Albert Einstein pernah dinukilkan sebagai berkata: ‘Science without religion is lame, religion without science is blind.’ Begitu juga seorang tokoh Muslim yang terkenal dalam bidang falsafah dan kemanusiaan, Ibn Rushd juga telah mengarang satu buku agung yang digelar sebagai ‘Fasl al-Maqal fi ma bayn al-Hikma wa al-Shariah min Ittisal’ (Kerharmonian antara falsafah dan syariah) juga menjelaskan pentingnya ilmu dan hikmah itu dikaitkan dengan agama. Jadi di sini timbul satu persoalan ringkas, apa sebenarnya agama? Dan yang paling penting adalah, mengapa manusia beragama?

Apakah yang boleh difahami daripada takrif agama? Menurut Kamus Dewan, agama ditakrifkan sebagai ‘kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya serta kepercayaan kepada yang Maha Kuasa atau kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain (yang dipuja dan sebagainya dan dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa). Menurut Kamus Oxford pula, agama atau religion ditakrifkan sebagai ‘the belief in and worship of a superhuman controlling power, especially a personal God or gods’. Sarjana klasik British, E.B. Taylor yang juga seorang ahli antropologi menberikan maksud agama sebagai ‘kepercayaan terhadap makhluk halus’. Begitu juga Durkheim dinukilkan berkata bahawa agama adalah ‘satu sistem kepercayaan dan amalan yang bersepadu berhubung dengan benda-benda suci’.

Walau apa sahaja pendapat anda, namun tidak dapat dinafikan bahawa agama merupakan satu unsur utama yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Walaupun keperluan beragama ini adalah hak individu dan pilihan hidup masing-masing, akan tetapi sehingga kini perbincangan yang mendalam berkenaan kehidupan beragama dan tidak beragama sehingga wujud perbahasan dari segi agama & akidah, hak asasi manusia, falsafah dan pemikiran berkenaan isu keperluan beragama bagi manusia ini. Ramai manusia juga masih berbahas akan keperluan untuk manusia beragama. Di dalam dunia ini, jika berbincang tentang keperluan agama kepada manusia maka kita boleh pecahkan manusia kepada dua, iaitu golongan yang menerima agama dan golongan yang menolak atau mempersoalkan agama.

Bagi golongan yang menolak atau mempersoalkan agama, wujud golongan yang digelar sebagai ‘tiada agama’, atheism atau ‘irreligion’. Namun, golongan tidak beragama atau menolak agama ini hanyalah terdiri daripada 1/6 penduduk dunia berbanding 5/6 lagi yang mempunyai kepercayaan beragama. Golongan tidak beragama atau irreligion ini boleh dipecahkan kepada empat kategori; iaitu secular humanism, freethinker, spiritual but not religious, theological noncognitivism dan juga antireligion.

Secular humanism adalah golongan yang berpegang dan memperjuangkan hak asasi manusia, etika dan keadilan sosial sebagai tunjang kehidupan selain menolak sebarang bentuk ajaran dan kepercayaan beragama dalam kehidupan.

Golongan freethinker pula adalah mereka yang berpegang pada pendapat bahawa apa sahaja bentuk kebaikan dan kebenaran dalam kehidupan adalah berdasarkan logik akal, sebab-musabab dan empirisisme semata-mata, di mana golongan ini memang menolak sebarang kaitan dengan ajaran mana-mana agama.

• Selain itu, wujud juga golongan spiritual but not religious di mana mereka menggunakan isu-isu dan kepercayaan agama sebagai tapak untuk mengukuhkan kepercayaan holistik seperti kekuatan minda, roh dan juga badan. Contohnya adalah golongan yang mengamalkan taichi, reiki dan yoga sebagai rutin harian. Golongan ini percaya kepada kekuatan spiritual berbanding kepercayaan agama.

• Seterusnya adalah golongan theological noncognitivism iaitu golongan yang mempersoalkan istilah-istilah yang wujud dalam agama. Sebagai contoh, golongan ini ada mempersoalkan istilah God sebagai entiti berkuasa.

• Terakhir, golongan antireligion atau anti agama. Golongan ini menolak 100% sebarang bentuk ajaran agama dan apa sahaja kaitan dengannya seperti amalan beragama dalam kehidupan, kepercayaan ghaib dan mistik tentang agama, ibadat dan amalan penyembahan serta apa sahaja yang berkait dengan agama. Contohnya adalah kefahaman komunis. Seperti kata-kata seorang tokoh falsafah dan pejuang sosialis, Karl Marx: ‘Religion is the opium of the people’ atau agama adalah candu (yang memabukkan) manusia.

Namun begitu, seperti diterangkan tadi, hanya 1/6 sahaja populasi penduduk dunia ini yang tidak menerima atau menolak agama, masih terdapat 5/6 lagi penduduk dunia yang berpegang pada agama dan mengamalkannya dalam kehidupan. Di sini kita cuba fikirkan, mengapa manusia beragama? Menurut Prof. Shahmsul Amri Baharuddin, Prof Ulung di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang hubungan etnik terdapat 5 sebab utama manusia beragama, iaitu warisan kebudayaan, faktor keselamatan, faktor kesejahteraan akhirat, jawapan kepada persoalan kehidupan dan akhir sekali pengukuh ikatan persaudaraan.

Warisan Kebudayaan: Majoriti manusia di dunia ini secara individunya menganut agama kerana mewarisi kepercayaan agama tersebut dari keluarga, suku kaum, atau etnik yang sama. Sebagai contoh, jika ayah atau ibu seseorang itu beragama Islam, maka anak yang lahir akan cenderung untuk terpengaruh dan mengikuti ajaran agama yang dipegang oleh ayah atau ibunya. Tidak dinafikan terdapat juga manusia yang bersuaha mencari dan mendalami berkenaan agama, tetapi majoriti menganut sesuatu agama kerana warisan daripada keluarga.

Faktor Keselamatan: Dalam kehidupan ini, salah satu faktor manusia beragama adalah kerana faktor keselamatan. Apabila memeluk sesuatu agama seseorang berasa selamat dan percaya bahawa kuasa agung yang dipercayainya akan menjaga keselamatannya. Sebagai contoh, bayangkan seseorang itu memandu di kawasan yang gelap dan terpencil di tengah-tengah malam. Tiba-tiba kereta yang dipandu itu rosak dan meragam di tengah-tengah hutan. Pada masa yang sama bateri telefon pula kosong dan tiada pula powerbank sebagai talian hayat. Kalau ada bateri pula, tiada line telefon pula di kawasan tersebut. Tiba-tiba kedengaran pula bunyi seram dan wanita mengilai. Selain menunggu bantuan muncul, manusia yang beragama akan duduk dan berdoa kepada tuhan yang dipercayainya agar dipermudahkan urusan dan dipelihara daripada sebarang ancaman yang mendatang.

Faktor kesejahteraan di akhirat: Selain keselamatan di dunia, ajaran agama juga menjanjikan kesejahteraan di akhirat kepada penganut yang patuh ajaran masing-masing. Agama seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Shinto, Hindu, Sikh dan lain-lain mempunyai kepercayaan berkenaan kehidupan selepas mati, seperti balasan syurga dan neraka untuk amalan manusia, kehidupan di alam barzakh.

Jawapan kepada persoalan kehidupan: Bagi manusia yang mencari jawapan kepada persoalan kehidupan yang sukar dijawab selain daripada penyelesaian menggunakan pendekatan logik akal dan sains, maka agama adalah jawapannya. Sebagai contoh, persoalan tentang roh. Sains dan logik akal hanya mampu meneka kewujudan roh, tetapi tidak dapat memberi jawapan yang tepat berkenaan kewujudan roh di dalam tubuh badan manusia. Adakah roh itu kekal selepas manusia mati? Di mana wujudnya roh manusia, di jantung? Di hati? Apakah hantu itu manusia atau geseran haba zarah-zarah atom sahaja? Bagaimana rupa syurga dan neraka? Semua ini tidak dapat ditemukan jawapan melainkan dirujuk kepada pakar agama berdasarkan ajaran kitab-kitab suci agama dunia.

Pengukuh ikatan persaudaraan: Agama juga dilihat dapat menyatukan semua anggota penganut dalam satu komuniti bermoral. Sebagai contoh, penganut agama Islam berada di seluruh dunia dan terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, kaum, bentuk fizikal dan kedudukan geografi. Ada Muslim Afrika, Asia, China, Jepun, Arab, Parsi, muslim di Barat seperti Muslim Skandinavia, Muslim Amerika Selatan dan ramai lagi. Namun, atas satu kepercayaan yang sama, semua Muslim ini boleh berkumpul dan bersama-sama menunaikan rukun Islam yang kelima iatiu ibadah Haji di Tanah Suci Mekah dan Madinah tanpa timbul prejudis terhadap latar belakang yang berbeza.

Sebagai kesimpulannya, manusia memang perlukan agama dalam kehidupan sebagai satu pegangan dalam kehidupan. Betul jika dikatakan tanpa agama pun manusia boleh hidup, tetapi secara peribadi dapat dilihat bahawa agama itu mampu mengukuhkan jiwa dan memberi ketenangan dalam kehidupan walaupun hidup kita dihujani emas dan duit yang tidak berkesudahan. Fitrah manusia memerlukan kebergantungan kita kepada satu entiti asing bukan ciptaan manusia yang lebih berkuasa dalam kehidupan dan semua itu dapat ditemui melalui pegangan agama dalam kehidupan.

Rujukan:

Ghazali bin Basri. 2013. Ilmu Perbandingan Agama Suatu Pengenalan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.

Noresah Baharum. 2010. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S.A.Naigosian, 2008, World Religion, a Historical Approach, Fourth Edition, Bedford/St. Martin.

Shamsul Amri Baharuddin(ketua editor). 2013. Modul Hubungan Etnik Edisi Kedua. Bangi : Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zaid Ahmad (Editor). 2013. Hubungan Etnik di Malaysia Edisi Ketiga. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

http://www.muslimphilosophy.com/ir/fasl.htm

https://www.brainyquote.com/quotes/topics/topic_religion.html

https://en.wikipedia.org/wiki/Irreligion

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), Seorang penulis, pendidik dan peminat falsafah Muslim.

Leave A Reply