Mengembara Ke Kota Tinggi: Tapak Peradaban Melayu Johor

1,191

‘Segalanya bermula di sini’, inilah kalimat yang terukir di persimpangan bandar Kota Tinggi. Bukan kata-kata kosong, ia hakikatnya penuh bermakna. Destinasi bersejarah ini yang dahulunya digelar Kota Tauhid, mengimbau kegemilangan Kesultanan Johor, waris Kesultanan Melayu Melaka.

Bertarikh 14-09-2019, kami menyahut seruan ‘Tanah Melayu kembali bertanjak’ pada Hari Malaysia. Persaudaraan Warisan dan Sejarah (PEWARIS) beramai-ramai menyusuri sungai Kota Tinggi dengan segak berbusana. Sebenarnya, di sepanjang sungai ini menyimpan peninggalan sejarah yang tersirat. Rugi kalau jadi orang kota, tapi tak pernah kenal sejarah kota.

Berkumpul di jeti Telok Sengat, kami menaiki bot melalui jalan air dari sini ke destinasi pertama, iaitu Kota Panchor. Uniknya orang melayu, negara dipanggil sebagai ‘tanah air’. Bukan setakat motherland atau fatherland. Air dianggap bahagian yang penting, menunjukkan kita sememangnya bangsa pelayar yang unggul. Jalan air sudah menjadi tapak permainan. Mudah dibaca seumpama belakang tepak tangan.

Kota Panchor menyimpan cerita Sultan Abdul Jalil Shah IV yang dimakamkan di sini dengan nesan Acheh. Baginda ialah sultan Johor pertama dari jalur Bendahara. Dari sinilah bermula episod bugis lima bersaudara yang memasuki siasah istana di Tanah Melayu. Kota ini terletak di atas tanah tinggi dan terdapat 12 pucuk meriam tembaga yang besar serta cantik untuk menahan asakan musuh.

Di atas Bukit Tukul pula ada Makam Tengku Dara/Darah Putih. Di sini disemadikan seorang puteri raja yang di waktu siang duduk di istana, di waktu malam berjuang sebagai srikandi. Dia dikuburkan di biliknya sendiri dan mati akibat dibunuh kerana ada yang tidak puas hati apabila puteri ini memperjuangkan keadilan. Ini membuktikan, perempuan bukan tugasnya mengemas rumah atau mendodoi anak sahaja, bahkan gagah berani menggempur petualang bangsa.

Menaiki bot, kami singgah pula ke Kampung Seluyut. Terdapat beberapa makam yang sukar diakses dengan jalan darat. Di sinilah terletaknya makam Bendahara Tun Isap Misai, yang dikatakan bermisai panjang sampaikan sewaktu makan kena menyelak misainya dan bila-bila bersendirian akan menghisap misainya sendiri. Beliaulah nenda kepada Tun Sri Lanang. Tun Isap Misai ada mengarang karya berjudul ‘Panah Sedoso’.

Mendaki sedikit ke atas, kita temui makam Sultan Muzaffar Shah, Raja Fatimah dan Sultan Abdul Jalil Shah I. Mengenangkan semula pemerintan diraja Johor yang penuh onak ranjau, menyedarkan kita bahawa bukan senang untuk memastikan negara aman. Dari luar penjajah menyerang, dari dalam belati menikam. Tidak sampai setahun memerintah, baginda mangkat dipercayai angkara diracun.

Raja Umar yang menggantikan Sultan Abdul Jalil Shah I berusaha mengembalikan kestabilan dan kekuatan kerajaan Melayu. Dalam sibuk berkejar-kejaran dengan Portugis, sempat lagi tuanku mempersenjatakan beratus-beratus meriam dan senjata tajam. Membuktikan seni besi orang melayu sudah maju dan mampu menyediakan senjata dengan laju.

Pada 1571 Masihi, pusat pentadbiran kerajaan Johor dipindahkan daripada Bukit Seluyut kepada Batu Sawar dan ke Johor Lama akibat bersedih atas kematian permaisuri iaitu Raja Fatimah.

Seterusnya, kami menaiki bot dan berselisih dengan makam Raja Umar (Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ll). Jeti untuk naik ke makam ini sudah patah, dan belkum lagi dibaiki. Maka, kami hanya memerhati dan menghayati dari jauh.

Enjin bot dihidupkan, dan sebelum kami kembali ke jeti Telok Sengat, kami menyusuri tepi Kubu Budak yang dilindu pokok-pokok bakau. Dikatakan apabila musuh ingin menyerang, sekumpulan budak beramai-ramai mengambil sekepal tanah seorang, membina kubu buat menghadapi lawan.

Lokasi terakhir kami ialah Muzium Johor Lama. Di hadapannya ialah binaan lama tembok batu yang telah dilitupi rumput. Tembok ini, mampu menahan impak tembakan meriam Portugis berdas-das. Kesan arkeologi dapat dilihat dengan jelas, yang menampakkan kecerdikan teknologi ketenteraan Melayu.

Kota Batu ini dibina dengan tiga jenis batu iaitu batu karang, granit dan lateriteserta ditambak dengan tanah. Kalau tembok pun dah kompleks binaannya, apatah lagi istana. Kalau bukan kerana penjajah, mungkin kita masih dapat, menyaksikan keindahan dan kehalusan istana Kesultanan Melayu.

Sultan Alauddin Riayat Shah II membangunkan kota ini seawal 1540 Masihi.  Dengan terbinanya pertahanan kota ini, ia telah menangkis beberapa serangan daripada Acheh dan Portugis.

Pada 1567 Masihi, serangan Portugis berjaya dipatahkan oleh Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II. Malangnya, pada 1578 Masihi, tentera Portugis berhasil mengepung kota ini sehingga memaksa sultan untuk berundur ke Batu Sawar. Portugis telah merampas 800 pucuk meriam gangsa, emas, perak, 1200 buah perahu besar dan kecil serta harta yang melimpah.

Pada jam 4.00 petang, berakhirlah kembara kami. Perasaan bangga bercampur sebal mengenang jatuh bangun Kerajaan Melayu Johor menyelubungi sukma. Menjelang asar, ziarah ditutup dengan ikrar mengembalikan semangat Melayu yang hilang.

RUJUKAN:

  1. Nota Peninggalan Sejarah Di Pesisiran Sungai Johor (Yayasan Warisan Johor)
  2. Persaudaraan Warisan dan Sejarah (PEWARIS)
  3. Azlie Ahmad
  4. Mohamad Syafiq Bin Rosman

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.