Selama beberapa tahun, kita sentiasa disogok dengan teori-teori mengarut kelompok ahli konspirasi bahawasanya kuasa-kuasa besar terutama Amerika Syarikat mengawal cuaca dunia. Mereka menunjukkan bukti bahawasanya beberapa bencana alam yang berlaku di beberapa tempat di dunia terhasil gara-gara Program Kajian Aurora Aktif Frekuensi Tinggi atau HAARP. Mungkin teori sebeginilah yang memberi inspirasi kepada Dean Devlin (Leverage, Stargate) untuk menghasilkan filem bencana alam terbitan Warner Bros, Geostorm (2017). Tapi apa itu HAARP sebenarnya?

HAARP sebenarnya satu program kajian saintifik yang dibiayai secara bersama oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), University of Alaska Fairbanks (UAF) dan Agensi Projek Kajian Lanjutan Pertahanan (DARPA).

Projek ini ditubuhkan untuk mengkaji ionosfera iaitu lapisan atmosfera bumi bermula dari 70 atau 80 kilometer di atas permukaan bumi hingga ke ketinggian tak terhingga yang terion secukupnya oleh sinaran ultralembayung solar dan elektron bebas di dalam lapisan ini mempengaruhi perambatan gelombang radio. Selain itu, projek berkenaan akan mengkaji potensi teknologi penambahan ionosfera bagi pemantauan dan komunikasi radio. Memandangkan kemudahan projek berkenaan dimiliki UAF, ia menggunakan pemancar frekuensi tinggi yang dijana kuasa tinggi bagi membolehkan kajian ionosfera dijalankan.

Pembangunan projek ini dimulakan pada tahun 1990 dan ia mendapat sokongan senator Alaska dari Parti Republikan, Ted Stevens. Melalui sokongan beliau, projek tersebut mendapat kebenaran kerajaan dan ia mula dibina pada tahun 1993. Selepas ia siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 1999, ia memancarkan isyarat sebanyak 3.6 juta watt frekuensi radio dan ia boleh dipancarkan secara berterusan atau secara denyutan.

Ia boleh dikesan dengan menggunakan pelbagai jenis alat seperti radar UHF dan VHF, penerima berfrekuensi tinggi dan kamera optik. Sebarang maklumat yang diraih daripada HAARP diharap dapat membantu para saintis dan penyelidik mengurangkan kesan-kesan ini bagi menambahbaik kemampuan sistem komunikasi dan panduan bagi kegunaan awam dan tentera.

Jika matlamat ini dapat dicapai, ini dapat membantu memperbaiki sistem komunikasi kapal selam atau kebolehan mengesan dan memetakan deposit mineral atau bunker tersembunyi di sesetengah wilayah atau negara. Kemudahan hari ini tidak mempunyai jarak diperlukan untuk wilayah seperti Timur Tengah tetapi ia masih boleh dilakukan jika ia diletakkan di atas platform bergerak. Selain itu, para saintis juga menggunakan HAARP untuk mengkaji ciri-ciri ionosfera, memerhati struktur aurora dan mendokumentasi kepelbagaian lapisan ozon bumi.

Pasti ada yang menganggap HAARP ini satu eksperimen yang merugikan dari segi masa dan duit tetapi ia banyak memberi keputusan yang tidak disangka-sangka. Pengukuran pancaran optik yang muncul akibat gangguan elektron yang dipanaskan merupakan satu pencapaian HAARP yang tidak disangka-sangka. Ini kerana dalam tempoh 20 tahun, eksperimen yang dijalankan pemanas Hamparan Tidak Koheren Eropah (EISCAT) di Artik Norway dianggap gagal dan para penyelidik HAARP sudah diberi amaran eksperimen berkenaan tidak akan berjaya.

Tetapi berkat kesabaran dan ketekunan mereka, mereka berjaya merekod imej garisan oksigen merah berukuran 630 nanometer (nm) yang mendedahkan tompok kecil yang sekejap ada dan sekejap tiada seiring dengan pemanas berkenaan. Ini menunjukkan HAARP berupaya memanaskan elektron dan mengganggu aliran oksigen. Apabila ia diuji pada zenith magnetik pada tahun 2002, tompokan itu menyala dan 10 kali lebih terang sebagai teja udara berbanding lokasi-lokasi lain dunia.

Terima kasih kepada keupayaannya mengubah frekuensi dengan lancar, antena HAARP berupaya memanaskan ionosfera pada altitud spesifik di mana frekuensi pemancaran boleh menyamai dua resonans secara serentak. Ini diuji pada tahun 2004 apabila teja udara yang terhasil daripada eksperimen itu mengeluarkan pancaran oksigen berwarna merah dan hijau.

HAARP turut menguji perkara sama pada lapisan ionosfera efemeral yang dihasilkan oleh aurora. Hasil eksperimen menunjukkan tompok-tompok cahaya lebih terang seperti mana aurora itu sendiri. Walaupun ia berjaya dihasilkan semula dalam beberapa eksperimen lain, para saintis masih tidak dapat menerangkan bagaimana ia boleh berlaku.

Pada tahun 2013, HAARP ditutup seketika bagi menanti kontraktor mana yang dilantik untuk menguruskan operasi kemudahan berkenaan. Wujud spekulasi siapa yang akan menguruskan projek berkenaan dan masa hadapan fasiliti itu. Setahun selepas itu, USAF sedang berkira-kira menutup HAARP dan ini mengundang reaksi negatif para saintis. Selepas beberapa lama spekulasi berkenaan masa hadapan HAARP, akhirnya ia terjawab apabila USAF menyerahkan kawalan dan peralatan kemudahan HAARP kepada UAF pada tahun 2015. Dan UAF menjadikan kemudahan ini mudah diakses oleh para penyelidik dengan asas bayar baru guna.

Jadi, apa yang mendorong HAARP sebagai magnet kelompok ahli teori konspirasi? Menurut Austin Baird yang menulis untuk Alaska Dispatch, jawapannya mudah saja. HAARP tidak membuka pintu seluas-luasnya kepada pengunjung seperti mana dilakukan kemudahan Persekutuan lain di seluruh negara dan mereka tidak berusaha lebih keras menerangkan kepentingan program mereka kepada orang ramai.

Sementara seorang saintis bernama David Naiditch menganggap HAARP magnet kepada teori konspirasi kerana tujuan penubuhannya dianggap misteri dan sulit oleh orang yang ada pengetahuan sains. Sementara penulis dan wartawan Sharon Weinberger memanggil HAARP sebagai Moby Dick untuk kelompok teori konspirasi dan menyifatkan populariti teori mengarut sebegini mengatasi faedah yang diberikan program berkenaan kepada kelompok saintifik.

Antara tuduhan yang selalu dilemparkan kepada HAARP ialah program tersebut dikatakan berupaya mengubah iklim dan cuaca seperti yang digambarkan dalam Geostorm. Sebagai bukti kepada tuduhan ini, ahli teori konspirasi memetik kenyataan Prof Michio Kaku menerusi satu temubual bersama saluran berita CBS News pada tahun 2013.

Menerusi temubual berkenaan, Kaku menyifatkan Taufan Harvey dan Irma yang berlaku ketika itu akibat eksperimen yang dijalankan HAARP. Dakwaan ini tersebar di beberapa laman sesawang dan saluran video YouTube pada September 2017. Tetapi selepas disiasat pasukan laman sesawang penyemak fakta Snopes.com mendapati kenyataan ahli fizik terkenal itu telah dimanipulasi oleh kelompok teori konspirasi dan video yang dikatakan pengakuan Kaku itu sebenarnya telah disunting.

Menurut Snopes.com, Kaku tidak pernah mengeluarkan kenyataan HAARP bertanggungjawab kepada dua taufan berkenaan. Sebaliknya, video temubual CBS News dengan beliau menunjukkan ahli teori fizik itu ditanya apakah kemungkinan cuaca boleh dikawal oleh kerajaan menerusi laser atau kaedah lain.

Boleh rujuk temubual penuhnya bersama CBS News di sini: https://www.youtube.com/watch?v=hm1_TfTgUag

Menerusi temubual berkenaan, Kaku berbicara kemungkinan sesebuah kerajaan boleh menyebabkan hujan turun atau tidak turun dan menyifatkan bukti yang cuba dibawa bersifat tidak konkrit dan tidak boleh dibuktikan. Beliau menambah, sebarang usaha untuk mengawal cuaca dianggap tidak konklusif tetapi itu tidak bermakna mereka berhenti di situ saja.

Para saintis sedang cuba membawa peraturan fizik dan menggunakan laser dengan kekuatan trilion watt untuk eksperimen berkenaan. Bagaimanapun, Kaku tidak menolak kemungkinan ia berlaku dengan aplikasi pengubahsuaian dan pengawalan cuaca melibatkan isu seperti hujan, banjir dan ribut taufan. Malah, bila pihak Snopes.com mengajukan pertanyaan pasal ini, Kaku sendiri menyifatkan video yang disiarkan ahli teori konspirasi sebagai 100% palsu. Begitu juga semasa beliau membuat kemunculan untuk saluran berita sama pada tahun 2017 berkenaan Taufan Harvey dan sains di sebalik taufan. Dalam temubual berkenaan, Kaku tidak menyebut satu patah pun berkenaan HAARP.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang para ahli teori konspirasi dari terus mengutarakan teori yang bersifat sensasi dan tidak masuk akal. Habis semua bencana alam yang berlaku di negara-negara dunia diletakkan beban kesalahan pada HAARP. Malah, ada yang bertindak lebih berani dengan mendakwa HAARP juga bertanggungjawab mencetuskan tragedi kehilangan MH370 dan kemusnahan kapal angkasa Challenger.

Walaupun Institut Geofizik UAF yang menguruskan kemudahan HAARP mengumumkan program rumah terbuka pada Ogos setiap tahun bagi membenarkan para pelawat melihat HAARP sebagai respon kepada artikel Baird, ia dilihat masih belum mampu memadamkan kedegilan sesetengah pihak yang masih menyalahkan HAARP sebagai punca kepada sesebuah musibah terutama bencana alam dan tragedi kemalangan.

Jadi ini membuatkan saya mahu mengajukan soalan ini kepada ahli teori konspirasi: apakah anda mendakwa program ciptaan manusia seperti HAARP lebih hebat berbanding kehebatan Rabbul Jalil, penguasa alam dunia dan akhirat? Ingatlah, apa saja musibah yang berlaku, semua itu tidak akan berlaku tanpa izin, kudrat dan iradat-Nya.

Jika kita berterusan menyalahkan HAARP sebagai punca, tidakkah kita sedar kita sebenarnya mendewa-dewakan tangan-tangan di sebalik pembinaan dan operasi program itu sendiri? HAARP sememangnya satu program penyelidikan sains berkenaan ionosfera tetapi untuk dibawa sehingga ke tahap seperti yang kita lihat dalam Geostorm?

Saya akan berpegang kepada kenyataan Kaku bahawa ia masih lagi mustahil dan jika ia dapat direalisasikan sekalipun, ia akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan sebagai satu realiti. Malah, jika benar tuduhan pengawalan dan manipulasi cuaca itu berlaku, ini sudah pasti akan menarik perhatian ramai pihak berlumba-lumba untuk mengatasi mesin sebegini. Akhirnya, dunia kita binasa gara-gara ketakutan yang tiada rasional ini.

RUJUKAN:

  1. Geophysical Institute(n.d) University of Alaska Fairbanks. HAARP. https://www.gi.alaska.edu/haarp
  2. LaCapria, Kim. (2017). Snopes.com. FACT CHECK: Didi Prof Michio Kaku Say HAARP Caused Irma and Harvey? https://www.snopes.com/fact-check/did-prof-michio-kaku-say-haarp-caused-irma-and-harvey/
  3. Pedersen, Todd. (2015). PhysicsToday. HAARP, the most powerful ionosphere heater on Earth. https://physicstoday.scitation.org/doi/full/10.1063/PT.3.3032

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.