Membetulkan Salah Faham Tentang Pepatah “Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat.

0
1966
views

Berdasarkan pepatah di atas, ramai dari kalangan kita pada hari ini menyangka bahawa nenek moyang kita dahulu sanggup menggadaikan nyawa anak mereka demi mempertahankan adat resam.

Kesalah fahaman ini adalah berpunca dari kegagalan memahami maksud adat dan sejarah munculnya pepatah tersebut.

Zaman pra-penjajahan, adat itu maksudnya luas. Adat tidak hanya terbatas kepada adat resam semata-mata. Ianya merangkumi perlaksanaan undang-undang termasuk hukum Islam.

Pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat” yang sangat masyhur di Nusantara ini berasal dari pepatah Aceh “Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita”. Manakala pepatah Aceh itu lahir dari kisah perlaksanaan hukum Islam tanpa mengira darjat oleh Sultan Iskandar Muda (1590 – 1636).

Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda di Aceh, putera mahkota baginda yang bakal menggantikannya iaitu Meurah Pupok telah dituduh melakukan perbuatan zina. Maka Meurah Pupok pun dibawa ke pengadilan dan dijatuhkan bersalah. Dengan itu, beliau telah dijatuhkan hukuman rejam sampai mati oleh Sultan Iskandar Muda.

Dari kisah ini, maka lahirlah pepatah Aceh “Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita” yang bermaksud “Mati anak ada kuburnya, hilang adat di mana hendak digantikan”. Dari sini pula, lahirlah pepatah “Biar hilang anak, jangan hilang adat”.

Maka pepatah ini sebenarnya lambang perlaksanaan undang-undang Islam yang adil. Ini selaras dengan Hadith Nabi SAW :-
لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها
“Walaupun sekiranya Fatimah binti Muhammad telah mencuri, maka aku akan potong tangannya” (Sahih Bukhari. Hadith No. 3288)

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara