Mengapa Kaum Nomad Yamnaya Dianggap Sebagai Bapa Eropah?

808

Asal-usul bangsa Eropah moden diselubungi misteri dan sentiasa dipalit kontroversi. Ahli-ahli arkeologi dan linguistik sejak sekian lama berdebat tentang asal-usul keluarga penutur Indo-Eropah dan juga tentang asal-usul tamadun Eropah serta bagaimana mereka mula hidup secara menetap. Penemuan-penemuan terkini dalam tahun-tahun kebelakangan mengisyaratkan bahawa asal-usul kebudayaan Eropah, dan juga beberapa kebudayaan Asia Tengah, berada dalam lingkungan sebuah budaya arkeologikal yang dikenali sebagai Yamnaya.

PERPINDAHAN GENETIK vs. PERPINDAHAN FAHAMAN

Satu sumber utama yang mencetuskan perbezaan pendapat tentang asal-usul kebudayaan-kebudayaan Eropah moden adalah sama ada ianya melibatkan perpindahan manusia secara fizikal atau adakah ia hanya sekadar pertukaran fahaman. Pada tempoh masa sebelum 9000BP (Before Present; Sebelum Sekarang), Eropah masih berada dalam zaman Paleolitik. Benua itu secara umum dihuni oleh komuniti pemburu-pengumpul hasil hutan dan mereka menjalani kehidupan yang tidak jauh berbeza berbanding keadaan mereka ketikamana tiba buat kali pertama di Eropah kira-kira 37 000 tahun lalu.

Namun bermula sekitar 9000BP, kehidupan pertanian dan perkampungan mula tersebar di seluruh Eropah dan menjelang 5000BP, benua itu dihuni secara meluas oleh petani-petani zaman Neolitik. Sekitar 5000BP atau 3000BP, sebuah kebudayaan Zaman Gangsa mula menyebar di seluruh Eropah, berkemungkinan datang dan bermula dari steppe-steppe Eurasia.

Dalam satu sudut pandang, perubahan ini memiliki kaitan dengan rangkaian-rangkaian perdagangan yang wujud di Eurasia. Masyarakat Eropah menjalinkan hubungan perdagangan dengan masyarakat Timur Tengah dan steppe-steppe Eurasia. Mereka turut menyerap masuk teknologi dan gaya hidup yang lebih maju yang diamalkan oleh masyarakat-masyarakat asing (atau pendatang baru) itu.

Namun, pendirian asal kebanyakan ahli arkeologi Eropah berpendapat bahawa perpindahan ini hadir dalam bentuk sebuah serangan. Pada tahun 3000SM, penternak-penternak nomad dari steppe-steppe Eurasia menggantikan dan berkahwin-campur dengan masyarakat petani Neolitik yang menghuni Eropah kira-kira 4000 tahun lebih awal.

Pandangan-pandangan yang lebih terkini turut memperdebatkan bahawa masyarakat petani Neolitik di Anatolia (Turki moden) mula bermigrasi dan tersebar di seluruh Eropah sekitar 7000SM tanpa banyak bercampur dengan komuniti pemburu-pengumpul asli (tempatan). Hal ini mengisyaratkan bahawa kedua-dua keadaan ini berkemungkinan merupakan kesan susulan daripada berlakunya perpindahan manusia secara fizikal.

Walaupun masih terdapat banyak soalan-soalan yang tidak terjawab, urutan genom-genom manusia purba telah mendedahkan bahawa perubahan-perubahan kebudayaan di Eropah ini antara lain adalah susulan daripada perpindahan atau proses migrasi manusia.

Migrasi awal masyarakat petani dari Anatolia jauh melangkaui skop artikel ini, akan tetapi penyelidikan terkini mengemukakan pendapat bahawa permulaan Zaman Gangsa di Eropah berlaku disebabkan oleh perkembangan kebudayaan Yamnaya.

BUKTI BERLAKUNYA MIGRASI

Kajian-kajian terkini yang dilakukan selama beberapa tahun telah mendedahkan bahawa masyarakat Eropah Utara dan Eropah Tengah serta beberapa komuniti di Asia Tengah berketurunan daripada Yamnaya. Menurut pendapat ini, pada permulaan tahun 2800-3000SM, kaum Yamnaya berpindah dari suatu tempat yang pada hari ini diebut sebagai Russia barat atau Ukraine. Mereka kemudiannya berpindah ke dataran-dataran yang terdapat di Eropah Tengah.

Kaum Yamnaya bermigrasi dari Russia barat moden atau Ukraine dan memasuki dataran Eropah tengah


Antara aspek menarik yang terdapat dalam migrasi kaum Yamnaya ini adalah ia kelihatannya melibatkan ramai penghijrah dari kalangan kaum lelaki. Bukti genetik mengisyaratkan bahawa kebanyakan kaum lelaki Yamnaya berkahwin campur dengan wanita-wanita Eropah untuk melahirkan sejumlah populasi Eropah moden, secara khususnya masyarakat Eropah Utara dan Eropah Tengah.

Kaum Yamnaya juga muncul sebagai akar bagi satu kebudayaan yang disebut sebagai Corded Ware.Urutan genom-genom manusia memudahkan lagi usaha menjejak migrasi manusia ini memandangkan populasi yang berbeza akan mempunyai genetik yang tersendiri, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menjejak laluan migrasi.

Eurasia mempunyai ratusan genom manusia purba yang berbeza-beza, di mana genom-genom ini boleh dikaji dalam rangka menafsir migrasi purba yang berlaku dalam kalangan populasi Eurasia. Lebih banyak genom-genom purba untuk dilakukan urutan genom membawa maksud lebih banyak data dapat diperoleh justeru lebih tinggi hasil akhir yang boleh didapatkan.

Corded Ware Yamnaya


PERPINDAHAN-PERPINDAHAN LAIN

Kaum Yamnaya mengharungi perjalanan jauh ini dengan menaiki kuda, haiwan yang dipercayai baru sahaja dijinakkan pada waktu itu. Kuda dijinakkan pada suatu tempoh sebelum 3000SM di Asia Tengah. Salah satu kebudayaan terawal yang dikaitkan dengan penjinakan kuda adalah kebudayaan Botai. Penjinakan kuda mungkin memberikan mobiliti yang lebih tinggi buat masyarakat nomad sekaligus membolehkan mereka mengharungi perjalanan yang lebih jauh.

Dalam mengkaji tentang migrasi-migrasi manusia, para saintis tidak hanya menemukan bukti migrasi itu menerusi penyelidikan genom. Akan tetapi, mereka juga menyelidiki pola perpindahan wabak atau penyakit. Saintis telah berupaya menjejak penyebaran virus dalam populasi manusia. Salah satu contohnya adalah virus Hepatitis V (HBV)

Menerusi penyelidikan genom-genom purba, saintis berupaya menjejak bagaimana virus mengikuti perpindahan manusia merentas peredaran sejarah. Mereka juga menemukan paling tidak satu genom HBV yang telah pupus. Kaum Yamnaya dan populasi-populasi purba Eurasia yang lain membantu saintis untuk lebih memahami bukan sahaja sejarah manusia, akan tetapi sejarah virus manusia.

KEBUDAYAAN DAN BENTUKAN SOSIAL YAMNAYA

Maklumat kecil yang dimiliki perihal kaum Yamnaya kebanyakannya hadir menerusi sumber arkeologi. Istilah Yamnaya datang daripada ungkapan bahasa Russia yang berbunyi Yamnaya Kultura. Ungkapan ini boleh dimengertikan sebagai ‘budaya lubang’. Hal ini merujuk kepada kubur pelbagai jenis yang mereka tinggalkan.

Kaum Yamnaya adalah masyarakat penternak nomad yang pada asalnya hidup di steppe-steppe Eurasia sebelum berpindah ke barat. Terdapat satu pendapat yang menyebutkan bahawa kaum Yamnaya bertanggungjawab ke atas pembentukan konsep hartanah dimiliki oleh keluarga-keluarga tertentu dan konsep pemindahan pemilikan hartanah tersebut kepada individu dalam lingkungan keluarga berkenaan.

Sebelum ketibaan kaum Yamnaya, kubur masyarakat Eropah bersaiz besar dan diguna secara bersama, lazimnya lebih daripada satu keluarga. Namun, kubur kaum Yamnaya bersifat individu. Hal ini mungkin berkait rapat dengan gaya hidup nomad mereka. Lebih banyak pergerakan membawa kepada kurangnya masa untuk membangunkan komuniti pelbagai-keluarga berskala besar seperti puak.

Makam kebudayaan Yamnaya


Kaum Yamnaya yang memasuki Eropah kebanyakannya adalah kaum lelaki. Nisbah lelaki kepada perempuan yang bermigrasi ke sana berkemungkinan setinggi 14:1. Justeru itu, kurang munasabah untuk mengatakan bahawa kaum lelaki Yamnaya yang bermigrasi ke rantau itu majoritinya adalah pahlawan. Namun, terdapat juga kecenderungan bahawa migrasi ini merupakan sebahagian daripada serangan terancang. Apapun, pergerakan mereka ke kawasan baru ini berkemungkinan telah dirancang.
Kaum Yamnaya juga merupakan salah satu kebudayaan Zaman Gangsa pertama di Eropah.

Penggunaan gangsa dan tembaga dalam kalangan mereka mungkin memberikan mereka kelebihan ke atas kebanyakan masyarakat Neolitik, penghuni-penghuni Zaman Batu di Eropah pada masa itu. Malah, sebahagian saintis berpendapat bahawa kaum wanita Eropah mendapati kaum lelaki Yamnaya lebih menawan dan menarik untuk dikahwini lantaran kegagahan mereka sebagai pahlawan di samping kemajuan yang mereka miliki dalam penggunaan teknologi.

Pembinaan semula patung wajah lelaki dari Yamnaya


Gaya hidup kaum Yamnaya dilihat bercampur antara penternakan, pertanian, perburuan dan pengumpulan hasil hutan yang mana gaya hidup ini sama dengan kebudayaan-kebudayaan Eropah di zaman terkemudian seperti Celt dan Jermani. Hal ini agak munasabah memandangkan penemuan-penemuan terkini mengisyaratkan bahawa masyarakat Jermani dan Celts merupakan keturunan Yamnaya.

Terdapat juga kebarangkalian bahawa faktor migrasi ini adalah untuk mencari koloni-koloni yang secara politik dan budaya berada sejajar dengan tanah air mereka, dengan tujuan untuk meluaskan budaya dan pemilikan keluarga mereka ke atas tanah-tanah baru.

Hal ini membuatkan tujuan migrasi mereka itu sama seperti koloni-koloni yang ditubuhkan oleh Yunani dan Rom di seluruh Mediterranean. Mungkin juga mereka bermigrasi atau menjadi pihak penyerang dengan niat untuk meraih kekayaan hasil daripada rampasan demi menaikkan status mereka dalam kalangan masyarakat serantau, sama seperti yang dilakukan oleh Viking.

YAMNAYA DAN BAHASA PROTO-INDO-EROPAH

Kalaupun bukan mustahil, sukar untuk para penyelidik menentukan bahasa yang terkait dengan sesebuah kebudayaan arkeologi, Bahasa yang dituturkan oleh sesebuah komuniti purba tidak meninggalkan sebarang jejak dalam rekod arkeologi melainkan mereka meninggalkan rekod-rekod bertulis yang terpelihara dan boleh diterjemah.

Walaupun wujud permasalahn ini, terdapat kaedah untuk mengenal pasti bahasa yang dituturkan secara meluas oleh sesebuah kebudayaan arkeologi. Penyebaran pengaruh genetik Yamnaya di seluruh Eropah dan Asia Tengah secara kasar sepadan dengan penyebaran bahasa Indo-Eropah.

Asal-usul bahasa Indo-Eropah merupakan satu lagi lapangan yang dipenuhi dengan perdebatan dan kontroversi. Dua pendapat utama melihat penutur-penutur Proto-Indo-Eropah, yang secara hipotesisnya merupakan nenek-moyang kepada bahasa-bahasa Indo-Eropah, adalah masyarakat petani Anatolia yang mula berkembang-tersebar dari tanah air mereka pada tahun 7000SM, ataupun masyarakat penternak nomad dari steppe-steppe Eurasia yang mula bermigrasi dari tanah air mereka sekitar tahun 4000SM.

Kaum Yamnaya adalah masyarakat nomad penternak

Hipotesis kedua ini dikenali sebagai Hipotesis Kurgan, yang bersempena nama sejenis kubur yang digunakan oleh masyarakat di rantau itu pada tempoh waktu tersebut. Kebudayaan-kebudayaan Kurgan, yang antara lain adalah kaum Yamnaya, mengebumikan jasad anggota masyarakatnya yang telah meninggal dunia dalam sebuah kubur yang dilitupi dengan gundukan-gundukan tanah.

Kebudayaan-kebudayaan Kurgan diperkirakan melakukan bukan hanya satu, tetapi banyak migrasi yang mungkin kaum Yamnaya adalah kaum yang pertama melakukannya. Migrasi-migrasi ini secara tradisinya diyakini berlaku pada tempoh 4000SM hingga 1000SM.

Migrasi-migrasi Indo-Eropah menurut Hipotesis Kurgan


ADAKAH YAMNAYA MERUPAKAN PENUTUR BAHASA INDO-EROPAH PERTAMA?

Penutur-penutur bahasa Proto-Indo-Eropah merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan oleh ahli-ahli arkeologi dan linguistik sebagai kebudayaan Proto-Indo-Eropah (PIE). Buat masa sekarang, kebudayaan PIE bersifat teori secara umum dan teori ini dihasilkan daripada kesimpulan-kesimpulan yang digariskan daripada perkataan-perkataan Proto-Indo-Eropah yang mendedahkan budaya masyarakat mereka. Misalnya, Proto-Indo-Eropah mempunyai perkataan untuk haiwan ternakan seperti biri-biri, kambing dan lembu. Ia juga mempunyai perkataan yang merujuk secara khusus kepada gandum dan barli. Hal ini mengisyaratkan bahawa penutur bahasa berkenaan sudah terbiasa dengan haiwan dan tuaian ini, dan malah mereka turut terlibat dalam mengembangkannya.

Suatu kaedah untuk menyemak-silang kemungkinan perkaitan yang wujud antara genetik dan linguistik yang mungkin menghubungkan antara kaum Yamnaya dan bahasa-bahasa Indo-Eropah adalah dengan melihat kepada bukti arkeologi Yamnaya dan melihat sama ada ia sepadan dengan kebudayaan PIE.

Kumpulan-kumpulan bahasa Indo-Eropah pada 500SM

Kebudayaan PIE paling tidak sebahagiannya mengamalkan gaya hidup menetap, menanam hasil tuaian seperti gandum dan barli serta barangkali hidup di dalam bangunan (walaupun tidak begitu kukuh strukturnya). Berdasarkan jangkaan-jangkaan tentang kebudayaan PIE, hal ini berupaya mengurangkan bantahan terhadap idea bahawa kebudayaan PIE boleh dikenal pasti atau dijejak menerusi kaum Yamnaya.

Dalam pada itu, para penyelidik turut sedia maklum bahawa kaum Yamnaya merupakan sebuah masyarakat yang mengamalkan aktiviti pertanian. Mereka mempunyai pendekatan yang kompleks terhadap aktiviti sara hidup yang merangkumi pertanian. Wujud juga kebarangkalian di mana mereka pernah tiba di Eropah, hidup di sana dan mula mengamalkan aktiviti pertanian dengan lebih kerap.

Jika mereka menyerap amalan pertanian ini daripada kebudayaan bukan-Indo-Eropah tempatan, kita dapat menemukan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan pertanian sebagai perkataan pinjaman dan bukannya daripada leksikon asli Proto-Indo-Eropah.

Sebagai contoh, tiada perkataan PIE asli bagi merujuk kepada ‘laut’. Perkataan bagi laut tidak konsisten di kebanyakan sub-kumpulan bahasa Indo-Eropah dan dalam beberapa kes, ia muncul sebagai kata pinjaman daripada bahasa asing sebagaimana yang berlaku bagi Yunani, iaitu thalassa. Sedangkan perkataan-perkataan asli PIE untuk barli dan gandum yang wujud mengisyaratkan bahawa penutur Proto-Indo-Eropah, walau siapapun mereka sebenarnya, hakikatnya sudah terbiasa dengan amalan pertanian di saat mereka menjadi kumpulan linguistik yang tersendiri.

Sekiranya bukti arkeologi dibandingkan dengan penemuan yang dijangkakan daripada kumpulan PIE, bkti tersebut tidak dapat disangkal namun ia tidak pula berkonflik dengan hipotesis yang mengatakan bahawa Yamnaya adalah budaya PIE yang misteri lagi sukar difahami. Hal ini juga konsisten dengan penemuan yang mengisyaratkan bahawa penyebaran genetik kaum Yamnaya secara kasarnya memiliki perkaitan dengan penyebaran bahasa Indo-Eropah di Eropah dan Asia Tengah.

Menurut Hipotesis Kurgan, asal-usul bahasa pertama Indo-Eropah wujud sekitar 1000 tahun selepas tempoh di mana kaum Yamnaya dipercayai bermigrasi dari tanah air mereka. Namun, segala perkara yang lain kelihatan sepadan. Hal ini setidak-tidaknya menghadirkan sebuah kebarangkalian wujudnya perkaitan yang boleh diterima di antara kaum Yamnaya dan bahasa-bahasa Indo-Eropah, walaupun perkaitan ini mungkin tidak memaksudkan mereka sebagai penutur asal Proto-Indo-Eropah.

YAMNAYA DAN PERMULAAN GLOBALISASI

Dalam sejarah, masyarakat nomad penternak seringkali disifatkan sebagai kaum gasar yang gemar berperang dan sukar bekerjasama. Hal ini sememangnya difahami lantaran masyarakat yang mencatat atau merekod sejarah cenderung hadir daripada kumpulan masyarakat yang mengamalkan pertanian dan hidup secara menetap, yang mana mereka ini lazim menjadi sasaran masyarakat nomad penternak.

Munasabah juga seandainya tamadun-tamadun petani memandang rendah terhadap penyerang-penyerang nomad dan menggambarkan mereka dengan naratif yang negatif. Ada benarnya juga hakikat di mana kadangkala masyarakat nomad penternak ini bersifat gemar berperang lantaran banyaknya contoh dalam lipatan sejarah yang membuktikannya. Namun, bukti-bukti arkeologi juga menunjukkan bahawa mereka mempunyai sisi yang lain.

Mereka sememangnya lazim terlibat dalam penyerangan, akan tetapi terdapat juga bukti yang memperlihatkan bahawa mereka terlibat dalam perdagangan dan berkomunikasi secara signifikan dengan pelbagai kumpulan petani-menetap. Bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa masyarakat nomad penternak membantu dalam menghasilkan rangkaian perdagangan yang luas, yang terbentang hampir di seluruh Eurasia di mana barangan dan maklumat dapat dipindahkan. Banyak kumpulan masyarakat yang terlibat dalam rangkaian ini berkemungkinan merupakan puak-puak atau federasi kaum yang bersifat disentralisasi.

Apapun, mereka sememangnya membantu dalam mencipta perdagangan dalam-benua yang menghubungkan tamadun-tamadun pertanian sepanjang zaman purba. Boleh dikatakan bahawa gerakan pertama kea rah pengglobalisasian ekonomi dan budaya diimplementasikan oleh masyarakat nomad penternak yang bermigrasi dari steppe-steppe Eurasia Tengah.

TERJEMAHAN:

Caleb Strom. (6 Jun 2019). How A Handful of Yamnaya Culture Nomads Became the Fathers of Europe. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/yamnaya-culture-0012105

Ruangan komen telah ditutup.