Memperbetulkan Persepsi Buruk Berkenaan Poligami Rasullulah S.A.W

3259
views

MUTIARA ISLAM

MOUSTAPHA ABBAS

Bila kita berbicara tentang poligami, ada saja suara-suara sumbang terutama dari kalangan musuh-musuh Islam yang memperlekeh institusi ini. Antara label yang selalu digunakan kelompok sebegini ialah satu penindasan ke atas wanita. Ada sesetengah yang bertindak lebih jauh dengan menganggap poligami Rasulullah s.a.w hanya bersandarkan kepada nafsu dan bukan atas dasar dakwah semata-mata.

Di sini saya ingin menjelaskan kekeliruan yang dicetuskan oleh individu atau kelompok sebegini:

1. Jika benar amalan poligami yang dilakukan Nabi s.a.w hanya berdasarkan nafsu, maka pasti tidak akan muncul firman-Nya tidak mengharamkan baginda menceraikan isteri-isteri baginda atau berkahwin lebih. Contoh dalam kes Hafsah binti Umar r.a, beliau diceraikan baginda sekali tetapi baginda rujuk kembali dengannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibnu Said r.a, bahawasanya Nabi s.a.w menceraikan Hafsah sekali dan merujuknya kembali selepas malaikat Jibril berkata, “Ambillah kembali Hafsah kerana dia selalu berpuasa dan solat pada waktu malam. Dialah isterimu di syurga.”

Dalam satu jalur lain yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir r.a, bila mana Umar r.a mendengar berita perceraian Hafsah, beliau berkata, “Allah tidak akan mengasihi Umar dan anak perempuannya selepas dia diceraikan Nabi s.a.w.” Lalu malaikat Jibril datang berjumpa dengan baginda pada hari berikutnya dan menyatakan perkara sama seperti dalam hadis Ibnu Said r.a dengan tambahan, “Allah memerintahkan kamu mengambil kembali Hafsah sebagai cara menunjukkan kasih kepada Umar (bapanya).”

Dalam satu versi yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Saleel r.a, Umar r.a masuk ke rumah Hafsah semasa beliau menangis. Lalu Umar bertanya sama ada baginda telah menceraikan beliau atau tidak. Umar kemudian menambah, “Dia menceraikan kamu sekali dan mengambil kamu semula kerana aku. Jika dia menceraikan kamu sekali lagi, aku tidak akan bercakap dengan kamu lagi.” Berikutan itu, Hafsah r.a tidak berani lagi melakukan perkara yang menyinggung hati Nabi s.a.w.

2. Jika baginda berkahwin semata-mata atas nama kesenangan, maka baginda boleh saja berkahwin dengan wanita lain selain Khadijah r.a sebelum mendapat wahyu. Hakikatnya, Nabi s.a.w menghabiskan masa mudanya bersama Khadijah. Lihat pula tempoh perkahwinan mereka selama 25 tahun sehingga ke akhir hayat beliau. Baginda bukan pisau cukur seperti yang didakwa oleh individu atau kumpulan yang berhati busuk.

Imam al-Qurtubi berpandangan, jika Nabi s.a.w mahukan kenikmatan atau bersenang-lenang dengan wanita, baginda boleh saja berkahwin dengan wanita-wanita yang lebih muda. Ini berdasarkan satu hadis di mana Nabi s.a.w bertanya kepada seorang sahabat sama ada beliau telah berkahwin atau tidak. Sahabat itu menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Dengan gadis atau janda?” Beliau menjawab, “Saya berkahwin dengan seorang janda.” Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Mengapa engkau tidak berkahwin dengan seorang gadis kerana dengannya engkau boleh bermain-main dengannya dan dia boleh bermain-main denganmu?”

3. Ada sesetengah kelompok berpandangan semua wanita yang dikahwini Nabi s.a.w ialah gadis-gadis. Hakikatnya, hanya seorang saja isteri baginda yang berstatus gadis iaitu Aisyah r.a. Selain dari itu, semua isteri baginda dari Saudah r.a hingga Maimunah binti Haris r.a berstatus janda.

4. Kebanyakan wanita yang berkahwin dengan Nabi s.a.w menghibahkan diri mereka kerana mereka tidak mempunyai sesiapa yang dapat menolongnya. Apabila mereka berkahwin dengan baginda, mereka mendapat seorang suami yang setia, ikhlas, adil dan penyayang.

Contohnya, kes Ummu Salamah r.a. Selepas kematian suami merangkap sahabat Nabi yang terkemuka, Abu Salamah r.a yang syahid di medan Uhud, kehidupan beliau sekeluarga terumbang-ambing. Ini kerana Ummu Salamah tiada sanak-saudara semasa berada di Madinah. Selepas habis edahnya, Ummu Salamah mendapat banyak pinangan termasuk dari Abu Bakar r.a dan Umar r.a tetapi semua pinangan mereka ditolak. Tak lama selepas itu, Nabi s.a.w datang meminang beliau. Pada mulanya Ummu Salamah keberatan menerima pinangan baginda atas alasan umurnya yang sudah lanjut, sikap cemburu dan bimbang ada mempunyai keluarga kecil. Namun, Nabi s.a.w meredakan kebimbangan Ummu Salamah dengan berdoa semoga Allah mengurangkan sikap cemburunya dan menyatakan baginda juga berusia lanjut seperti beliau. Baginda turut memberi jaminan bahawa keluarganya juga merupakan sebahagian daripada keluarga baginda (Ahlul Bait).

5. Sebahagian daripada strategi dakwah Nabi s.a.w ialah berkahwin dengan wanita-wanita dari kabilah tertentu dengan tujuan melembutkan hati kabilah terlibat dan mengukuhkan lagi pengaruh dakwah dalam kalangan kabilah tersebut.

Contohnya, kisah perkahwinan Juwairiyah binti Haris r.a dengan baginda. Semua bermula apabila Bani Mustaliq merancang menyerang Madinah lalu baginda menghantar seorang perisik bernama Buraidah bin Hasib al-Aslami untuk merisik kekuatan pihak musuh. Bani Mustaliq turut merasakan bahawa baginda akan menyerang mereka lalu menghantar seorang perisik untuk tujuan sama. Namun perisik tersebut berjaya ditahan pasukan tentera Islam dan dibunuh. Kedua-dua pasukan bertemu di sebuah perigi bernama Al-Muraysi dan bertempur selama sejam dengan anak panah. Kemudian, tentera Islam segera mara dan mengepung seluruh kabilah lalu menawan mereka. 200 keluarga menjadi tawanan sementara 200 ekor unta, 5000 ribu kambing dan kibas serta sejumlah besar barangan berharga menjadi ghanimah atau rampasan perang bagi tentera terlibat.

Selepas pertempuran berakhir, ramai dijadikan tawanan termasuk Juwairiyah di mana suaminya, Mustafa bin Safwan terbunuh dalam peperangan tersebut. Pada mulanya, Juwairiyah diambil sebagai hamba kepada Thabit bin Qais tetapi beliau merayu untuk dibebaskan kepada Nabi s.a.w. Tersentuh dengan rayuan beliau, baginda membebaskan Juwairiyah, mengahwininya dan mengubah syarat-syarat perjanjian dengan Bani Mustaliq. Tidak lama selepas itu, seluruh Bani Mustaliq termasuk seisi keluarga Juwairiyah memeluk Islam.

6. Melalui perkahwinan-perkahwinan baginda, Nabi s.a.w sebenarnya menunjukkan teladan yang baik dalam soal melayan golongan Hawa dan ahli keluarga kepada kita semua. Pada zaman moden hari ini, di mana nilai-nilai seperti menghormati wanita dan ringan tulang semakin dilupakan, cerita-cerita ini dilihat mengingatkan kita untuk menjaga akhlak sama ada dari segi ucapan mahupun perbuatan. Antara hadis berkenaan soal ini ialah, “Sebaik-baik kamu ialah yang berlaku baik kepada keluarganya dan aku adalah sebaik-baik orang di antara kamu terhadap keluargaku.”

7. Hikmah terbesar di sebalik poligami Nabi s.a.w ialah di sinilah berlakunya usaha penyebaran ilmu dan pendidikan membabitkan umat Islam. Rumah-rumah baginda sentiasa terbuka kepada pertanyaan sama ada lelaki atau wanita. Di sinilah, banyak hadis yang diriwayatkan yang menjadi ikutan dan teladan umat sepanjang zaman.

Contohnya, pada satu ketika, Nabi s.a.w bersama dengan Umar r.a apabila sekumpulan wanita datang menziarahi baginda. Mereka sebenarnya mahu bertanya kepada baginda tentang haid tetapi merasa malu berikutan kehadiran Umar di situ. Lalu salah seorang daripada mereka mengajukan soalan berkenaan haid tetapi secara berkias. Baginda hanya tersenyum mendengar soalan yang diajukan lalu memberi jawapan yang mereka mahukan. Selepas kumpulan wanita tersebut beredar, Umar bertanya kepada Nabi s.a.w apa sebenarnya soalan yang diajukan mereka kepada baginda. Baginda menjawab, mereka sebenarnya mahu menanyakan perihal haid tetapi merasa malu berikutan kehadiran beliau di sisi baginda.

Selepas kewafatan baginda, rumah-rumah ini berperanan sebagai madrasah. Di sinilah, Ummul Mukminin seperti Aisyah dan Hafsah r.a mengajar para sahabat tentang agama Islam terutama hadis dan membantu meningkatkan lagi pemahaman umat Islam pada sesuatu perkara dari soal wanita hingga soal tatanegara.

SUMBER

1. Kamal, Abu Hafs Usamah bin. (2004). Al-Manhaj. Hikmah Poligami Nabi, Fatwa-Fatwa Penting Tentang Poligami. https://almanhaj.or.id/763-hikmah-poligami-nabi-fatwa-fatwa-penting-tentang-poligami.html

2. Hafsah binti Umar bin al-Khattab. IdealMuslimah.com. http://idealmuslimah.com/personalities/sahaabiyaat/187-hafsah-bint-umar-al-khattaab.html

Previous articleOreng@Ilut Etnik Penan
Next articleAl-Kisah Disebalik Penganjuran Oktoberfest
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here