Kebiasaannya, reptilia tukar jantina anak mereka semasa ia dalam telur. Tetapi ini sama sekali berbeza dengan sejenis mengkarung Tasmania. Mengkarung yang dikenali sebagai mengkarung salji bertompok ini mengejutkan dunia saintifik apabila menjadi haiwan bukan bertelur pertama yang menukar jantina sebelum lahir. Hal ini didedahkan dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of Royal Society B baru-baru ini.

Mengkarung salji bertompok atau nama saintifiknya Carinascincus ocellatus mampu berbuat demikian disebabkan oleh faktor suhu – faktor sama yang menentukan jantina haiwan reptilia dalam telur. Bagaimanapun, suhu bukan satu-satunya faktor penentu jantina reptilia semasa ia bertelur. Ia juga turut ditentukan oleh faktor genetik.

Contoh paling mudah, biawak berjanggut atau nama saintifiknya Pogona vitticeps. Apabila suhu melebihi 32 darjah Celsius, biawak jantan boleh saja bertukar menjadi biawak betina. Perlakuan ini dikenali pengunduran jantina (sex reversal) dan ini ditentukan oleh gen yang sensitif dengan perubahan suhu.

Advertisements

Tetapi ini hanya terpakai kepada pengunduran jantina betina kepada jantan sahaja dan bukan sebaliknya. Setakat ini, perilaku ini dikesan oleh haiwan bertelur seperti ikan, amfibia dan reptilia tetapi ia dijangka berubah dengan penemuan mengkarung salji Tasmania.

Mengkarung salji bertompok berupaya menukar jantina betina kepada jantan sebelum lahir menerusi proses yang dikenali sebagai pengunduran jantina.

Mengkarung salji ini hanya ditemui sekitar wilayah Australia itu dan diketahui melahirkan anak. Bilangan jantina mengkarung dipengaruhi oleh suhu sesebuah kawasan dengan mengkarung salji jantan banyak ditemui di tempat sejuk. Sementara mengkarung salji betina pula ditemui kawasan bersuhu panas.

Bagi menguji teori ini, 100 mengkarung salji betina ditangkap pada ketinggian altitud yang berbeza sebelum diletakkan di bawah pengawasan suhu berbeza di makmal. Setiap mengkarung salji dipecahkan kepada lima kumpulan dengan setiap kumpulan mengandungi 20 ekor mengkarung.

Untuk eksperimen ini, dua kumpulan akan didedahkan kepada lampu haba untuk tempoh empat dan 10 jam sehari. Dua kumpulan ini didedahkan kepada suhu 10 darjah Celsius apabila lampu ditutup dan 20-37 darjah Celsius apabila lampu dibuka. Baki tiga kumpulan diletakkan di bawah pengawasan suhu sekitar 33, 29 dan 26.5 darjah Celsius pada siang hari dan 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Semua 423 anak mengkarung yang dilahirkan kemudiannya diambil sampel DNA dari bahagian ekor mereka. Analisis DNA perlu bukan saja untuk mengetahui jantina mengkarung tetapi organ seksual yang dimilikinya. Semua anak mengkarung betina mempunyai kromosom dua X (XX) sekaligus menunjukkan tidak berlakunya proses pengunduran jantina.

Tetapi ini sama sekali berbeza dengan anak mengkarung jantan. 31 daripada 423 ekor mengkarung atau 7% menunjukkan ia mempunyai organ seksual jantan tetapi mempunyai kromosom dua X (XX). Ini dikesan bukan saja dalam makmal tetapi juga di dunia luar. Di makmal, ini berlaku apabila lampu haba dibuka selama empat jam atau diletakkan di bawah suhu kawalan 26 darjah Celsius.

Ketinggian altitud mempengaruhi sensitiviti suhu sekaligus memberi kesan kepada proses pengunduran jantina yang dialami mengkarung salji bertompok Tasmania.

Pengunduran jantina yang konsisten turut dikesan dalam populasi mengkarung salji walaupun berada pada ketinggian altitud yang berbeza. Ini juga menjelaskan kecenderungan kepada jantina betina dalam populasi mengkarung salji di kawasan panas.

Sekiranya mengkarung jantan XX mengawan dengan mengkarung betina XX, semua anak yang dilahirkan ialah mengkarung salji betina. Ini kerana anak mengkarung generasi kedua ini tidak mempunyai kromosom Y. Ini akan mengakibatkan pertambahan bilangan mengkarung salji betina untuk generasi kedua.

Namun begitu, bagi membuktikan teori ini bukan bersifat sekali sahaja, lebih banyak kajian perlu dibuat terhadap mengkarung salji Tasmania. Ini termasuk tempoh kajian lebih lama dan menyentuh pelbagai generasi mengkarung salji bagi mendapatkan lebih banyak data bernilai untuk spesies haiwan berkenaan.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Leste-Lassere, C. (2022, 1 Jun). Lizard can switch from female to male before birth, but not vice versa. New Scientist.

Chapman, M. (2022, 1 Jun). These Non-Egg-Laying Lizards Can Switch Their Sex From Female To Male In The Womb. IFLScience.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply