Memorist: Kisah Detektif Mampu Membaca Memori Manusia

895

Drama diatur berkait rapat dengan realiti semasa dan diolah dengan begitu kreatif bagi menarik minat penonton. Apabila tiba di hujung setiap episod, penonton akan ternanti-nanti apakah yang akan terjadi di episod seterusnya kerana setiap episod menyajikan kes-kes baru yang saling berkaitan seperti rantai mutiara yang disambung mutiaranya satu persatu.

Watak utama yang digelar Detektif Dong Bek memainkan peranan penting dalam cerita. Persembahan dari segi emosinya, buah fikirannya dan sikapnya membuatkan penonton ternanti-nanti apakah lagi yang akan dibuat oleh detektif ini.

Kebolehan luar biasanya iaitu membaca memori manusia melalui sentuhan tangan menjadikan dia watak yang unik yang boleh saja bila-bila masa menggunakan keistimewaan itu menyiasat kes. Emosinya yang tidak stabil, panas baran adalah hasil dari memori lamanya dan akibat dari imbasan memori manusia-manusia yang mempunyai memori kesedihan dan kekejaman, memberikan tempias juga kepada dirinya.

Dia boleh dikatakan suka bertindak sendiri dan tidak bergantung dengan sesiapa walaupun mempunyai sahabat-sahabat baik yang sentiasa bersamanya. Sikapnya itu adalah kerana Dong Bek “tidak sanggup orang menderita dan terbunuh” di setiap saat yang dia terleka.

Hingga sampai ke tahap dia dituduh sebagai suspek utama oleh rakan penyiasatnya , seorang wanita profiler jenayah yang handal, Sun-Mi, yang pada awalnya bersama-sama membantu Dong Bek merungkai kes pembunuhan bersiri. Namun hakikatnya mereka tidak tahu bagaimana seorang yang dihantui dengan memori bertindak aneh walaupun dia bukan penjenayah.

Memori lampau mengenai pembunuhan ibunya sering berulang-ulang di fikiran dan memori itu sering kali membuat dia bertindak di luar kawalan dengan mencederakan orang yang disyaki berkait dalam pembunuhan ibunya. Tanpa disangka, rakan penyiasatnya, Sun Mi juga mempunyai memori lampau di mana ayahnya dibunuh di hadapan matanya dengan kejam.

Menariknya, setiap penjenayah di dalam setiap kes pembunuhan mempunyai motif di sebalik pembunuhan mereka. Bermula dengan kes penculikan sekumpulan remaja yang kemudian dibunuh oleh ketua organisasi keagamaan , Chairman Park yang mempunyai pengaruh besar dalam orang negara.

Hakikatnya, beliau telah memberikan biasiswa pelajaran kepada sekumpulan pelajar wanita dan menuduh mereka kesemua telah ‘rosak’. Lalu, beliau menggunakan alasan itu untuk menculik, merogol dan membunuh mangsa dan mendakwa mereka akan selamat setelah menerima ‘jasad beliau’.

Begitu juga motif Jin Jae Gyu menjadi pembunuh ialah dia ingin menuntut bela atas kematian ibunya yang menjadikan dia seorang psiko. Dia telah membunuh beberapa orang termasuk bapa Sun Mi kerana bapanya tidak memberi keterangan untuk membela nasib 2000 orang pekerja yang diberhentikan yang mana 17 dari mereka membunuh diri. Walaupun tiada kaitan, tapi kerana dia seorang psiko maka dia akan membunuh sesiapa yang dirasakannya bersalah.

Di penghujung cerita, terbongkarlah siapa “Pemadam Memori” yang merupakan dalang di sebalik kes-kes pembunuhan bersiri terkini termasuk pembunuhan pendeta berpengaruh sebelum ini. Tidak lain tidak bukan ialah orang yang mempunyai talian darah dengan Dong Bek dan berkongsi superpower mengesan dan memadam memori iaitu kakak Dong Bek.

https://www.thepatriots.store/store/mahakarya/

Segala yang dilakukannya adalah bagi menuntut bela kes rogol dan kematian rakan baiknya dan juga pembunuhan ibunya 20 tahun yang lalu. Beliau menyingkap segala memori lampau Dong Bek terutama memori pembunuhan ibunya yang menyebabkan beliau berani untuk melakukan balas dendam perbuatan jahat si pelaku.

Dua perkara yang jelas ditunjukkan melalui filem ini ialah “bagaimana pihak atasan berkerjasama bagi menutup kesalahan ahli keluarga dan rakan mereka yang melakukan jenayah” dan “peranan media dalam memberi kesan kepada kehidupan masyarakat”.

Media disifatkan sebagai “menceritakan kebenaran yang datang dari pejabat mereka” dan bukan “kebenaran dari luar”. Ini bermakna ada pihak media yang mempunyai motif tertentu dalam penyiaran media hingga dapat menjatuhkan reputasi seseorang individu lalu disebarkan segala berita buruk mengenai individu tersebut.

Hal ini berlaku kepada Dong Bek apabila pihak media “diarahkan” untuk membuat liputan dari semasa ke semasa mengenai tindakan Dong Bek yang menggunakan kuasa luar biasanya , disifatkan sebagai berlawanan undang-undang.

Akhirnya, media juga digunakan untuk menyedarkan masyarakat yang leka hingga pihak atasan sewenang-wenangnya melakukan jenayah kepada masyarakat awam. Pendedahan Dong Bek mengenai kes jenayah berprofil tinggi diviralkan di internet lalu mendapat liputan berita dan membawa penangkapan satu kumpulan pegawai-pegawai atasan terdiri dari ketua polis, pendakwa raya negara, wakil rakyat dan lain-lain yang bekerjasama bagi menutup suatu kes pembunuhan.

Terdapat banyak lagi babak menarik yang tidak cukup untuk diceritakan di sini. Drama ini tidak menonjolkan  anasir-anasir percintaan, hiburan keremajaan dan ideologi-ideologi keagamaan sebaliknya dipenuhi dengan aksi, penyiasatan, dan kepintaran dalam merungkaikan kes-kes berprofil tinggi.

RUJUKAN:

Lolly Pip (28 April 2020). Memorist Drama Recap. Retrieved 4 May 2020 from http://www.dramabeans.com/2020/04/memorist-episode-10/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.