Memperingati Pembebasan Baitul Maqdis Oleh Salahuddin al-Ayyubi

4328
views

1-Kemenangan tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Salahudin al-Ayubi mengalahkan tentera Salib dalam Perang Hittin di sempadan Laut Mati pada Julai 1187 menjadi tanda kejatuhan Kerajaan Kristian Jerusalem (Kingdom of Jerusalem) dan pembuka jalan kepada pembebasan Baitul Maqdis pada Oktober tahun yang sama; 832 tahun yang lalu.

2-Pembukaan Kota Baitul Maqdis yang pertama adalah pada tahun 637 di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a. Sejak itu Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Kerajaan Islam selama 462 tahun sehinggalah dirampas oleh tentera Salib pada tahun 1099.

3- Semasa penaklukan oleh tentera Salib ini, kesemua penduduk Islam dan Yahudi, termasuk kanak-kanak dan wanita, yang dianggarkan 10,000 orang dibunuh dengan kejam. Catatan sejarah menulis darah-darah orang Islam mengalir di setiap jalan dan lorong separas buku lali kaki.

4- Namun pemerintahan tentera Salib hanya bertahan selama 88 tahun. Dalam Perang Hittin pada Julai 1187, tentera Islam seramai 30,000 orang berjaya mengalahkan Tentera Salib. Kemenangan ini melemahkan angkatan tentera Salib dan membuka jalan kepada pembebasan Bailtul Maqdis.

5- Sebaik berjaya di Hittin, Salahuddin dan tenteranya terus mara ke Baitul Maqdis dan di sepanjang perjalanan berjaya menawan lebih banyak kota-kota dari tentera Salib seperti Acre, Nablus, Jaffa, Sidon, Beirut dan Ascalon. Beliau akhirnya tiba di pinggir kota Baitul Maqdis pada 20 September.

6- Salahuddin meminta penduduk Baitul Maqdis menyerah diri tanpa pertumpahan darah dan berjanji akan menjaga keselamatan mereka. Kata Salahuddin “Kami percaya Baitul Maqdis adalah kota suci, seperti mana kamu juga percaya. Dan saya tidak mahu mengepung kota suci ini apa lagi menyerangnya.”

7- Tawaran damai Salahuddin ditolak mentah-mentah. Mereka lebih rela membakar seluruh kota, membunuh sesama sendiri dan kemudiannya membunuh diri daripada menyerah kepada tentera Islam. Dengan angkuh mereka berkata “kami akan membunuh anak-anak dan perempuan-perempuan kami. Kami akan membakar kekayaan dan harta benda kami. Tiada permata dan berlian akan kami tinggalkan untuk diambil atau lelaki dan perempuan untuk dijadikan hamba. Selepas itu kami akan runtuhkan Kubah Batu (Dome of the Rock) dan Masjid Aqsa dan tempat ibadat yang lain. Kami akan bunuh hamba-hamba Muslim yang kami miliki – ada 5000 semuanya. Kami akan sembelih semua binatang ternakan dan binatang tunggangan….”

8- Melihat keangkuhan mereka, Salahuddin bersumpah akan membebaskan Baitul Maqdis dengan mata pedang. Barulah tentera Islam mula mengepung dan menyerang kota. Serangan dibuat pada mulanya dari arah barat. Selama 6 hari, Baitul Maqdis dihujani panah-panah tanpa henti dan Menara Penyerang (Siege Tower).

9- Dua menara pertahanan yang besar; Menara Tancerd dan Menara David meyukarkan Tentera Islam untuk menakluki kota. Tambahan pula silauan matahari pagi menyebabkan sebelah petang baru mereka dapat melihat dengan jelas.

10- Pada petang 25 September, tentera Salahuddin mula berundur dari sempadan barat kota. Melihat tentera Salahuddin berundur, penduduk Baitul Maqdis mula bergembira meraikan kemenangan, memasuki gereja-gereja untuk bersyukur dan meninggalkan benteng pertahanan.

11- Rupa-rupanya Salahuddin hanya mengubah kedudukan. Pada pagi 26 September, tentera Salahuddin telah berada di timur kota. Mereka kelihatan telah mengibarkan bendera dari atas Bukit Olive. 2 ketumbukan ‘mangonel’ (jentera pembaling batu besar) telah bersedia.

12- Jurutera perang dengan dilindungi kumpulan pemanah mendekati kaki dinding kota dan berjaya memasang periuk api. Tentera Islam telah bekerja sepanjang malam. 10,000 tentera berkuda telah siap menunggu di pintu gerbang St. Stephen dan Josaphat.

13- Selama 2 hari periuk api diletupkan satu persatu, Pasukan pertahanan kota tidak lagi dapat menahan kemaraan tentera Islam. Sekali lagi mereka lari meninggalkan benteng pertahanan tetapi kali ini dalam kekalahan. Orang awam mula menyerah.

14- Setelah tinggal sebahagian tentera dan golongan bangsawan. Pemimpin kota Baitul Maqdis, Balian of Ibelin mengadap Salahuddin meminta untuk berunding. Salahuddin menyindir, “Kenapa perlu aku berunding dengan kota yang telah aku tawan?”

15- Atas semangat Jihad dan berperang di atas nama Allah dan Islam, akhirnya Salahuddin berlembut dan bersetuju menerima penyerahan Baitul Maqdis dengan aman. Walaupun semua orang Islam dibunuh kejam apabila Tentera Salib menawan Baitul Maqdis pada tahun 1099, Salahuddin tetap menjanjikan keselamatan diri kepada semua penduduk kota apabila tentera Islam menguasai kembali. Tiada seorang pun akan dibunuh.

16- Penduduk kota yang kini menjadi tawanan perang boleh menebus diri untuk keluar meninggalkan kota dan mereka bebas ke mana sahaja. Simpanan harta Raja Henry digunakan untuk menebus tahanan perang dan kerugian bagi pihak penduduk kota.

17- Perjanjian penyerahan diri akhirnya ditandatangani pada hari Jumaat, 2 Oktober 1187. Ditakdirkan juga ia bertepatan dengan tarikh 27 Rajab, malam berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj Rasulullah saw dari Mekah ke Baitul Maqdis. Masuklah Salahuddin ke kota suci Baitul Maqdis dengan linangan airmata dan laungan takbir.

18- Masjidil Aqsa dan semua masjid yang lain dibersihkan. Kesuntukan masa dan tempat yang perlu dibersihkan tidak mengizinkan solat Jumaat didirikan pada hari tersebut.

19- Solat Jumaat yang pertama didirikan di Masjidil Aqsa selepas 88 tahun pada pada Jumaat berikutnya, 9 Oktober 1187.

Telah lebih 800 tahun selepas Sultan Salahuddin al Ayubi membebaskan kota Baitul Maqdis.

Maka tarikh 2 Oktober adalah tarikh yang perlu diingati supaya sejarah ini terpahat sebagai simbol kekuatan ummah dalam mengembalikan hak yang dirampas.

Pada masa yang sama sejarah ini membuktikan akhlak muslim yang mengasihi dan sifat Islam itu sendiri adalah memayungi seluruh insan dan menjadi rahmat pada alam.

Hari ini kita menyaksikan kota ini sekali lagi cuba dibebaskan oleh umat Islam daripada pemerintahan zalim iaitu Rejim Zionis. Kita umat Islam hari ini memikul Amanah Yang Tertangguh.

Jika ingin lebih tahu mengenai peristiwa-peristiwa perang salib dibelakang takbir dan huraian berkenaan perjalanan sejarah menuju ke Baitul maqdis. Boleh dapatkan buku Perang Salib Pertama, karangan saudara Ahmad Faezal.

Berminat nak buat pembelian? Sila klik pautan di bawah!

http://bit.ly/perangsalibpertama ◀ BELI!
http://bit.ly/perangsalibpertama ◀ BELI!
http://bit.ly/perangsalibpertama ◀ BELI!


Artikel disumbangkan oleh Norman Dasuki untuk The Patriots.