Mengapa Wanita Saling Membenci Antara Satu Sama Lain?

0
1391
views

Saya pasti ramai yang tertanya, mengapa wanita tidak boleh saling berbaik antara satu sama lain, mengapa ada yang saling membenci tanpa sebab, mengapa bermuka-muka di hadapan namun mengumpat di belakang?

Hubungan wanita dengan wanita ini kompleks.

Sejak berkurun lamanya, wanita dikatakan tidak berupaya untuk mempunyai hubungan persahabatan yang sejati. Mereka di era Victoria mempunyai hubungan persahabatan antara wanita, namun ia dikatakan sebagai hubungan yang dangkal dan cetek kerana ia sekadar bersifat pura-pura. Tidak seperti persahabatan antara lelaki pada zaman itu yang kekal lama, hubungan antara wanita tidak kekal lama, kerana wanita dikatakan sering bertengkar dan berbalah.

Antara faktor utama yang popular dan dipegang hingga ke hari ini ialah disebabkan cemburu secara seksual, atau faktor biologi – di sini ia bermaksud cemburu untuk mendapatkan perhatian lelaki. Faktor ini dikatakan penting untuk kelangsungan hidup sesuatu spesies. Wanita perlu berlumba untuk mendapatkan perhatian lelaki yang diminati, justeru akan ‘menyerang’ wanita lain yang ‘mengganggu’. Faktor biologi ini masih belum terbukti sehingga kini, namun faktor ini popular dan terima ramai.

Faktor lain yang menyebabkan seseorang wanita itu membenci seorang wanita lain ialah sifat rendah diri. Seorang wanita yang merasakan dirinya ada sifat kekurangan dengan seseorang wanita yang lain akan menyebabkan wanita itu ‘menyerang’ wanita tersebut untuk menutupi kelemahannya. Sebagai contoh, wanita yang berjaya dalam perniagaan akan dicemburui dan dibenci oleh wanita yang merasakan dirinya ‘kurang’ berjaya. Rendah diri boleh terjadi disebabkan cara wanita dibesarkan oleh ibu bapa, sama ada wanita itu mempunyai ibu bapa yang bersifat kritikal, terutamanya si ibu, rakan-rakan wanita tersebut, rakan sekerjanya, atau isu/masalah peribadi yang sedang dihadapi oleh wanita tersebut.

Suatu kajian pada 2011 oleh Benenson dan rakan-rakan menunjukkan bahawa wanita akan mudah rasa terancam dalam hubungan sosial, justeru itu apabila mereka berasa diancam dalam suatu hubungan sosial (rakan-rakan sepejabat, kumpulan kejiranan, kumpulan kawan baik dsb) respon pertama wanita tersebut ialah melancarkan serangan terhadap wanita lain terlebih dahulu. Mereka lebih rela wanita lain menerima akibatnya dalam sesuatu hubungan sosial, berbanding mereka sendiri. Kajian lain pula mendapati bahawa wanita akan pernah berasa terpinggir atau ‘diserang’ oleh wanita/kumpulan wanita lain sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh hidupnya. Ini perkembangan yang membimbangkan namun ada yang beranggapan ia perkara biasa, a norm in life.

Di tempat kerja pula, ia merupakan perkara biasa untuk kita mendengar bahawa bos wanita itu lebih cerewet, kejam, kurang bertimbang rasa dan banyak lagi gelaran negatif. Jika boleh, elakkan daripada mempunyai bos wanita!

Namun pelbagai kajian mendapati, ia sekadar bias dan persepsi semata. Disebabkan fokus kita secara umumnya akan lebih terarah terhadap perkara atau kejadian negatif dalam hidup, maka perkara negatif itu yang akan diperbesarkan dan diingati, berbanding perkara/kejadian yang baik/positif. Juga, kita secara umumnya akan memberikan penekanan yang lebih/berat sebelah kepada wanita terutama dalam hal keluarga, anak-anak dan tidak terlepas juga, di tempat kerja. Wanita diletakkan di tahap kebolehan yang berbeza berbanding lelaki justeru ekspektasi juga lebih tinggi.

Namun, adakah sindrom wanita saling membenci ini perkara yang amat membimbangkan sehingga boleh meruntuhkan dunia? Dari segi perspektif psikologinya, ada yang berpendapat antara sebab Hillary Clinton kalah dalam perebutan jawatan Presiden Amerika Syarikat ialah kerana wanita masih tidak boleh memberi ‘sokongan’ terhadap wanita lain. Namun ini sekadar pendapat kecil saja. Ada juga mengatakan bahawa disebabkan wanita sukar memberi sokongan terhadap wanita lain menyebabkan tidak ramai wanita boleh berjaya dan berada di puncak. Mungkin juga.

Walauapapun, kejadian ini menarik untuk difikirkan dan difahami tanpa prejudis. Dengan memahami hubungan sosial antara para wanita, harapannya kita pun akan lebih mudah mengemudi hubungan sosial di sekeliling kita.

 

Bacaan lanjut:

Women Who Hate Other Women: The Psychological Root of Snarky

https://www.psychologytoday.com/us/blog/insight-is-2020/201309/women-who-hate-other-women-the-psychological-root-snarky

Do women actually hate each other for being beautiful?

https://metro.co.uk/2018/04/10/women-actually-hate-beautiful-7454697/?ito=cbshare

Why Do Women Bully Each Other at Work?
https://www.theatlantic.com/magazine/archive/2017/09/the-queen-bee-in-the-corner-office/534213/