Mereka Mati Kerana Cinta

837

Mayat lelaki dan wanita yang dipercayai sepasang kekasih, telah ditemui di Sungai Yangtze dengan tangan mereka berdua terikat bersama-sama dengan wayar berwarna merah.

Kedua-dua mayat ditemui sedang terapung dibawa arus sungai oleh seorang lelaki yang secara kebetulan sedang memancing di sana. Pemancing itu segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketika pihak polis masih sedang dalam proses menyiasat kes, datang seorang lelaki bernama Wang Yu, menuntut mayat tersebut. Menurut Wang Yu, mayat lelaki itu adalah adik lelakinya bernama Wang Feng, manakala mayat wanita pula kekasih adiknya yang dikenali sebagai Liu Yan.

Seperti pasangan lain yang sedang hangat dalam percintaan, mereka berdua sudah mula merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada awal bulan April.

Walau bagaimanapun, hubungan cinta mereka dihalang oleh keluarga masing-masing. Bagi keluarga Wang, mereka tidak setuju dengan alasan bahawa keluarga Liu menetap jauh, yakni di bandar Gansu, sedangkan mereka di Chongqing.

Manakala keluarga Liu pula, meminta sejumlah 20,000 Yuan sebagai hadiah pertunangan. Satu jumlah yang tidak mampu disediakan oleh Wang Feng.

Wang Yu pernah melawat adiknya pada tarikh 5 April. Tetapi setibanya di sana, beliau dapati bahawa bilik yang didiami oleh adik lelakinya tidak berpenghuni. Turut ditemui oleh Wang Yu di dalam bilik tersebut, sekeping nota ditulis oleh Wang Feng.

Wang Yu yang risaukan keselamatan adiknya, mula berusaha mencari dan bertanyakan kepada rakan serta kenalan akan keberadaan Wang Feng. Bagaimanapun, usahanya menemui jalan buntu.

Ia pada masa ini juga, Wang Yu mendapatkan khabar berita tentang penemuan kedua-dua mayat di Sungai Yangtze ini.

Wang Yu memberikan nota atau wasiat terakhir pasangan tersebut kepada pihak polis sebagai bahan bukti.

Tertulis di dalam nota bertarikh 4 April itu;

“Tolong jangan cari kami lagi. Maafkan ketidakupayaan kami berdua. Kami tidak mampu untuk kehilangan satu sama lain. Kamu tak akan faham. Inilah cinta kami berdua.”

Di akhir nota tersebut, merupakan tulisan Liu Yan:

“Saya mohon supaya tolong jangan beritahu perkara ini kepada kedua ibu bapa saya. Kamu perlu merahsiakan perkara ini untuk kami.”

Ikatan wayar berwarna merah itu ialah simbolik kepada lagenda kepercayaan orang cina. Iaitu berkenaan dewa yang mengikat tali ‘takdir’ ini pada individu-individu ditakdirkan berjodoh antara satu sama lain.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.