Tatkala ramai mahu mengambil pengajaran dari insiden 13 Mei agar ia tidak berulang kembali, ada pula yang menangguk di air keruh dengan melemparkan teori-teori mengarut tentang 13 Mei. Teori-teori sebegini bukan saja dianggap satu pembunuhan watak oleh ramai figura politik tetapi juga dianggap satu cubaan memberi versi baru sejarah 13 Mei 1969.

Cubaan rampasan kuasa?

Kua Kia Soong, seorang bekas ahli DAP dan aktivis sivil bagi pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menulis sebuah buku bertajuk 13 May: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969.

Dalam buku yang diterbitkan pada tahun 2007, Kia Soong mendakwa peristiwa 13 Mei itu sebenarnya direncanakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Datuk Harun Idris dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebahagian daripada plot rampasan kuasa secara senyap dari Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Teori ini bersandarkan kepada keputusan Allahyarham Tun Razak meluluskan permit perarakan pengebumian yang diatur oleh Parti Pekerja dan elemen pro-komunis pada 9 Mei 1969. Ini berikutan ketika itu, beliau memegang peranan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Tetapi tidak ramai tahu tanpa pengeluaran permit sekalipun, perarakan tersebut akan tetap dijalankan. Ini ditambah dengan sentimen anti-Melayu dan sentimen anti-pihak berkuasa yang membara akibat hasutan pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

Dan keputusan yang diambil Allahyarham Tun Razak bukanlah sesuatu yang mudah. Memandangkan pilihan raya berlangsung pada 10 Mei, perkara terakhir yang dilakukannya ialah menjejaskan trend undian terhadap Parti Perikatan. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, sudah pasti parti kehilangan lebih banyak undi pada hari pemilihan.

Dan satu fakta yang mungkin tidak disedari semua terutama Allahyarham Tun Razak dan Almarhum Tunku sendiri ialah tiada sebarang tindak balas awal dari orang Melayu walaupun diprovokasi berkali-kali. Jika benarlah beliau merancang sengaja membiarkan orang Melayu mengamuk sejurus selepas permit diberikan kepada penganjur, sejarah pasti akan menunjukkan sebaliknya.

Walaupun ketegangan kaum semakin memuncak disebabkan perarakan tersebut, tiada sebarang insiden berlaku dari 9 Mei hinggalah 12 Mei 1969. Justeru, teori yang mengatakan Allahyarham Tun Razak memberi permit kepada perarakan pengebumian bagi menggulingkan Almarhum Tunku Abdul Rahman merupakan sesuatu yang mengarut.

Lainlah sekiranya beliau memberi permit kepada parti-parti kerajaan mengadakan perarakan sama bagi meraikan kejayaan mereka selepas pilihan raya umum. Tetapi berdasarkan pelbagai laporan, semua perarakan bagi meraikan kejayaan parti masing-masing dianggap tidak sah dan tidak dibenarkan.

Almarhum Tunku Abdul Rahman sendiri dalam bukunya 13 Mei: Sebelum dan Selepas tidak bersetuju dengan perarakan yang dianjurkan Parti Buruh bagi menghormati mendiang. Tetapi selepas keluarga mangsa dan pemimpin Parti Buruh merayu kepada pihak polis, ia diteruskan dengan syarat ia mengikut laluan yang ditetapkan dan bilangan yang menyertai mestilah sedikit.

Dalam erti kata lain, ia seharusnya diuruskan seperti upacara pengebumian biasa lain. Namun, itu sama sekali tidak berlaku pada 9 Mei dan semua sedia maklum apa jenis provokasi yang dimainkan mereka hari itu.

Dan jika benarlah Tun Dr Mahathir atau nama mesranya Che Det merupakan sebahagian daripada perancang rampasan kuasa itu, maka mengapa semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hanya beliau sahaja yang disingkirkan? Lihat coretan Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya Surat Dari Dr Mahathir tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat itu. Baca petikan ini:

“Keruncingan hubungan Dr Mahathir dengan Tunku Abdul Rahman terus memperhebatkan lagi gelora politik tanahair terutama dalam kalangan orang Melayu selepas peritistiwa 13 Mei. Tunku menganggap surat Dr Mahathir kepadanya yang tersebar luas di seluruh tanahair sebagai memusnahkan seluruh pengorbanannya terhadap negara dan bangsa sejak 17 tahun lalu. Ini mendorong Tunku memberikan kata dua kepada Umno. Pilih “saya atau Dr Mahathir”.

Apabila Timbalan Presiden Umno, Tun Abdul Razak menyampaikan kata dua ini kepada mesyuarat MKT Umno di Sri Taman pada 12 Julai 1969, Harun Idris berkata, “Tun (Razak), kalau begitu, buat apa panggil mensyuarat ini, buang sahajalah Mahathir”. Pandangan beliau disokong kuat oleh Ketua Kaum Ibu Umno, Tan Sri Fatimah Hashim dan juga Pengerusi Pemuda Umno Negeri Kedah, Syed Nahar Shahabudin.

Tun Abdul Razak seterusnya memberitahu bahawa Dr Mahathir sebagai ahli MKT telah melanggar tatatertib parti kerana membuat kenyataan kepada umum tentang perkara yang sangat penting mengenai parti.”

Jika benar Allahyarham Datuk Harun merupakan sebahagian daripada plot berkenaan, mengapa beliau enggan mempertahankan Tun Dr Mahathir daripada dipecat parti? Malah, beliau juga yang merasakan tindakan menyingkirkan Tun Dr Mahathir satu langkah terbaik. Dan kalau ikutkan, rusuhan kaum dan kemurkaan Almarhum Tunku Abdul Rahman terhadap beliau merupakan dua insiden berbeza.

Saya ulang, dua INSIDEN BERBEZA. Kemurkaan Almarhum Tunku terhadap Tun Dr Mahathir hanya muncul pada pertengahan Jun selepas surat beliau yang ditulis secara peribadi kepada baginda menjadi surat terbuka. Surat inilah yang membawa kepada pemecatan Tun Dr Mahathir dari UMNO beberapa bulan selepas itu.

Dan Almarhum Tunku Abdul Rahman juga tidak pernah menuduh beliau sebagai dalang kekecohan pada 13 Mei. Malah, tiada sebarang bukti yang menunjukkan Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham Datuk Harun sebagai dalang rancangan perarakan kejayaan dan kekecohan di Setapak, tempat bermulanya kekecohan insiden 13 Mei.

Justeru, untuk mengaitkan negarawan yang bertanggungjawab kepada kemerdekaan negara dengan insiden berdarah ini merupakan sesuatu yang mengarut.

MAGERAN

Dalam buku yang sama, Kia Soong turut menuduh Allahyarham Tun Razak cuba meminggirkan orang Cina dari pihak kerajaan pasca-13 Mei. Selain itu, aktivis SUARAM itu juga mendakwa beliau tidak mahu memberi ruang kepada tokoh-tokoh Cina berfahaman sederhana kerana mahukan kawalan penuh dalam kerajaan.

Semua dakwaan ini bersandarkan kepada satu dokumen yang kononnya telah dinyahsulitkan daripada satu sumber Agensi Perisikan Pusat (CIA) berkenaan kebimbangan mereka terhadap beliau.

Hakikatnya, sesiapa yang melihat senarai anggota MAGERAN mendapati nama Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambathan membentuk komposisi anggota majlis berkenaan. Walaupun pengundi Cina memutuskan untuk mengabaikan MCA, Allahyarham Tun Razak tetap memasukkan mereka dalam senarai anggota kabinet.

Perlu diingat, selepas MCA tewas teruk pada pilihan raya 1969, mereka tidak mahu dipilih sebagai anggota kabinet kerana merasakan menjadi punca kegagalan Parti Perikatan. Apa yang dilakukan beliau dilakukan demi kebaikan negara untuk jangka masa panjang.

Justeru, Parti Perikatan di bawah pimpinan Allahyarham Tun Razak dilihat mahu memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi, menambahbaik semangat muhibah dan harmoni antara kaum yang terjejas akibat insiden berkenaan serta menghalang negara dari menjadi titik kecil dalam sejarah.

Kedua, jika benar Allahyarham Tun Razak mempunyai kecenderungan autokratik seperti didakwa Kia Soong, beliau boleh saja memanjangkan lagi tempoh darurat di bawah MAGERAN untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan. Dan beliau boleh saja membuat usul menyingkirkan Almarhum Tunku Abdul Rahman semasa mesyuarat MKT sama yang membawa kepada pemecatan Tun Dr Mahathir.

Tetapi perkara tersebut tidak berlaku dan ini merupakan satu lagi fitnah yang mencemarkan nama baik beliau. Dan jika Kia Soong cuba pula menggunakan sudut hubungan kurang enak Allahyarham Tun Razak-Almarhum Tunku Abdul Rahman, hakikatnya hubungan mereka sentiasa baik walaupun diuji dengan insiden 13 Mei.

Malah dalam bukunya 13 Mei: Sebelum dan Selepas, baginda merasakan beliau orang terbaik yang boleh mengendalikan MAGERAN. Malah mereka berdua sentiasa berhubung bagi memastikan tempoh yang dianggap mencabar dalam tempoh 12 tahun kemerdekaan negara dapat dilalui tanpa sebarang insiden.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.