Kebiasaannya, sebut saja bandaraya yang akan tenggelam, nama Singapura dan Jakarta yang terpacul di kepala. Dua bandaraya ini merupakan antara lokasi yang diancam kenaikan paras air laut global dan trend ini sememangnya membimbangkan pemerintah Singapura dan Indonesia. Tetapi kita tidak pernah menyangka Mexico City tersenarai dalam senarai bandaraya yang akan tenggelam!

Sejak satu abad yang lalu, Mexico City semakin tenggelam gara-gara tindakan para pemerintahnya membuang air daripada tanah yang menjadi asas bandaraya berkenaan. Dan berdasarkan analisis terkini yang diterbitkan dalam jurnal JGR Solid Earth, Mexico City kini berdepan kadar penenggelaman sebanyak 50 cm setiap tahun dan tiada cara untuk menghentikan proses tersebut.

Mengikut sejarah ibu negara Mexico itu, ia dibina di atas tapak ibu kota Empayar Aztec yang terkenal, Tenochtitlan. Tenochtitlan musnah dibakar pihak Sepanyol semasa fasa terakhir kempen pengepungan yang digerakkan oleh pemimpin mereka, Hernan Cortes pada Ogos 1521.

Selepas berjaya menamatkan tentangan pihak Aztec yang diketuai Cuachtemoc, saki-baki bangunan Aztec diruntuhkan dan digantikan oleh bangunan-bangunan yang diinspirasikan daripada seni bina Eropah. Tenochtitlan turut dinamakan semula sebagai Mexico kerana bagi orang Sepanyol, ia jauh lebih mudah disebut daripada Tenochtitlan. (Marroqui, J.M (1969))

Bagaimanapun, pihak Sepanyol secara tidak sedar telah melemahkan asas Mexico City sejak dari awal lagi. Ini kerana seperti Tenochtitlan, ia merupakan sebuah pulau buatan manusia dengan menggunakan sistem chinampas. Bagi membolehkan orang Aztec mendapatkan bekalan air minuman, mereka turut membina sistem empangan untuk mengasingkan air masin dari tasik dari memasuki saluran air tawar menerusi sumber air hujan. Sistem empangan ini juga membantu mereka mengawal paras air tasik dengan mudah sekaligus dapat menyelesaikan isu banjir yang dihadapi kota berkenaan. (Senturk, 1994)

Begitupun, semua itu berubah selepas kempen pengepungan yang digerakkan Cortes dari Mei hingga Ogos 1521. Aktiviti pengepungan menyaksikan banyak empangan musnah dan sistem empangan Aztec tidak dibina semula oleh pihak Sepanyol semasa menggerakkan pembinaan Mexico City. Sejak itu, ibu negara Mexico itu sentiasa berdepan dengan masalah banjir yang tidak berkesudahan.

Menjelang tahun 1900, Mexico City berdepan kadar penenggelaman sebanyak 9 cm setahun. Tetapi menjelang dekad 50-an, ia meningkat kepada 29 cm setahun sekaligus memaksa kerajaan mengehadkan bilangan air yang diambil dari kawasan bawah tanah. Menurut penulis kajian Estelle Blauchard, walaupun ia membantu mengurangkan kadar penenggelaman, ia langsung tidak membantu menghentikan proses tersebut.

Pada awalnya, kadar penenggelaman kembali semula kepada 9 cm setahun. Tetapi sejak 20 tahun lepas, ia kini mencecah 50 cm setahun di sesetengah kawasan di Mexico City. Dan terkini, pasukan pengkaji yang diketuai Blauchard percaya pengambilan air bawah tanah sudah tidak mempengaruhi kadar penenggelaman tanah kota berkenaan.

Kesimpulan pasukan pengkaji ini dicapai selepas menggabungkan data rekod selama 115 tahun dengan data peralatan moden seperti Radar Apertur Sintetik Interferometer (INSAR) (24 tahun) dan GPS (14 tahun). Analisis mereka mendapati lapisan tanah liat kota tersebut kini termampat sebanyak 17% dan dijangka sukar kembali kepada keadaan asal. Sekiranya keadaan ini berterusan, Mexico City bakal berdepan kadar penenggelaman sebanyak 30 meter dalam tempoh 150 tahun.

Dalam kajian sama, Blauchard menambah kadar penenggelaman akan terus wujud melainkan paras air dibawa kembali ke paras cetek. Begitupun, mereka meragui kejayaan pelan tersebut dapat menghentikan proses penenggelaman Mexico City berikutan ia mengalami kehilangan paras ketinggian yang besar dan kehilangan kapasiti penyimpanan akuitard.

Ketika ini, Mexico City merupakan kawasan metropolitan ke-11 terbesar di dunia dan terbesar di Amerika Utara dengan populasi 21 juta orang. 70% bekalan air minumannya diambil dari perigi-perigi bawah tanah di sepanjang Lembah Mexico.

RUJUKAN

Carpineti, A. (2021). Mexico City Is Sinking Faster Than Ever And There’s No Hope It Can Be Reversed. IFLScience.

Senturk, F. (1994). Hydraulics of Dams dan Reservoir. Water Resources Publication. Halaman 6.
Marroqui, J.M (1969). La Ciudad de Mexico. Mexico City: Ayuntamiento del Distrito Federal. Halaman 21-25.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.