Menjawab Tuduhan Teori Konspirasi Ke Atas Titanic

0
2021
views

Pada 15 April 1912, New York Herald mengeluarkan sebuah artikel berjudulkan, “Titanic karam dengan 1,800 penumpang menaikinya. Hanya 675, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, diselamatkan.” Berita tergempar ini mengejutkan Amerika Syarikat dan Eropah. Dalam masa beberapa hari, angka penumpang dan kematian dipastikan. RMS TITANIC malangnya telah membakar dandang-dandangnya dan menghentam sebongkah ais hampir 650 kilometer daripada Cape Race, Canada.

Seramai 2,200 orang menumpang penginapan dalam perjalanan dari Cherbough, Perancis. 325 penumpang menikmati kemewahan kelas pertama. Kebanyakan mereka terselamat, kecuali tiga nama terperinci iaitu John Jacob Astor IV, Benjamin Guggenheim dan Isidor Strauss. Kematian mereka pada hari ini disematkan dengan kisah-kisah konspirasi yang kerap didendangkan lidah-lidah penentang pihak atasan. Setelah sekian lama, apa yang bermula sebagai khabar angin semakin dipercayai segelintir masyarakat di setiap pelusuk dunia.

 

Astor, Guggenheim dan Strauss dikatakan menentang penubuhan sebuah bank pusat di Amerika Syarikat. Disebabkan itu, mereka dibunuh pada satu malam yang sama. J.P. Morgan yang mengasaskan bank tersebut pula membatalkan tiket penempahan pada hujung waktu untuk menyelamatkan diri daripada bala yang sudahpun diketahui.

Berdasarkan perspektif logik, teori konspirasi ini tidak mempunyai sebarang asas, sekalipun tujuannya benar. RMS TITANIC menelan perbelanjaan pembuatan hampir AS$200 juta untuk tiga pembunuhan yang tidak berprofil tinggi. William McKinley merupakan Presiden Amerika Syarikat yang dibunuh atas ketidakadilan sosial. Raja Itali Umberto I (1878-1900) juga dibunuh atas justifikasi dendam. Dua pemimpin ini boleh saja ditembak mati, sementara hartawan-hartawan bawahan terpaksa dibenamkan melalui tragedi untuk menamatkan penentangan.

Tentu sekali logik sedemikan tidak mempunyai sebarang asas. Namun para pejuang teori ini nekad mempercayainya, kerana penubuhan Federal Reserve bagi mereka adalah cara Amerika Syarikat menguasai dunia menerusi proksi seperti Kumpulan Bank Dunia. Federal Reserve pula kata mereka dikuasai golongan elitis Yahudi yang mampu membuat duit dengan nilai tersendiri untuk dipinjamkan pada kadar faedah yang terlalu tinggi. Astor, Guggenheim dan Strauss dikatakan ternampak bahaya ini, maka mereka menentangnya. Namun bukan itu sahaja yang diperjuangkan mereka. Lidah-lidah konspirasi menyampaikan dakwah palsu bahawa tiga serangkai ini turut menentangkan pelaksanaan Cukai Persekutuan.

Perkara ini mempunyai sedikit logik untuk menghalalkan dakwaan mereka. Umumnya diketahui bahwa Hari Cukai Amerika Syarikat jatuh pada tanggal 15 April, iaitu pada tarikh yang tiga penentang utama dilenyapkan bagi tahun 1912.

Namun sama seperti Konspirasi Apollo 11 – segala pertuduhan sebenarnya sudah lama dijawab. John Jacob Astor, Benjamin Guggenheim dan Isidor Strauss tidak pernah dibuktikan menentang Federal Reserve. Masing-masing mempunyai masalah sendiri, yang tidak mencanakkan tarikan politik untuk menyempurnakan sebarang cabaran. Astor terbelit dengan isu cerai-berai yang langsung tidak dieskploit pihak media Amerika Syarikat. Guggenheim pula mempunyai krisis moral, dan juga masalah pengurusan kewangan. Beliau siap membawa perempuan simpanan menaiki RMS TITANIC sementara anak isterinya berada di Bandaraya New York.

Penentangan cukai pula tidak disandarkan bukti jua. Hari Cukai sememangnya ditetapkan pada setiap 15 April – tetapi bermula sejak 1955, ketika pentadbiran Dwight Eisenhower. Hari Cukai sekitar 1910-an dilangsungkan antara 1-15 Mac. Cukai Persekutuan pula bukan dimulakan pada 1912. Akta Perolehan 1861 telah mewajibkan cukai pendapatan ini untuk mendapatkan dana ketika Perang Saudara Amerika Syarikat pada perkadaran 3%-5%.

Kepercayaan tentang Konspirasi Federal Reserve dibentukkan berasaskan prasangka. John D. Rockefeller (AS$400 bilion), Andrew Carnegie (AS$372 bilion) dan Cornelius Vanderbilt (AS$215 bilion) merupakan antara yang paling kaya ketika itu. Kekayaan mereka pula didakwa telah membentukkan “Four Horsemen” (tanda kiamat Kristian) Perbankan yang menguasai “Four Horsemen” Minyak. Tetapi apabila sedang berbicara tentang RMS TITANIC, fakta harus diutamakan:

J.P. Morgan tidak membatalkan tiket beliau secara mengejut. Beliau telah menuangkan jasa yang besar kepada ekonomi Amerika Syarikat yang terhempas pada 1907. Krisis inilah sepatutnya dilihat, bukan penubuhan Federal Reserve yang dicetuskan secara prasangka. Krisis 1907 telah memufliskan banyak syarikat dan bank di Amerika Syarikat, khususnya New York. Tiada apa yang boleh dibuat untuk menyelamatkan bank-bank tersebut. Syarikat Moore dan Schley contohnya terlibat dengan perjanjian AS$150 juta (nilai sekarang), yang dibiayai Wall Street. Krisis ekonomi yang melanda memaksa bank tuntut semula amaun ini pada ketika syarikat tersebut sendiri tidak berupaya untuk membayar.

Sebagai langkah untuk mencapai penyelesaian, kerajaan dicadangkan mengasingkan AS$800 juta (nilai sekarang) untuk membuat cagaran bagi sistem perbankan. J.P. Morgan mengumpulkan para pembiaya di rumahnya untuk membincangkan jalan keluar. Bersama James Stillman misalnya, mereka merancang sebuah pengurusan semula pergerakan wang dan kredit. Saham-saham menjunam yang dimiliki syarikat-syarikat penting pula perlu dibeli. Salah satu syarikat yang diselamatkan adalah Moore dan Schley.

Pengumuman serta penggubalan yang berterusan ketika itu akhirnya menamatkan krisis pada 7 November, 1907. Untuk mengelakkan kejadian sebegini, beberapa pemimpin politik dan bank memutuskan untuk menubuhkan sebuah bank pusat bernama Federal Reserve pada 1913. Itulah tujuan utama penubuhan Federal Reserve, yang mengabadikan nama selepas J.P. Morgan meninggal dunia pada 1913 juga.

Mengikut acuan zaman itu, Astor, Strauss dan Guggenheim sepatutnya melihat Federal Reserve sebagai penubuhan anti-krisis. Berdepan dengan kemuflisan dan kehancuran, Amerika Syarikat pada ketika itu bukan sebuah gergasi yang mampu menyuntikkan sebarang pinjaman berfaedah untuk menguasai dunia. Hanya kejahilan garisan masa yang akan membuat seseorang berfikir bahawa penubuhan Federal Reserve bertujuan untuk mempengaruhi dunia melalui agen-agen seperti Bank Dunia dan TKA. Maka runtuhlah pandangan pejuang teori konspirasi yang ibaratkan berlaku dusta terhadap masyarakat.

Astor mempunyai sebab untuk menaiki RMS TITANIC. Isteri baru beliau sudahpun hamil. Mereka mahu anak tersebut dilahirkan di Amerika Syarikat. Dan propaganda semasa membuatkan RMS TITANIC dipandang seolah-olah syurga pelayaran yang tidak boleh dilepaskan, terutamanya sekali ketika perjalanan pertamanya.

Tiada langsung catatan yang menyatakan secara konkrit bahawa mereka diserang semasa dalam perjalanan. Astor tidak dibunuh oleh sesiapa pun, cukup berbeza berbanding pembunuhan bermotif seperti Presiden William McKinley dan Raja Umberto I. Sebaliknya mayat beliau ditemui dalam keadaan hancur, disyaki akibat terhempap serombong RMS TITANIC. Benjamin Guggenheim pula menyelamatkan ramai wanita dan kanak-kanak. Mereka kemudian turun ke Grand Staircase “berpakaian sebaik-baiknya untuk mati bersama kapal”, sepertimana diceritakan mangsa. Isidor Strauss pula tidak mahu menaiki bot kecemasan sehingga para lelaki lain selamat. Isterinya pun berputus untuk mati juga kerana tidak rela berpisah.

Benar J.P. Morgan sepatutnya menaiki RMS TITANIC. Tetapi bukan beliau sahaja yang membatalkan tiket. Henry Clay Frick merupakan seorang hartawan besi yang menempah sebuah bilik mewah pada Februari 1912. Beliau membatalkan tiket ini, dan bilik tersebut kemudian ditempah J.P. Morgan. Pembatalan seterusnya menyaksikan bilik ini bertukar tangan kepada Horace Harding pula. Beliau pun membatalkannya kerana mahu cepat ke New York dengan adanya Mauretania. Bilik mewah ini kemudian ditempah Bruce Ismay.

Satu lagi pembatalan yang tidak langsung didendangkan adalah George W. Vanderbilt (rujuk perenggan lapan untuk mengenali nama keluarga beliau). Vanderbilt sudahpun menggerakkan bagasi ke Southampton untuk menaiki RMS TITANIC, sebelum berputus untuk membatalkan tiket sehari sebelum perjalanan. Pekerjanya Edwin Wheeler menaiki RMS TITANIC untuk menjaga bagasinya. Kedua-duanya (Wheeler dan bagasi) tidak ditemui sehingga hari ini.

Agaknya George Vanderbilt tidak disebut kerana beliau tidak terlibat dalam penubuhan Federal Reserve. Mungkin bagi penyebar teori konspirasi, tragedi RMS TITANIC hanya dirancang kerana J.P. Morgan membatalkan tiket. Apa yang boleh dipelajari adalah, RMS TITANIC karam bukan angkara Federal Reserve atau Cukai Persekutuan.

Ketika Astor, Guggenheim dan Strauss masih bernafas, Federal Reserve dibuat untuk mengelakkan pengulangan krisis. Adanya Federal Reserve telah menyelaraskan ekonomi Amerika Syarikat yang bergelumang dengan masalah angkara hampir 30,000 matawang didagangkan dalam negara tersebut. Perkara ini tidak akan disebut oleh pendakwah-pendakwah konspirasi, kerana lebih suka dengan penipuan bahawa Federal Reserve ditubuhkan untuk menguasai dunia melalui agen-agen mereka iaitu Bank Dunia dan TKA.

Sebagai penutup, Federal Reserve tidak dibuat secara mengejut. Penglibatan J.P. Morgan tiada beza pun seperti Dr. Mahathir, melainkan kedudukan politik sahaja. Era Perbankan Bebas (1837-1862) telah menubuhkan Bank Pertama dan Bank Kedua Amerika Syarikat; masing-masing mempunyai hayat 20 tahun. Kedua-dua bank mengisytiharkan matawang, pinjaman, cagaran dan keselamatan bagi Kebendaharaan Amerika Syarikat. Akta Matawang Negara pula menginstitusikan bank-bank negeri dalam Amerika Syarikat pada 1863 untuk membiayai Perang Saudara Amerika.

Pada 1864 pula, Akta Perbankan Negara diisytiharkan untuk memberikan fleksibiliti dalam pengurusan negara. Tetapi akta ini tidak begitu jitu untuk memelihara bon-bon Amerika Syarikat. Maka keperluan mengatasi kehendak – Federal Reserve disahkan dengan tandangan Presiden Woodrow Wilson, yang cuba sebaik mungkin agar Amerika Syarikat tidak terlibat dalam Perang Dunia Pertama.

Previous articleTata Escobar – Penderitaan Balu Raja Kokain
Next articleKenapa Saya Mengagumi Monkey D. Luffy?
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE