Elemen peperangan moden semakin berkembang dan meliputi pelbagai aspek. Pertarungan di medan terbuka seperti satu ketika dulu di zaman peperangan konvensional semakin luput daripada perancangan pihak yang terlibat. Ianya menjadi semakin menjadi teknikal dan canggih. Canggih bukanlah semata kerana aset dan peralatan, tetapi kerana pendekatan manusia yang semakin cerdik mencari jalan untuk memastikan pihak mereka menang.

Dan peperangan pada hari ini tidak hanya melibatkan pihak negara atau state actors, tetapi juga pelbagai pihak lain dengan agenda masing-masing. Peperangan hari ini tidak hanya terhad kepada penggunaan senjata bersifat letupan, tetapi juga yang melibatkan elemen lain seperti Kimia (Chemical), Biologi (Biological), Radiasi (Radiation) dan Nuklear (Nuclear) – CBRN.

Dibandingkan dengan senjata konvensional, CBRN dianggap lebih merbahaya kerana mampu diaplikasikan tanpa duga dan dengan jarak penyebaran lebih meluas. Ia jarang meninggalkan jejak sepertimana senjata konvensional, menjadikannya musuh yang sukar dijangka dan sukar dikawal. Walaupun ia sendiri menimbulkan bahaya kepada pengendalinya, secara umum, bahayanya itu kebiasaannya dijustifikasikan dengan kesan yang dianggap adalah berbaloi (the end justifying the means).

Kerana itulah peperangan alaf baru meletakkan senjata CBRN sebagai satu elemen yang harus ditangani. Apa sahaja aspek CBRN – di tangan pihak yang salah, mampu menimbulkan bahaya yang sangat sukar untuk ditangani. Dalam zaman di mana semakin ramai manusia yang mempunyai agenda yang pelbagai dan menimbulkan kebarangkalian senjata sebegini digunakan pada bila-bila masa, maka aspek persediaan dan latihan haruslah dititikberatkan pada sebilang masa. Pengendali yang bakal ditugaskan untuk mengawal keadaan sekiranya berlaku serangan, adalah elemen paling penting.

Secara umumnya, kita masih mengharapkan kudrat manusia bagi mengendalikan situasi CBRN jika dibandingkan dengan elemen mekanis. Maka persediaan, kawalan dan bantuan untuk mereka yang terlibat adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia bermula dengan latihan, seterusnya perlaksanaan di medan itu sendiri. Persoalannya, sejauh manakah kita mampu menyediakan pasukan kita untuk situasi sebegini? Umum tahu, perbelanjaan yang terlibat bukanlah sedikit. Itu belum kira aspek perlaksanaan yang memerlukan para pengendali mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang CBRN.

Bagaimana sekiranya sesuatu berlaku dan kita kekurangan tenaga manusia yang mahir dalam aspek ini? Berapa banyakkah mangsa yang mampu kita selamatkan, dan berapa ramai pula yang akan terpaksa dikorbankan? Pada masa yang sama, kita juga harus mempertimbangkan elemen CBRN dalam senario OOTW (Operations Other Than War). Contoh paling ketara di negara kita, adalah kejadian bencana alam seperti banjir besar yang melanda negara, yang mendedahkan orang ramai dan kumpulan penyelamat kepada ancaman kontaminasi sebegini.

Jika anda menjumpai seorang anggota memakai patch sebegini, maksudnya beliau telah menghadiri kursus kepakaran pengendalian CBRN

Oleh itu, solusi yang harus dipertimbangkan adalah sistem pengesanan awal yang mudah dan dapat membantu pencegahan di peringkat awal lagi. Sekiranya berlaku juga, kita memerlukan elemen yang ringkas dan mudah dioperasikan oleh sesiapa sahaja, sekiranya berlaku keadaan di mana terdapat ancaman CBRN dan kita pula kekurangan tenaga insan. Begitu juga dengan elemen latihan yang memerlukan kita benar-benar meletakkan pengendali dalam keadaan menyerupai senario sebenar supaya mereka benar-benar arif perkara yang harus mereka lakukan, dan bukannya sekadar membayangkan semata disebabkan kita kekurangan bajet untuk latihan.

Salah satu syarikat yang menawarkan produk yang mampu membantu dalam senario CBRN adalah Cristanini, yang berpengkalan di Verona (Italy). Ditubuhkan pada tahun 1972, Cristanini mengeluarkan produk sistem CBRN pada skala kecil, sederhana dan besar, serta stesen medan bergerak bagi tujuan detoksifikasi dan dekontaminasi anggota, kenderaan, peralatan dan bahan sensitif serta permukaan. Program R&D nya dijalankan secara bersama dengan banyak insititusi dan universiti, termasuk Nationals Military Labs. Syarikat ini telah dilantik sebagai NATO Constructor sejak 1987 dengan Persijilan NATO A5009 dan Sijil Kualiti Produk AQAP2110 and ISO 9001:2000.

Antara sistem dekontaminasi dan detoksifikasi paling berksan yang diperkenalkan oleh syarikat ini adalah Sanijet C. 921 yang merupakan sistem autonomi serbaguna, dilengkapi dengan pelbagai aksesori untuk tujuan dekontaminasi dan detoksifikasi CBRN bagi manusia, kenderaan, peralatan dan permukaan, nyahgas untuk permukaan dalaman tangki yang tercemar dengan unsur hazmat (hazardous materials), POLS (petrol oil lubricant), pensterilan tangki makanan dan minuman serta pemadaman kebakaran. Dalam erti kata lain, sistem ini boleh digunakan untuk hampir semua tujuan yang melibatkan pancutan air bertekanan tinggi. Cuma bezanya, ia mampu digunakan bersama-sama dengan elemen pembersihan bahan-bahan berkait hazmat dan CBRN.

Bagaimana ia berfungsi?

Sanijet C. 921 adalah sistem motor autonomi yang mampu dijanakan oleh petrol, elektrik atau bateri. Ini sangat berguna dalam keadaan di mana kemungkinan pengendali berdepan dengan situasi di mana bekalan tenaga adalah terhad di kawasan operasi. Ia mampu membekalkan air sejuk dan panas (90°C – 194°F) dan stim tepu sehingga 180°C (356°F). Ia membekalkan tekanan 110 bar, 11 Mpa (1595 psi) – 1560 l/j (9412 gel/j). Antara aksesori standard yang dibekalkan adalah batang penyembur sepanjang 1400mm/ 55 kaki 11 inci, hos tekanan tinggi 15m, hos suction pressure 15m, kepala jet SAM 24M dengan 2 jenis semburan berbeza, kotak peralatan, dan sarung tangan perlindungan athermic.

Sanijet C. 921

Berukuran 85cm x 85 cm x 84 cm, pada sekilas pandang, mungkin ramai yang akan memikirkannya sebagai mesin pengepam air biasa. Namun, pada berat 230 kg, ia mampu diubahsuai mengikut keperluan dengan dibekalkan roda pengangkut. Tekanan tinggi dan stim yang dihasilkan boleh digunakan untuk tujuan pembersihan biasa, misalnya pakaian atau kenderaan yang terkena selut dan lumpur. Walaubagaimanapun, bila dipadankan dengan Sanijetgun – yang merupakan kepala penyembur khas, ia mampu digunakan untuk tujuan operasi dekontaminasi dan detoksifikasi termasuk untuk tujuan pra-pembersihan, decon/detox dan pembilasan dengan hanya menggunakan seorang pengendali.

Ini yang membezakannya daripada metod pembersihan lain yang biasanya memerlukan kumpulan pengendali – satu keadaan yang mungkin tak mampu kita sediakan dalam situasi konflik di medan. Terdapat ruang khas pada penyembur ini yang boleh diisi dengan kanister yang mengandungi bahan pencuci khas untuk elemen CBRN. Perlu diingat, elemen CBRN ini tidak boleh dicuci dengan pencuci atau sabun biasa.

Antara bahan pencuci khas yang terdapat adalah BX24 dalam bentuk serbuk yang boleh digunakan ke atas hampir semua elemen termasuk kenderaan dan peralatan, manakala versi BX29 pula dalam bentuk cecair lebih sesuai digunakan untuk manusia. BX30 adalah versi latihan dalam bentuk serbuk dan BX40 pula lebih kepada pencucian pesawat. Untuk peralatan sensitif, terdapat semburan dalam bentuk aerosol dalam balang kecil iaitu SX34.

Satu perkara menarik adalah keringkasan sistem itu sendiri. Kebiasaannya, elemen CBRN memerlukan pengendali terdiri daripada pakar yang harus mengendalikan mesin besar yang kompleks, serta pakar yang harus berada di medan untuk membancuh formula pencuci yang bakal diguna. Lain elemen, lain formulanya. Kalau kena pakar tu sendiri sakit, maka jenuhla orang lain nak menggantikan peranannya. Bukan senang nak hafal semua formula ni. Walaubagaimanapun, untuk sistem Cristanini, ia lebih kepada one-size-fits-all solution. Bahan pencucinya dibuktikan mampu untuk menghapuskan 99% elemen, tak kira apa elemen CBRN. Nuklear ke, kimia ke, biohazard ke, radiasi ke – guna saja pencuci yang sama. Kanister ini boleh diisi semula berulangkali, menyebabkan satu elemen penjimatan dalam penggunaannya. Habis kanister, buka, isi semula penuci tanpa perlu pening kepala apa formulanya, dan terus sembur.

Selain daripada itu, bahan pencucinya juga dikatakan mesra alam. Maksudnya, sekiranya semburan digunakan, hasil buangan iaitu air daripada cucian itu tidak ada masalah untuk terus dialirkan ke sungai. Walaubagaimanapun, untuk lebih selamat, Cristanini menyediakan sistem takungan khas yang boleh digunakan.

Jadi, di mana aplikasinya?

Negara kita boleh dikatakan setiap tahun mengalami kejadian banjir. Dalam senario tersebut, antara elemen yang terdedah kepada mangsa dan juga kumpulan penyelamat adalah bahaya biologi daripada segala kekotoran yang dihasilkan semasa banjir tersebut. Malah, bangunan-bangunan yang dilanda banjir tersebut juga menghadapi ancaman yang sama. Meski dicuci, elemen kontaminasi dan toksifikasi tetap wujud, membawa kepada kebarangkalian pelbagai masalah kesihatan – daripada penyakit kulit hinggalah kepada penyakit bawaan air. Begitu juga senario di mana anggota pasukan kita yang terpaksa mendedahkan diri kepada elemen ini semasa latihan atau operasi. Jika anda masih ingat, ada anggota GGK kita yang terpaksa berendam di dalam air Sg. Gombak yang teruk tercemar demi menjayakan demo semasa DSA 2014, dan berdepan dengan ancaman kesihatan yang bukan kecil. Itu belum kira dalam situasi senario sebenar – lagilah teruk keadaannya.

Dengan sistem ini yang ringkas dan boleh dioperasikan oleh seorang pengendali, ia mudah alih, ringkas dan mudah digunakan selain selamat dan jimat. Malah, untuk penggunaan biasa juga ia tiada masalah. Contohnya untuk tujuan pembersihan kereta di car wash atau bangunan, sistem ini sangat berkesan dan efektif. Ia juga berguna dalam senario bantuan awal pemadaman kebakaran. Jadi, sekiranya kita mengambilkira penilaian keberkesanan dan ekonomi, rasanya sistem ini mampu memenuhi keperluan kita dalam hampir semua keadaan, terutama dalam keadaan kekangan bajet yang kita hadapi sekarang – rasanya ia adalah satu pelaburan jangkapanjang, mesra penggunaan yang sangat berbaloi, yang tidak terhad hanya pada penggunaan pada senario ketenteraan semata. Di Malaysia, antara yang menggunakan sistem ini adalah Divisyen 3 Tentera Darat, Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) dan juga pihak Bomba.

Untuk lebih maklumat berkenaan sistem ini, anda boleh google di :

http://www.cbrneworld.com/magazine/profiles/cristanini, @cbrneworld (Twitter) atau cbrneworld (Facebook).

Selain daripada pendedahan kepada elemen-elemen CBRN secara terus, mereka yang terlibat dengan elemen-elemen ini juga memerlukan satu lagi dimensi bantuan yang akan mampu membantu mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan, dan malah, menyelamatkan nyawa mereka sebelum pendedahan terus, melibatkan pengesanan awal.

Setiap anggota pasukan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, responder awal dan petugas kecemasan tahu – misi paling efektif adalah satu misi yang selamat. Hanya bahaya yang dikenalpasti mampu memberi jaminan keselamatan buat anggota yang terlibat. Walaubagaimanapun, sesetengah ancaman ini, seperti toksin, dan kimia bawaan udara, tidak mampu dikesan oleh mata. Samada siasatan ancaman bunuh diri melibatkan kimia, menyerbu makmal yang disyaki sebagai tempat memproses dadah atau melakukan siasatan di zon kritikal, jaminan keselamatan pernafasan adalah sangat penting kepada semua yang terlibat. Terdapat banyak kit pengesanan yang dijual, dan memilih kit yang betul adalah langkah bijak dan proaktif yang mampu menghalang bahaya daripada tercetus.

Peralatan pengesanan kinia elektronik tradisi kebiasaannya memerlukan latihan yang tinggi, belanja yang besar dan proses penjagaan yang rumit. Silap guna, rosak. Tak diguna, luput tarikh. Maka, ia membawa kepada kerugian. Begitu juga kebanyakannya direka untuk digunakan oleh mereka yang pakar dan bukannya mereka yang berada di lapangan.

Untuk itu, Morphix Technologies, sebuah syarikat yang berpengkalan di US telah memperkenalkan sistem yang lebih ringkas dan ekonomi yang mampu digunapakai oleh sesiapa saja tanpa perlu berharap kepada mereka yang pakar semata. Sistem yang dikenali sebagai Chameleon dan Trace ini terdiri daripada beberapa sistem ringkas yang bukan saja mudah digunakan, tetapi juga sangat ekonomik jika dibandingkan dengan sistem konvensional biasa.

Chameleon

Chameleon adalah sistem unik yang menggunakan aplikasi pengesanan bahan kimia ringkas yang dipakai di tangan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Pada lilitan tangan tersebut, disediakan sistem kaset tukar-ganti yang mampu memberikan indikasi tentang bahan kimia yang terdapat di dalam udara atau di persekitaran. Kaset ini akan bertukar warnanya bagi memberikan petunjuk kepada pemakai akan bahaya yang timbul. Sekiranya separuh daripada kaset ini bertukar warna, maka sahlah terdapat bahaya.

Pemakaian Chameleon

Setiap lilitan lengan boleh dipasangkan samada dengan satu sahaja kaset atau sebanyak 10 maksimum. Terdapat beberapa kit kaset yang telah disediakan, atau pemakai boleh memilih kaset individu. Kaset pra-sedia termasuk kit HazMat, Clan -Meth Lab Detetction atau Chemical Suicide. Ia tidak memerlukan anggota meneka lagi apa bahaya yang ada. Selain mudah dan murah, sistem Chameleon ini juga tahan lasak dan mampu digunakan dalam persekitaran artik, tropik atau gurun. Malah, ia boleh direndam dalam air. Kerana itulah ia semakin banyak dipakai oleh naval boarding teams.

Antara kaset yang ada

Hazmat Detection Kit / kit pengesanan HazMat-

  1. Chlorine/Fluorine,
  2. Hydariogen Fluoride
  • High pH (base)
  1. Hydariazine
  2. Hydariogen Sulfide
  3. Iodine
  • Low pH (acid)
  • Phosgene
  1. Phosphine
  2. Sulfur Dioxide
Kit pengesanan makmal dadah

Arson Investigation Kit /kit pengesanan punca kebakaran-

  1. Ammonia
  2. Hydariogen Cyanide
  • Hydariogen Fluoride
  1. Hydariogen Sulfide
  2. Low pH (acid)
  3. Nitrogen Dioxide
  • Phosgene
  • Sulfur Dioxide
Pemakaian kit pengesanan punca kebakaran

Untuk tujuan latihan –

  1. 1 lilitan lengan dengan 10 kaset tidak aktif
  2. 50 kaset latihan
  • 50 ampoule

Untuk video demonstrasi bagaimana kit ini berfungsi, and boleh ke https://www.youtube.com/watch?v=BPC4ppKKPmo

Selepas kaset dipasang

Setiap kaset mampu bertahan sehingga 24 bulan dalam suhu bilik, dan mempunyai jangka hayat 24 jam sebaik dibuka. Ia boleh bertahan dalam suhu antara -35°C sehingga 50°C dan kelembapan antara 20 hingga 100% RH. Ketahannya dalam air samada masin atau tawar adalah selama 1 jam. Dibandingkan dengan kit atau sistem pengesanan lain yang berharga puluhan malah ratusan ribu ringgit jika ditukar ke nilai matawang kita, ternyata kit pengesanan ini jauh lebih murah, efisyen dan ekonomik. Sekiranya harga sebegitu pun kita masih berkira, mungkin kita patut pertimbangkan tentang nilai nyawa anggota kita yang dihantar bagi menjalankan misi sebegini. Rasanya, tidak ada salah dan kurangnya kita meletakkan nilai nyawa mereka lebih tinggi dari harga yang harus dibayar iaitu nyawa mereka sendiri. Maklumat lanjut berkenaan sistem ini boleh diperolehi di :

http://www.morphtec.com/products/chameleon/config/

Selain daripada sistem Chameleon yang menggunapakai lilitan lengan, Morphix Technologies juga telah merekacipta satu lagi sistem pengesanan mudah alih dan ringkas yang senang digunakan oleh sesiapa sahaja, iaitu Trace.

TraceX – Explosive Trace Detection Kit atau Kit Pengesan Bahan Letupan berfungsi untuk mengesan jenis bahan letupan yang digunakan terutamanya dalam senario IED (Bahan Letupan Diubahsuai/ Improvised Explosive Device), walaupun ia tidak kelihatan pada mata kasar. Ini amat membantu dalam siasatan punca letupan, atau pengesanan awal sebelum letupan berlaku ketika lokasi disyaki sedang disiasat. Kepada banyak anggota pasukan keselamatan, ini mampu membawa banyak perbezaan dalam usaha menyelamatkan nyawa.

Trace X

Konsepnya sama sahaja. Ia menggunakan set pra-sedia di dalam bekas plastik yang memerlukan anggota mencalit sedikit permukaan atau bahan dan kemudian ia dimasukkan ke dalam bekas tersebut. Hampir serta- merta, indikator pada bekas plastik akan menunjukkan bahan asas kombinasi letupan tersebut. Ia tidak memerlukan latihan panjang, kos yang tinggi atau peralatan canggih. Malah, kadar pengesanannya adalah lebih tinggi daripada sapuan atau calitan konvensional, dan pengendali juga tidak perlu mencampurkan bahan kimia tertentu bagi mendapatkan keputusan. Perubahan warna cukup untuk memberitahu kepada pengendali bahan yang terlibat. Antaranya adalah :

  1. Nitroaromatics – contoh: TNT, DNT, Tetryl
  2. Nitramines/Nitrate Esters – contoh: RDX, HMX, PETN, EGDN, NG
  • Inorganic Nitrates – contoh: urea nitrate, ammonium nitrate, black powder
  1. Chlorate/Bromates – contoh: potassium chlorate, potassium bromate
  2. Peroxides – contoh: TATP, HMTD
  3. Asid – contoh: nitric acid, sulfuric acid, citric acid

Bases – contoh: potassium hydarioxide, sodium hydarioxide

Bahagian dalaman kit Trace X

Ciri-ciri produk ini adalah :

  1. Jangkahayat – 12 bulan pada suhu bilik
  2. Suhu Operasi – 2ºC ke 50ºC (35ºF to 122ºF)
  • Kadar kelembapan oprasi – 10% ke 95% RH
  1. Sensitiviti – Trace Level (boleh juga mengesan jumlah besar)
  2. Jangkamasa tukar warna – 3 minit
  3. Saiz Kit – 131 mm x 92 mm x 17 mm (5-1/4” X 3-3/4” X 3/4”)

Harga setiap kit adalah sekitar USD200. Pada asalnya, kit ini telah direka untuk Bahagian Pertahanan US. Maklumat lanjut boleh diperolehi di http://www.morphtec.com/products/tracex.

Adakah ini sahaja penyelesaian atau solusi yang kita ada dalam menghadapi ancaman CBRN? Tentu sekali tidak, tetapi pilihan-pilihan sebegini memberikan opsyen yang lebih praktikal dan ekonomikal bagi anggota-anggota kita yang terbabit di medan. Malah, tak kurang juga ia boleh dipertimbangkan untuk kegunaan awam dalam banyak situasi. Pilihannya terletak di tangan kita…=WRA=

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply