Umum diketahui zaman sekarang terdapat banyak hari istimewa yang perlu diingati. Tidak pelik jika ada dalam kalangan pembaca sendiri yang menggunakan aplikasi telefon pintar untuk memperingati diri sendiri akan hari-hari istimewa ini. Setiap satunya mempunyai kepentingan sendiri. Malah, ada yang mampu elakkan maut yang dahsyat, tentu sekali jika seorang suami lupa akan tarikh lahir isterinya dan ulangtahun perkahwinan. Sekalung tahniah kepada semua yang ingat. Berhenti seketika untuk lafaz al-Fatihah kepada yang lupa. Tetapi sedarlah – ramai yang lupa hari-hari ini. Yang paling seringkali dilupakan adalah Hari Ibu.

Tarikh Hari Ibu berbeza setiap tahun; ini kerana, peristiwa ini akan jatuh pada Ahad kedua setiap bulan Mei. Maka setiap hari inilah akan tular salah faham mengenai asal-usul Hari Ibu. Umum diketahui bahawa Malaysia sedang melalui arus fundamentalisme yang sedang menenggelamkan integriti negara dengan syak wasangka. Tetapi Malaysia mempunyai keunikan tersendiri. Sudah jadi satu kebiasaan apabila fundamentalisme dalam kalangan bangsa Melayu khususnya untuk naik mencanak dalam situasi tertentu. Boikot terhadap Israel hanya akan memuncak ketika Palestin dianiayai sahaja. Di luar penganiayaan itu, pemboikot sendiri barangkali mengunjungi McDonald’s dan sebagainya. “Tahun Baru saya adalah 1 Muharram” adalah satu lagi contoh, yang hanya akan terserlah apabila kalendar menghampiri 1 Januari, sedangkan sambutan Tahun Baru hanya untuk memperingati genap sekali Bumi mengelilingi Matahari. Hanya sekelumit sahaja yang menyambutnya dengan maksiat serta kejahilan, walhal umat Islam boleh saja sambut dengan ilmu lagi kesedaran.

Dakwaan anti-Hari Ibu melibatkan berbagai perkara. Ada yang mengatakan sambutan ini mempunyai inspirasi Kristian. Malah, ada yang terlalu bacul dengan Yahudi akan menghubungkan Hari Ibu sebagai satu usaha untuk menyesatkan umat Islam. Ada yang mengatakan bahawa Hari Ibu dalam Islam adalah setiap hari.

Antara tiga ini, hujah terakhir sahaja yang relevan. Untuk memahami asal-usul Hari Ibu, segala hujah tumpul selain darinya mestilah diketepikan. Peristiwa Hari Ibu tidak mempunyai inspirasi Kristian, jauh sekali agenda Yahudi. Berdasarkan sambutan-sambutan Kristian baik kini dan silam, tentu sekali Mothering Sunday dikelirukan sebagai inspirasi kepada sambutan Hari Ibu hari ini. Sememangnya ini merupakan perkara yang memalukan, jika benar. Mothering Sunday adalah sambutan Katolik dan Protestan tiga minggu sebelum Hari Easter, biasanya jatuh pada bulan Mac (bukannya Mei).

Pada hari ini, penganut-penganut Kristian akan mengunjungi gereja yang mereka dibaptiskan iaitu Mother Church. Dan sebagai tanda kesyukuran, mereka akan berikan hadiah kepada para ibunda.

Peristiwa Hari Ibu pula bermula daripada kempen-kempen pro-keamanan. Akar-akar sambutan ini menjalar dan tersemat kemas semasa Perang Saudara Amerika Syarikat, iaitu apabila Julia Ward Howe menyeru kaum wanita bersatu demi keamanan sejagat. Selepas beliau, Anna Jarvis pula memulakan satu upacara agar jasa-jasa ibunya (Ann Reeves Jarvis) dapat diingati. Semasa Perang Saudara Amerika Syarikat, Ann Reeves Jarvis giat bantu merawat tentera-tentera yang tercedera, malah siap membuat usaha agar isu-isu kesihatan dapat diketengahkan.

Sebagai tanda kebanggaan dan terima kasih, anaknya Anna berputus agar negaranya memberikan cuti satu hari untuk memperingati para ibunda. Usaha beliau membuahkan hasil, apabila Presiden Woodrow Wilson mengisytiharkan setiap hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu. Sungguhpun berjaya, Ann Jarvis akan meluangkan sisa-sisa hidupnya untuk batalkan apa yang beliau sendiri usahakan. Tetapi Hari Ibu telah terikat dalam budaya Amerika Syarikat. Dan beliau tidak berjaya menarikbalik kejayaannya.

Ribuan tahun dahulu, ketika berhala menghiasai rumah-rumah ibadat, kaum Yunani menyambut satu hari yang seakan-akan seperti Hari Ibu. Setiap kali Musim Bunga tiba, masyarakat Yunani akan menghadiahkan kek-kek madu serta bunga kepada dewi Rhea, iaitu ibu kepada dewa-dewi Yunani. Namun tentu sekali bukan Yunani Kuno memberikan inspirasi kepada Hari Ibu pada zaman ini. Apa yang cuba disampaikan adalah, sambutan Hari Ibu merupakan budaya universal. Setiap budaya ada ciri-cirinya sendiri.

Maka dari sini timbul satu persoalan: apakah umat Islam wajar menyambut Hari Ibu? Sebenarnya, umat Islam patut raikan Hari Ibu. Ini kerana, tiada masalah apabila umat Islam normalisasikan satu perbuatan yang tidak bertentangan dengan syarak. Rasulullah SAW sendiri memetik bunga (tradisi) daripada budaya Arab dalam pengamalan aqiqah.

Dari ‘Aisyah, ia berkata, “Dahulu orang-orang pada masa jahiliyah apabila mereka ber’aqiqah untuk seorang bayi, mereka melumuri kapas dengan darah ‘aqiqah, lalu ketika mencukur rambut si bayi mereka melumurkan pada kepalanya”. Maka Nabi SAW bersabda, “Gantilah darah itu dengan minyak wangi”. [HR. Ibnu Hibban juz 12, hal. 124, no. 5308]

Hadis diatas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menormalisasikan satu amalan jahiliyah. Berdasarkan logik fundamentalis yang mengharamkan sambutan Hari Ibu, tentu sekali aqiqah adalah satu inspirasi kejahilan. Maka, umat Islam telah terjerumus ke lembah mungkar berdasarkan petikan dibawah:

Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia telah termasuk sebahagian dari mereka.

Lagi jelas dan nyata bahawa agama Islam menyarankan satu perkara yang asal-usulnya adalah masyarakat jahiliyah. Maka, bukankah ini bermakna umat Islam kini mengamalkan kemungkaran jahiliyah? Sebenarnya, tidak. Agama Islam tidak mempunyai budaya. Sebaliknya, ia menggunakan budaya-budaya setiap bangsa yang ada. Lalu dijadikan sunnah darinya, iaitu aqiqah yang asalnya tradisi semata-mata. Sambutan Hari Ibu bukannya sunnah, tetapi selagi mana tidak bercanggah dengan syarak, sambutan ini boleh dinormalisasi sebagaimana aqiqah diamalkan.

Usahlah dengar hujah-hujah orang yang lemah lagi takut, sedangkan Islam telahpun menitikkan garis panduan untuk cara hidup. Hari Ibu bagi setiap orang adalah setiap hari. Malah, di Amerika Syarikat pun, bukanlah satu perkara yang aneh bagi ibu bapa untuk tinggal bersama anak-anak dewasa. Ianya lebih ekonomik, dan mudah untuk penjagaan kesihatan masing-masing. Dan pada Hari Ibu juga, penggunaan telefon meningkat 37%, menunjukkan kesan-kesan positif yang mana para ibu dihargai pada hari yang eksklusif.

Ini tidak bermakna anak-anak tidak berhubung dengan ibu-ibu mereka pada hari-hari lain. Itu hanyalah sifat syak wasangka para fundamentalis yang bertujuan untuk menakutkan umat Islam semata-mata.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply