Menggores Darah Kesetiaan Di Muka Ketidakadilan

0
1969
views

Langkahku tetap tidak berganjak biarpun keris sultan menusuk rusukku bersama kemurkaan baginda; biarpun sejuta fitnah dilemparkan kepada namaku. Darah kesetiaanku tetap mengalir menjadi laut dan laut ketulusanku diharapkan menjadi rahmat yang melindungi takhta sultan. Dirgahayu sultanku!

Itulah kesetiaan yang tidak berbelah bagi seseorang pembesar terhadap tuannya biarpun fitnah yang disumbatkan di dalam dada itu begitu mendera nurani sehingga dia masuk ke liang lahad. Ketika sultan menanyakan pendapat Bendahara: menanyakan permaisuri yang sesuai diperisteri, kewajaran mendapatkan sesebuah negeri untuk menjalin hubungan diplomatik, jawab yang disambut pasti sembah bendahara yang berbunyi:

Jetpack Langkawi

“Apa-apa titah tuanku patik junjung di atas batu jemala yang hina.”

Kemudian, dengan besar hatinya, sultan akan mengerahkan rakyat-rakyat, pembesar-pembesar menyediakan perahu untuk belayar. Pembesar begini mungkin dipandang tidak berpendirian berpandukan neraca pertimbangan kini tetapi sebenarnya, dapat dipahami bahawa pembesar memandang titah atau cadangan sultan sebagai sesuatu yang sangat berharga yang datang daripada akal sultan yang teramat bijaksana.

Di ambang kematian dan keporak-perandaan, jiwa manusia yang penuh dengan janji-janji seteguh gunung terpasak tiba-tiba melemah, mengecut dan ingin lari. Ketakutan yang amat sangat menghantui diri: dia takut berhadapan dengan darah, kederitaan ketika rusuk ditembus lembing, musuh yang berwajah bengis dengan senjata yang berkilat hujungnya yang tajam. Itu fitrah manusia.

Walau bagaimanapun, pembesar Melaka yang bernama Bendahara Tepok telah mencipta sejarah. Nama asal Bendahara Tepok itu Bendahara Paduka Raja. Beliau digantikan kepada Bendahara Tun Mutahir oleh Sultan Mahmud Syah. Walau bagaimanapun, oleh sebab keuzurannya, pentadbirannya tidak cekap. Beliau hanya termenung di atas kerusi roda; berhadapan dengan pintu balainya setiap hari sahaja dan ketika orang hendak menghadapnya, mereka menghadapnya di pintu balai itu juga (A. Samad Ahmad, 2015:259).

Sekalipun tulang sudah rapuh, usia sudah merampas keperkasaan mudanya, jiwanya terlalu kental. Sewaktu Peringgi atau tentera Portugis merempuh tembok Melaka, ingin menyerang dan merobohkan istana Melaka, Bendahara Tepok yang hanya mampu duduk di kerusi dengan giginya yang tinggal sebiji, dua biji sanggup berteriak untuk menyeru hulubalang memperlanggarkan tubuhnya yang kurus dan lemah itu kepada Peringgi sebagai tanda bakti terakhirnya yang kerdil kepada kerajaan Melaka. Hamba sudah menghampiri maut. Jadi, biarlah hamba menghadapi maut dalam sinar yang mulia kerana biar putih tulang, jangan putih mata!

Kesetiaan Bendahara Tepok yang menggores darah kesetiaan tua terakhirnya memang mengundang gerimis di dalam mata yang membaca cetera itu. Terbayanglah suaranya yang kuat tetapi parau dan tubuh yang kurus dan lemah yang mengamuk ingin dilontarkan kepada musuh itu.

Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bendahara Tun Mutahir pula mati meninggalkan harta; harta bukan untuk anak cucunya tetapi untuk sultan. Biarpun dihadapkan ke muka pengadilan oleh fitnah pembesar, Tun Mutahir tetap tenang mewasiatkan emasnya kepada Sultan Mahmud Syah sebelum diperintah dibunuh baginda (A. Samad Ahmad, 2015:258). Dia sanggup berwasiat demikian kerana kesetiaan yang masih mengalir dalam jiwanya yang tidak menderhaka.

Sebelum itu, dalam peristiwa pembicaraan mahkamah antara Nina Sura Dewana dengan Raja Mendeliar tentang kewangan, Bendahara Tun Mutahir diemasi Nina Sura Dewana kerana Nina Sura Dewana takut bahawa Raja Mendeliar yang kaya itu merasuahi Tun Mutahir, berpakat dengan Tun Mutahir untuk menuduh diri di mahkamah nanti, maka dia mengambil langkah pertama untuk memikat hati Bendahara Tun Mutahir dahulu. Tun Mutahir menganggap emas sebagai tanda persahabatan sahaja.

Tiba-tiba, pada suatu hari, muncullah Kitul yang mengunjungi Raja Mendeliar. Kitul mendakwa bahawa Nina Dewa Surana merasuahi Bendahara Tun Mutahir untuk berpakat membunuh Raja Mendeliar. Kitul sengaja mengambil kesempatan ini untuk memfitnah Tun Mutahir supaya hutang wangnya terhadap Raja Mendeliar dihapuskan dan dihalalkan. Raja Mendeliar yang percaya buta tuli itu lekas tersenyum licik, menghalalkan segala hutang Kitul. Di hadapan Sultan Mahmud Syah, Raja Mendeliar mencipta fitnah, menuduh bahawa Bendahara Tun Mutahir telah menerima emas untuk menggulingkan Sultan Mahmud Syah. Sultan Mahmud Syah yang memang berdendam akan Bendahara Tun Mutahir itu lekas menjatuhkan perintah hukum mati tanpa usul periksa.[i]

Pada kebiasaannya, seseorang akan menjerit-jerit untuk menyucikan noda fitnahnya. Namun demikian, Bendahara Tun Mutahir tetap diam dan sabar menjalani ujian ini. Sambil hati mencurahkan air mata lara kerana sultan yang tidak mengerti kemuliaannya, Tun Mutahir tenang menjalankan amanah akhirnya, mempertahankan maruahnya sebagai pembesar yang setia dengan memulangkan harta diraja kepada Sultan Mahmud Syah.

Sekiranya hendak mati, biarlah hamba mati dalam kesucian tanpa berhutang. Akan hamba pulangkanlah harta karun yang dikaut dari istana. Daripada peristiwa yang mengharukan hati ini, gerangannya tidak dapat terduga oleh kita lagilah dalamnya ketaatan pembesar istana terhadap pemerintah yang tidak pernah lekang.

Kalau seseorang membunuh anak anda, apakah yang anda rasai? Tentulah amarah membakar kewarasan sehingga diri ingin lepas daripada segala belenggu aturan dan adat, menjadi Tuhan untuk menghakimi, membunuh si sial itu. Namun begitu, kegilaan begitu tidak terjadi pada Tun Perak, bendahara Sultan Mansur Syah. Alkisah Sultan Mansur Syah ada seorang putera yang bernama Raja Muhammad. Pada suatu hari, anak Tun Perak, Tun Besar dan kawan-kawannya sedang menyepak raga. Apabila Raja Muhammad lalu di tepi mereka, Tun Besar tidak sengaja menyepak bola raga itu ke destar Raja Muhammad. Muka Raja Muhammad serta-merta merah padam kerana kejatuhan destar bermaksud kejatuhan martabatnya yang tinggi.

Maka apa-apa balas di neraka nanti sudah tidak dipedulikannya lagi; kini, hatinya hanya menurut kata-kata hantu dan setan yang ingin membantunya menghapuskan keaiban yang sungguh mencemari darjat luhurnya. Suatu tikaman terus menerobos hulu hati Tun Besar. Maka gemparlah anak buah Tun Perak; semua anak buahnya keluar dengan senjata masing-masing, ingin membalas dendam atas kematian Tun Besar. Tun Perak yang tergamit oleh kebingitan ini terus hairan akan hal berlengkap semua anak buahnya.

Ketika mengetahui bahawa anaknya dibunuh oleh Raja Muhammad, Tun Perak tidak sempat mengumpulkan dendam dalam hati kerana beliau lebih kaget akan pemberontakan anak-anak buahnya yang sudah melupai darjat diri dalam masyarakat.

“Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan (A. Samad Ahmad, 2015:153).”

Sultan Mansur Syah memang sangat murka akan perbuatan melulu puteranya. Akhirnya, Tun Perak yang berhati selapang laut itu hanya menyuruh rakyat Melaka jangan bertuankan Raja Muhammad. Seluruh bumi Melaka menolak Raja Muhammad. Oleh itu, Raja Muhammad dirajakan di Pahang. Pada pendapat saya, kehilangan anak sudah begitu menyayat hati, lebih-lebih lagi anaknya mati atas peristiwa remeh sahaja namun bapanya masih begitu waras dan setia kepada jawatannya dan menyedari kedudukannya di sisi sultan! Generasi muda yang selalu mengutuk pemimpin negara, guru besar dan guru-guru harus insaf dan berasa malu terhadap diri yang selalu mengambil ringan tanggungjawab berat pemimpin kita walhal pembesar Melayu dahulu sanggup mempertahankan ketaatannya  kerana menghormati sultan sebagai tiang seri negara!

Saya tidak pernah sesedih begitu ketika membaca tragedi ini. Ketundukan Seri Nara Diraja dan Seri Wak Raja kepada Sultan Mahmud Syah pada masa kelarian daripada serangan Portugis sungguh membuat bahawa pembaca menumbuk-numbuk dadanya sambil marah dalam tangisan:

“Mengapakah Seri Nara Diraja dan Seri Wak Raja masih sanggup melayan Sultan Mahmud Syah si penjahat itu begitu baik?” Sebermula Sultan Mahmud Syah lari ke Gunung Bintan dengan pegawainya, Seri Nara Diraja, Seri Wak Raja[ii] dan dua orang puteranya, Raja Muzaffar dan Raja Ali serta isterinya, Tun Fatimah/Raja Perempuan dan dua orang puterinya, Raja Putih dan Raja Khadijah. Sehingga sampai di sebuah air terjun gunung itu, Sultan Mahmud Syah tidak larat berjalan lagi malah berasa sangat lapar. Rata-rata orang terseksa oleh perutnya yang semakin leper.

Oleh itu, Sultan Mahmud Syah pun menitahkan Tun Hamzah (Seri Nara Diraja) mencarikan baginda dan permaisuri serta anak-anak baginda nasi. Biarpun ayahnya, Seri Nara Diraja dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah dalam peristiwa fitnah Raja Mendeliar terhadap Tun Mutahir, Tun Hamzah masih tersenyum dalam kesyukuran bahawa dia masih berada di landasan tidak memberontak yang wajar lalu berlapang dada; memaafkan kesilapan lalu Sultan Mahmud Syah dengan hanya berkata kepada Seri Wak Raja: “Hei Seri Wak Raja, siapakah yang membunuh ayah kita berdua? Bukankah sultan ini? Inilah masa bahawa kita membalas kasih Sultan Mahmud Syah akan bapa kita itu. Baginda, permasuri dan putera puterinya sangat lapar sekarang, jom kita cari nasi yang hangat.”

Malu; malulah Sultan Mahmud Syah yang mendengar kata Seri Nara Diraja itu! Keterharuan ini tidak berhenti setakat ini sahaja. Seri Wak Raja dan Seri Nara Diraja yang sudah dibutakan oleh kesetiaan kepada pemerintah itu sanggup membuang maruah diri dengan mencuri periuk tembaga dan ikan bakar tiga orang perempuan di suatu sudut Gunung Bintan sehingga sanggup menahan herdikan tiga orang perempuan yang sungguh memalukan mereka: “Lihatlah Orang Kaya Seri Waja Raja, menyamun nasi orang! Malu pun tiada, anak Bendahara menyamun (A. Samad Ahmad, 2015:282)!”

Ketaatan itu meleleh sehingga Seri Nara Diraja sanggup tunduk kepada pembunuh bapanya, mencuci pembunuh bapanya, seperti adat istana dahulu! Darah dendam Seri Nara Diraja disucikan dengan kesetiaan kepada sultan dan iman bahawa Allah akan mengadili segala-galanya di akhirat nanti! Ketaatan yang tidak pernah berganjak ini mengail air mata Sultan Mahmud Syah.Layaklah Seri Nara Diraja dan Seri Wak Raja diangkat sebagai pahlawan berjasa yang akan diingat sampai bila-bila; yang menjiwai wasiat Sultan Mansur Syah: “Rakyat itu umpama akar dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri (A. Samad Ahmad, 2015:172).”

 Selanjutnya, kita menyaksikan seorang pembesar yang hanya bertuankan seorang raja sahaja, raja lain tidak hendak dipertuannyalebih relalah dia dibunuh oleh raja baharu jika dia terpaksa bertuankan raja baharu itu! Tun Ali Hati enggan menerima Sultan Mahmud Syah sebagai sultan baharu yang patut dipertuannya setelah Sultan Ahmad Syah dibunuh. Dulu, Sultan Ahmad Syah dinaikkan ke takhta oleh ayahandanya sendiri Sultan Mahmud Syah. Tun Ali Hati pegawai muda bawah pemerintahan Sultan Ahmad Syah. Sultan Ahmad Syah sangat mengasihi Tun Ali Hati.[iii] Setelah Sultan Ahmad Syah dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah[iv], Sultan Mahmud Syah mengumpulkan semua hamba Sultan Ahmad Syah lalu mengurniai mereka untuk menambat hati mereka supaya mereka menghambakan diri kepada baginda.

Semua orang begitu mudah berpaling tadah daripada Sultan Ahmad Syah kepada Sultan Mansur Syah kecuali Tun Ali Hati. Tun Ali Hati berasa jelik akan kesetiaan pegawai-pegawai istana yang begitu tohor. Dulu, mereka mengampu Sultan Ahmad Syah; kini, zaman sudah beredar, gunung sudah lain rupanya dan pembesar-pembesar ini bergantung pada gunung lain yang terteguh pada masa itu pula! Dia tetap akan pendirian bahawa sekiranya seseorang hamba itu sudah bertuankan seorang raja, selama-lamanya hamba itu milik raja itu sahaja. “Lebih relalah aku mati jika bertukar tuan!” Tun Ali Hati berterus terang di hadapan Sultan Mahmud Syah. Berkali-kalilah Sultan Mahmud Syah memujuknya bahawa baginda akan melayannya sebaik layanan Allayharham Sultan Ahmad Syah namun Tun Ali Hati masih merayu Sultan Mahmud Syah membunuhnya. Akhirnya, Tun Ali Hati mati dengan seketul hati yang masih terpaut pada kasih Allayarham Sultan Ahmad Syah.

Sebagai natijah, saya tidak tahu hendak mengatakan apa lagi. Saya sudah bungkam sepenuh-penuhnya oleh roh mereka yang luar biasa. Pada mulanya, memanglah aku mengedutkan dahi sambil mencaci kebebalan mereka terhadap sultan berbudi hina yang tidak layak dibela. Namun begitu, setelah menaakul tindakan mereka, saya terhantuk oleh kesedaran; bungkam dalam kekaguman. Adakah mereka bebal dan berdosa kerana melindungi pemerintah yang zalim? Adakah mereka wajar disebut zaman-berzaman atas kesetiaan yang tetap digores dan amanah yang tetap dipikul erat di atas pundak di muka ketidakadilan? Terpulang kepada andalah penilaian pembesar-pembesar itu. Yang bergema di telinga saya kini hanya sumpah Bendahara Tun Mutahir: “Adat Melayu tidak pernah derhaka.” 

Rujukan

A. Samad Ahmad. (2015). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu edisi pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Nota Hujung:


[i]  Sultan Mahmud Syah menyimpan dendam terhadap Bendahara Tun Mutahir kerana Tun Mutahir
tidak rela mengahwinkan anak perempuannya, Tun Fatimah dengan Sultan Mahmud Syah
sebaliknya mengahwikan Tun Fatimah dengan Tun Ali walhal berasaskan adat diraja, anak
perempuan bendahara patut dipersuamikan dengan raja (A. Samad Ahmad, 2015:250).

[ii] Seri Nara Diraja dan Seri Wak Raja hanya nama jawatan. Seri Nara Diraja nama bagi penghulu
bendahari manakala Seri Wak Raja nama bagi bendahara. Nama sebenarnya Seri Nara Diraja itu
Tun Hamzah manakala Seri Wak Raja itu Tun Abdul Karim (A. Samad Ahmad, 2015:272). Tun
Hamzah anak Seri Nara Diraja. Tun Abdul Karim pula anak Bendahara Seri Maharaja/Bendahara
Tun Mutahir. Ayah kedua-dua orang pengiring setia ini, iaitu Seri Wak Raja dan Tun Mutahir dibunuh
oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara atas perintah Sultan Mahmud Syah. Mereka difitnah
hendak menggulingkan kerajaan Sultan Mahmud Syah dalam peristiwa Nina Dewa Surana dan Raja
Mendeliar itu. Raja Mendeliarlah yang sengaja memfitnahkan bahawa Bendahara Tun Mutahir
hendak menggulingkan kerajaan Sultan Mahmud Syah setelah memaklumi bahawa Nina Dewa
Surana memberikan emas kepada Bendahara Tun Mutahir untuk berpakat untuk membunuh Raja
Mendeliar. Pakatan Tun Mutahir dan Nina Dewa Surana itu pula hanya fitnah Kitul yang terbit
daripada sangka buruknya. Kitul berbuat demikian supaya Raja Mendeliar sanggup menghalalkan
hutangnya (A. Samad Ahmad, 255
257). Dalam hal ini, kita menyaksikan kedahsyatan rantaian
bohong dan fitnah yang dicipta oleh hati busuk manusia yang menyegerakan maut seseorang yang
suci daripada dosa!

[iii] Pemuda-pemuda yang dikasihi Sultan Ahmad Syah terlalu banyak,  iaitu Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat
Bulu, Tun Muhammad Rahang, Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu, Tun Ali Kenyal…jumlah
kesayangannya 14 orang pemuda, 30 orang hamba raja (A. Samad Ahmad, 2015:265).

[iv] Sultan Mahmud Syah membunuh puteranya, Sultan Ahmad Syah kerana menganggap bahawa
Sultan Ahmad Syah suka kepada sejantina sejenis berdasarkan pergaulan mesranya dengan
pelbagai pembesar lelaki yang muda. Kesukaan kepada jantina sejenis itu laknat Allah yang
mengaibkan keturunan sultan. Maka itu, Sultan Mahmud Syah lebih rela menghapuskan keaiban
itu dengan membunuh putera sendiri demi kelangsungan kemuliaan sultan pada hari kemudian.