Membongkar Mitos Titanic

0
906
views

Pada malam 14/15 April 1912, sebuah kapal baru yang dilabel tidak boleh ditenggelamkan dan dianggap paling mewah pada zamannya berlanggar dengan aisberg dan tenggelam pada pelayaran sulungnya. Daripada 2,208 orang yang menaiki Titanic, hanya 712 penumpang dan  saja yang terselamat. Tragedi sebegini mengundang pelbagai teori dan konspirasi sehingga diabadikan dalam bentuk buku dan filem. Bagaimanapun ada sesetengah tuduhan yang dilemparkan bersifat tidak aci dan mengundang prejudis yang terus berlaku sehingga ke hari ini. Di sini, ada beberapa pendedahan yang perlu diketahui tentang tragedi ini.

1. KRITIKAN KERAS TERHADAP J. BRUCE ISMAY DAN KAPTEN EDWARD SMITH

Dua individu yang terkesan daripada tragedi ini ialah Pengerusi White Star, J. Bruce Ismay dan Kapten RMS Titanic, Edward Smith. Smith dituduh bersikap cuai dengan membawa kapal tersebut dengan laju ke lapangan ais. Dan bila kapal terlanggar aisberg, beliau turut dituduh tidak mengambil berat soal pemindahan keluar penumpang dan tidak menunjukkan pendirian tegas sebagai pemimpin pada masa yang diperlukan. Sementara Ismay pula dikatakan mendesak Smith melajukan kapal melalui perairan merbahaya dan meneruskan pelayaran walaupun selepas berlanggar dengan aisberg. Kesilapan Ismay satu saja, beliau terselamat daripada tragedi itu.

Figure 1: Kapten Edward Smith

Jika ramai mahu menyalahkan keputusan Smith untuk meningkatkan kelajuan Titanic, mereka perlu melihat rekod sejarah. Walaupun keputusan ini boleh dipersoalkan tetapi ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini kerana kapal persiaran lain seperti Lusitania dan Mauretania turut bergerak laju melalui perairan sama, lebih laju melalui lapangan ais dan masih melakukannya selepas tragedi Titanic. Smith tidak sepatutnya dipersalahkan lebih dari semua kapten kapal persiaran lain di Atlantik ketika itu. Beliau sebenarnya tidak bernasib baik.

Dalam pada itu, ada juga menuduh Smith dalam keadaan bingung dan tidak berkemampuan mengendalikan krisis. Cadangan ini ada ditimbulkan dalam pelbagai buku dan filem tetapi ia sekadar teori dan tidak dapat dibuktikan. Sumber kepada tuduhan ini ialah pegawai kedua kapal, Charles Lightoller di mana dalam bukunya menerangkan bagaimana beliau mendekati dan bertanya kepada kapten keizinan untuk memindahkan penumpang wanita dan kanak-kanak dalam bot penyelamat. Bagaimanapun sumber-sumber lain menunjukkan Smith masih lagi bertugas dan berkemampuan mengendalikan krisis.

Smith yang berusia 62 tahun ketika itu masih bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan memberi arahan teliti dan tegas kepada krew kapal. Bila mengetahui kapal berlanggar dengan aisberg, beliau segera mengetuai krew, membuat semakan ke dek bawah untuk meninjau kerosakan dan mengarahkan unit radio berhubung dengan kapal-kapal lain untuk mendapatkan bantuan. Dan beliau juga sudah memastikan bot penyelamat sudah disediakan sebelum kapal disahkan akan karam. Smith dilihat sentiasa memerhati dek, membantu memantau dan memindahkan penumpang ke bot penyelamat, berkomunikasi dengan penumpang dan cuba memastikan penumpang tidak panik sambil menyuruh mereka bergegas ke bot penyelamat. Keterangan saksi turut menunjukkan beliau cuba menyelamatkan seberapa ramai penumpang dan krew sehingga air mencecah kaki di dek, menandakan tiada apa yang boleh dilakukan. Beliau dikatakan melompat dari kapal daripada berada di selusur hinggalah air menelannya.

Sementara rekod menunjukkan Ismay, walaupun melibatkan diri dan gembira dengan prestasi Titanic, tidak pernah mengenakan sebarang tekanan kepada Smith untuk melajukan kapal sehingga menjejaskan pertimbangan beliau. Malah semasa proses pemindahan keluar penumpang, Ismay juga turut membantu menenangkan dan memindahkan penumpang ke bot penyelamat. Hanya pada akhirnya, beliau masuk dalam bot penyelamat, satu keputusan yang mengundang kerosakan buruk kepada reputasinya.

Figure 2: J. Bruce Ismay

2. THOMAS ANDREWS MATI BUKAN SEPERTI DIGAMBARKAN DALAM FILEM, DOKUMENTARI & BUKU

Figure 3: Thomas Andrews

Kebanyakan dokumentari, buku dan filem menggambarkan pembina kapal Titanic dari Harland dan Wolff, Thomas Andrews mati di Bilik Merokok Kelas Pertama dalam keadaan terkejut dan menanti kapal karam bersamanya. Bagaimanapun, bukti yang dipersembahkan tidak kukuh. Sebaliknya, beliau mati dalam keadaan seorang wira sebenarnya. Ini berdasarkan keterangan pembantu pelayan, Cecil William N. Fitzpatrick. Dia melaporkan Andrews dan Smith berada di anjungan kapal sebelum dek ditenggelami air. Fitzpatrick juga berada di anjungan kapal dan berada dalam air sebelum sempat masuk dalam bot penyelamat. Dia melaporkan perkara tersebut kepada teman Andrews, David Galloway sebelum ia disampaikan kepada bapa saudaranya, Lord Pirrie.

3. BABAK PEGAWAI KAPAL BUNUH DIRI MUNGKIN BERLAKU

Satu babak paling kontroversi dalam filem Titanic (1997) ialah babak seorang pegawai kapal bernama William Murdoch membunuh diri selepas membunuh seorang penumpang lelaki yang cuba masuk dalam bot penyelamat. Dan ini menimbulkan kemarahan ramai terutama di bandar kelahiran Murdoch dengan ramai menyifatkan James Cameron menghina legasi seorang wira. Malah dalam catatan Charles Lighttoller kepada balu Murdoch, beliau berkata, “Saya merupakan pegawai terakhir yang melihat Encik Murdoch. Saya merasa kagum melihat suami awak dan anak buahnya bekerja. Saya melihatnya memindahkan penumpang dan menurunkan bot penyelamat. Semua laporan lain adalah palsu.”

Figure 4: William Murdoch

Namun jika ada menuduh Cameron sengaja mengada-adakan cerita sebegini, ia sebenarnya mempunyai asas dan tidak terpakai kepada Murdoch saja. Nama Murdoch dinaikkan selepas kebanyakan akhbar menyebut tentang insiden bunuh diri dan namanya disebut dalam semua laporan itu. Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian laporan-laporan ini, banyak laporan tersebut diragui sama ada berkenaan kewujudan saksi di bot penyelamat atau berada di lokasi yang salah tatkala semua ini berlaku. Begitu juga kata-kata yang dikatakan si pelaku, kenyataan tersebut diragui kesahihannya dan ada yang mendakwa ia sebenarnya dicipta oleh wartawan yang melaporkan insiden tersebut.

Dua sumber berwibawa berkenaan kisah ini ialah penumpang kelas pertama, George Rheims dan penumpang kelas ketiga, Eugene Daly. Dalam suratnya kepada isterinya, Rheims menulis, “Saya melihat seorang pegawai dengan sepucuk revolver menembak dan membunuh seorang lelaki. Dia memberi tabik hormat sebelum menembak dirinya.” Sementara Daly pula menulis kepada kakaknya, “Di kabin pertama, saya melihat seorang pegawai menembak dua orang lelaki mati. Selepas itu, kedengaran bunyi tembakan dan saya lihat pegawai tersebut sudah terbaring atas dek. Mereka memberitahu pegawai tersebut membunuh dirinya tetapi saya tidak melihatnya.” Selain itu, seorang lagi penumpang kelas pertama bernama Richard Norris Williams turut menyatakan mendengar bunyi tindakan di belakangnya tatkala air berada di kawasan dek bot hadapan.

Bagaimanapun, adalah penting untuk kita lihat kedua-dua Rheims atau Daly tidak menyebut pegawai terlibat. Apakah ini bermakna ada pegawai lain yang berbuat demikian selain nama Murdoch? Itu tidak mustahil dan ini membabitkan beberapa pegawai. Pegawai Keenam, James Moody berada dalam lingkungan kawasan itu. Lokasi Ketua Pegawai Henry Wilde juga tidak diketahui selepas menurunkan bot penyelamat D 15 minit sebelum kapal karam. Dan beberapa laporan akhbar turut melaporkan Wilde sebagai penembak. Tidak diketahui sama ada insiden ini benar-benar berlaku atau tak melainkan lebih banyak maklumat saksi. Itupun agak sukar dicapai kerana ramai sudah tiada dan tiada sebarang maklumat mencukupi untuk membuat kesimpulan sebenar.

Figure 5: Henry Wilde

4. MITOS KAPAL TITANIC TENGGELAM DALAM KEADAAN SEMPURNA

Sebelum penemuan semula bangkai kapal Titanic oleh saintis dan penjelajah National Geographic, Robert Ballard pada tahun 1985, ramai percaya bahawa kapal karam dalam keadaan masih sempurna. Bagaimanapun jika melihat keterangan saksi, ramai menyatakan kapal sebenarnya berpecah kepada dua dan apa yang dikatakan mereka amat konsisten dengan penemuan Ballard. Walaupun wujud bukti perpecahan kapal pada badan kapal sekitar serombong ketiga, kerosakan sebenarnya jauh lebih buruk. Ia memusnahkan semua superstruktur kawasan berkenaan termasuk mengoyakkan plat berganda berat kapal dan merosakkan dua segmen dua dasar, sekaligus menariknya dari semua segmen. Ini menyebabkan silinder enjin hadapan telah dimusnahkan seperti digambarkan oleh seorang saksi.

5. ‘KAPAL INI TIDAK AKAN TENGGELAM’

Dalam filem Titanic (1997), ibu kepada watak Rose (Kate Winslet) mengatakan kapal Titanic ini tidak boleh ditenggelamkan. Namun bagi Richard Howells, seorang pensyarah dari King’s College, London menyifatkan ia satu mitos semata-mata. Hakikatnya pemilik Titanic, White Star Line tidak pernah mendakwa kapal tersebut tidak akan ditenggelamkan. Dakwaan tersebut hanya muncul selepas tragedi kapal malang itu berlaku.

Walaupun insiden ini berlaku 15 tahun selepas kelahiran panggung wayang dan ia muncul dalam filem-filem bisu tahun tersebut, sebenarnya visual berkenaan Titanic amat sedikit. Ini kerana sebelum ia tenggelam, ia bukan satu berita besar pun. Sebaliknya satu lagi kapal White Star Line, RMS Olympic yang mencuri perhatian ramai semasa pelayaran sulungnya dari Southampton ke New York pada tahun 1911. Dan ia mempunyai kapten sama seperti Titanic, bergerak pada laluan sama, mempunyai kemudahan keselamatan sama dan bilangan bot penyelamat yang sama. Malah badan Olympic turut dicat dengan warna kelabu supaya ia nampak realistik pada visual berita. Sesetengah visual ini digunakan untuk insiden Titanic, dengan kebanyakan tanda Olympic dipadam atau ditutup. Menurut Simon McCallum, kurator arkib BFI, visual-visual sebegini yang membawa kepada mitos Titanic tidak boleh ditenggelamkan.

6. MITOS PENUMPANG KELAS KETIGA

Dalam satu babak Titanic (1997), penumpang kelas ketiga ditempatkan di bahagian bawah dek dan tidak dibenarkan dari sampai ke bot penyelamat. Bagaimanapun menurut Howells, tiada bukti yang menunjukkan ia berlaku. Pintu pagar yang menghalang penumpang kelas ketiga dari penumpang kelas lain memang wujud tetapi bukan atas sebab kapal karam. Sebaliknya, ia untuk mematuhi peraturan imigresen Amerika Syarikat dan menghalang penyebaran penyakit berjangkit. Kebanyakan penumpang kelas ketiga ini datang dari banyak tempat seperti Scandinavia, Timur Tengah, China dan Britain, semuanya datang ke negara Uncle Sam untuk memulakan kehidupan baru.

Di bawah peraturan imigresen Amerika, mereka perlu diasingkan sebelum Titanic berlabuh di Manhattan. Ini bermakna kapal akan singgah di Pulau Ellis di mana imigran dibawa untuk pemeriksaan kesihatan dan diproses. Penumpang setiap kelas mempunyai akses kepada dek dan bot penyelamat. Tetapi dalam kes penumpang kelas ketiga, tiada bot penyelamat disediakan di bahagian tersebut. Mereka perlu mencari jalan untuk sampai ke situ melalui koridor dan tangga yang mengelirukan sebelum sampai ke dek bot. Penumpang kelas pertama dan kedua dapat sampai ke bot penyelamat kerana dek bot terletak di geladak kelas pertama dan kedua.

Laporan Inkuiri British menyatakan Titanic mematuhi peraturan imigresen yang dikenakan ketika itu dan tuduhan penumpang kelas ketiga dikurung di bawah dek adalah salah. Bukti dalam inkuiri turut menunjukkan sesetengah pagar ditutup sementara steward menanti arahan seterusnya. Pintu pagar tersebut kemudian dibuka tetapi itupun selepas kebanyakan bot penyelamat sudah diturunkan. Lord Mersey memerhatikan kebanyakan penumpang kelas ketiga enggan meninggalkan kapal kerana enggan berpisah dengan bagasi mereka dan kesukaran keluar dari bahagian mereka untuk sampai ke bot. Tiada sebarang bukti menunjukkan niat jahat di sebalik tindakan ini tetapi kepatuhan tidak kena tepat pada peraturan sebegini. Bila bot penyelamat akhirnya diturunkan, penumpang wanita dan kanak-kanak diberi keutamaan dengan 115 penumpang lelaki kelas pertama dan 147 penumpang lelaki kelas kedua memberi laluan. Kesemua mereka tidak terselamat dalam insiden tersebut.

Mengikut laporan kurang daripada satu pertiga penumpang kelas ketiga saja terselamat. Bagaimanapun bagi penumpang wanita dan kanak-kanak, bilangan mereka yang terselamat tanpa mengira kelas jauh lebih ramai.

SUMBER

  1. Waites, Rosie. (2012). BBC. Five Titanic myths spread by films. http://www.bbc.com/news/magazine-17515305
  2. Layton, J Kent, Wormstedt, Bill dan Fitch, Tad. (2015). 4 revelations about the Titanic disaster. https://www.historyextra.com/period/edwardian/4-revelations-about-the-titanic-disaster/

Previous articleKhalifah Abdul Malik bin Marwan: Antara Ahli Ibadah Dan Diktator
Next articleSenyumlah…
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE