Dua ratus tahun yang lalu, para pemerintah Empayar Uthmaniyyah berusaha untuk membawa masuk ilmu dari segi sains, teknologi, pendidikan dan sistem pengurusan dari negara-negara di Eropah.

Namun, usaha ini tidak memiliki satu komponen yang paling penting dalam proses peralihan teknologi, tanpa komponen ini tidak mungkin akan wujud negara-negara maju yang berhasrat untuk terus memacu kemajuan melalui ilmu.

Komponen yang hilang itu adalah pengembangan budaya penyelidikan dan kajian. Kini ia menjadi satu keperluan untuk diceritakan kembali bagaimana betapa pentingnya kemunculan budaya ini sekitar tahun-tahun terakhir dalam sejarah Uthmaniyyah, dan apakah implikasi dari budaya ini mempengaruhi negara-negara yang sedang membangun hari ini.

Bayangkan, Empayar Uthmaniyyah merupakan sebuah kerajaan Islam yang membina tamadun baharu berlandaskan ilmu pengetahuan selepas Eropah lumpuh kerana kepercayaan tahyul lagi kuno yang mengakibatkan ramai populasi Eropah terkorb*n akibat wabak Black D*ath.

Namun menjelang akhir abad ke-19, Uthmaniyyah antara kuasa dunia yang boleh dikatakan sangat ketinggalan zaman. Mengapa boleh jadi sebegitu?

TEKNOLOGI KETENTERAAN

Empayar Turki Uthmaniyyah muncul di pentas dunia menjelang pada abad keempat belas. Enam ratus tahun kemudian ia meninggalkan jejaknya di tanah bekas Kerajaan Byzantium, di negara-negara berbahasa Arab, Afrika Utara dan di Eropah tengah.

Sains dan pendidikan berkembang sepanjang zaman bangsa Turki ini menjadi kuasa besar dunia, terutamanya pada awal kebangkitannya. Uthmaniyyah telah banyak menyumbang untuk pembangunan hospital dan rawatan kesihatan, malahan dunia telah menyaksikan kemajuan Uthmaniyyah dalam bidang perubatan, perlombongan dan teknologi ketenteraan.

Mereka juga membina sebuah balai cerap yang terkemuka di kota Istanbul dan telah mendirikan lebih dari 300 pusat pengajian yang kita kenali hari ini sebagai madrasah. Pelajar dari seluruh pelusuk dunia datang untuk belajar dan melakukan penyelidikan dalam bidang aritmetik, astronomi, falsafah dan keimanan (juga dikenali sebagai ‘sains agama’).

Tetapi apabila menjelang abad ketujuh belas, melalui laporan yang dikirim oleh duta besar mereka di Eropah bersama terjemahan teks penting dalam bahasa barat, Uthmaniyyah mula menyedari bahawa Eropah telah mencapai tahap kemajuan yang lebih canggih dalam teknologi melalui teknik pendidikan dan pembelajarannya. Uthmaniyyah berusaha mencari jalan bagi mengadaptasi beberapa teknik terbaru ini.

Contohnya, mereka mengagumi teknologi ketenteraan dari Eropah. Semenjak awal kebangkitan Empayar Uthmaniyyah lagi orang-orang Turki telah mempelajari teknologi menghasilkan senjata api dan meriam, dimana mereka akhirnya mendapati terdapat industri penghasilan senjata api di Bosnia dan Serbia.

Mereka kemudian melantik pakar dari negara-negara tersebut dan juga dari negara England, Perancis serta Belanda untuk membantu mereka menghasilkan senjata api dan melatih keupayaan kakitangan teknikal mereka sendiri.

Uthmaniyyah juga mahu mempelajari ilmu baru mengenai penyusunan organisasi dan strategi ketenteraan. Mereka mendirikan pusat pendidikan dan latihan ketenteraan kemudian menstruktur semula anggota tentera mereka menjadi pegawai dari pelbagai jenis peringkat dan pangkat ketenteraan, perubatan, pendidikan dan pentadbiran. Penasihat ketenteraan Uthmaniyyah kebiasaannya berasal dari Eropah, atau orang Eropah yang telah memeluk Islam.

Eropah juga menyediakan model sekolah baharu dengan membentuk peringkat pendidikan menengah dan tinggi. Sehingga abad ketujuh belas, model pembelajaran dominan yang diamalkan di seluruh Empayar Uthmaniyyah mengamalkan dasar hubungan di antara guru dan pelajar, ia merupakan bentuk pembelajaran yang bersifat peribadi di mana seorang pelajar hanya lulus setelah gurunya menganggap dia telah bersedia untuk meninggalkan persekolahan.

Pelajar akan diberi lesen, yang dikenali sebagai icazet (ijazah, tetapi maksudnya adalah “keizinan”), yang melayakkan mereka pula memiliki pelajar sendiri, ini konsep seorang guru mewarisi autoriti dari gurunya sendiri berdasarkan susunan rantaian para ulamak yang membawa terus kepada Nabi Muhammad S.A.W. di permulaan rantaian. Konsep ini diserap dari fahaman Sufi.

Sistem sebegini masih diamalkan dalam pengajaran ilmu pendidikan agama di kebanyakan negara Islam atau majoriti Muslim hingga ke hari ini terutamanya di sekolah-sekolah pondok.

Tetapi sistem pendidikan di Eropah telah jauh melangkaui model Uthmaniyyah dan banyak sekolah berkonsep Eropah mula muncul di negara-negara naungan dan anggota Uthmaniyyah, rata-ratanya merupakan sebahagian daripada gerakan mubaligh Kristian.

Uthmaniyyah berusaha keras membina sekolah dan institusi pendidikan tinggi, seperti sekolah perubatan, dengan kaedah yang serupa, antara sebabnya adalah untuk mengekang pengaruh asing dan gerakan mubaligh Kristian dalam Empayar Uthmaniyyah. Tetapi mereka gagal menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan awam mereka sendiri perlu diperbaharui tanpa perlu meniru.

Institusi pendidikan baharu diatur dengan memisahkan pelajar mengikut usia, melantik guru bertauliah untuk mata pelajaran tertentu, menstruktur pengajaran berdasarkan silibus pelajaran, mengadakan peperiksaan untuk pelajar yang layak dan menghantar guru ke luar negara bagi menambah ilmu dan latihan lanjutan dalam suasana disiplin baru.

Empat pelajar pertama era Uthmaniyyah dihantar ke luar negara di Perancis pada tahun 1830 untuk mempelajari subjek ketenteraan. Sembilan tahun kemudian, 36 pelajar dihantar ke London, Paris dan Vienna untuk belajar bidang kejuruteraan.

PENYELIDIKAN DIKETEPIKAN

Walaupun Uthmaniyyah giat memantau ilmu sains dan teknologi Eropah, ditambah dengan usaha mereka untuk menghantar pelajar mereka sendiri ke Eropah, Uthmaniyyah gagal memahami bahawa ilmu sains dan teknologi Eropah berkembang kerana menyokong dan mempromosikan budaya penyelidikan.

Hubungan antara penyelidikan dan teknologi hampir hilang sepenuhnya sepanjang proses peralihan teknologi Uthmaniyyah hingga pertengahan tahun 1800-an. Ini antara punca mengapa empayar yang dahulunya merupakan salah satu daripada “Gunpowder Empires” ini menghadapi masalah persenjataan yang amat teruk semasa Per*ng Dunia Pertama sehingga terpaksa menerima bekalan senjata daripada Jerman.

Satu pendapat mengenai hal ini, ada satu perkataan yang berasal dari bahasa Turki yang setara dengan perkataan ‘sains’, iaitu fen. Namun pada dekad pertama abad kedua puluh, fen lebih cenderung membawa maksud teknik berbanding penyelidikan, pengetahuan atau penyelidikan.

Ia juga sama erti dengan pemahaman bahawa teknologi moden bermaksud keupayaan untuk menghasilkan dan menggunakan instrumen yang dibuat dan digunakan di negara maju, dan tidak semestinya perlu mempunyai kemampuan untuk inovasi dan membangunkan mengikut produk mengikut cara sendiri.

Pendapat yang lain pula adalah dari penubuhan Imperial Naval Engineering College pada tahun 1773, ia mungkin institusi teknikal moden yang pertama Empayar Uthmaniyyah. Kurikulum untuk empat tahun pertama merangkumi aspek praktikal kejuruteraan seperti aritmetik, astronomi, balistik, geometri dan hidraulik.

Mata pelajaran seperti fizik, kimia dan sains semula jadi tidak termasuk dalam kurikulum, begitu juga metalurgi, penting untuk pemahaman yang tepat mengenai kejuruteraan awam dan mekanikal.

Mungkin yang paling jelas adalah kenyataan bahawa tidak ada kajian yang dilakukan dalam 100 tahun pertama kewujudan kolej kejuruteraan. Pelajar yang ingin membuat kajian serius harus pergi ke Eropah.

Mempromosikan budaya penyelidikan adalah pengajaran yang mula diambil berat oleh Uthmaniyyah pada pertengahan tahun 1800-an dengan pembentukan sebuah masyarakat saintifik dan banyak membina universiti yang lebih moden.

Kini diakui secara meluas bahawa peralihan teknologi yang sebenar amat memerlukan penglibatan ramai individu yang sudah biasa dengan penyelidikan dan kajian; jika sekadar membeli teknologi dari luar negara dan melatih bangsa sendiri menggunakannya tidak cukup untuk menjadi sebuah negara yang maju secara saintifik.

Itulah yang terjadi kepada Uthmaniyyah, sebuah empayar yang pernah mendominasi bidang sains pada zaman kegemilangannya, tiba-tiba menjadi sebuah kuasa dunia yang ketinggalan zaman menjelang era kemodenan.

RUJUKAN:

The Way Ahead For Islamic Science : https://www.scidev.net/global/education/spotlight/the-way-ahead-for-islamic-science.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.