Di dalam perjuangan Parti PAS, nama beliau bukanlah asing lagi di dalam sejarah parti itu. TG Yusof Rawa atau Yusof Bin Abdullah telah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922. Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat. Nama Rawa itu diambil pada nama keturunannya iaitu keturunan Rao (RAWA).

Pendidikan awal TG Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta. Beliau kemudian menyambung pendidikan menengah beliau di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.

Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya P3rang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun. Semasa P3rang, bapanya telah terk0rban akibat terkena bom.

Apabila PAS ditubuhkan pada 1951, TG Yusof Rawa telah mendaftar sebagai ahli seumur hidup. Pada tahun 1959, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, menggantikan Ustaz Ahmad Azzam yang berpindah tempat. Semenjak memegang amanah itu, TG Yusof Rawa diberi kepercayaan menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat walaupun setelah melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Pada PRU 1969, TG Yusof Rawa telah menewaskan Dr Mahathir di Parlimen Kota Setar Selatan sekaligus menaikkan nama beliau di dalam arena politik. Menjelang penghujung tahun 1970an, TG Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama parti PAS.

Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, TG Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.

TG Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB. Sekembalinya dari New York, beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding. Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama di dalam kabinet PAS-Perikatan.

Selepas itu, Tg Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran. Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, TG Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan. Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, TG Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya. TG Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS.

Pada tahun 1981, TG Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh TG Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, TG Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik sebagai Yang Dipertua PAS.

TG Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam. Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya.

Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO. TG Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, TG Yusof Rawa menyatakan:

“…tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”

Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, TG Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini.

Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS. Di atas sebab-sebab kesihatan, TG Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am yang disandang olehnya sejak 1987.

Setelah memantapkan PAS di segi dalaman, TG Yusof Rawa berusaha meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa di negara ini. Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983.

TG Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir. PAS mengambil sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir. Tindakan ini sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa Melayu.

Apabila peristiwa Mamali tercetus, TG Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah. Di bawah kepimpinan TG Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.

Pendirian ini dipertahankan oleh TG Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah. Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka, TG Yusof Rawa tetap cekal mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid. TG  Yusof Rawa juga kerap mengkritik berkaitan dengan soal ISA yang baginya tidak adil dan zalim.

Pada 1993, TG Yusof Rawa telah meletakkan jawatannya sebagai Mursyidul Am Pas atas faktor kesihatan. 7 tahun kemudian, pada 27 April 2000 beliau telah kembali menemui PenciptaNya. Majlis pengebumian beliau dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat dan turut dihadiri oleh kaum bukan islam. Antaranya KM Pulau Pinang ketika itu, Datuk Koh Tsu Koon.

Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Ustaz Yusof Rawa ini telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS hinggalah ke hari ini

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.