Jenayah terutama jenayah keganasan bukanlah sesuatu yang asing dan boleh berlaku di mana saja tempat di dunia termasuk Malaysia. Pada tahun 2017 saja, kadar jenayah ini sudah berkurangan sebanyak 960 kes atau 16.2%. Tetapi ketakutan orang ramai terhadap jenayah sebegini masih menebal di sebalik jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus berusaha menurunkan kadar jenayah dan meningkatkan hubungan dengan orang ramai. Tetapi bolehkah kita menangani jenayah ganas dengan menggunakan pendekatan kesihatan awam?

Norma bagi tingkah laku manusia terlibat dengan pelbagai jenis tindakan berisiko seperti merokok dan terlebih makan. Dan ini juga mendorong pakar perubatan memberi nasihat dan panduan kepada pesakit untuk mengubah cara hidup mereka daripada berisiko mendapat penyakit merbahaya. Tetapi bila sebut kelakuan ganas, diskusi sebegini selalunya dipenuhi anggapan ia satu tingkah laku terpendam dan sesiapa yang melakukannya sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Dan jika anda perasan, solusi bagi perkara sebegini menerusi jalan perundangan seperti hukuman yang lebih tegas kepada pesalah. Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang saja tidak mencukupi.

Pada tahun 2005, satu laporan difailkan oleh penganalisis utama Polis Strathclyde bernama Karyn McCluskey. Dalam laporan tersebut, beliau menyifatkan cara kerja polis tradisional sebenarnya sama sekali tidak membantu mengurangkan kadar jenayah ganas. Antara punca berlakunya jenayah ganas ialah isu kemiskinan, ketidaksamaan dan alkohol di mana semua sebab ini berlaku di luar skop tugas polis itu sendiri. Bagi mencari jalan mengurangkan kadar jenayah ganas, pasukan penganalisis diketuai McCluskey mula melihat program-program perintis di seluruh dunia.

Ini yang membawa kepada penubuhan Unit Pengurangan Keganasan (VRU) diketuai bekas anggota pasukan McCluskey iaitu Will Linden yang berperanan sebagai pemangku pengarah. Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, VRU bertanggungjawab mengurangkan kadar pembunuhan di Glasgow sebanyak 60%. Begitu juga dengan bilangan pesakit yang mengalami kecederaan muka di Glasgow berkurangan kepada separuh dengan bilangan sebenar pesakit hanya 500 orang setahun. VRU menggunakan pendekatan kesihatan awam iaitu melihat kelakuan ganas sebagai satu bentuk epidemik yang boleh berpindah dari seorang individu kepada seorang individu yang lain.

Salah satu tanda seseorang itu terlibat dengan jenayah ganas ialah si pelaku pernah menjadi mangsa kepada jenayah itu sendiri. Idea bahawa ia boleh tersebar dari satu orang kepada satu orang yang lain turut menerangkan bagaimana sesebuah kawasan mempunyai kadar jenayah ganas yang lebih tinggi berbanding satu kawasan lain walaupun mempunyai masalah sosial sama. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat walaupun keganasan itu tidak boleh dielakkan, dunia tidak seharusnya menerima ia secara bulat-bulat sebagai tingkah laku manusia yang tidak dapat dielakkan.

Ia boleh saja dicegah dan membantu mengurangkan impak kepada manusiawi seperti mana dilakukan sektor kesihatan awam dalam menangani pelbagai masalah kesihatan seperti komplikasi kandungan, kecederaan di tempat kerja dan penyakit berjangkit. Tetapi dengan hukuman keras sebagai pilihan majoriti pihak berkuasa seluruh dunia, bagaimana hendak menjual idea ini kepada pihak berkuasa? Keadaan ini turut dihadapi VRU pada awalnya dan mereka tidak melihat jauh, mereka melihat bagaimana Chicago berusaha mengurangkan kadar jenayah ganas.

Pada tahun 1980-an dan awal tahun 90-an, pakar epidemiologi Gary Slutkin menghabiskan masanya di kem-kem pelarian Somalia untuk membantu merawat pelarian. Tetapi salah satu cabaran beliau dan rakan-rakannya ialah penularan penyakit kolera dan tuberkulosis (TB) dalam kalangan pelarian ketika itu. Bagi mencari penyelesaian masalah ini, mereka mula-mula memetakan dulu kawasan di mana paling banyak berlaku jangkitan penyakit. Dari situ, mereka akan membendung penularan penyakit yang berlaku di kawasan berkenaan. Selalunya pembendungan dilakukan dengan menggalakkan pelarian mengubah sikap mereka di mana akan memberi kesan pantas walaupun ia tak dapat mengubah faktor struktur yang lebih besar.

Contohnya, penyakit cirit-birit berlaku akibat sistem saliran yang tidak memuaskan dan bekalan air yang tercemar. Walaupun usaha memperbaiki sistem perpaipan mungkin akan mengambil masa tetapi ribuan nyawa masih boleh diselamatkan dengan memberi larutan rehidrasi oral. Formula Slutkin digunakan pada setiap kem pelarian Somalia sebelum ia turut diaplikasikan bagi membendung penularan penyakit AIDS. Walaupun penyakitnya berbeza tetapi cara pembendungannya tetap sama. Dan bagi membantu pelarian mengubah tingkah laku mereka, bantuan harus dihulur oleh orang-orang yang dipercayai mereka demi menjadikan perubahan berkenaan bersifat efektif dan bertahan untuk jangka panjang.

Selepas beberapa tahun bekerja di luar negara, Slutkin memutuskan kembali ke Stateside kerana merasakan sudah tiba masanya untuk tidak terlibat dengan pembendungan epidemik. Tetapi bila beliau kembali ke Chicago ketika itu, kadar jenayah terutama pembunuhan mencanak naik. Enggan membiarkan masalah ini berterusan, Slutkin melihat ada persamaan berkenaan epidemik penyakit yang dihadapinya di Afrika dan kadar jenayah yang berlaku di Chicago: corak penularan. Ia merupakan satu pemikiran radikal tapi ke hadapan berkenaan jenayah ganas ketika itu yang mementingkan penguatkuasaan undang-undang dan anggapan semua orang dari bangsa atau kawasan tertentu dianggap jahat.

Chicago pada ketika itu terpisah dari segi kaum dan ini dapat dilihat menerusi peratusan komposisi penduduk di sesetengah kawasan. Sesetengah kawasan mempunyai 95% penduduk kulit hitam atau Mexico-Amerika di mana kawasan ini diabaikan dari segi ekonomi dan terganggu dari segi pertumbuhan sosio-ekonominya. Kadar jenayah pembunuhan meningkat 10 kali ganda di kawasan yang didominasi oleh orang kulit putih. Tetapi bagi Slutkin, peningkatan kadar jenayah langsung tiada kaitan dengan bangsa tetapi sebaliknya, corak tingkah laku individu. Beliau berhujah nyawa manusia boleh diselamatkan dengan mengubah tingkah laku individu dan norma kumpulan.

Ini yang membawa kepada pengenalan projek perintis di kawasan kejiranan West Garfield di Chicago pada tahun 2000. Taktik sama digunakan Slutkin semasa di Afrika kembali diaplikasikan di Chicago. Pada tahun pertama saja menyaksikan penurunan sebanyak 67% kes pembunuhan di kawasan kejiranan berkenaan. Ini disusuli pula dengan program-program sama di kawasan kejiranan lain yang menyaksikan penurunan kes pembunuhan sebanyak 40%. Kejayaan program ini menarik perhatian bandar-bandar di Amerika Syarikat.

Hari ini pertubuhan Slutkin iaitu Cure Violence bekerja di 13 kawasan kejiranan di Chicago sementara versi program lain dibawa ke New York, Baltimore dan Los Angeles serta negara-negara lain di dunia. Honduras misalnya melaksanakan program Cure Violence menyaksikan penurunan kes menembak dari 98 kes pada Januari hingga Mei 2014 kepada 12 kes untuk tempoh sama pada tahun 2015. Walaupun ada yang mempertikai statistik yang digunakan Cure Violence tetapi keberkesanannya tidak boleh dinafikan. Satu kajian yang dibuat Universiti Northwestern pada tahun 2009 mendapati kadar jenayah di mana program ini dilaksanakan berkurangan.

Salah satu cara Slutkin membendung tingkah laku ganas ialah menggunakan pengganggu tingkah laku ganas. Cure Violence menggerakkan mereka selepas berlakunya kes tembak untuk mengelak tindak balas dan menenangkan penduduk sebelum perselisihan faham yang sudah wujud menjadi lebih ganas. Mereka menggunakan pelbagai teknik iaitu mengulangi semula kata responden tetapi dalam bentuk positif, duduk bersama seseorang untuk seketika sehinggalah individu itu tenang dan memberi penekanan kepada akibat. Kebolehan pengganggu ini bergantung kepada kredibiliti mereka di mana ada sesetengah menggunakan pengalaman mereka semasa dipenjara. Ada juga menggunakan hubungan rapat dengan komuniti tempatan untuk memastikan mesej yang dibawa sampai kepada kelompok sasaran.

Walaupun Cure Violence harus beradaptasi dengan kawasan setempat, modelnya masih sama. Pertama, petakan kawasan mana di mana wujudnya kelompok tumpuan. Kedua, upah pengganggu tingkah laku ganas yang mempunyai kenalan di peringkat komuniti. Mereka akan meronda di jalanan, menjalin hubungan dengan jiran-jiran dan para peniaga serta membentuk hubungan dengan individu-individu berisiko. Pusat ini mengupah 11 orang pengganggu dengan empat orang pekerja bantuan yang berinteraksi dengan penerima bantuan untuk jangka masa panjang.

Untuk tempoh enam bulan hingga dua tahun, pekerja-pekerja ini akan berusaha mengubah tingkah laku ganas selain menghubungkan peserta dengan peluang pekerjaan, kaunseling atau pendidikan. Namun ini bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan ramai pekerja. Dan untuk mengelak situasi menjadi berkecamuk, pengganggu atau pekerja bantuan perlulah orang yang bukan saja dipercayai tetapi disenangi semua.

Bagi VRU, apa yang dilihat mereka di Chicago amat menarik. Tetapi McCluskey dan John Carnochan dari Polis Strathclyde berpandangan model Slutkin boleh digabungkan dengan satu lagi model ahli kriminologi Boston, David Kennedy. Pada tahun 1990-an, polis menggunakan model ini dengan memanggil semua ahli kumpulan ke balai. Mereka diberi pilihan sama ada meninggalkan jenayah dan mendapatkan peluang pekerjaan serta pendidikan. Jika mereka enggan, mereka berhadapan pendekatan lebih keras dari pihak berkuasa seperti serbuan dan pemeriksaan badan yang lebih kerap. Menurut Linden, ia amat diperlukan kerana walaupun pihak polis sudah melakukan yang terbaik, kadangkala ia masih belum mencukupi untuk mengurangkan kadar jenayah.

VRU dikendalikan pihak berkuasa Scotland dan mendapat sokongan kuat Edinburgh. Malah, polis Scotland turut memegang penghormatan sebagai satu-satunya pasukan polis yang menggunakan model kesihatan awam dalam memerangi jenayah. Tidak seperti Cure Violence yang beroperasi melalui universiti, VRU mendapat sokongan penglibatan pelbagai jenis penjawat awam dari pakar perubatan hinggalah pekerja sosial. Ada sesetengah mengambil inisiatif sendiri seperti pakar bedah Christine Goodall. Goodall bersama dua rakan sekerjanya menubuhkan sebuah badan kebajikan bernama Medics Against Violence pada tahun 2008 dan menjadi rakan VRU dalam mendidik orang ramai terutama generasi muda tentang jenayah membabitkan pisau dan apa tindakan yang boleh diambil.

VRU juga turut mengambil idea pengganggu tingkah laku ganas yang dilaksanakan Slutkin di Chicago di mana pengganggu ini akan segera campur tangan selepas berlaku insiden ganas untuk mengurangkan ketegangan dan membantu golongan yang terkesan mendapat bantuan. Tidak seperti pengganggu tingkah laku ganas di Chicago yang ditugaskan mengikut kawasan kejiranan, perkara berkenaan tidak berlaku di Scotland. Sebaliknya mereka bekerja di jabatan kecemasan dan kemalangan di hospital dan mendekati pesakit yang datang selepas terlibat dengan insiden ganas.

Selepas menghilangkan rasa kekok dengan perbualan, pekerja ini akan membantu individu yang terkesan mendapatkan pekerjaan, rawatan ketagihan atau terapi. Dan mereka berusaha untuk sentiasa pantas bagi memastikan kemajuan yang dibuat individu berkenaan tidak terganggu oleh kerenah birokrasi kerajaan. Ini mewujudkan situasi kerjasama membabitkan pelbagai agensi kerajaan. Untuk melihat kesan jangka panjang, kadangkala ia mengambil masa bertahun-tahun – melebihi tempoh empat atau lima tahun untuk kitaran pilihan raya. Dan menariknya, walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada sesetengah masa, wujud konsensus dalam kalangan anggota kerajaan dan pembangkang Scotland meneruskan dana untuk projek bersifat hati emas ini.

Namun, sesuatu yang mengecewakan bagi Slutkin ialah di sebalik lambakan bukti yang membuktikan keberkesanan modelnya, masih ramai yang enggan melabur atau menyokong pendekatan sedemikian. Menurut Slutkin, kesukaran di sini bukanlah mengurangkan kadar jenayah ganas tetapi mengubah pemahaman orang ramai terhadap masalah berkenaan. Dalam satu perjumpaan, beliau mendedahkan bila dana Cure Violence dipotong di sesetengah kawasan, kadar jenayah yang sudah menurun kembali meningkat. Dan bila dana tersebut dipulihkan, kadar jenayah di kawasan tersebut berkurangan. Slutkin melihat proses penjara langsung tidak menunjukkan sebarang data yang baik tetapi ianya dibiayai bukan saja oleh pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta.

Bagi VRU, mereka tidak pernah berhenti memikirkan cara terbaik untuk membantu mengurangkan kadar jenayah terutama jenayah ganas. Pada tahun 2012, salah seorang anggota mereka bernama Iain Murray terbang ke Los Angeles untuk meninjau sebuah syarikat bernama Homeboy Industries. Syarikat katering itu mengupah bekas anggota samseng sebagai pekerja dan memberi tempoh pekerjaan selaam setahun bagi bekas banduan. Golongan ini turut mendapat sokongan dari segi mentor dan terapi psikologi.

Sekembalinya ke Scotland, idea tersebut direalisasikan VRU menerusi satu perniagaan trak makanan yang dikendalikan unit berkenaan. Seperti Homeboy Industries, mereka mengupah bekas pesalah jenayah ganas selama setahun, bantuan pekerja bantuan dari segi mentor, terapi psikologi, bantuan dari segi celik huruf, perumahan, keibubapaan dan apa jenis bantuan yang dirasakan sesuai. Peserta haruslah mempunyai rekod jenayah, mesti menghindarkan diri dari mengambil alkohol dan dadah serta menunjukkan kesediaan untuk berubah.

Bagi Murray, pendekatan sebegini dilihat jauh lebih baik berbanding pendekatan konvensional. Walaupun sesetengah peserta mempunyai masalah seperti menepati masa, menerima arahan dan memakai uniform, mereka tetap mendapat sokongan pekerja bantuan mereka. Selain mengubah tingkah laku ganas mereka, pekerja ini juga membentuk hubungan dengan pelatih dan membantu mereka memberi respon berbeza terhadap konflik.

Bagi Murray, apa yang dilakukannya hari ini jauh lebih memuaskan kerana ia sebenarnya mewujudkan suasana penyayang dalam kalangan masyarakat terutama pihak berkuasa. Dan bila itu berlaku, golongan yang terkesan dan berisiko ini sebenarnya dapat belajar menyayangi diri mereka dan berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu yang merugikan masa depan mereka.

SUMBER

  1. Camoens, Austin dan Zolkepli, Farik. (2018). The Star. IGP: Crime index down by 11.7 percent. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/03/25/igp-crime-index-down-by-11_7-percent/
  2. Shackle, Samira. (2018). BBC. Why we should treat violence like an epidemic. http://www.bbc.com/future/story/20180723-why-we-should-treat-violence-like-an-epidemic

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.