Bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bulan yang menjadi idaman pencinta Tuhan dan bulan yang menimbulkan kegelisahan bagi kacang hantu. Makanya, sebagai menyahut seruan menyemarakkan lagi keghairahan menyambut Ramadan Al-Mubarak, saya akan kongsikan beberapa wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya sebagai renungan.

1.) Tidak berlaku syirik kepada Allah s.w.t.

Ramai mungkin memandang enteng tentang perkara ini tetapi hakikatnya, ia sebenarnya membezakan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya banyak menduakan Tuhan dalam banyak benda. Kita menyalahkan musibah atau bencana pada seseorang atau objek yang kita benci padahal sebenarnya yang menyebabkan sesuatu musibah itu berlaku ialah Tuhan. Bila kita dapat sesuatu nikmat, kita memuji orang yang memberi tetapi kita lupa bahawa yang memberi itu hanyalah perantara antara kita dengan Dia. Makanya, ke mana nilai tauhid yang sepatutnya menjadi asas utama dalam hubungan kita dengan Tuhan?

Nilai ini yang mengikat manusia daripada tidak terus hanyut dengan delusi ciptaan syaitan dan menambahbaik nilai kemanusiaan yang ada pada diri ke tahap lebih tinggi. Luqmanul Hakim sedar tanpa nilai tauhid, manusia akan mengalami krisis jiwa yang besar dan menjadi ejen kemusnahan bukan saja pada diri tetapi juga pada orang lain.

2.) Berlaku baik kepada ibu bapa.

Saban hari, kita dikejutkan dengan cerita-cerita kurang enak tentang layanan anak pada ibu bapa. Adakalanya, kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa perkara ini berlaku dalam masyarakat yang mengaku dirinya moden tapi miskin dari segi kemanusiaannya? Tanpa kita sedar, orang yang kita sakiti itu ialah wali-wali keramat yang mendidik dan mencurahkan sepenuh kasih sayang sejak dari kecil. Mentang-mentanglah kita ada kuasa dan harta sedikit, maka kita anggap kita ada hak untuk memperlakukan mereka sebegitu. Tetapi kita juga lupa, kita akan tua pada akhirnya dan anak-anak yang melihat perlakuan kita pasti akan mengulangi perkara sama pada hari tua kita. Berlaku baiklah kepada ibu bapa kita dan taatilah perintah mereka selagi mana ia tidak melanggar hukum syarak. Ketahuilah, ibu bapa itu ialah peluang pelaburan menuju syurga. Jangan kerana ego, sudahlah kita dilabel derhaka oleh mereka tetapi kita jadi manusia tercela di sisi-Nya.

3.) Hindari penyakit sombong.

Manusia bila sudah berada di atas, merasa dirinya layak untuk bersikap angkuh dan sombong dengan orang lain. Ini kerana pada pandangannya, dia sudah berada di tahap yang lain dan patut dilayan mengikut status barunya itu. Tetapi Tuhan bukan memandang harta dan pangkat yang dimiliki tetapi memandang hati dan nilai amalan yang dilakukan. Manusia yang sombong bukan saja mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Tuhan, dia juga mendedahkan dirinya kepada kemunduran dan kejatuhan dirinya. Mengapa? Bila manusia itu merasa dirinya terlalu bagus, dia akan merasa terlalu selesa dan tidak mahu melakukan sebarang penambahbaikan sehingga menyebabkan dirinya dipotong oleh orang lain dan ketinggalan di belakang. Bukan itu saja, penyakit sombong yang bertunas dalam diri akan menyebabkan amalan yang dilakukan menjadi busuk dan tidak lagi diterima Tuhan. Dan Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada sesiapa yang punya penyakit ini, walaupun ia hanya bersaiz sebiji sawi tidak akan masuk syurga. Dan sekiranya masih ada berangan untuk berlaku sombong, beranikah anda untuk mengambil satu pakaian yang selayaknya untuk Dia? Hanya Allah s.w.t sahaja yang layak untuk bersikap sombong kerana Dialah Penguasa Alam Semesta ini dan Dialah Penguasa Hari Akhirat.

5.) Kepentingan menunaikan solat.

Bila kita berbicara soal ini, ramai menganggap ia satu beban. Padahal ia memegang status ibadat pertama yang ditanya Tuhan pada hari akhirat dan Rasulullah s.a.w menerima perintah ibadat secara langsung dengan Allah s.w.t semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj. Hakikat yang manusia selalu terlepas pandang berkenaan ibadat solat ialah ia menambah semangat manusiawi untuk terus melakukan kebaikan dan menghindarinya daripada melakukan kejahatan. Bahkan, solat mempunyai kelebihan dari segi kesihatan seperti menambahbaik postur badan dan kesihatan mental. Betapa manusia memandang enteng kelebihan solat sampai terlupa berapa ramai nabi dan rasul terdahulu yang mahukan ibadat mulia ini untuk umat mereka.

6.) Jangan memandang rendah kebaikan manusia walaupun ianya kecil

Satu trend yang saya perasan ialah manusia terlalu berkira dalam melakukan kebaikan walaupun benda tersebut remeh dan tidak memerlukan kudrat yang banyak. Apakah manusia menganggap kebaikan itu terlalu mahal sehingga merasa malu untuk melakukannya? Atau manusia melihat kejahatan itu sesuatu yang dibanggakan kerana ia menjadi norma dalam masyarakat hari ini? Tidak seperti apa yang dijaja pihak tertentu, hakikatnya kebaikan itu mudah saja dilakukan. Dalam dunia moden yang serba canggih ini, hanya dengan menekan butang like dan share program-program berunsur kebaikan seperti bengkel keusahawanan dan ceramah motivasi mendapat pahala. Senyum itu berpahala, membuang benda kotor atau merbahaya dari jalanan itu berpahala, melakukan kebaikan itu berpahala, mengucapkan sesuatu yang baik berpahala, hatta mengajarkan ilmu pada orang lain juga berpahala. Makanya, apa sebenarnya yang menghalang kita dari melaksanakan wasiat Luqmanul Hakim ini? Kalau halangan kita adalah ego, malulah kita kerana ego bukan penyubur benih kemanusiaan tetapi penyubur benih kehancuran manusiawi!

#TazkirahAlternatif


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply