Semua peminat filem pasti sudah menonton pelbagai jenis filem yang ditayangkan panggung. Pilihlah apa jenis genre yang kita mahukan dari thriller sampailah seram dan drama, semua ada peminat tersendiri. Dan bagi peminat permainan video seperti Lara Croft dan Resident Evil, filem-filem sebegini dilihat merealisasikan impian mereka melihat versi sebenar watak pujaan di layar perak. Tetapi sayang, tidak seperti francais filem berjaya lain seperti Marvel Cinematic Universe (MCU) atau francais Harry Potter, filem sebegini jika bernasib baik, mengutip kutipan pecah panggung memberangsangkan tetapi bersedialah menerima kritikan keras penonton dan pengkritik filem. Mengapa formula kejayaan sesebuah permainan video gagal diterjemahkan ke layar perak?

Bagi penganalisis media kanan Comscore, Paul Dergarabedian, filem-filem yang diadaptasi dari permainan video popular mempunyai rekod buruk dari segi kutipan pecah panggung dan tiada sebarang filem yang berjaya mencapai kutipan yang membanggakan. Dergarabedian berkata, “Bagi setiap filem Lara Croft: Tomb Raider dan The Angry Bird Movie, ada filem yang gagal mendapat kutipan baik dan dikecam ramai. Studio-studio perfileman sedar mereka boleh mendapat untung melalui kutipan pecah panggung di luar negara dan untuk menjustifikasikan pelaburan mereka dalam filem-filem ini. Mereka nak menjadi orang pertama yang berjaya meniru formula filem-filem adiwira yang mengundang keuntungan besar untuk studio mereka. Tetapi ianya masih belum berlaku lagi.”

Filem adaptasi permainan video yang paling berjaya ialah filem Lara Croft: Tomb Raider lakonan Angelina Jolie (Wanted, Salt) dan Daniel Craig (siri filem James Bond, Logan Lucky) yang mengutip $131 juta. Dan filem paling buruk dari segi kutipan tiket ialah Alone in the Dark lakonan Christian Slater (Interview with the Vampire, Mr. Robot) yang hanya mengutip $5.1 juta dan dianggap filem paling buruk kualiti dalam sejarah perfileman. Ada juga filem yang gagal mendapat kutipan memberangsangkan di peringkat domestik tetapi mendapat sambutan hangat di luar negara. Antara filem yang terkena sumpahan ini ialah Warcraft yang menampilkan Travis Fimmel (Vikings) dan Dominic Cooper (Preacher) yang berjaya mendapat kutipan $430 juta di mana ia mendapat sambutan di China.

Figure 2: Filem Warcraft yang mendapat sambutan mengecewakan di peringkat domestik diselamatkan oleh kutipan tiket memberangsangkan di luar negara.

Pada tahun-tahun awal filem-filem sebegini dibikin, ramai pengkritik filem mengkritik filem genre permainan video kerana tiada perkembangan dari segi plot dan pembangunan watak. Tetapi untuk 15 tahun yang terakhir, studio-studio yang bertanggungjawab menghasilkan permainan video membelanjakan wang bukan sedikit untuk pembikinan cerita dan pembangunan watak dengan mengupah penulis-penulis skrip filem atau drama televisyen dan pelakon-pelakon berkaliber demi memastikan ia memberi impak kepada pemain. Bagi siri Call of Duty misalnya, ada beberapa penulis skrip filem bertanggungjawab mencorak cerita yang kadangkala melebihi kualiti sesetengah filem dan drama televisyen. Paul Haggis misalnya, penulis cerita Call of Duty: Modern Warfare 3 bertanggungjawab mencorak cerita Flags of Our Father dan Letters from Iwo Jima yang diarahkan Clint Eastwood. Siri permainan ini juga turut menampilkan pelakon-pelakon berkaliber seperti William Fichtner dan Idris Elba (Modern Warfare 3), Lance Henriksen dan Kevin McKidd (Modern Warfare 2) dan Kiefer Sutherland dan Gary Oldman (World at War).

Tetapi yang menjadi masalah besar bagaimana memindahkan formula sesebuah permainan video yang berjaya ke layar perak, kadangkala terperangkap dengan cerita yang bersifat hambar. Dan bagi penulis rencana permainan video Cara Ellison, beliau melihat jenis permainan yang mahu diadaptasi ke layar perak merupakan contoh tidak sesuai bagi filem-filem yang mahu kesan dramatik. Skrip sesebuah filem bersifat ringkas lagi padat, sesuatu yang tidak boleh dilakukan bagi sesebuah permainan video. Sesebuah permainan video francais besar sekurang-kurangnya mempunyai durasi 15 jam dan memuatkan semua elemen unik permainan dalam filem yang berdurasi 120 minit dan ke atas merupakan satu tugas sukar dan kadangkala, tidak diperlukan.

Bagi editor hiburan laman sesawang Gamesradar Lauren O’Callaghan, bermain permainan video dan menonton filem merupakan sesuatu yang berbeza. Ini kerana bila kita bermain, ia memerlukan kita mengambil peranan aktif dan membuat pilihan sementara menonton filem pula bersifat pasif. Masalah mula timbul apabila pembikin filem cuba mengadaptasi ciri utama permainan dalam filem mereka kerana tiada sebarang cerita yang membolehkan ia wujud secara semulajadi dalam filem. Ia nampak logik bagi peminat permainan tetapi penonton biasa, ia dirasakan pelik dan tidak kena pada tempatnya. O’Callaghan menambah satu lagi punca sesebuah filem permainan video gagal di pawagam berikutan cubaan produksi mencari jalan kompromi demi memuaskan hati peminat permainan dan penonton biasa. Kompromi sebegini bukan saja menyebabkan filem gagal memenuhi kehendak dua kelompok berkenaan tetapi juga menjejaskan kutipan tiket di panggung.

Sesebuah filem permainan video yang baik kualitinya tidak perlu bergantung kepada plot permainan sebenar. Produksi boleh saja memilih meneroka latar belakang watak atau menggunakan elemen yang membentuk dunia fiksyen permainan berkenaan. Ada juga sesetengah produksi memilih teras sesebuah permainan sebagai teras kepada filem mereka. Filem Street Fighter yang menampilkan bintang aksi terkenal, Jean Claude Van Damme menggabungkan elemen personaliti watak permainan video dan kemahiran berlawan para pelakon terutama Van Damme serta skrip yang penuh kelucuan. Silent Hill yang menampilkan Sean Bean (GoldenEye) menggunakan sepenuhnya elemen seram dan thriller yang diambil dari siri permainan Silent Hill. Manakala siri filem Resident Evil pula yang menampilkan Milla Jovovich sebagai watak utama mengambil elemen melodramatik permainan berkenaan dan meletakkannya pada watak baru dan dunia Resident Evil, menjadikan ia seronok ditonton. Bagi Ellison, ini satu cara untuk menghasilkan filem adaptasi permainan video yang berkualiti.

Ada juga sesetengah filem adaptasi permainan video yang berkualiti kerana ia mengambil konsep permainan, sesuatu yang dilakukan filem terbitan Disney seperti Tron, Wreck-It-Ralph, pembikinan semula filem Jumanji yang menampilkan Dwayne Johnson dan terbaru, Ready Player One arahan Steven Spielberg. Kesemua filem ini tidak terikat dengan naratif permainan biasa, sebaliknya mengambil semua aspek menarik berkenaan permainan video: bagaimana ia mempengaruhi kehidupan seharian. Tron, Jumanji dan Ready Player One melihat bagaimana seseorang pemain boleh diserap masuk dalam permainan dan melihat senario permainan dari sudut berbeza. Dan bagi Ready Player One, ia tidak kisah menyebut nama-nama permainan tertentu bersama rujukan budaya pop lain, cukup sekadar mengundang kenangan bagi peminat francais permainan dan penonton biasa.

Figure 3: Jumanji: Welcom to the Jungle dianggap berjaya kerana meneroka sisi lain permainan video dan lari dari naratif biasa dikaitkan dengan filem adaptasi permainan video.

Walaupun sesetengah filem dianggap gagal dan tidak mendapat tempat di hati penonton, itu tidak menghalang studio-studio perfileman dari terus melabur dalam genre berkenaan. Filem-filem lain yang bakal menjengah pawagam ialah pembikinan semula filem Super Mario, Sonic the Hedgehog dan Monster Hunting World. Ada juga studio permainan yang mengambil langkah berani mewujudkan divisyen perfileman mereka sendiri. Antara yang mengorak langkah ialah syarikat permainan multinasional Activision melalui divisyen Activision Blizzard Studios. Divisyen ini bertanggungjawab menerbitkan siri animasi Netflix, Skylander Academy yang kini memasuki musim ketiga dan sedang merancang membangunkan francais perfileman Call of Duty. Filem yang masih belum diberi tajuk itu, siapa pelakon utama dan bila penggambaran filem akan bermula bakal diarahkan oleh pengarah filem Sicario: Day of the Soldado, Stefano Sollima.

SUMBER

MacDonald, Keza. (2018). The Guardian. Movie adaptations of video games are still mostly terrible. Why has no one cracked the code? https://www.theguardian.com/film/2018/mar/29/movie-adaptations-video-games-terrible-crack-code

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.