Asia Tengah menyaksikan lahirnya banyak tamadun dan budaya. Kebanyakan tinggalan mereka bahkan masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Salah satu tinggalan terpenting di Republik Kyrgyzstan adalah Menara Burana. Menara ini merupakan satu-satunya monumen bersejarah yang tersisa dari sebuah empayar dahulukala. Menara ini turut dianggap sebagai salah sebuah struktur tertua di Asia Tengah dan reka bentuknya mempengaruhi seni bina di rantau berkenaan, juga di India.

SEJARAH PANJANG MENARA BURANA

Sejarah menara ini berkait-rapat dengan kota Balasagun yang telah lama hilang. Kota tersebut dibina oleh Sogdiana, sebuah tamadun Irani purba pada era awal Kristian. Kota ini kemudiannya dikuasai oleh Karakhanid (atau Qarakhanid) yang merupakan sebuah konfederasi nomad dari Monggolia dan Siberia moden.

Kebanyakan wilayah di Asia Tengah didominasi oleh mereka. Tatkala Karakhanid memeluk Islam, mereka mengambil peranan sebagai penaung ilmuwan Islam dan membina banyak masjid. Menara Burana merupakan sebuah menara yang bercantum dengan sebuah masjid besar. Rekaan menara ini agak unik kerana ia mewakili pengaruh dari pelbagai budaya, termasuklah Arab, Sogdiana dan Parsi.

Perincian unsur kesenian pada Menara Burana

Balasagun merupakan ibu kota Empayar Karakhanid. Setelah empayar itu tumbang, Balasagun tetap juga berfungsi sebagai ibu kota, cuma kali ini untuk negara Karakhanid timur. Berkurun-kurun lamanya, ia kekal sebagai kota urban yang paling penting di Lembah Chuy. Kota tersebut dikuasai oleh Qara Khitai pada tahun 1134, namun Menara Burana terselamat tanpa diapa-apakan. Kemudian pada tahun 1218, Monggol pula yang menakluki Balasagun dan sekali lagi, Menara Burana bertahan. Selepas pemerintah Monggol memeluk Islam, mereka memelihara menara berkenaan.

Dalam sebuah gempa bumi yang melanda Balasagun pada kurun ke-15, bahagian atas Menara Burana tumbang. Warga tempatan kemudiannya menjadikan peristiwa tersebut sebagai legenda, kononnya menara itu runtuh dek raja menangisi kematian puterinya yang tercinta. Pada masa-masa terkemudian, Balasagun sekali lagi dilanda gempa bumi dan kali ini, ia memaksa penghuninya berpindah ke kampung berhampiran yang kini turut dinamakan sebagai Balasagun.

Semasa pendatang Russia menghuni kawasan tersebut pada kurun ke-19, kompleks yang merangkumi Menara Burana dijejaskan dek batu-batanya digunakan untuk membina bangunan baru. Menjelang kurun ke-20, menara tersebut semakin usang. Hal ini kerana pada waktu itu, Kyrgyzstan merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet dan pemerintah komunis sememangnya tidak mengendahkan mana-mana bangunan yang dianggap sebagai bangunan keagamaan.

Pun begitu, menjelang 1970an, Menara Burana mula diperbaiki dan kini, kerajaan Kyrgyzstan menyalurkan dana kepada tapak berkenaan sehingga ia berupaya membangun menjadi destinasi pelancongan yang masyhur.

MENARA BURANA – MONUMEN TERAKHIR DARI KOTA YANG HILANG

Menara berbentuk bulat ini dibina berdasarkan rekaan klasik minaret dan ia didirikan di atas batu asas berbentuk oktagon. Struktur ini bertempat di sebuah dataran yang dikelilingi oleh banjaran Tian Shan, berlokasi di sempadan barat ibu kota. Ia pada asalnya mempunyai ukuran tinggi 148 kaki (45m) namun kini hanya setinggi 82 kaki (25 m).


Patung-patung batu purba berhampiran Menara Burana

Kebanyakan batu-bata merah yang asal masih terselamat dan unsur keseniannya dihasilkan menerusi susunan batu-bata secara geometrik dan bertepatan dengan corak Islami.

Cuma malangnya, anak tangga beralunnya yang asal tidak lagi dapat dimasuki dari tingkat bawah. Untuk menampung kekurangan tersebut, anak tangga besi dibina dan disambungkan ke menara bagi membolehkan pengunjung mengakses tangga beralun yang menghubungkan ke puncak menara.

Sebagaimana yang disebutkan di atas, menara ini terletak di kota Balasagun, tepatnya di zon Burana, iaitu sebuah tapak arkeologi yang masih menyimpan relik-relik kota berkenaan. Antara tinggalan yang masih dapat dilihat di kawasan berhampiran menara adalah binaan tanah, runtuhan kubu, dan tiga buah makam. Bahagian-bahagian lain dari kota Balasagun sudah pun hilang ditelan zaman.

MENGUNJUNGI MENARA BURANA DI KYRGYZSTAN

Sebagai panduan, Menara Burana terletak berhampiran dengan bandar Tokmok dan berjarak sekitar setengah jam pemanduan dari Bishkek, ibu kota Kyrgyzstan. Sejumlah bayaran masuk turut dikenakan. Selain tinggalan sejarah dari kota Balasagun, pengunjung juga dapat menyaksikan sejumlah petroglif dan patung purba yang terletak tidak jauh dari menara.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (3 September 2020). Burana Tower, Kyrgyzstan’s Ancient and Last Monument to a Lost City. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/burana-tower-0014203


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.