Benarkah Melayu bangsa Pemalas? Persoalan ini yang acapkali didendangkan kepada bangsa Melayu, khususnya pihak-pihak tertentu termasuklah mereka yang memegang autoriti di negara ini. Benarkah Melayu ini pemalas?

Naratif-naratif seperti Melayu pemalas, tidak produktif, asyik melepak sahaja dan sebagainya adalah perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh orientalis kepada bangsa Melayu dalam usaha merendahkan jati diri orang Melayu, seterusnya tidak mahu bangkit menentang penjajahan Barat ke atas tanah air mereka.

Pendekatan ini juga sebagai suatu cara penjajah khususnya British mengadakan dasar pecah dan perintah, sekaligus menukarkan lanskap demografi di Malaysia dengan membawa buruh-buruh asing dari Cina dan India ke Tanah Melayu.

Sayugia diingatkan, konotasi negatif seperti Melayu bangsa pemalas adalah permainan orientalis barat ke atas bangsa Melayu. Oleh itu, sesiapa yang mendendangkan bahawa Melayu adalah bangsa pemalas, sesungguhnya dia sebenarnya terjerat dalam perangkap penjajah dan tidak mengemaskini pengetahuannya kerana pelbagai kajian dan pemerhatian yang boleh dilakukan terhadap bangsa Melayu kini yang sememangnya suatu bangsa yang rajin, bijaksana dan berdaya saing.

Pernyataan salah ini harus dikikis dari terus-menerus dimomokkan kepada bangsa Melayu kerana ia bisa mengakis jati diri Melayu, seterusnya menyebabkan anak bangsa Melayu malu untuk mengaku Melayu, malu untuk berbudaya Melayu. Natijahnya, di masa akan datang, Bangsa Melayu boleh hilang peradabannya oleh kerana tiada lagi orang yang mahu mengamalkan adat resam dan budaya Melayu yang halus dan indah ini.

Orientalis mengkaji budaya dan adat resam sesuatu kaum di Timur dari aspek positif dan negatif, seterusnya menggunakannya sebagai alat untuk terus-terusan menundukkan sesuatu kaum itu supaya mereka boleh terus menjajah mereka.

Orientalis menggambarkan orang Melayu sebagai bangsa yang malas, keras kepala, suka berfoya-foya, suka berhutang dan sebagainya bagi mewujudkan suatu stigma negatif dalam diri bangsa Melayu, seterusnya menggalakkan Bangsa Melayu menjadikan mereka (British) sebagai penyelamat kepada Bangsa Melayu dengan memperkenalkan pendidikan ala barat yang berkonsepkan sekularisme.

Pendidikan ini hanya diberikan kepada golongan bangsawan dan kerabat diraja sahaja untuk memupuk semangat ketuanan Inggeris ke atas orang Melayu. Rakyat kebanyakan pula sangat menghormati dan mengikuti arahan daripada golongan diraja ini, menjadikan agenda British menjajah Bangsa Melayu menjadi kenyataan.

Penjajah juga memperkenalkan konsep evolusisme, dengan menanamkan pemikiran bahawa Tamadun Barat sangat hebat berbanding tamadun Timur. Mereka mengajarkan kehebatan barat seperti Zaman Renaissance dan keberkesanan sekularisme yang dipupuk oleh barat dalam memajukan sesuatu tamadun, dengan memisahkan agama daripada kehidupan manusia.

Mereka juga menyatakan bahawa Undang-undang Islam adalah statik dan hanya sesuai diterapkan di Timur Tengah sahaja.  Swettenham pula meningkatkan lagi naratif buruk ini dengan menyatakan bahawa sikap negatif bangsa Melayu ini berpunca daripada pegangan teguh mereka terhadap Islam seperti berserah kepada takdir, tidak menghargai masa dan menolak kemodenan. Oleh yang demikian, orientalis memperkenalkan sistem pemikiran Barat, khususnya dalam bidang perundangan yang dilihat lebih relevan dan fleksibel di zaman moden.

Selain itu, orientalis juga menggunakan pendekatan difusisme dengan menafikan kearifan tempatan bangsa Melayu sebagai sebuah tamadun yang hebat, malahan mereka menuduh tamadun Melayu hanya tahu meniru budaya Arab dan India sahaja dalam ketamadunan mereka.

Pendekatan ini sekaligus cuba memadam jati diri bangsa Melayu dengan menyatakan bahawa bangsa Melayu tiada kebijaksanaan tempatan langsung, tidak rajin dan proaktif terhadap kemajuan. Contohnya, Silat dikatakan meniru Silambam, pakaian dikatakan meniru Arab dan sebagainya. Orientalis juga sering memimikkan bahawa anutan Islam dalam kalangan bangsa Melayu tidaklah teguh dan bersulamkan kepercayaan animisme dan terpengaruh dengan kebudayaan Hindu-Buddha.

Benarkah Bangsa Melayu relatifnya primitif dan tidak beradab seperti yang digambarkan oleh Raffles?

Sir Thomas Stamford Raffles menjadi antara pegawai kolonial pertama yang menjalinkan hubungan dengan orang Melayu di Melaka, sekitar Tahun 1810. Raffles sangat tertarik untuk mengkaji berkenaan dengan bangsa Melayu dan menurut Raffles, bangsa Melayu merupakan bangsa yang relatif primitif dan tidak beradab, serta bangsa yang rendah martabatnya berbanding bangsa mereka kerana pengaruh Islam yang sampai kepada Orang Melayu.

Walhal, Raffles mahu merendahkan jati diri bangsa Melayu serta memperkenalkan pendidikan ala barat iaitu berteraskan sekularisme. Tindakan Raffles ini bertujuan untuk terus-terusan menjajah bangsa Melayu.

Naratif penulis barat sebelum Raffles banyak kelainannya. Tome Pires (sekitar 1512 hingga 1515) menulis dengan sederhana berkenaan dengan Bangsa Melayu. Namun, Pires hanya menyatakan bahawa Bangsa Melayu merupakan bangsa yang kuat cemburu kerana tidak mahu mendedahkan isteri mereka di khalayak.

Duarte Barbossa yang datang ke Melaka pada tahun 1518 menyatakan bahawa bangsa Melayu di Melaka adalah orang Islam yang taat, menjalani kehidupan yang menyenangkan dengan rumah yang besar, memiliki kebun buah-buahan, taman dan kolam air. Mereka memiliki banyak pejabat perdagangan di kota dan banyak pelayan. Orang Melayu juga digambarkan sebagai kaum yang halus budi bahasa dan sopan, gemar muzik dan cenderung saling menyayangi.

Pada Tahun 1613, Emanuel Godinho De Eredia, seorang pegawai Portugis yang terkenal serta lahir di Melaka, menyatakan bahawa Orang Melayu di zaman itu kebanyakannya menyenangkan, nakal dan sangat ceroboh. Mereka merupakan bangsa yang cerdas tetapi kurang pelajaran kerana mereka lebih suka bersenang-senang dan mengabaikan pelajaran mereka.

Golongan kebanyakan lebih baik kerana mereka banyak menggunakan waktu terluang dengan keterampilan teknik untuk memperoleh pendapatan. Orang Melayu juga ramai yang mahir dengan ukiran dan juga mahir dalam bidang kimia, mereka pandai mengolah dan memperkeraskan besi dan besi waja dalam membuat senjata.

Di zaman Belanda, John Francis Gamelli menulis berkenaan dengan orang Melayu pada Tahun 1695. Dia mengeluh kerana Kota Melaka merupakan kota yang sangat mahal serta orang Melayu merupakan pencuri yang handal. Orang Melayu digambarkan sebagai binatang liar yang tidak dapat ditundukkan oleh Belanda dengan mudah.

Oleh itu, Belanda hanya dapat menguasai tidak lebih daripada 3 batu sahaja daripada Kota Melaka. Selain itu, Francois Valentyn, menulis berkenaan dengan orang Melayu menyatakan bahawa Bangsa Melayu merupakan bangsa yang lincah, lucu dan mempunyai kesombongan diri yang besar. Mereka adalah bangsa yang paling cerdik, paling berbakat dan paling sopan santun di dunia Timur, namun tidak banyak yang dapat dipercayai.

Namun begitu, orientalis-orientalis di zaman British seperti Swettenham, Hugh Clifford, Isabella Bird dan Emily Innes sangat berbeza dengan pelbagai konotasi negatif seperti Melayu pemalas, gemar bersenang-senang, suka menyabung ayam, bangsa pengotor, sukakan hiburan, suka melawan dan menentang kemodenan. Mengapakah penulisan orientalis British sangat berat sebelah terhadap perilaku orang Melayu, seolah-olah bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat primitif?

Kritikan Terhadap Pandangan Orientalis British

British sememangnya penjajah yang sangat licik. Mereka berjaya menguasai Tanah Melayu melalui tipu muslihat dan ambil kesempatan daripada perselisihan di dalam istana. Namun begitu, untuk terus-terusan menjajah bangsa Melayu, mereka perlu mencipta persepsi buruk kepada bangsa Melayu supaya mereka tidak bangkit menentang penjajahan. British mencipta undang-undang menghadkan potensi orang Melayu.

Semasa peladang British menanam dan menoreh getah, bangsawan Melayu juga ada yang membeli tanah dan membuka ladang getah. Namun begitu, British menggubal Akta Tanah Simpanan Melayu (Malay Reserved Land) dengan menyatakan tanah orang Melayu hanya boleh digunakan untuk menanam padi sahaja.

Teknik ini bagi tujuan memperoleh sumber makanan yang mencukupi bagi kolonial dan buruh asing yang mereka bawa, serta menjalankan kaedah pecah dan perintah di Tanah Melayu. Akhirnya, ekonomi bangsa Melayu merudum berbanding ekonomi Peladang British yang diberi kebenaran mengusahakan tanaman getah. Harga getah ketika itu sangat tinggi dan memberikan pulangan yang sangat lumayan.

Selain itu, British mahu merendahkan martabat orang Melayu dengan memperkenalkan pendidikan sekularisme kepada bangsawan Melayu, tetapi tidak membenarkan Orang Melayu menerima pendidikan tinggi. Cara ini adalah untuk mengekang pemberontakan dalam kalangan bangsa Melayu melalui intelektual dan menggunakan pengaruh golongan bangsawan untuk membantu mereka mengekalkan kuasa di Tanah Melayu.

Persepsi Melayu malas juga didendangkan oleh golongan orientalis kerana keengganan Orang Melayu bekerja dengan kolonial barat. Mereka lebih gemar berkebun sendiri ataupun turun ke laut. Orang Melayu bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga mereka, namun sistem kapitalisme kolonial menyebabkan mereka digelar dengan jolokan pemalas. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak adil.

Orang Melayu juga tidak mewarisi hubungan fungsional dengan penjajah barat seperti kaum lain. Orang Melayu tidak gemar melayani orang barat di gedung perniagaan, rumah istirehat dan hotel mereka. Paling banyak pun orang Melayu bekerja sebagai pemandu dan tukang kebun sahaja. Orang Melayu juga tidak mahu bekerja untuk kolonial dalam pembinaan, pembuatan jalan raya, pengurusan ladang dan sebagainya.

Namun begitu, terdapat juga segelintir orang Melayu yang bekerja dalam sistem kapitalisme kolonial seperti perlombongan timah Bundi di Terengganu. Penulis Inggeris yang mencatatkan pekerjaan tersebut memuji orang Melayu sebagai pekerja yang lebih cekap dalam mengendalikan mesin bor berbanding pekerja Cina. Orang Melayu juga merupakan penyelia yang baik, ahli bomba, juru pam dan juru gerudi yang sangat mahir serta berhati-hati.

Sekitar 15 tahun di Raub, sekitar 5 terowong digali oleh pengendali mesin bor Melayu, namun, tiada langsung kemalangan yang dilaporkan akibat kecuaian. Orang Melayu juga merupakan tukang kayu yang sangat mahir serta kerja-kerja pembukaan kawasan baharu merupakan kebijaksanaan orang Melayu. Orang Melayu digambarkan sebagai seorang yang tidak pernah mengemis, berpakaian kemas, tingkah lakunya memiliki martabat dan sopan santun.

Orang Melayu juga digelar pemalas kerana tidak mahu melakukan kerja-kerja bawahan seperti kerja keras memecahkan batu dengan beliung, pemukul dan bor. Sebenarnya, orang Melayu tidak mahu melakukan kerja-kerja kasar kerana itu adalah pekerjaan imigran asing.

Sikap ini sama seperti orang Malaysia hari ini yang tidak mahu bekerja kasar dan keras di lebuhraya-lebuhraya atau kerja-kerja pembersihan kerana menganggap ia merupakan tugas buruh asing seperti pekerja Bangladesh atau Indonesia.

Orang Melayu sebenarnya menanam getah secara kecil-kecilan dan melombong bijih timah secara sendiri-sendiri. Di Kinta contohnya, terdapat lebih kurang 350 lombong Melayu swasta. Orang Melayu juga merupakan penjebak yang ulung. Mereka berjaya menjerat pelbagai jenis haiwan berbahaya dan berbisa seperti harimau, ular dan buaya.

Semasa dalam proses kemerdekaan dan setelah kemerdekaan, orang Melayu telah terkebelakang berbanding orang asing dan pewaris mereka. UMNO telah menerbitkan buku bertajuk Revolusi Mental dengan 14 penulis.

Tujuan Revolusi Mental adalah untuk merubah cara berfikir, pandangan dan sikap anggota masyarakat bagi menyesuaikan diri dengan kehendak masa untuk mendorong mereka lebih giat lagi untuk merebut kemajuan dalam segala bidang. Walaupun secara umumnya, karya tersebut menekankan perlunya perubahan kepada pemikiran orang Melayu, malangnya citra negatif seperti garapan penjajah tersemat di dalam karya tersebut.

Tuduhan-tuduhan Melayu pemalas dan sebagainya dilihat sebagai satu cara pemerintah ketika itu meloloskan diri daripada kegagalan projek pembangunan ekonomi orang Melayu yang tidak berjaya sehingga Tahun 1969. Seorang Doktor perubatan yang kelak menjadi Perdana Menteri Malaysia mengulang tuduhan penjajah di dalam buku tersebut.

Pertamanya, dia melakarkan kehebatan orang Cina sebagai bangsa yang hebat kerana berhadapan dengan kesukaran kehidupan di negara asal dan demi meneruskan kelangsungan hidup, orang cina berjaya menjadi bangsa yang kuat. Berbanding Bangsa Melayu yang hidup senang-lenang dan tidak mengalami pergolakan politik kerana secara turun-temurun, mereka tidak mengalami kesukaran hidup. Doktor itu menukilkan lagi bahawa orang Melayu terlalu selesa, walaupun dengan ketekunan yang rendah, orang Melayu masih boleh selesa beranak-pinak dan berumah tangga.

Narasi negatif dalam Revolusi Mental ini diteruskan lagi sepanjang pemerintahannya kelak menyebabkan bangsa Melayu semakin hilang jati diri dan pedoman untuk memajukan kembali bangsa mereka. Namun begitu, terdapat juga bangsa Melayu yang dapat keluar daripada kepompong pemikiran negatif dan kembali berdaya saing, terutamanya di zaman kini. Justeru, tuduhan liar mengatakan Melayu pemalas ialah suatu bentuk perang saraf yang diciptakan oleh Golongan Orientalis dalam usaha mengekang kebangkitan orang Melayu daripada bangkit berjuang menuntut kemerdekaan mereka.

Pemikiran ini perlu diubah demi meningkatkan jati diri orang Melayu, seterusnya dapat kembali bersaing dengan bangsa lain di bumi Malaysia yang tercinta ini. Jika Bangsa Melayu Pemalas, mereka tidak rajin mahu mengukir hulu keris dengan sangat teliti dan halus. Mereka juga tidak akan bersusah payah untuk membina ukiran pucuk rebung atau awan larat di hujung bumbung rumah atau masjid, mereka juga tidak kuasa untuk mencanting batik dengan begitu kemas sekali.

Kesimpulannya, perkataan yang mengatakan Melayu Pemalas ialah suatu mitos yang tidak berasas dan kenyataan negatif yang perlu dibuang daripada kamus hidup kita. Selain itu, perkataan-perkataan negatif lain yang diisbatkan kepada bangsa Melayu seperti janji melayu, Melayu PhD dan sebagainya perlu disisihkan serta-merta.

RUJUKAN:

Syed Hussein Alatas (1987), Mitos Peribumi Malas, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan Keenam 2019)

Mohd Farhan Abd Rahman, Rohailin Zainon, Maryam Mohd Esa, Nurulhayah Muhamad, Pandangan Orientalis Berkenaan Sikap Malas Masyarakat Melayu Di Tanah Melayu, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.