Menyelami Watak Bane Dari Sudut Sains

0
2287
views

Sebelum kita teruskan dengan artikel kedua Arkham’s Project ini, saya ingin tekankan disini bahawa bahawa UBAT, jika digunakan secara berlebihan atau secara melulu tanpa sebarang preskripsi doktor dikira sebagai DADAH.

Sebarang ubat yang digunakan sehingga menjadi suatu ketagih adalah jatuh dalam kategori DADAH. Penggunaan ubat yang telah dipreskripsikan tetapi digunakan untuk perkara / penyakit lain tanpa nasihat pakar juga adalah DADAH. UBAT itu adalah DADAH jika disalahguna dalam segala bentuk. Jadi, dalam artikel ini, sebarang perkataan UBAT dan DADAH haruslah dibezakan terlebih dahulu.

Dan saya menyeru anda semua supaya jauhi dadah dan segala perkara yang menyebabkan ketagihan.

Pengenalan Bane

Dalam siri komik dan filem Batman / The Dark Knight, Bane merupakan seorang watak antagonis yang dilahirkan di suatu kawasan tahanan fiksyen di Caribbean Republic of Santa Prisca, sebuah penjara yang dikenali sebagai Peña Duro. Kisah Bane bermula apabila ayahnya, King Snake berjaya melarikan diri daripada penjara tersebut. Akibat dari ketidakadilan sistem perundangan disana, Bane yang merupakan anak kepada King Snake dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup untuk menggantikan kesalahan bapanya.

Oleh sebab itu, Bane terpaksa membesar dengan persekitaran penjara yang terlalu ekstrim dan tidak bermoral. Dari penjara inilah, sifat semulajadinya kian terbentuk. Bane dicirikan sebagai watak antagonis bersusuk badan yang besar dan sasa, mempunyai kekuatan fizikal dan daya ketahanan fizikal yang tinggi dan merupakan seorang genius. Salah satu ciri genius yang dimiliki oleh Bane adalah ‘eidetic memorization’ dimana beliau mempunyai daya memori yang mampu mengingati segalanya secara visual.

Segala kebolehannya ini kemudiannya dipertingkatkan lagi dengan penggunaan sejenis dadah yang dinamakan sebagai Dadah Venom. Venom adalah suatu dadah ‘performance-enhancement’ berasaskan ‘super-steroid’, yang mana meningkatkan tahap kekuatan fizikal, kepantasan pergerakan dan ketahanan tubuh badan penagih. Selain itu, ia juga meningkatkan tahap intelek Bane ketahap genius.

Namun begitu, penggunaan dadah ini menyebabkan Bane merasa ketagih, dan akan meningkatkan tahap ‘dependency’ (tahap kebergantungan pada penggunaan dadah) ini sepanjang hayat. Antara kelemahan nyata bagi Bane dalam siri Batman adalah kehilangan sumber dadah Venom, dimana akan menyebabkan ‘withdrawal’ yang teruk, iaitu kesakitan melampau dan kematian. Oleh kerana itu Bane perlu mengepam sebilangan dos dadah ini terus ke salur darah otaknya melalui topeng beliau setiap 12 jam.

Pengenalan Substance Abuse

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), substance abuse adalah satu keadaan atau kes dimana seseorang individu menyalahgunakan ubatan atau racun tanpa sebarang sebab perubatan dalam dos berlebihan sehingga ketahap ketagihan yang melampau, dan tidak mampu lagi untuk berhenti dan mengalami masalah withdrawal dan dependency.

Ini merupakan antara ciri-ciri yang dimiliki oleh pesakit mental yang bergantung pada penggunaan dadah psikoaktif (atau arak, rokok, tembakau, dll) dalam kes substance abuse.

Bagi penagih atau pengguna kes substance abuse, mereka akan mengalami sindrom dependence, gangguan kognitif (pemikiran), peningkatan keinginan untuk mengambil semula dadah berkaitan (addiction), hilang kawalan dalam penggunaan dadah dan kerap mengambil dadah tersebut walaupun telah mengalami kesan sampingan yang teruk.

Seandainya pengambilan dadah ini dihentikan, pesakit akan mengalami kesan ‘withdrawal’ yang teruk, namun mampu dipulihkan dengan rawatan.

Untuk memahami perkaitan antara Bane dan kes substance abuse, mula-mula sekali kita kena lihat pada penggunaan ubatan / dadah yang diambil oleh Bane. Menurut kisah Bane, dadah Venom ini merupakan campuran dadah-dadah yang telah diubahsuai dengan tahap dos yang ditingkatkan. Dadah Venom akan mengakibatkan 3 perkara secara umumnya iaitu :

1) Peningkatan kemampuan fizikal

Dalam soal ini, Bane telah memperolehi kemampuan dan ketahanan fizikal pada tahap ‘superhuman’ sehinggakan, menurut siri kartun, Bane mampu melontarkan kereta ke merata tempat dan menyentap pintu bilik kebal sebuah bank dengan mudah. Walaupun ada beberapa siri komik yang menunjukkan Bane sekadar mempunyai kekuatan tertinggi seorang manusia normal (peak human strength) dan bukan superhuman, beliau masih mampu mengangkat sebuah peti ais dengan mudah.

Dalam bidang farmakologi, terdapat sekumpulan ubatan yang digelar Myostatin Inhibitors yang mana menyekat fungsi myostatin dalam otot. Apa itu myostatin? Myostatin adalah sejenis protein yang dihasilkan oleh otot untuk menghalang sel-sel otot daripada menjadi myogenesis (atau dalam kata mudah, menjadi terlalu besar).

Pendek kata, ia mengawal tumbesaran sel otot. Tugas ubatan Myostatin Inhibitors adalah untuk menghalang penghasilan protein myostatin tersebut, dan dapat menggalakkan pertumbuhan otot. Myostatin Inhibitors selalunya digunakan untuk pesakit yang mempunyai masalah kelemahan otot atau otot tidak berkembang dengan baik (muscle dysatrophy). Terdapat beberapa ubatan Myostatin Inhibitors yang kini telah berada didalam pasaran dan dalam kajian seperti PF-06252616 dan Stamulumab yang mana boleh dikaitkan dengan penghasilan dadah Venom.

Terdapat juga satu ubatan yang dikenali sebagai SR9009. Menurut Dr. Thomas Burris dari Institut Kajian Scripps (TSRI), dadah SR9009 ini akan menghantar signal kepada otot tulang untuk meningkatkan tahap metabolisma otot dan meningkatkan ketahanan otot seolah-olah ia berada dalam ‘keadaan’ ketika sedang bersenam. Jika kesemua ubatan ini dihasilkan dalam dosage yang banyak dan berlebihan, tak mustahil ia dapat memberi kesan yang sama dengan dadah Venom.

2) Peningkatan tahap intelek

Dan sepertimana Bane yang memperolehi tahap intelek yang genius dan eidetic memory, terdapat sejenis dadah yang mampu meningkatkan tahap kognitif dan kreativiti seseorang, iaitu dadah Adderall, dadah yang berasaskan amphetamine.

Dadah ini diklasifikasikan sebagai ubatan nootropics yang mana dicipta untuk meningkatkan tahap memori dan daya fokus seseorang, dan menggalakkan fungsi kognitif otak. Ubatan nootropics ini juga dikenali sebagai smart drugs, memory enhancers, neuro enhancers, cognitive enhancers, dan intelligence enhancers.

Ubatan nootropics selalunya digunakan untuk kes-kes Alzheimer’s disease, Parkinson’s disease, Huntington’s disease dan ADHD. Namun begitu, penggunaan ubatan nootropics ini secara meluas tanpa preskripsi kian menjadi-jadi walaupun kesan ubatnya masih lagi samar-samar. Jadi, katakanlah dadah Venom ini sebenarnya adalah campuran ubatan Adderall dan nootropics yang telah diubahsuai, maka logiklah jika kita letakkan Bane sebagai pesakit mental substance abuser.

3) Ketagihan, withdrawal dan dependency.

Seperti mana-mana dadah yang lain, ketagihan itu akan ada. Seorang individu yang mengalami masalah ketagihan akan mula mengalami masalah pemikiran kognitif, gaya tubuh dan perilaku. Sebagai contoh mudah, individu yang merokok akan mula mengalami ketagihan yang akhirnya akan mengganggu prestasi kerja, pemikiran dan logik, tindakan yang agresif dan withdrawal yang teruk seperti terketar, berpeluh-peluh, tutur kata tidak menentu.

Hanya dengan pengambilan semula dadah tersebut akan mengembalikan keadaan ‘stabil’ kepada si pengguna. Ketidakbolehan untuk meninggalkan dadah ini yang kita panggil sebagai dependency. Sebagai contoh mudah dependency, seorang individu yang terlalu kerap mengambil ubatan paracetamol (atau Panadol) untuk melegakan kesakitan yang dialami walaupun sekadar sakit-sakit kecil sahaja. Lama-kelamaan dia akan mula terbiasa untuk mengambil ubatan paracetamol ini walaupun sekadar mengalami sakit yang sedikit dan tak mampu menahan diri dari ubatan ini.

Bayangkan dadah Venom yang diambil oleh Bane ini merupakan suatu campuran dadah daripada kumpulan nootropics dan myostatin inhibitors, tak mustahil dadah Venom dapat dihasilkan. Dan sebagai seorang pengguna dadah seperti ini, Bane akhirnya akan terperangkap dalam ketagihan, withdrawal dan dependency yang teruk.

Dadah Venom ini sudah tentu dapat membantu Bane dalam usaha menghapuskan Batman sehinggakan beliau digelar sebagai ‘the person who broke the Bat’, tetapi dalam diam ia juga telah menghapuskan diri Bane itu sendiri dari dalam. Sepertimana yang telah kita bincangkan, melalui point-point yang dikemukakan diatas, ternyata Bane merupakan seorang pesakit yang mempunyai masalah mental dan perilaku iaitu Substance Abuse.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.