Mengapa Terdapat Peratusan Tinggi Daripada Spesies Penyu Ini Menetas Sebagai Penyu Betina?

184
views

Sementara ketetapan jantina majoriti daripada hidupan di bumi ini adalah disebabkan faktor kromosom seks semasa persenyawaan (genetik), ia berlainan pula bagi sesetengah reptilia seperti penyu, buaya dan alligator yang jantina mereka ditentukan melalui konsep yang dipanggil (“temperature-dependent sex determination”) atau TDS.

*

🌟 Introduksi

Sebelum itu anda perlu tahu bahawa, ketetapan jantina terbahagi kepada 2 kategori;

 Ketetapan jantina oleh sebab faktor persekitaran. (Environmental Sex Determination / ESD)

 Ketetapan jantina oleh sebab faktor genetik. (Genetic Sex Determination / GSD)

Walaupun GSD lebih dikaji, oleh kerana majoritu dari hidupan bumi dan mamalia seperti manusia itu sendiri tergolong di dalam kategori ini, ESD juga dapat diperhatikan memainkan peranan sebagai faktor ketetapan jantina dalam sebahagian spesies haiwan.

Majoriti daripada spesies-spesies haiwan, individu haiwan tersebut wujud secara uniseksual. Bermaksud haiwan tersebut sama ada berjantina jantan atau betina.

Sebagai hukum asas, ketetapan jantina individu haiwan itu berlaku semasa proses embriogenesis atau persenyawaan tanpa menghiraukan faktor GSD / ESD.

Selepas pembahagian zygot, sel benih (germ cell) atau gonad dwipotensi terbentuk dalam pelbagai corak / pattern semasa proses pembentukan atau perkembangan embriogenesis.

Perbezaan besar diantara GSD dan ESD adalah, sama ada faktor utama bagi ketetapan jantina disebabkan faktor dalaman dan luaran.

Bagi GSD, ianya disebabkan faktor dalaman oleh kerana gen yang terkandung di dalam kromosom seks. Manakala bagi ESD pula, ia disebabkan faktor luaran oleh kerana dipengaruhi suhu, kelembapan dan persekitaran secara umumnya.

—–

Selama beberapa dekad, saintis telahpun mengesyaki bahawa pemanasan suhu laut akan mempengaruhi nisbah jantina sesetengah spesies hidupan laut. Perkara ini telah berlaku bagi Pacific green sea turtles.

Seperti yang dinyatakan diatas, penyu menggunakan konsep TDS atau (“Temperature-Dependent Sex Determination”) bagi menentukan jantina zuriatnya.

Oleh sebab itu, peningkatan suhu air atau pasir tempat penyu itu bertelur telah mempengaruhi TDS dan menyebabkan lebih banyak penyu betina menetas daripada penyu jantan.

Diketahui bahawa jika suhu inkubasi telur penyu berada dibawah (29.7 Celsius), penyu jantan yang akan menetas. Manakala jika suhu inkubasi telur meningkat ke paras (31 Celsius), penyu betina akan terhasil daripada “batch” telur tersebut.

Perlu diketahui bahawa suhu pertengahan diantara 29.7 – 31 celsius, menghasilkan kedua-dua jantina.

—–

Untuk mengetahui bagaimana suhu yang berbeza mempengaruhi jantina, saintis tersebut membandingkan nisbah jantina penyu diantara beberapa tempat pembiakan berhampiran Great Barier Reef yang diketahui menjadi persinggahan Pacific green sea turtle ini bertelur.

Pada bahagian selatan berhampiran Brisbane dimana suhunya sedikit sejuk, nisbah penyu betina adalah 2 : 1 daripada penyu jantan, iaitu kira-kira 65-69 % anak penyu yang terhasil adalah betina.

Sebagai perbandingan, pada bahagian utara pula dimana tempat pembiakan penyu yang terbesar, dan juga dimana benua Australia ini bertemu lautan Pasifik yang suhu air dan udaranya lebih panas, 99% anak penyu yang terhasil adalah penyu betina.

*Suhu sejuk menghasilkan jantan.
*Suhu sederhana menghasilkan jantan dan betina.
*Suhu yang panas menghasilkan betina.

—–

Walaupun penyu jantan tersebut boleh mengawan dengan lebih daripada seekor betina pada musim mengawan, ketidakseimbangan jantina yang besar dan kritikal ini merupakan tanda-tanda amaran bagi spesies yang bergantung kepada suhu demi menjamin kemandirian spesiesnya.

Terutama apabila terjadinya perkara dimana suhu semakin meningkat, seterusnya membunuh anak-anak penyu yang masih berada di dalam telur tersebut oleh kerana faktor suhu persekitaran yang tak sesuai bagi perkembangan.

—–

Rujukan:

How is the gender of some reptiles determined by temperature? Retrieved from: https://www.scientificamerican.com/article/experts-temperature-sex-determination-reptiles/

Environmental Warming and Feminization of One of the Largest Sea Turtle Populations in the World. Retrieved from: https://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960-9822(17)31539-7

Environmental Sex Determination, Developmental Biology, 6th Edition. Retrieved from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK9989/