Membetulkan Pandangan Umum Mengenai Manusia Prasejarah

0
1603
views

Agama seringkali digunakan untuk membidas ilmu arkeologi. Seringkali artikel-artikel mengenai manusia prasejarah menerima persoalan seperti garisan masa bagi Nabi Adam as. Zaman-zaman prasejarah seperti Paleolitik, Neolitik dan Logam pula diketepikan dengan begitu dangkalnya. Dan hujah-hujah saintifik ketinggalan zaman pula digunakan sebagai sandaran, bahawasanya manusia prasejarah bukan manusia kerana tidak berakal. Gambar-gambar lukisan dijadikan senjata untuk mengatakan manusia prasejarah ialah beruk kerana terlalu berbulu.

Stigma ini telah lama dibetulkan. Agama sebenarnya tidak menafikan pandangan saintifik mengenai MANUSIA prasejarah. Neanderthal misalnya sudah terbukti berupaya dalam pelbagai kemahiran seperti memburu, bercucuk tanam dan meneroka. Malah mereka turut pintar dalam ilmu masakan, sehingga daging pun boleh dilembutkan dengan cara rebusan. Tahap kepintaran mereka masih lagi belum mencapai sebuah klimaks. Namun semakin lama, manusia prasejarah (yang sememangnya manusia meskipun berbeza spesis) dilihat mempunyai perasaan ingin tahu yang kuat.

Dalam tempoh 10 tahun menggali di Champ-Durand, Perancis, sekumpulan pengkaji menemui sebuah tengkorak lembu yang berusia lebih kurang 5,000 tahun. Lembu ini malangnya terkorban akibat sebuah tusukan di kepala. Selama 30 tahun, lubang pada tengkorak ini dipercayai berlaku akibat pergaduhan dengan lembu yang lain. Namun lubang tersebut bersaiz antara 6.4sm panjang dan 4.6sm lebar. Dan pada tahun 2012, Ramirez Rozzi dan Alain Froment mendapati lubang ini agak luar biasa.

Tusukan daripada tanduk lembu akan meretakkan tulang sekitar lubang tersebut. Namun tiada bukti keretakan dari luar atau dalam ditemui pada tengkorak lembu ini. Kesan-kesan penyakit turut tidak dapat dijadikan hujah, kerana sifilis dan tuberculosis bukan punca kejadian lubang tersebut. Menggunakan mikroskop elektron, pengkaji-pengkaji asal setelah sekian lama berpegang kepada teori yang salah mendapat sebuah kejutan.

Lubang tersebut mempunyai kesan kikisan yang selaras dengan perbuatan manusia. Tengkorak ini dilubangkan oleh manusia melalui proses yang sama seperti pembedahan otak kepada tengkorak manusia. Lembu ini tidak dapat dibuktikan hidup atau sudahpun mati semasa proses pembedahan. Tetapi jika hidup, lembu ini tentu sekali tidak selamat kerana tengkorak tersebut tidak menunjukkan kesan penyembuhan.

Tujuan pembedahan ini masih lagi bermisteri. Sememangnya pembedahan otak sudahpun ditemui dalam Zaman Mesolitik, sekitar 8,000 SM – 2,700 SM. Tetapi aktiviti ini dibuat kepada manusia, yang dijangka untuk tujuan rawatan penyakit epilepsi. Tidak pasti kenapa proses sama dibuat kepada lembu, jika benar ia berpenyakit.

Sekumpulan pengkaji menemui sebuah tengkorak lembu di tapak ekskavasi sekitar 1975-1985. Setelah menganalisis, mereka mendapati bahawa tulang lembu ini berusia 5000 tahun.

Previous articlePuteri Penguasa Lautan
Next articleDatuk Seri Abdul Rahman Dahlan: Teknokrat Kebanggaan Kota Belud
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE