Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu


Itulah bait-bait dialog keramat yang dilafaskan oleh Allahyarham Nordin Ahmad di dalam filem Sri Mersing arahan Salleh Ghani pada tahun 1961. Dialog ini seakan-akan menjadi satu “trademark” kepada beliau apabila merujuk kepada perkembangan penglibatannya di dalam sejarah filem Melayu.

Hari ini 15 Jun 2019 genaplah 48 tahun pemergian seorang seniman besar di dalam sejarah perfileman Melayu. Allahyarham Nordin Ahmad dipanggil pulang oleh Maha Pencipta dalam usia 42 tahun.

Nordin Ahmad merupakan hero filem Melayu terulung. Beliau diahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929. Nordin Ahmad merupakan anak ke dua dalam enam adik-beradik dari pasangan Ahmad bin Sahak dan Che binti Md. Hashim. Bapanya bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya, Pulau Pinang manakala ibunya menjalankan kerja-kerja kampung.

Penglibatan beliau bermula ketika bekerja sebagai kerani di pangkalan Tentera Udara Diraja British, Singapura pada tahun 1951. Sebelum itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota Bomba di Republik berkenaan. Pada peringkat awalnya beliau tidak pernah menyimpan hasrat untuk menjadi bintang filem sehingga beliau terbaca satu iklan di dalam akhbar Utusan Melayu dimana syarikat Malay Film Productions (Shaw Brothers) sedang mencari bakat baru sebagai pelakon. Atas dorongan rakan-rakan beliau menerima jemputan uji bakat syarikat filem berkenaan.

Buat kali pertamanya Nordin Ahmad menjalani uji bakat beliau telah gagal apabila pengarah S.Ramanathan yang mengadili uji bakat tersebut mengatakan bahawa Nordin Ahmad tidak boleh berlakon dan tidak mampu berdialog dengan baik. Disebabkan dengan kegagalan tersebut beliau hanya diberi watak sampingan sahaja di dalam filem Juwita (1951) sebagai anggota Polis.

Pada tahun 1952 Nordin Ahmad diberi peluang menjadi hero melalui filem Permata Di-Perlimbahan bergandingan dengan Maria Menado (Dato’ Seri). Filem pertama arahan Haji Mahadi itu telah gagal apabila ditayangkan dan hal ini membuatkan Nordin Ahmad kembali menjadi pelakon pembantu. Perkara itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berjuang di dalam bidang lakonan malahan beliau terus berusaha memperbaiki mutu lakonannya dalam menempatkan dirinya sebaris dengan hero-hero lain yang berada di MFP ketika itu.

Peluang yang dinantikan oleh Nordin Ahmad akhirnya muncul pada tahun 1956 apabila P.Ramlee menawarkan watak utama kepadanya di dalam filem Semerah Padi. Filem Semerah Padi merupakan filem kedua arahan P.Ramlee setelah menduduki bangku pengarah. Nordin Ahmad telah mengejutkan industri filem Melayu pada ketika itu dengan lakonannya sebagai Taruna yang sangat bermutu tinggi di dalam Semerah Padi. Ramai peminat dan pengkritik filem pada ketika itu memberi pujian terhadap lakonan Nordin Ahmad di dalam filem berkenaan. Nama Nordin Ahmad juga dengan sekelip mata melonjak ke tahap tertinggi sebaris dengan pelakon-pelakon utama seperti P.Ramlee, Ahmad Mahmood dan lain-lain.

Di sebabkan kejayaan melalui Semerah Padi Nordin Ahmad telah dilamar oleh syarikat Cathay-Keris Film pada penghujung tahun 1957. Pada 31 Disember 1957 Nordin Ahmad secara rasminya menamatkan kontraknya sebagai pelakon di MFP dan berhijrah ke Cathay-Keris selepas selesai penggambaran filem Belantara. Filem pertama Nordin Ahmad di Cathay-Keris adalah Orang Minyak. Penghijrahan ke Cathay-Keris lebih menggalakkan Nordin Ahmad mempersembahkan mutu lakonan yang terbaik bagi membuktikan Cathay-Keris adalah destinasi terbaik untuk kebaikan kerjaya lakonannya.

Siapa yang boleh melupakan lakonan mantap Nordin Ahmad di dalam filem-filem keluaran Cathay-Keris seperti Raden Mas, Noor Islam, Hang Jebat, Sri Mersing, Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang, Dang Anom, Lanchang Kuning, Chuchu Datok Merah, Tajul Ashikin, Ayer Mata Duyong, Patong Chendana dan Gurindam Jiwa. Nordin Ahmad sentiasa berada di dalam kelasnya yang tersendiri dalam memperlihatkan kewibawaannya sebagai seorang pelakon yang mempunyai daya penghayatan yang sangat tinggi. Nordin Ahmad juga dikatakan seorang pelakon yang sangat cerewet di lokasi. Menurut pengarah M.Amin, Nordin Ahmad agak lambat untuk memulakan penggambaran jika beliau belum berpuas hati dengan “reheasal”. Nordin Ahmad akan meneliti skrip dari hari pertama beliau menerimanya.

Jika beliau tidak faham isi kandungan dan hubungkait wataknya dengan watak yang lain beliau akan menemui penulis skrip berkenaan untuk mengetahui apa yang dimaksudkan. Di Cathay-Keris Nordin Ahmad telah menemui pasangan layar peraknya yang paling serasi iaitu Latifah Omar. Pihak studio beranggapan gandingan Nordin Ahmad bersama Latifah Omar adalah satu perkembangan yang baik buat studio dan telah mengarahkan lebih banyak filem-filem bermutu lakonan mereka berdua diterbitkan bagi menyaingi filem-filem keluaran MFP. Faktor ini menjadi salah satu strategi pihak studio untuk mengaut keuntungan yang besar kerana boleh dikatakan filem yang menggandingkan mereka berdua pasti mendapat pulangan yang lumayan jika ditayangkan pada ketika itu.

Di layar perak Nordin Ahmad mempamerkan gaya yang sukar ditiru orang lain, penampilannya berwibawa serta contoh seorang aktor sejati. Gerak lakon Nordin Ahmad mencapai tahap sebagai seorang pemain wayang yang handal kerana kehadirannya untuk watak tertentu nyata sering terserlah kelainan dan perbezaan, menjadikan mutu lakonannya ada kelas tersendiri. Nordin Ahmad bijak bermain mood menerusi gesture yang bijak dikawalnya, air muka bersahaja serta intonasi suara yang kemas dan teliti. Hasilnya persembahan lakonan Nordin Ahmad berada di dalam gred A dan wajar menjadi contoh kepada pelakon muda sekarang.

Kehebatan Nordin Ahmad sebagai pelakon meyakinkan pihak pengurusan Cathay-Keris mencuba prestasinya sebagai pengarah pula. Pada tahun 1963 Nordin Ahmad telah dilantik sebagai pengarah untuk filem pertamanya berjudul Wan Perkasa. Filem sulong arahannya itu telah menempa kejayaan dan diikuti beberapa lagi filem seperti Kaseh Ibu, Naga Tasek Chini, Playboy, Kekaseh. Si Murai, Nafsu Belia, Keranda Berdarah dan yang terakhir Lobang Nuraka.

Walaupun Nordin Ahmad dipandang hebat sebagai seorang pelakon yang mampu menghayati setiap watak lakonannya, namun kebanyakkan pengkritik filem berpendapat beliau kurang berjaya sebagai pengarah. Ini kerana mereka menilai Nordin Ahmad dari sudut lakonan bukan pengarahan. Ada pengkritik filem pada ketika beranggapan Nordin Ahmad sangat condong kepada gaya pengarahan P.Ramlee.

Nordin Ahmad telah mendirikan rumahtangga dengan Salmah Ibrahim pada tahun 1952 selepas selesai penggambaran filem Permata Di-Perlimbahan. Perkahwinan mereka dikatakan bermula dari usikan rakan-rakan semasa mereka bersama-sama bekerja di Jalan Ampas. Hasil dari perkahwinan mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Asmah, Norman Shah dan Hasnor.

Nordin Ahmad meninggal dunia pada hari selasa, jam 4.30 petang, 15 Jun 1971 di Hospital Besar Singapura akibat penyakit demam kuning yang dideritainya beberapa bulan sebelum itu. Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bedok pada keesokkan harinya. Pada tahun 1980-an pihak kerajaan Singapura telah menggali semula tanah perkuburan Bedok untuk tujuan pembangunan.

Maka pusara Nordin Ahmad dan penghuni lain perkuburan berkenaan telah dipindahkan ke Pusara Abadi, Lim Chu Kang, Singapura. Disanalah bersemadinya jenazah seorang seniman besar dan terunggul dalam lipatan sejarah filem Melayu sehingga sekarang. Nordin Ahmad sentiasa menjadi inspirasi kepada pelakon generasi selepasnya yang menginginkan sesuatu resipi lakonan padat, mantap dan berwibawa. Antara sesalan kebanyakkan pelakon hari ini ialah tidak berkesempatan bersua muka dengan pelakon legenda itu kerana telah dijemput terlalu awal menemui Illahi ketika masih ramai yang menanam minat terhadap kehebatan persembahan beliau. Demikianlah hilangnya sebutir bintang yang seluruh hidupnya diabadikan untuk seni.

RUJUKAN:

Permata Seni Terbilang – Hidir Ali Razali
Dari Keris Film Ke Studio Merdeka – (Hamzah Hussin)
Mohd Sidik bin Ahmad (Adik Nordin Ahmad)
Allahyarhamah Salmah Ibrahim (Isteri Nordin Ahmad)
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

Comments are closed.