Meowtalk: Aplikasi Menterjemah Bahasa Kucing?!

451

Pra-tempah hanya di Shopee

“Apa kena dengan kucing kau tu, Maon?” tanya Pak Jabit bila mendengar bunyi kucing Pak Maon semasa menghubunginya menerusi panggilan video. Selepas melihat apa yang berlaku, dia menjawab, “Mula-mula dia mengiau begini, aku ingat dia nak makan. Sekali bila aku nampak cicak di siling, rupanya dia nak aku tangkapkan untuk dia.”

Tatkala kita menggaru kepala tentang apa sebenarnya yang dimahukan kucing, terdapat satu aplikasi yang boleh menterjemah bunyi ngiau mereka. Aplikasi MeowTalk yang dihasilkan oleh seorang bekas jurutera Amazon Alexa merekod bunyi ngiau dan cuba mencari maksud ngiau kucing. Pemilik juga boleh membantu melabel terjemahan ngiau kucing mereka sekaligus mewujudkan pangkalan data yang boleh dipelajari AI.

Tidak seperti manusia, kucing tidak mempunyai bahasa khusus. Setiap ngiauan kucing itu unik dan ia disesuaikan dengan pemilik mereka. Justeru, ada ketikanya sesetengah kucing itu kadang-kadang lebih kuat bunyi ngiauannya daripada kucing lain.

Dengan merakam dan melabel setiap bunyi, ia membantu AI dan perisian pembelajaran mesin memahami dengan lebih baik setiap bunyi kucing. Matlamat terakhir pembuat aplikasi Akvelon ialah menghasilkan sebuah gelang pintar kucing yang segera menterjemah bunyi ngiau dan pemilik boleh memberi arahan menerusi gelang tersebut.

Aplikasi ini boleh didapati secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Begitupun, memandangkan ia masih berada di peringkat pembangunan awal, wujud komen-komen pengguna tentang kesalahan yang dibuat MeowTalk. Antara rungutan mereka ialah tiada sambungan internet dan terjemahan mengarut untuk bunyi ngiau.

Selain terjemahan mengarut dan tiada sambungan internet, ramai juga bimbang tentang keselamatan data MeowTalk mereka. Bagi meredakan kerisauan pengguna, pengguna boleh menghentikan pemasangan aplikasi sehingga ia mematuhi undang-undang privasi Kesatuan Eropah (EU). Di sebalik semua itu, ia masih mendapat sambutan positif dengan dengan kadar purata 4.3 di Google Play Store

Melihat kepada isu yang timbul pada MeowTalk, pakar tingkah laku kucing Juliette Jones melihat aplikasi ini dilayan sebagai satu bentuk hiburan dan bukan satu cara berkomunikasi dengan kucing. Ini kerana apabila kucing mengiau, ia sebenarnya bertujuan berkomunikasi dengan manusia dengan kebanyakan pemilik memberi maklum balas kepada bunyi ngiauan mereka.

Jones turut menyifatkan perbuatan melabel bunyi kucing seperti dilakukan MeowTalk sebagai tidak bagus kepada hubungan pemilik dengan kucing mereka. Ini kerana keinginan mereka dibezakan oleh tindakan walaupun ia dilihat sama. Misalnya, apabila kucing berdengkur, ia bukan sekadar ia gembira dan mahu berehat. Ia berkemungkinan membawa maksud lain seperti mahukan perhatian atau merasakan ia tidak sihat.

RUJUKAN:

Criddle, C. (2020). MeowTalk: Alexa developer’s app to translate cat’s miaow. BBC News.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.