Mengapa Kemaafan Itu Sukar Bagi Sesetengah Orang?

182

Sementara menyiapkan satu artikel berkenaan Sir Elton John dan Watford, halwa telinga sebagai penambah mood semasa pembikinan artikel ialah Sorry Seems to be The Hardest Word. Walaupun lirik lagu hasil nukilan John dan Bernie Taupin ini dianggap lagu tragis dan berkisar tentang isu perhubungan, ia sebenarnya turut mengundang satu persoalan: mengapa kemaafan itu sesuatu yang bersifat sukar dilakukan?

Satu sebab mengapa kemaafan sukar direalisasikan ialah kesedaran bawah sedar manusia atau lebih tepat komponen bawah sedar bahasa yang sukar untuk hidup pada masa kini dan lebih memilih zaman silam. Ini kerana bahasa memberi kelebihan kepada manusia untuk meneroka masa silam, masa kini dan masa hadapan terutama dari segi memori autobiografi dan detik-detik bermakna. Secara ringkas, bahasa sebenarnya mesin masa sentiasa bergerak secara berterusan dari masa silam ke masa hadapan dan langsung sama sekali tidak berhenti pada masa kini.

Satu punca manusia enggan bersikap pemaaf ialah keinginannya untuk terus hidup pada zaman silam. Ini kerana bila kita terluka oleh kesilapan yang dilakukan seseorang, detik tersebut dimainkan berulang kali sehingga terpahat dalam bank memori kita. Walaupun kita mungkin sudah tidak mengingati apa yang dilakukannya tetapi bila kita melihat individu tersebut, komponen bahasa bawah sedar kita akan melekat pada memori tersebut dan terus memikirkan mengapa ia berlaku. Dan ia memikirkan pelbagai kemungkinan yang menyebabkan insiden tersebut dan bagaimana kita boleh mengubahnya. Secara tidak langsung, ia sebenarnya satu cubaan kesedaran bawah sedar kita untuk mengubah masa silam!

Tetapi keinginan kita untuk terus berada pada masa silam sebenarnya satu kesilapan besar lebih-lebih lagi bila kita tidak bersikap pemaaf dan menerima hakikat bahawa apa yang berlaku pada masa silam itu tidak boleh diubah. Dan tanpa kita sedar, setiap kali kita mengingati memori menyakitkan itu bila berterusan duduk pada masa silam, ia sebenarnya mengaktifkan bahagian otak yang mengandungi emosi dan ia membuatkan kita terasa terluka lagi.

Bila kita bersikap pemaaf, kita bukan cuba melupakan apa yang berlaku kerana memori mengajar kita menjadi lebih berhati-hati pada masa akan datang. Tetapi cubaan kita untuk terus hidup dalam memori itu yang harus dihentikan. Kemaafan juga bukan bermakna hubungan kita dengan individu yang melukakan kita itu akan kembali seperti dulu (sebelum kita terluka). Kemaafan itu lebih kepada perubahan dalaman diri kita iaitu kita berhenti hidup dalam memori yang bersifat pahit dan menyakitkan, menerima apa yang berlaku  dan sedar bahawa kebencian hanya lebih menyakitkan apabila kita cuba bergantung pada memori silam.

Kebencian itu sama dengan keengganan kita untuk memohon maaf. Selagi mana kita tidak berusaha memaafkan orang lain, selagi itu kita sebenarnya melukakan diri sendiri dengan keengganan kita bermaafan. Kita menyangka dengan kebencian itu, kita sebenarnya dapat membalas dendam terhadap orang yang kita benci. Tetapi hakikatnya, kebencian itu menjadi racun dalam diri lebih-lebih lagi bila ia ditambah dengan penyesalan. Tanpa kita sedar, penyesalan itu sebenarnya satu lagi cubaan untuk terus berpaut dengan memori silam dan cuba mengubah memori silam agar ia menjadi lebih baik.

Itulah sebab jika kita mahu bersikap pemaaf, kemaafan itu bukan saja terpakai pada perkara-perkara bersifat besar tetapi juga perkara-perkara yang bersifat remeh. Kadang-kadang, lebih mudah jika kita mulakan dengan perkara-perkara bersifat remeh. Contoh, kita memaafkan orang yang memotong semasa beratur di kaunter atau di kaunter tol pada ketika itu juga dan bukan menangguhkannya selama beberapa saat atau minit. Ini kerana bila kita memaafkan pada ketika itu juga, kita sebenarnya merasa lebih aman dan lebih fokus tentang apa yang kita lakukan pada ketika itu.

Atas sebab itulah, hendaklah kita berusaha mempunyai sikap pemaaf dalam diri. Ini kerana sifat tersebut amat dicintai Allah dan Rasul-Nya. Dan berdasarkan firman-Nya, ia merupakan salah satu ciri orang beriman. Ini berdasarkan ayat 134, Surah Ali Imran mafhumnya, “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Tanpa kita sedar, sifat pemaaf itu juga sebenarnya sebahagian dari sifat-Nya berdasarkan ayat 22, Surah An-Nur, “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Ini disokong satu doa Nabi s.a.w yang diriwayatkan Aishah r.a, “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang memaafkan lagi pemurah. Sesungguhnya Engkau suka memaafkan.” (Riwayat Tirmidzi)

Hatta Nabi Muhammad s.a.w juga dikenali dengan sifat pemaaf baginda. Bukan sedikit orang dalam sirah baginda yang menyakiti hatinya sehingga ke tahap menghalaunya keluar dari Makkah atau cuba membunuh baginda. Tetapi semua itu langsung tidak mengeraskan hati baginda untuk tidak bersikap pemaaf. Malah, baginda memaafkan sesiapa saja yang pernah berbuat salah terhadapnya. Buktinya semasa peristiwa pembukaan Kota Makkah, golongan musyrikin menyangka Nabi s.a.w akan bertindak keras terhadap mereka berikutan perlakuan kejam yang bukan sedikit terhadap baginda dan orang Islam.

Tetapi baginda bersabda, “Aku berkata-kata kepada kamu menggunakan perkataan sama digunakan Yusuf (Nabi Yusuf a.s) terhadap saudara-saudaranya. Pada hari ini, tiada sebarang pembalasan ke atas kamu. Pulanglah kerana kamu telah bebas.” Ramai menghela nafas lega selepas mendengar pengumuman baginda dan ini mendorong ramai memeluk Islam.

Hadis-hadis yang diriwayatkan para sahabat turut memperlihatkan Nabi s.a.w mementingkan soal kemaafan. Misalnya satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru. Beliau meriwayatkan baginda berada di atas mimbar dan bersabda, “Bersikap belas kasihan terhadap orang lain dan kamu akan menerima belas kasihan. Maafkanlah orang lain dan Allah akan mengampunkan kamu.” (Riwayat Ahmad) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sedekah tidak pernah mengurangkan harta, tiada siapa memaafkan melainkan Allah menaikkan kehormatan orang yang memaafkan dan tiada sesiapa yang merendah diri demi-Nya melainkan Allah menaikkan lagi martabatnya.” (Riwayat Muslim)

Dan siapa sangka dengan kemaafan, ia sebenarnya kunci yang membawa kepada syurga Ilahi. Ini berdasarkan satu kisah di mana pada satu hari, Nabi s.a.w menyatakan nama si polan sebagai ahli syurga. Baginda menyatakan nama si polan beberapa kali sehingga menimbulkan rasa ingin tahu para sahabat. Lalu mereka menghantar seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar r.a untuk merisik apa perbuatan si polan sehingga mendapat gelaran ahli syurga oleh Nabi s.a.w.

Lalu sahabat Nabi yang mulia itu membuat helah dengan memberitahu si polan bahawa beliau ingin bermalam di kediamannya dan keinginannya ditunaikan oleh lelaki tersebut. Pada malamnya, Abdullah mendapati lelaki tersebut tidak melakukan sebarang amalan khusus kerana rutinnya biasa saja. Pada keesokan paginya, beliau menceritakan hajat sebenarnya kepada si polan termasuk kisah Nabi s.a.w mengisytiharkan dia ahli syurga. Si polan yang terkejut memberitahu satu-satunya amalan yang dilakukan ialah sebelum tidur, dia memaafkan sesiapa yang dirasakan telah berlaku khilaf kepadanya.

Dari segi sains, kemaafan sebenarnya mempunyai banyak faedah seperti:

  1. Menambahbaik kualiti tidur.
  2. Mengurangkan beban fizikal dan emosi di mana ini dapat membantu seseorang melakukan tugasan lebih baik kerana tidak terbeban dengan beban emosi.
  3. Menambahbaik sistem imunisasi badan.
  4. Mengukuhkan hubungan sesama manusia terutama ahli keluarga dan rakan-rakan.
  5. Membantu proses pemulihan trauma. Berdasarkan kajian Profesor Fred Luskin, orang yang bersikap pemaaf kurang bersifat pemarah dan tertekan, lebih yakin, optimis dan mempunyai belas kasihan.
  6. Membantu mengurangkan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Kemaafan sebenarnya membantu menambah hormon oksitosin kerana ia meningkatkan emosi positif dan mengukuhkan hubungan sosial serta menjadikan jantung lebih sihat dari segi emosi dan fizikal.
  7. Meningkatkan fungsi kognitif otak.

Akhir kata, saya akhiri ini dengan kata-kata tokoh kemerdekaan India Mahatma Gandhi:

“The weak can never forgive. Forgiveness is the attribute of the strong. “ (Orang yang lemah tidak akan pernah memaafkan. Kemaafan itu ciri orang yang kuat)

SUMBER

  1. Elias, Abu Amina. (2014). AbuAminaElias.com. Forgiveness in the Quran and Sunnah. https://abuaminaelias.com/forgiveness-in-the-quran-and-sunnah/
  2. Heile, Frank. (2013). Huffington Post. Why Is Forgiving People Hard For Many People? https://www.huffingtonpost.com/quora/why-is-forgiving-people-h_b_2877333.html
  3. Blarowski, Zoe. (2018). Care2.com. 7 Proven Health Benefits of Forgiveness. https://www.care2.com/greenliving/7-proven-health-benefits-of-forgiveness.html#15405232409112&action=expand_widget&id=0&data=

 

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.