Menghasilkan Gambar Tua Bagi Mencari Kanak-Kanak Hilang

836

Baru-baru ini, ramai rakan-rakan penulis memuat naik gambar bagaimana rupa wajah mereka setelah dimamah usia.

Menggunakan applikasi FaceApp, ia mengubah gambar wajah pengguna pada masa kini, kepada wajah yang tampak lebih tua.

Namun buat seketika, applikasi ini mencetuskan rasa bimbang kepada pengguna, setelah wujud dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti pengawasan pihak Rusia. Walau bagaimanapun, masih tiada bukti yang kukuh untuk mengatakan dakwaan itu adalah benar.

Tetapi.. tahukah anda bahawa wujud fungsi gambar peningkatan usia (“age progression”) ini di dunia sebenar?

Dan ia adalah untuk menentukan wajah individu yang telah lama hilang, justeru mudah untuk dikenali pihak berkuasa dan keluarga.

Menggunakan gambar keluarga dari masa lalu sehingga ke masa kini, dan pengetahuan luas tentang kesan penuaan pada manusia, pihak artis forensik berkeupayaan untuk sediakan ‘gambaran artis’ kepada wajah kanak-kanak yang telah hilang selama 2 tahun atau lebih, dan orang dewasa yang telah hilang selama 5 tahun atau lebih.

Imej atau gambar yang dihasilkan pakar forensik itu adalah anggaran kepada wajah individu yang hilang pada masa akan datang.

Contohnya di Australia, National Missing Person Coordination Center (NMPCC), boleh menjadi orang tengah dalam memudahkan urusan menghasilkan imej individu yang hilang, dengan menggunakan perkhidmatan AFP Forensic Facial Identification Team.

Menurut NMPCC, apa yang diperlukan adalah;

1. Gambar individu yang hilang sebelum mereka didapati hilang.

2. Gambar ibu bapa dari masa lalu dan kini, terutamanya gambar yang diambil pada umur yang sama dengan umur individu yang hilang.

3. Gambar adik beradik dari masa lalu dan kini.

4. Gambar perlulah di dalam resolusi tinggi. Sama ada dalam bentuk digital atau negatif yang boleh diimbas semula oleh pasukan forensik. Ini adalah untuk mendapatkan keputusan atau menghasilkan gambar peningkatan umur terbaik bagi individu hilang.

Walau bagaimanapun, gambar yang bakal dihasilkan, mungkin sama atau tidak sama dengan realiti (keadaan sebenar) individu yang hilang. Kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi wajah dan peningkatan umur individu tersebut seperti berikut; gaya rambut, warna rambut, mekap, misai atau janggut, peningkatan berat badan dan sebagainya.Gambar yang disediakan adalah contoh;

Gambar ketika mereka hilang.

Gambar komposit yang dihasilkan menunjukkan kesan peningkatan umur pada kanak-kanak yang hilang itu.

RUJUKAN:

Ali M. Bukar et al, (2017) Facial Age Synthesis Using Sparse Partial Least Squares (The Case of Ben Needham), Journal of Forensic Sciences.

‘Half Art, Half Science’: Age-Progression Images Help Find Missing Kids. Retrieved from: https://abcnews.go.com/…/hundreds-missing-children-f…/story…

Age Progression. Retrieved from: https://missingpersons.gov.au/support/age-progression

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.