Dalam pengajian ilmu ‘aqidah, Sam’iyyat merupakan cabang perkara-perkara yang bersifat ghaib, wajib diimani dan perkhabaran tentangnya mestilah bersumber dari Al-Qur’an atau Hadith yang sahih, seperti kewujudan syurga dan neraka, titian sirat, melihat Allah di dalam syurga dan begitu juga dengan isu kemunculan Dajjal sebagai fitnah, iaitu ujian terbesar bagi orang-orang yang beriman.

Dajjal merupakan seorang makhluk yang berupa seperti seorang lelaki yang telah diperincikan ciri-ciri serta sifatnya melalui hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Justeru, tidak wajar apabila seseorang berbicara tentang dajjal, dia sewenang-wenangnya memberi tafsiran tentang sifat dajjal tanpa merujuk kepada hadith-hadith ini sehingga kedengaranlah cerita-cerita pelik tentang dajjal, antaranya ke tahap yang dilakukan oleh seorang penulis muda, saudara Aiman Banna yang menyifatkan Dajjal sebagai seorang yang kacak dalam suatu video ringkas yang dimuatnaik ke akaun beliau.

Bahkan melalui sebuah tangkap layar hantaran Instagram beliau pula, dengan semberono beliau mendakwa bahawa Dajjal itu mirip rupanya dengan Nabi ‘Isa ‘alayhissalam sedangkan Nabi ‘Isa pula menurut beliau, mirip dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam. Kedua kenyataan ini dibuat beliau sekitar Disember 2018 namun tidak pernah dibetulkan oleh beliau sehingga kini sehingga saya merasa terpanggil untuk meluruskan kesalahfahaman ini.

Pertama, hendaklah kita ketahui bahawa ada dari kalangan Sahabat Nabi yang pernah melihat Dajjal. Beliau adalah Sayyiduna Tamim Ad-Dari radhiyallahu ‘anhu, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya:

Diriwayatkan daripada Fatimah bint Qais radhiyallahu ‘anha, beliau berkata: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam

Apabila Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam selesai solat, Baginda duduk di atas mimbar lalu sambil tersenyum Baginda bersabda, “Setiap orang tetaplah duduk di tempat solatnya.” Kemudian Baginda bersabda: “Tahukah kamu kenapa aku mengumpulkan kamu semua?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

 “Demi Allah, sesungguhnya aku mengumpulkan kamu bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk, akan tetapi aku mengumpulkan kamu kerana Tamim al-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani kini telah memeluk Islam dan berbai’ah kepadaku. Ia telah mengatakan sesuatu yang pernah aku katakan kepada kalian tentang al-Masih Dajjal. Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Judzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal.

“Kemudian, mereka mendarat di pulau tersebut dan bertemu dengan satu makhluk yang berbulu lebat, sehingga mereka tidak dapat menganggarkan mana ekornya dan mana kepalanya, kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak.

“Mereka berkata, “Celaka, dari jenis apakah kamu ini.”

“Ia menjawab, “Saya adalah Al-Jassasah.”

“Mereka bertanya, “Apakah Al-Jassasah itu?”

“Tanpa menjawab soalan mereka, lalu ia berkata, “Wahai kalian, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kalian! “

“Tamim al-Dari berkata, “Ketika ia menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu, kami pun terkejut kerana kami menyangka bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami akan berangkat sehingga kami memasuki rumah tersebut, di sana terdapat seorang manusia yang paling besar (yang tidak pernah kami lihat sebelum ini) dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua-dua tangannya terikat ke bahunya, serta antara dua lutut dan kedua-dua mata kakinya terbelenggu dengan besi. “

“Kami berkata, “Celaka, siapakah kamu ini?” Ia menjawab, “Takdir telah menentukan bahawa kamu akan menyampaikan maklumat kepadaku, maka khabarkanlah kepadaku siapakah kamu ini?”

“Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang Arab yang berlayar dengan sebuah kapal, tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergoncang, lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan, dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang berdekatan dengan kapal, kemudian kami masuk pulau ini, maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat dianggarkan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya.

“Maka kami berkata, “Celaka, apakah kamu ini?”

“Ia menjawab, “Saya adalah Al-Jassasah.”

“Kami bertanya, “Apakah Al-Jassasah itu?”

“(Tanpa menjawab soalan kami), ia berkata, “Wahai kalian, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kalian! “

“Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana menyangka bahawa ia adalah syaitan. “

“Laki-laki besar yang terikat itu mengatakan, “Beritahu kepada saya tentang pohon-pohon kurma yang ada di Daerah Baisan?”

“Kami bertanya, “Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?”

“Ia berkata, “Saya bertanya sama ada pohon-pohon kurma itu berbuah?”

“Kami menjawab, “Ya.”

“Ia berkata, “Adapun pohon-pohon kurma itu maka hampir saja tidak akan berbuah lagi.”

“Kemudian ia berkata, “Beritahu kepadaku tentang Tasik Galilee.”

“Mereka berkata, “Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?”

“Ia bertanya, “Apakah ia masih tetap berair?”

“Mereka menjawab, “Airnya masih banyak.”

“Ia berkata, “Adapun airnya, maka hampir sahaja akan habis.”

“Kemudian ia berkata lagi, “Beritahu kepada saya tentang mata air Zugar.”

“Mereka menjawab, “Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?”

“Ia bertanya, “Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?”

“Kami menjawab, “Benar, ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu.”

“Lalu ia berkata lagi, “Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh tulis baca), apa sajakah yang sudah ia perbuat?”

“Mereka menjawab, “Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah).”

“Lalu ia bertanya, “Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?”

“Kami menjawab, “Ya.”

“Ia bertanya, “Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?”

“Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya. “

“Lalu ia berkata, “Apakah itu semua telah berlaku?”

“Kami menjawab, “Ya.”

“Ia berkata, “Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal, dan sesungguhnya aku hampir saja yang dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya. “

“Fatimah berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar,” Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu? “Para Sahabat menjawab,” Benar. Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda,”Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur.”

(Riwayat Muslim)

Di dalam hadith-hadith yang lain pula Rasulullah telah menjelaskan lagi rupa paras Dajjal, sehingga pada penghujung dalil-dalil berkenaan sifat dajjal nanti, anda sendiri dapat tentukan, apakah ciri-ciri yang disebutkan Baginda itu menggambarkan seorang yang kacak atau jelek?

Hadith pertama, dari riwayat Imam Al-Bukhari; bahawasanya Dajjal itu bertubuh Besar, kerinting rambutnya,berwarna kemerahan kulitnya serta buta sebelah matanya.

Daripada Abdullah ibn Umar Radhiyallahu ‘anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam :“Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanyaseakan-akan menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit kemerahan, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang tertonjol keluar(terapung di atas air). Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathan.”

Hadith Kedua: Dajjal itu pendek tubuhnya, bengkok kakinya serta buta matanya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Al-Musnadn dan Imam Abu Dawud di dalam Sunannya:

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda“Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.”

Hadith ketiga: Dajjal memiliki dahi yang luas dan bongkok tubuhnya, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya:

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Adapun Masih al-Dhalalah (Dajjal), maka sesungguhnya dia buta sebelah matanya, dahinya lebar, dadanya bidang dan badannya agak bongkok.”

Hadith Keempat: Dajjal memiliki cop tulisan perkataan “KAFIR” ( ك ف ر) di dahinya, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka, serta At-Turmudzi di dalam Sunannya:

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu dia berkata Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Dia antara keduamatanya tertulis  kaf, fa, ra yang boleh dibaca tulisan itu oleh sekalian mukmin samada mereka yang tahu membaca ataupun buta huruf.

Maka jelaslah kepada kita akan sifat-sifat Dajjal, terpulang kepada anda untuk menilai apakah dengan sifat-sifat yang disebutkan di atas menggambarkan Dajjal seorang yang kacak? Anda tentukan sendiri.

Kedua; dakwaan Aiman tentang Dajjal itu menyerupai Nabi ‘Isa ‘alayhissalam, dan Nabi ‘Isa pula menyerupai Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam. Saudara Aiman mendakwa dalam tangkap layar hantaran Instagram belaiu kononnya ada “hadith sahih” yang menyebutkan hal ini tanpa beliau mendatangkan hadith yang dimaksudkan.

Bagi menjawab persoalan ini, suka saya ingatkan pembaca agar merujuk kembali hadith pertama tentang sifat fizikal Dajjal di atas yang jelas menyebutkan tentang PERBEZAAN sifat Nabi ‘Isa dan Dajjal dari segi warna kulit serta keadaan rambut antara keduanya,maka mana mungkin dikatakan sama? Tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam jelas menyebutkan bahawa Dajjal agak mirip dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan atau Ibn Qathan, sedangkan di dalam kitab Syamaail Muhammadiyyah, Imam At-Turmudzi membawakan hadith di mana Rasulullah dengan jelas menceritakan bagaimana Nabi ‘Isa seakan-akan mirip dengan Sayyiduna ‘Urwah bin Mas’ud sedangkan baginda mirip seperti moyang baginda, Nabi Ibrahim ‘alayhissalam, seperti berikut:

Dari Jabir Radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Telah diperlihatkan kepadaku akan rupa paras para Nabi, ketika aku melihat Musa seakan-akan seorang lelaki dari Bani Syanu’ah, sedangkan apabila aku melihat ‘Isa ‘alayhissalam aku meliat yang paling hampir miripnya ialah ‘Urwah bin Mas’ud, sedangkan apabila aku melihat kepada Ibrahim, ia mirip dengan sahabat kalian ini (di Baginda sendiri) sedangkan aku melihat Jibril (dalam rupa manusia) seakan-akan Dihyah.”

Maka jelaslah kepada kita, bahawa Dajjal tidak mirip dengan Nabi ‘Isa apatah lagi hendak dikatakan mirip pula dengan Nabi kita sallallahu ‘alayhi wa sallam. Saranan penulis agar saudara Aiman menarik balik kenyataannya yang bersifat menghina Rasulullah secara tidak langsung dengan menyamakan fizikal Dajjal dengan Baginda serta memohon maaf kepada umat Islam atas kekeliruan yang ditimbulkan.

Sangat disayangkan sekiranya kesilapan ini tidak diperbetulkan kerana beliau sememangnya ada potensi untuk digilap menjadi pendakwah, namun ilmu hendaklah mengatasi semangat, sehingga tidak berlaku seperti yang disebutkan oleh pepatah Arab : “menjadi kismis sebelum sempat menjadi anggur” iaitu tergesa-gesa hendak melalui fasa kehidupan tanpa belum cukup mtang dengan ilmu dan pengalaman.

Wallahu A’lam

RUJUKAN:

  • Sahih Al-Bukhari,Sahih Muslim,Musnad Ahmad,Sunan Turmudzi,Sunan Abi Dawud
  • Syamaail Muhammadiyyah

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Orang Pekan atau nama sebenarnya Mohammad Faeez Harith bin Khairil Anuar merupakan seorang pendakwah bebas yang memegang Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor. Beliau juga merupakan jurulatih kecergasan sepenuh masa di Clark Hatch Fitness, One World Hotel, Bandar Utama Petaling Jaya. Follow Twitter beliau di: https://twitter.com/H_Bakkaniy

Comments are closed.