Mengenang Keagungan Kerajaan Acheh Dalam Sejarah Kepulauan Melayu

236

Aceh kini dipandang sepi, bukan menjadi bualan para pujangga. Tidak kelihatan langsung karisma Aceh dewasa ini, hanya sekadar wilayah dalam Negara Kesatuan Republik Indonesia yang dikatakan pernah berjuang untuk menuntut merdeka tetapi gagal. Malahan, Aceh bukan lagi kuasa pencongak adu domba politik seantero nusantara.

Hanya sekadar menghiasi peta Asia Tenggara dengan wilayan dihung pulau Sumatera. Namun, kalian harus tahu bahawa Aceh ini bukan sebarang Aceh. Dahulu pernah menggugat wibawa penguasa Eropah. Kuasa armada dan militer Aceh telah menjadi tonggak kekuasaan.

Boleh juga dikatakan penentu kekuasaan ini terletak pada wibawa Sultan Iskandar Muda. Setelah Melaka ditewaskan dengan mudah oleh Portugis. Agak aneh, secara tiba-tiba Aceh muncul tatkala Johor Tua sedang bergelumang dengan kekalahan demi kekalahan diserbu tentera Portugis. Johor Tua yang dimaksud ini bukanlah negeri Johor moden yang ada dalam Persekutuan Malaysia pada hari ini, tetapi Johor Tua yang menguasai sebahagian wilayah Melaka di Semenanjung dan Sumatera.

Aceh suatu ketika dahulu menganggap diri mereka sebahagian daripada rumpun Melayu. Manuskrip Bustan as-Salalatin dan Surat dari Sultan Aceh kepada Ratu Inggeris dan Raja Perancis ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi. Hal ini membuktikan bahasa Melayu ada peranan penting di Aceh ketika itu.

Kekuasaan hanya akan terbukti jika musuh politik berjaya ditundukkan dengan keras, malah jika dihapuskan, maka kekuatan dan wibawa akan muncul. Aceh berusaha untuk menumbangkan kuasa Portugis di Selat Melaka. Berkat wibawa Sultan dan bantuan ketenteraan dari Turki Uthmaniyah. Armada kapal perang lengkap dengan meraim besar dihantar mengepung Kota Melaka. Armada tersebut diketuai oleh kapal terhebat Aceh iaitu Cakra Dunia dihantar untuk mengepung kota Melaka. Cita-cita besar Aceh berlandaskan impian mengusir Portugis dari alam Melayu.

Musuh abadi Aceh ada dua, pertama Portugis, kedua Johor. Kedua-dua ini wajib ditundukkan supaya kekuasaan Aceh tidak dicabar. Ekspedisi demi ekspedisi dilancarkan demi mencapai penguasa mutlak laut Selat Melaka. Strategi menguasai Selat Melaka ini penting untuk kelangsungan ekonomi Aceh yang bergantung kepada monopoli perdagangan lada.

Strategi memusnahkan dan menghancurkan musuh demi kelangsungan ekonomi Aceh. Pada tahun 1612, penyerbuan ke atas kota-kota di pantai timur Sumatera. Deli dikepung selama enam minggu lalu Aru diserang Aceh dari arah laut dan menyerah kalah. Kekuatan angkatan Aceh terdiri daripada 40 000 laki-laki. Suatu perkara yang agak membinggungkan mengenai kekuatan Aceh adalah mengenai kerahan tenaga askar.

“Apabila raja hendak melancarkan perang, ia tidak mengeluarkan biaya sama sekali, semua hambanya tanpa kecuali wajib berjalan sesegera diperintahkannya, atas biaya sendiri dengan membawa bahan makanan untuk tiga bulan”.

Sultan Aceh harus mengalahkan Johor, penguasa Aru sebelum yang beribu kota di Batu Sawar. Armada Aceh telah menyerbu Batu Sawar, meskipun sedar di situ terdapat kantor (pejabat) dagang VOC (Syarikat Hindia Timur Belanda). Kemenangan Aceh ini jelas menunjukkan keunggulan tentera Aceh berbanding tentera Johor.

Antara rampasan perang terbesar dari penyerbuan ini adalah Sultan Johor, ‘Ala ad-Din Ri’ayat Syah dan kerabat baginda. Kemungkinan besar semasa serbuan oleh tentera Aceh di Batu Sawar, Bendahara Paduka Raja atau orang yang bergelar “Tun Seri Lanang” ditangkap dan dibawa bersama-sama Raja Seberang ke Aceh oleh tentera Sultan Iskandar Muda. Boleh juga dikatakan penangkapan pembesar bergelar “Tun Seri Lanang” ini yang mengarang karya agung Sejarah Melayu berlaku ketika kekuatan Aceh berada pada zaman kemuncak.

Selesai menghapuskan ancaman Johor. Hubungan dengan Johor mesti dipulihkan supaya tiada lagi masalah permusuhan. Untuk memulihkan kembali hubungan Aceh-Johor, Sultan Iskandar telah menghantar pulang Raja Seberang menjadi Sultan Johor yang baharu dengan harapan Raja Seberang akan taat kepada Aceh.

Tanggal tahun 1617, Pahang diserbu oleh angkatan Aceh. Pemerintah Pahang ketika itu iaitu Raja Ahmad mengalami kekalahan, anak baginda Raja Sulung dibawa ke Aceh. Akhirnya dinikahkan dengan Putri Sri Alam Permaisuri, anak Sultan Iskandar Muda. Tawanan perang ini telah diangkat sebagai Sultan Iskandar Thani sesudah kewafatan Sultan Iskandar Muda. Aceh kekal sebagai kuasa militer maritim walaupun sesudah kewafatan Sultan Iskandar Muda.

Tinggal Portugis di Melaka sahaja yang belum menyembah ke Aceh. Liat untuk ditundukkan. Pada tahun 1629, Aceh mempersiapkan armada terbesar mereka dengan 400 kapal dan kapal induk Cakra Dunia.  Kapal ini panjangnya sekitar 100 meter dan mempunyai 100 meriam.

Sultan Iskandar Muda pada awalnya naik, membawa bersama harta, anak-anak, dan isteri namun kerana “ketakutan oleh firasat yang kurang baik” akhirnya menyerahkan kapal itu kepada Sri Maharaja dan Laksamana. Aceh mengepung Portugis di Melaka.

Pada awalnya mereka kelihat lebih dominan, akan tetapi kedatangan armada bantuan dari Goa dibawah pimpinan Nuno Alvarez Botelho telah berjaya mengalahkan armada Aceh dari Melaka. Laksamana Aceh ditewaskan, dan kapal Cakra Dunia dirampas dan telah dikirim ke Sepanyol sebagai tanda kemenangan mereka atas Aceh. Ini merupakan kegagalan besar buat Sultan Iskandar Muda. Kekalahan ini merupakan antara kepungan militer besar terakhir yang dilakukan oleh Aceh. Semenjak itu tiada lagi kepungan Aceh ke atas Melaka.

Kini Aceh bukan lagi kuasa militer utama. Malahan Aceh bukan lagi sebuah negara seperti zaman Sultan Iskandar Muda. Aceh hanya sebuah wilayah di Sumtera. Tidak lagi kedengaran anak-anak muda menyebut nostalgia kekuataan militer Aceh dan perjuangan mereka menentang penjajag Portugis dan Belanda. Barang kali, anak-anak muda kini buta sejarah tentang nusantara. Disempitkan dengan budaya Inggeris yang sedikit sebanyak melemahkan jiwa Melayu.

Kini tiada lagi pengaruh Aceh di Kedah, Perak, Johor Tua dan Pahang. Tiada lagi kuasa militer yang membimbangkan imperialis Barat. Mungkin Aceh, boleh juga dikatakan kuasa Militer Melayu terhebat yang dapat kita saksikan dalam sejarah. Nostalgia Sultan Aceh, raja Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu.

Rujukan

Ahmat Adam (2016), Antara Sejarah dan Mitos : Sejarah Melayu & Hang Tuah    dalam Historiografi Malaysia, Petaling Jaya : SIRD.

Denys Lombard (2006), Kerajaan Aceh : Zaman Sultan Iskandar Muda 1607-1636, Jakarta Selatan : Kepustakaan Populer Gramedia.

Artikel disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.