Menjual Sarawak Kepada Raja Belgium

0
998
views

NEGARA Belgium merupakan satu negara yang terletak nun di Eropah Barat dan terkenal dengan keindahan bangunan-bangunan yang berlatarbelakangkan senibina renaissance yang terus dipulihara sehinggi kini.  Dek kerana keindahan kota-kota di Belgium itu menyebabkan ia menjadi antara tempat tumpuan pelancong di seluruh dunia. Ibukota Belgium iaitu Brussel turut memainkan peranan yang penting kerana disinilah terletaknya ibupejabat bagi Kesatuan Eropah dan NATO.

Menyusuri sejarah sistem raja bermonarki di Belgium pernah ada seorang raja mereka yang cukup terkenal dengan jolokan “Raja Pembina” Belgium iaitu Raja Leopold II.  Naik takhta pada tahun 1865 sehingga 1909, Raja Leopold II merupakan raja yang paling lama memerintah Belgium iaitu selama lebih kurang 44 tahun.  Beliau digelar sebagai “Raja Pembina” Belgium kerana sewaktu era pemerintahan beliau telah dibina dengan begitu banyak sekali bangunan dan infrastruktur awam untuk kegunaan kerajaan dan rakyat.

Jetpack Langkawi

Itu ceritanya Raja Leopold II sewaktu sudah menaiki takhta Belgium dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sewaktu Leopold II menjadi putera mahkota Belgium yang digelar Duke of Brabant, beliau pernah “jatuh hati” kepada Sarawak yang terletak nun di pulau ketiga terbesar di dunia.  Sekitar tahun 1861 yang mana pada ketika itu tersebar luas berita di seluruh dunia mengenai Sarawak dibawah pemerintahan seorang rajah berbangsa Inggeris bernama James Brooke.  Antara yang menjadi dambaan beliau pada masa itu adalah mengenai keindahan serta hasil maksum Sarawak seperti emas dan hasil hutan yang bila-bila masa sahaja boleh dieksploitasi untuk menambahkan kekayaan beliau.

Teruja dengan keuntungan yang berlipatkali ganda sekiranya Sarawak menjadi miliknya maka telah dihantar satu rombongan perutusan Belgium untuk menemui kepada James Brooke. Dengan kempen-kempen memerangi lanun serta wilayah Sarawak yang semakin membesar telah menyebabkan kos untuk mentadbir Sarawak pada waktu itu memaksa Brooke untuk mencari pelabur-pelabur besar bangsa Eropah yang berminat melabur di Sarawak.

Hendak dijadikan cerita setelah beberapa siri mesyuarat antara kedua belah pihak akhirnya tawaran dari Leopold II untuk Brooke “menjual” Sarawak kepadanya adalah dengan sebanyak £130,000 iaitu kira-kira £11 juta (nilai sekarang).  Walaupun sedemikian antara syarat terakhir untuk menyelesaikan proses jualan ini, Brooke harus memuktamarkannya di kota Brussel namun sayangnya biarpun sudah disediakan segalanya akhirnya Brooke tidak pernah muncul untuk berjumpa sendiri dengan beliau sehingga menyebabkan penjanjian tersebut dibatalkan.

Sebenarnya ada sebab mengapa Brooke dengan sengaja tidak mahu menghadiri mesyuarat terakhir penjualan Sarawak di kota Brussel pada waktu itu.  Menurut sebuah buku yang dikarang oleh Stephen Press bertajuk Rogue Empires: Contracts and Conmen in Europe’s Scramble for Africa menyatakan secara mengkhusus antara sebab Brooke tidak mahu Leopold II membeli Sarawak kerana raja Belgium ini beranggapan bahawa rakyat Sarawak boleh dijadikan buruh paksa dan senang untuk dieksploitasi untuk kepentingan beliau.  Selain itu permintaan untuk beliau menghormati adat dan budaya rakyat Sarawak juga tidak diendahkan malah pembangunan untuk Sarawak turut bukan agenda utamanya selain hanya untuk kekayaan diri semata-mata.

Walaupun impian memiliki Sarawak telah terkubur namun Leopold II masih lagi meneruskan perancangannya kerana selepas itu dikatakan ada usahanya untuk memiliki Kalimantan dibawah Belanda dan Filipina yang dibawah pengaruh Sepanyol.  Walaupun sejumlah besar wang ditawarkan bagi beliau memiliki Kalimantan dan Filipina namun cita-cita beliau tidak juga kesampaian kerana kesemuanya ditolak oleh Belanda dan Sepanyol.  Ada khabar angin mengatakan bahawa Brooke dengan hubungan dua halanya yang baik telah mempengaruhi Belanda dan Sepanyol untuk tidak bersekongkol dengan Leopold II bagi menjadi si penguasa Borneo dan kawasan sekitarnya.

Akhirnya Leopold II beralih arah yang mana seterusnya beliau mampu jua meluaskan kuasanya di luar Belgium dengan memiliki sejumlah besar kawasan di Afrika Tengah yang kita kenali dengan nama Congo Free State. Dimiliki oleh beliau pada tahun 1885 dan diperintah secara berasingan dari sistem monarki beraja negara Belgium menyebabkan beliau boleh melakukan eksploitasi secara bebas ke atas wilayah tersebut.

Di dalam sejarah hitam berdirinya Republik Congo itu sendiri ada terselit tragedi hitam yang dikenali sebagai “Congo Horrors”.  Sejarah hitam ini berlaku yakni di ketika Congo berajakan Raja Leopold II yang menyaksikan 50% daripada pribumi Congo terkorban akibat tidak tertahan dengan  sebagai buruh paksa. Yang sakit-sakit tidak langsung dirawati malah terus dituntut untuk bekerja dan mana-mana yang ingkar akan perintah raja maka akan diseksa sehingga ada sesetengah perkampungan pribumi Congo sengaja dibakar bagi melemahkan semangat mereka.  Ini menyebabkan ramai pribumi Congo tidak kira kecil atau besar, lelaki atau wanita, muda atau orang tua menderita akibat kelaparan dan sakit sehingga membawa maut dengan jumlah berskala besar.

Sejarah “Congo Horrors” akan terus kekal sebagai mimpi ngeri rakyat Congo sehingga sekarang.  Bayangkanlah sekiranya Brooke pada masa itu rambang mata dan akhirnya menyetujui penjualan Sarawak kepada Raja Leopold II, mungkin rakyat Sarawak termasuklah penulis artikel ini tidak akan pernah wujud di dunia ini kerana nenek moyang kita sudah awal-awal binasa dek kerana majoriti bangsa Eropah dahulukala lebih-lebih lagi yang berharta dan mempunyai kedudukan terlalu skeptikal dan memandang rendah akan kita semua yang dikatakan tidak bertamadun, bodoh dan pemalas.

Sejarah itu tidak pernah berbohong. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Book: Rogue Empires – Contracts and Conmen In Europe’s Scramble for Africa, Author: Steven Press
  2. Leopold II, King Of Belgium https://www.britannica.com/biography/Leopold-II-king-of-Belgium
  1. That One Time King Leopold II of Belgium Wanted To Buy Sarawak http://kajomag.com/that-one-time-king-leopold-ii-of-belgium-wanted-to-buy-sarawak/
  1. The Congo Free State is established by King Leopold of Belgium http://www.sahistory.org.za/dated-event/congo-free-state-established-king-leopold-belgium
  1. Belgium’s Heart of Darkness https://www.historytoday.com/tim-stanley/belgiums-heart-darkness