muslimheritage.com/article/avicenna’s-medical-thinking-colonial-mexico

Previous articleK-On!: Al-Kisah Pencetus dan Ikon Zaman Kegemilangan Baru Anime
Next article10 Kempen Terbesar Maharaja Teragung Dinasti Qing
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE