Bagi meraikan kehadiran Syawal, malam dan pagi Aidilfitri akan dimeriahkan dengan takbir raya. Tetapi tidak ramai perasan, terdapat satu perang besar yang disebut di dalamnya iaitu Perang Khandak.

Peristiwa perang ketiga dalam sejarah Madinah ini termaktub di dalam lafaz:

صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Allah SWT telah membenarkan janjinya, membantu hambanya, dan mengalahkan pakatan al-Ahzab dengan sendirinya.” (Riwayat Muslim)

Menurut al-Imam al-Nawawi, perkataan Ahzab di dalam lafaz takbir ini merujuk kepada Perang Khandak atau dikenali juga dengan Perang Ahzab.

Menurut Imam al-Nawawi:

والمراد بالأحزاب الذين اجتمعوا يوم الخندق وتحزبوا على رسول الله

“Dan yang dimaksudkan dengan al-Ahzab (di dalam lafaz ini) ialah mereka yang berpakat di dalam Perang Khandak untuk memerangi Rasulullah s.a.w”. (al-Nawawi, Sharh Muslim)

Secara ringkas, perang yang berlaku pada Syawal dan Zulkaedah tahun kelima Hijrah ini dicetuskan oleh hasutan sekumpulan pemimpin Yahudi Bani Nadhir dan Bani Qainuqa diketuai Huyai bin Akhtab. Kedua-dua kabilah Yahudi ini menetap di Khaibar selepas diusir dari Madinah susulan beberapa insiden antara mereka dengan umat Islam beberapa tahun sebelumnya.

Selepas Negara Islam Madinah (NIM) mengalami kekalahan dalam Perang Uhud dua tahun sebelumnya, pihak Yahudi melihat ini peluang terbaik untuk membalas dendam. Bagi musyrikin Makkah yang diterajui Abu Sufian bin Harb, ini juga peluang untuk menghapuskan NIM sebelum mereka kembali mengumpul kekuatan dan mengancam kedudukan pihak musyrikin di Makkah.

Menerusi pakatan yang dirujuk sebagai Ahzab ini, 10,000 tentera dikumpul membabitkan pihak musyrikin Makkah dan sekutu-sekutu dari beberapa kabilah Arab seperti Bani Ghatafan, Bani Sulaim dan Bani Shuja. Bagaimanapun, rancangan ini dihidu oleh Bani Khuzaah yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi s.a.w. Lantas, mereka mengutus sekumpulan penunggang kuda untuk bergerak ke Madinah dan mendedahkan rancangan ini kepada baginda.

Selepas mendapat tahu angkatan perang Makkah bakal tiba dalam tempoh seminggu, satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan strategi mendepani mereka. Dua cadangan dikemukakan iaitu pertempuran secara berdepan (Perang Badar) dan berkubu dalam Madinah tetapi kedua-duanya ditolak.

Akhirnya, seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Salman al-Farisi r.a mencadangkan parit atau khandak digali sebagai strategi pertahanan. Menurut beliau, taktik sebegini biasa digunakan oleh tentera Parsi semasa peperangan. Walaupun ia dianggap asing oleh orang Arab, hakikatnya taktik ini sudah diketahui oleh orang Arab Ghassan di Thannuris pada 527 Masihi – 43 tahun sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w.

Orang Arab Ghassan yang dipimpin komander Rom, Belisarius masak dengan taktik parit selepas menyaksikannya di Thannuris pada musim panas 527 Masihi.

Parit pertahanan digali sekitar Madinah dan berjaya disiapkan dalam tempoh enam hari. Semasa usaha penggalian inilah, umat Islam dijanjikan penaklukan ke atas Rom dan Parsi termasuk penaklukan Constantinople. Walaupun orang munafik menggelakkan janji Rasulullah s.a.w itu, ia menjadi kenyataan semasa era Khulafa’ Ar-Rashidin dan Mehmed II dari Empayar Turki Uthmaniyah.

Bagi memastikan pihak musuh tidak mendapat kelebihan, semua hasil tanaman Madinah telah dituai lebih awal. Ini menjamin bekalan makanan sentiasa ada bagi penduduk kota Madinah semasa ia dikepung oleh pakatan al-Ahzab. Dengan Yahudi Bani Quraizah komited terhadap Piagam Madinah pada peringkat awal, ia tidak menjadi satu isu.

Peta Perang Khandak termasuk lokasi parit dan kem kedua-dua pihak.

Justeru, tidak hairanlah apabila pihak musyrikin Makkah tiba di Madinah pada Januari 627 Masihi, mereka berdepan kesukaran untuk melepasi parit yang digali. Beberapa pahlawan terkemuka seperti Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud mencuba nasib dengan menyeberang dan bertempur dengan pihak NIM.

Bagaimanapun, kesudahannya ialah mereka dipaksa berundur atau dibunuh dalam kes Amru bin Abdul Wud. Amru mencabar NIM untuk berlawan sekaligus mendorong Nabi Muhammad s.a.w menghantar Ali bin Abi Talib r.a sebagai lawannya. Pertempuran sengit tercetus antara kedua-duanya tetapi pada akhirnya, ia memihak kepada Ali r.a. Pihak musuh yang panik segera berundur kembali ke kedudukan mereka.

Terdesak, Huyai berunding dengan ketua Yahudi Bani Quraizah, Kaab bin As’ad. Pada awalnya, ia tidak dilayan atas alasan Kaab masih setia kepada Piagam Madinah – satu perkara yang dicabuli dua kabilah Yahudi yang kini menetap di Khaibar. Selepas dipujuk rayu termasuk kesediaan Huyai untuk kekal bersama mereka, barulah Yahudi Bani Quraizah bersedia untuk mengkhianati NIM.

Berita pengkhianatan Bani Quraizah mula tersebar sebagai khabar angin. Bagi mengetahui perkara itu benar atau tidak, Nabi s.a.w mengutus Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah r.a. Ternyata apa yang dibimbangi benar-benar berlaku. Walaupun diingatkan tentang nasib yang menimpa Bani Qainuqa dan Bani Nadhir oleh dua sahabat Nabi itu, Bani Quraizah terus berdegil dan mencaci Rasulullah s.a.w.

Bagi mengelak moral tentera NIM terjejas, 400 orang tentera (100 tentera infantri dan 300 tentera berkuda) diarah mengawal keselamatan Madinah. Rasulullah s.a.w juga dengan licik mengadakan rundingan dengan sekutu Ahzab, Bani Ghatafan dengan tujuan memecahkan pakatan musyrikin itu. Sebagai tukaran kepada kesediaan mereka untuk berpaling tadah, mereka akan diberi sebahagian hasil tanaman Madinah.

Walaupun perjanjian tersebut pada dasarnya sudah dipersetujui, Nabi s.a.w mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin Ansar termasuk dua Saad (Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah r.a). Kesemua mereka menolak rundingan tersebut sekaligus perjanjian yang didraf sebelum ini dibatalkan. Tetapi dengan kesediaan mereka berunding, ia sudah mula mencetuskan pergolakan dalaman dalam kalangan pakatan Ahzab.

Situasi pakatan Ahzab terus diburukkan dengan kenyataan-kenyataan berhelah seorang sahabat bernama Nuaim bin Mas’ud r.a. Nuaim yang telah memeluk Islam secara rahsia melagakan Bani Quraizah dan pihak Quraisy Makkah dengan menggambarkan kedua-duanya sebagai pengkhianat.

Bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, beliau menasihati kedua-dua pihak mendapatkan tebusan sebagai jaminan perkara itu tidak berlaku. Perkara sama turut dinyatakan kepada puak-puak Arab lain yang ikut berperang bersama pihak Quraisy Makkah.

Kenyataan berhelah Nuaim mencetuskan huru-hara dalam kalangan pakatan Ahzab. Abu Sufian yang naik minyak melabel Huyai sebagai pengkhianat. Bimbangkan keselamatan nyawanya, pemimpin Yahudi Bani Nadhir itu melarikan diri dan berlindung dalam kubu-kubu Bani Quraizah. Tatkala itu, tuduh-menuduh antara semua ahli pakatan Ahzab terus berlarutan.

Tetapi pukulan maut kepada pakatan Ahzab ialah ribut pasir yang diutus Allah s.w.t melanda kem mereka. Ini mengakibatkan khemah-khemah mereka tercabut dan mereka kesejukan kerana ketiadaan api dan tempat berlindung. Selepas 20 malam mengepung Madinah, Abu Sufyan mengarahkan pengunduran dibuat walaupun dibantah oleh Ikrimah. Menjelang pagi 24 Januari 627, pihak musuh telah berundur dari Madinah.

Walaupun Perang Khandak telah berakhir, pengkhianatan Yahudi Bani Quraizah masih perlu ditangani. Lantas, veteran Khandak diutus ke kubu-kubu Bani Quraizah dan dikepung sehingga mereka menyerah kalah. Pada awalnya, kabilah Aus dari pihak Ansar meminta agar Bani Quraizah diberi belas kasihan berikutan status mereka sebagai bekas sekutu kabilah berkenaan.

Lantas, ketua mereka, Saad bin Muaz r.a diminta menjadi hakim bagi menentukan nasib mereka. Sebelum beliau kembali menghadap Ilahi, beliau memerintahkan kaum lelaki dibunuh dengan wanita dan kanak-kanak dijadikan sebagai tawanan perang seperti dinyatakan dalam kitab Taurat.

Mungkin ada menyifatkan penghakiman sebegini bersifat keras. Tetapi bagi sahabat Nabi s.a.w itu, ia berpadanan dengan apa yang diketahuinya tentang Taurat terima kasih kepada hubungan dengan orang Yahudi selama bertahun-tahun sebelum menganut Islam.

Selain itu, ia juga merupakan amaran keras kepada orang lain bahawa pengkhianatan sebegini tidak akan berakhir dengan baik. Ini selepas mengambil kira insiden-insiden membabitkan Bani Qainuqa dan Bani Nadhir. Kedua-duanya sebelum ini diberi belas kasihan selepas campur tangan pemimpin orang munafik, Abdullah bin Ubai. Jika diberi ruang seperti sebelumnya, sudah pasti mereka akan terus menjadi duri dalam daging kepada NIM.

Antara yang terkesan daripada keputusan Saad r.a ialah Huyai. Sebelum dihukum mati, beliau tidak menyatakan rasa kesal kerana menentang baginda dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai malang buat Bani Israel. Setelah itu, beliau dihukum mati. Ironinya, puteri Huyai iaitu Safiyyah binti Huyai kemudiannya bergelar Ummul Mukminin (isteri kepada Rasulullah s.a.w).

Kemenangan umat Islam dalam Perang Khandak melonjakkan panji tauhid ke aras lebih tinggi. Ini mendorong kabilah-kabilah Arab tidak lagi memandang enteng NIM dan mendorong mereka mengadakan perjanjian bersama NIM. Kemenangan ini juga turut melunturkan prestij musyrikin Makkah dan mendorong ramai musyrikin Makkah memeluk Islam di kemudian hari.

Takbir raya yang kita laungkan hari ini bukan saja merupakan manifestasi kemenangan umat Islam di medan Khandak. Dengan melaungkannya, kita juga menyemarakkan amalan sunnah baginda semasa menyambut Aidilfitri.

RUJUKAN

Al Husni, A.B. (1998). Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Darul Nu’man.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply