Semenjak dua menjak ini, dunia media sosial agak trending dengan satu fenomena baru yang bersifat paranormal, walaubagaimanapun, fenomena ini datang nun jauh dari Asia Barat, yang bersumberkan dari kisah-kisah mitos dan cerita rakyat yang popular di kalangan kaum Yahudi, iaitu sebuah kepercayaan tentang semangat atau roh yang bergentayangan. Tetapi apabila kisah sebegini sampai ke tangan golongan selebriti, influencer dan terserap ke dalam budaya pop, ia tiba-tiba muncul dalam bentuk sebuah kotak misteri.

Kotak misteri yang didakwa sebagai berhantu ini adalah objek pertama yang muncul semasa fenomena budaya pop lelongan di eBay pada tahun 2003, dan ia dilelong oleh Kevin Mannis, seorang penulis profesional dan artis rakaman dari Pasific Northwest. Dalam keterangan di eBay nya, Mannis mendakwa telah memperolehi kotak itu (yang dipercayai sebagai kabinet wain) pada satu majlis jualan lelong hartanah 2001.

Dari situlah beliau bermua dan nekad meneruskan agendanya untuk menggarap satu kisah pengalaman paranormal yang seram, namun mengilhamkan pembikinan beberapa filem seram dan seolah-olah apa yang dia akan lakukan nanti hanyalah untuk meraih publisiti. Penulis tak mahu menghukum sesiapa, penulis mahu serahkan justifikasi terhadap perkara ini kepada kebijaksanaan para pembaca sekalian.

Latar belakang sejarah kisah itu terlalu panjang untuk skop artikel ini, jadi penulis akan terangkan secara ringkas. Kevin Mannis mendakwa telah membeli kotak itu di jualan lelong hartanah dari seorang wanita Yahudi dari Poland yang telah berusia 103 tahun, wanita itu didakwa pernah melalui pengalaman dihantar ke kem konsentrasi N4zi semasa zaman P3rang Dunia Kedua. Di sana, seluruh keluarganya iaitu ibu bapa, adik lelaki, adik perempuan, suami, dua anak lelaki, dan seorang anak perempuan semuanya dibvnuh.

Namun dia berjaya melarikan diri bersama beberapa tahanan lain yang entah siapa-siapa dan entah bagaimana dia tiba-tiba boleh menuju ke Sepanyol, dan di situlah dia memperoleh kabinet wain mini tersebut. Cucu kepada wanita itu menyedari bahawa Mannis telah membeli kotak itu, dan berkaitan dengan sejarah di sebaliknya serta bagaimana ia boleh dikenali sebagai kotak Dybbuk, eh, tapi… sekejap.

Jika seluruh ahli keluarga wanita yang lari dari kem konsentrasi itu telah terbvnuh, dari mana pula tiba-tiba seorang cucunya boleh muncul? Mungkin dia menikah sekali lagi atau cucunya itu adalah cucu angkat, penulis pun tak tahu.

Batu granit dengan ukiran “Shalom”

Tapi kita berbalik dulu kepada kronologi ceritanya. ‘Cucu’ wanita itu juga menyatakan dia dan adik-beradiknya sering diperingatkan agar “jangan sesekali membuka kotak itu.”  Namun, seperti kelaziman sebuah kisah seram mat saleh yang klise, semakin dilarang, semakin gatal tangan. Akhirnya Mannis tetap bertindak membuka Kotak Dybbuk sebaik sahaja dia pulang ke rumahnya. Di dalam kotak itu dia mendapati terdapat beberapa item:

  • Dua keping duit syiling Amerika Syarikat dari tahun 1928 dan 1925.
  • Seikat tocang kecil rambut warna per4ng
  • Seikat tocang rambut yang kecil warna hitam / coklat
  • Figura batu granit diukir dengan perkataan berbahasa Ibrani yang berbunyi “Shalom
  • Satu kelopak bunga ros yang telah kering
  • Satu gelas kecil emas berkaki
  • Pemegang lilin berwarna hitam yang sangat pelik dengan kaki berbentuk sotong.

Mannis tak perlu mengambil masa yang lama pun untuk menggarap jalan penceritaan yang seram ala filem Hollywood tetapi dalam bentuk yang tampak lebih nyata termasuklah kejadian penampakan atau halusinasi, jatuh sakit, dan kadang kala menyebabkan strok. Macam-macam lagi lah, kalau nak tahu maklumat penuh mengenai peristiwa tersebut, korang boleh lawati laman web berdasarkan sumber rujukan di akhir artikel ini.

Jadi, apa bendanya pula makhluk Dybbuk ini? Hasil penelitian dan bacaan dari arkib perpustakaan maya Yahudi menemukan cerita-cerita rakyat kaum Yahudi dan beberapa kepercayaan popular yang mendakwa terdapat roh jahat yang menduduki tubuh manusia yang hidup, berdamping teguh dengan rohnya, menyebabkan gangguan mental, roh berbicara melalui mulut mangsa, dan mewakili personaliti yang terbahagi dua lagi asing yang dipanggil Dybbuk.

Ia merupakan istilah yang tidak pernah ditemui dalam mana-mana sastera Talmud atau Kabbalah, di mana fenomena ini sering dianggap sebagai ‘roh jahat’. Menurut Ensiklopedia Yahudi tahun 1966: “dalam cerita rakyat Kabbalistik, roh seorang pendosa yang telah meninggal dunia, berpindah ke dalam tubuh orang yang hidup”.

Hasil carian melalui pelbagai sumber dan media mendedahkan satu karya pementasan klasik yang digarap oleh S. Ansky bertajuk Dybbuk, ia ditulis antara tahun 1913 dan 1916 dan membuat debut pementasannya pada tahun 1920. Pementasan ini kemudian diadaptasi dalam bentuk filem pada tahun 1937. Pada waktu ini, idea untuk memerangkap dan mengurung roh jahat ini di dalam sebuah kotak tidak pernah dibicarakan dalam sastera asli, atau mungkin tidak pernah difikirkan langsung.

Iklan filem The Dybbuk tahun 1937, diarahkan oleh Michał Waszyński.

Perkataan dybbuk berasal dari kata kerja bahasa Ibrani yang bermaksud ‘berpaut’, jadi, seseorang yang telah meninggal dunia dan rohnya menjadi Dybbuk, secara khususnya adalah roh yang akan berpaut dengan teguh terhadap orang lain. Tidak ada mana-mana ruang di dalam kesusasteraan Yahudi mahupun cerita rakyat bahawa ada menyebut tentang Dybbuk yang dikurung di dalam kotak atau apa saja objek lain yang tidak bernyawa.

Carian penulis sendiri juga tidak menemui sebarang fakta asli mengenai cerita roh-roh yang pernah terperangkap dalam kotak, sehinggalah penulis akhirnya menemui artikel tentang Mannis dan lelongan di eBay tahun 2003. Kotak yang dilelong di eBay itu dimenangi oleh pelajar dari Missouri yang bernama Iosit Nietzke yang menggunakan nama pengguna Spasmolytic pada harga $ 140.

Selepas mendakwa bahawa kotak itu telah mengakibatkan segala jenis perkara yang dahsyat berlaku ke atas dirinya, Niezke menyenaraikan semula kotak itu untuk lelongan di eBay setelah lapan bulan kemudian. Pembida yang menang selepas itu adalah Jason Haxton, pengarah di Museum of Osteopathic Medicine di A.T. Still University di Missouri dengan nama pengguna AgeTron.

Dalam satu wawancara bersama Haxton pada tahun 2012, beliau mendedahkan bahawa dia mendapat tahu mengenai kotak itu melalui salah seorang pelajarnya yang juga merupakan rakan sebilik Iosif Nietzke. Haxton akhirnya membeli kotak Dybbuk dan menulis sebuah buku yang memperincikan semua pengalaman seakan-akan berada di dalam filem seram Hollywood yang didakwa telah berlaku kepada dirinya, mata mengalami pendarahan, tercekik air, lebam dan kegatalan di seluruh badan, dan sebagainya.

Akhirnya, seluruh kronologi ini menjadi inspirasi terhadap dunia Hollywood dan menjadi sumber ilham dalam penerbitan filem The Possession yang dihasilkan oleh Sam Raimi. Difahamkan bahawa, pada tahun 2016, Haxton telah menyumbangkan kotak itu kepada Zak Bagans, selebriti TV rancangan pengembaraan berhantu. Kotak Dybbuk kemudian dipamerkan di muzium berhantu miliknya. Garam ditabur mengelilingi kotak itu yang diletakkan di sebalik bekas yang terlindung.

Nasib tidak menyebelahi Mannis walaupun dia merupakan orang yang pertama menulis tentang Kotak Dybbuk, tetapi lelongannya di eBay tidak pernah mencapai tahap tular yang diharapkan oleh mana-mana penjual. Sebaliknya, Haxton menerbitkan sebuah buku pada tahun 2011 yang berjudul The Dibbuk Box, yang meraih capaian yang jauh lebih luas dan telah memantapkan lagi kedudukan objek ‘berhantu’ tersebut dalam dunia paranormal.

Buku ini merangkumi bab-bab yang menjelaskan turutan kejadian itu mengikut gaya yang sesuai diterima pembaca dengan memasukkan elemen paranormal secara fanatik, kemudian diakhiri dengan mendedahkan siri penipuan berkaitan mitos ini.

Haxton tidak pernah menetapkan pendiriannya terhadap kesahihan cerita Dybukk atau meletakkan keputusan mutlak untuk mempengaruhi pembaca bukunya. Dia hanya menerapkan kaedah penerimaan secara terbuka dengan membiarkan kebijaksanaan para pembacanya sendiri yang akan memutuskan samada Kotak Dybukk itu benar-benar berhantu ataupun satu pembohongan.

Namun, Jason Haxton akhirnya beregu bersama Mannis apabila mereka yang bersusah payah mencipta trending kota berhantu itu tidak mendapat sebarang hasil mahupun kredit penghargaan secara bersama dari penerbitan filem The Possession.

Sebaliknya, segala royalti dan kredit diberikan kepada seorang pengarang hiburan bebas, Leslie Gornstein yang menulis kisah tersebut dalam satu artikel pendek untuk Los Angeles Times pada tahun 2004. Haxton dan Mannis bersama-sama menuntut penerbitan filem tersebut untuk merundingkan suatu hasil yang mungkin tidaklah sebanyak yang mereka harapkan, tetapi lebih baik daripada tiada langsung.

Dybbuk atau “tempat berpaut”

Beberapa tahun kemudian pada tahun 2007, Mannis berjaya menghasilkan dua siri filem pendek, berjudul The Miracle dan The Pretty Pitchy Pine Tree. Dikatakan filemnya ini agak bagus, tetapi tak adalah sampai tahap blockbuster di Hollywood. Manakala Haxton masih terus bekerja di muzium, dan buku penulisannya masih laris.

Apa Itu Kotak Dybukk?

Kotak Dybbuk mewakili kepercayaan paranormal, kem4tian dan kedua-duanya cuba menonjolkan dunia ghaib dan mistik yang tidak dapat dijelaskan. Ideanya adalah: kotak-kotak ini mewakili roh yang terperangkap di antara keberadaan kita dan apa yang ada selepas kem4tian.

Ianya lebih kepada roh yang tidak suci atau “sesat”. Fenomena ini mencetuskan satu bentuk pemikiran yang sangat tidak selesa dan serius, mereka percaya yang roh boleh ditangkap dan dikurung.

Sejarah, publisiti dan penggunaan kotak ini berkisar dari kepercayaan alam ghaib hingga ke budaya esoterik. Melihat ritual pembacaan daun terup dan daya tarikan untuk penggunaan peribadi, menjadikan kotak Dybbuk dianggap sebagai alat yang kuat dan memanfaatkan tenaga yang sangat “gelap”.

Atas sebab inilah beberapa pengamal ramalan (baca terup) akan menggunakan kotak Dybbuk semasa memenuhi bacaan kad. Terdapat perdebatan mengenai apakah jenis kaedah ini memberikan hasil yang tepat kerana terdapat persepsi negatif bahawa bacaan ramalan boleh menipu.

Setakat ini, beberapa pemilik kotak Dybbuk yang mengamalkan ritual selalu digambarkan sebagai “hitam”.  Mereka merasakan bahawa memiliki kotak Dybbuk bukanlah sesuatu yang terlalu negatif bagi pemiliknya dan bahkan ia benar-benar mampu memberi kelebihan kuasa dan mempertingkatkan tahap kemampuan mereka.

Memandangkan kebanyakan kotak Dybbuk melibatkan orang yang sudah meninggal dunia, kemungkinan memberi manfaat ini, tidak kira dari apakah hasil akhirnya adalah positif atau negatif, godaan bagi individu untuk memasukkannya ke dalam amalan mereka biasanya merupakan titik awal untuk memperoleh sebuah kotak.

Keyakinan bahawa roh manusia yang telah meninggal dunia (hantu) bukan sekadar dapat dihubungi, bahkan benar-benar boleh dikawal sebagai ‘khadam’ adalah tradisi kuno yang berasal dari ribuan tahun yang lalu dan dipraktikkan oleh banyak budaya dan agama..

Dengan itu, sebahagian besar pengumpul Dybbuk melihat kotak tersebut sebagai bawaan negatif semulajadi. Kerana Kotak Dybbuk bukan dicipta untuk menyimpan roh positif. Lazimnya, Kotak Dybukk dicipta kerana rasa takut akan ancaman roh yang telah m4ti yang kononnya pernah menimbulkan benc4na buruk hingga terus menghantui pemilik asalnya.

Beberapa individu mendakwa bahawa penglibatan dalam ilmu hitam dan ritual tertentu akan melepaskan unsur negatif ke dalam hidup mereka, unsur negatif itu hanya dapat dibendung dengan membuat dan menggunakan Kotak Dybbuk.

Inilah sebabnya mengapa tidak ada standard sebenar dalam mencipta sebuah kotak atau menentukan apa yang ditempatkan di dalamnya, bertentangan dengan pemahaman yang ditonjolkan melalui filem. Tak kisahlah samada pereka kotak itu beranggapan bahawa tenaga negatif adalah roh si m4ti atau iblis atau gabungan keduanya di atas kepercayaan bahawa mendiang  itu adalah seorang pendosa yang jahat dalam kehidupan sebelumnya dan kejahatan ini terbawa-bawa ke alam kem4tian, tujuan utamanya adalah pencegahan.

Pandangan hadapan kotak asli dan replika yang terbuka. Boleh pula buka macam tu?

Ini adalah punca kepada sebab mengapa beberapa barang-barang diletakkan di dalam Kotak Dybukk, ia mungkin mempunyai makna untuk situasi tertentu yang berhubung kait dengan pemilik asal. Objek tertentu mungkin telah digunakan dalam hubungan awal atau objek akan menjadi manifestasi nyata dari roh si m4ti. Dengan mengurung sekali barang-barang ini di dalam kotak, mereka percaya bahawa tenaga (hantu / roh) juga akan dikurung oleh proksi.

Ini bukan konsep atau tradisi kepercayaan yang baru pada zaman ini, semasa zaman Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam di Semenanjung Arab, mereka sudah mempunyai tradisi ini yang kemudiannya terselaras seiring dengan kebangkitan Islam iaitu kepercayaan kepada alam Jin. Dalam Islam, Jin adalah makhluk yang boleh memiliki samada konotasi positif mahupun negatif yang melekat padanya, biasanya istilah Jin sering digambarkan sebagai negatif.

Apa yang menarik adalah pandangan klasik kita tentang Jin semenjak dahulu lagi sering secara sinonim melibatkan lampu pelita macam hikayat Aladdin atau botol sebagai ‘kapal’ untuk mengurungnya dan sering diromantiskan dengan kepercayaan bahawa pemilik ‘kapal’ ini akan mendapat kekuatan.

Inilah sebabnya mengapa konsep Kotak Dybbuk tidak pernah dimiliki atau berasal dari satu agama secara eksklusif seperti Yahudi, walau apa jua versi yang tersebar. Terdapat banyak lagi agama lain yang mempunyai tradisi budaya yang meniru konsep kotak Dybbuk. Oleh itu, ini menjelaskan mengapa ramai orang lebih cenderung melihat potensi sendiri samada baik atau buruk, dalam membuat dan memiliki Kotak Dybbuk untuk diri mereka sendiri.

Baiklah, itu lah sedikit sebanyak konsep dan sejarah Dybukk dan Kotak Dybukk, bagaimana dengan Kevin Mannis?

Sekurang-kurangnya Kevin Mannis mengaku mereka-reka keseluruhan cerita dan mengambil alih hak milik cerita. Kisah yang rumit ini telah mencetuskan kisah keseluruhan secara legenda mitologi dan bukanlah berdasarkan peristiwa supranatural yang sebenarnya, melainkan hanya sekadar garapan kisah fiksyen yang dia reka hanya kerana semata-mata untuk mempromosikan lelongan sebuah bar mini biasa dan tidak sempurna.

Pendedahan sebenar dari Kevin Mannis

Kotak itu bukan kabinet wain Yahudi. Jika melihat rupanya yang sebenar, ia sangatlah kecil dengan ukuran lebih kurang 14 ¼ x 12 ½ x 6 ¼ (inci). Ternyata kotak itu adalah bar mini dari tahun 1950-an dan 1960-an. Ia turut merangkumi empat gelas liquor, empat gelas highball, dan empat botol minuman keras, semuanya dibuat oleh Robert B. Karoff dari New York.

Karoff memiliki sebuah syarikat bernama Karoff Originals, yang terkenal dengan pelbagai hadiah kunjungan, barang dapur, dan barangan unik yang lain. Reka bentuk asli untuk “Liquor Bar Cabinet Structure” miliknya telah didokumentasikan secara meluas dalam Paten # 2836477, difailkan pada 18 September 1957.

Oleh itu, walau apa jua yang anda fikirkan mengenai bekas pemilik-pemiliknya, Kotak Dybbuk yang terkenal itu bukanlah kabinet wain Yahudi dari Sepanyol melainkan sebuah bar mini dari New York. Jadi, adakah benar bahawa Kotak Dybbuk dihantui atau dihuni oleh roh jahat?

Struktur rekabentuk kabinet wain mink

Jawapannya adalah sama sekali tidak benar. Bukti yang ada langsung tidak membawa kepada kesimpulan bahawa Kotak Dybbuk tidak lebih dari sebuah bar mini vintaj yang memulakan perjalanannya memasuki dunia paranormal gara-gara sebuah kisah yang dicipta pada tahun 2003 oleh seorang penulis profesional untuk meningkatkan harga lelongannya di eBay.

Selfie dengan kotak Yahudi sikit!

Reputasi kotak itu diangkat menjadi sebahagian daripada budaya pop paranormal oleh pemilik seterusnya melalui buku yang diterbitkan dan kemudian diadaptasi ke dalam sebuah filem. Hari ini, ia berada di sebuah muzium.

Maka, dengan ini jelaslah sudah, selebriti-selebriti paranormal yang gigih lagi yakin membuat klaim tentang segala jenis aktiviti paranormal pseudosains yang berkaitan dengannya, telah mengabaikan fakta bahawa mereka telah ditipu oleh sifat fanatik mereka sendiri.

RUJUKAN:

Biddle, Kenny. (2019). A Closer Look: The Dibbuk Box. Skeptical Inquirer.

Mannis, Kevin. 2009. The Dibbuk Box; A.K.A. The Haunted Jewish Wine Cabinet.

—-

Kalau anda berminat dengan perkara-perkara mistik seperti ini, kami nak cadangkan buku terbaru kami, MISTIK ALAM MELAYU untuk para pembeli diluar sana. Beli sekali dengan GENESIS tulisan best-seller author kami, Zamir Mohyedin.

Kombo: bit.ly/kombosihirsain
Mantera:
bit.ly/manteranaim1
Gensiss:
bit.ly/genesiszamir1


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.