Membekalkan Makanan Kepada Tentera Pada Zaman Darurat

656

Selepas Perang Dunia Kedua, kehadiran tentera British yang lewat dua minggu menyebabkan ahli Parti Komunis Malaya (PKM) keluar dari hutan dan mengganas di seluruh negara.

Mereka bertindak zalim dengan membunuh orang kampung, membakar rumah serta merampas makanan orang kampung dan akan bertindak ganas sekiranya orang kampung tidak bekerjasama dengan mereka.

Keadaan diburukkan lagi dengan pembunuhan tiga pengurus ladang berbangsa Inggeris yang dibunuh oleh ahli PKM di Sungai Siput pada 1948, mencetuskan Darurat.

Kemudian, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Henry Gurney mati dibunuh di Bukit Fraser pada tahun 1951 dalam satu serangan hendap PKM.

Kematian Gurney menyebabkan Gerald Templer menggantikan kedudukannya, dan menyambung Rancangan Briggs dalam usaha memerangi komunisme di Tanah Melayu.

Dalam hal ini, tentera yang berkhidmat merupakan benteng di barisan hadapan menentang musuh ini, dan bak kata Napoleon Bornaparte, “askar tidak akan mampu berperang dalam perut yang kosong”.

Makanan tentera dipaketkan di sebuah kilang di Kuala Lumpur untuk dihantar oleh pihak tentera British sebelum merdeka, dan kerajaan Malaya selepas merdeka kepada tentera-tentera yang sedang berada di perbatasan.

Antara makanan yang dipekkan ialah seperti beras, gulai kari ikan sardin yang ditinkan, gula, garam, kopi, teh, dan biskut kering dibungkus dalam tin yang kedap udara kepada lebih 40,000 orang tentera yang berkhidmat kepada British sebelum merdeka, dan Malaya selepas merdeka.

Selain itu juga, lebih 200,000 anggota tentera “Home Guard” dari pelbagai negara-negara Komanwel turut membantu negara dalam mengekang pergerakan komunis di hutan.

Logistik semasa itu amatlah sukar memandangkan infrastruktur ketika itu amatlah terhad, terutamanya di kawasan pantai timur yang hutannya lebih luas dan lebih padat. Begitu juga di kawasan pergunungan Titiwangsa kerana kekurangan infrastruktur jalan raya.

Disebabkan itu makanan sering dibekalkan menerusi payung terjun melalui Tentera Udara Diraja ke kawasan yang ditetapkan.

Terdapat dua pek untuk tentera iaitu untuk orang Islam dan bukan Islam, bertujuan untuk menjaga sensitiviti terhadap kehalalan makanan. Semua makanan dikawal dari segi kebersihan dan kualiti bagi memastikan kesihatan para tentera tidak terganggu dengan makanan yang rosak.

Semua makanan yang dibungkus dengan plastik juga adalah kalis air, agar makanan tidak rosak sekiranya terkena hujan semasa dalam operasi. Tin yang digunakan sebagai penutup bekal itu juga tahan lasak dan mampu dibawa oleh tentera di dalam hutan tanpa memberatkan beban yang dibawa.

45,000 tin dibungkus setiap hari di kilang di Kuala Lumpur, dan setiap bungkusan ini cukup untuk bekalan dua orang selama 24 jam.

Dengan cara ini, tentera yang berjuang di perbatasan dapat berjuang menentang musuh negara dengan moral yang tinggi tanpa rasa kelaparan dan keletihan dalam suasana tekanan yang tinggi ini.

Selain itu juga, bekalan makanan ini juga diberikan kepada penduduk Kampung Baru Cina yang dibina oleh British yang dibina menerusi Rancangan Briggs, di sepanjang era Darurat untuk memastikan kesihatan penduduk kampung ini terjamin serta tidak diganggu oleh pihak komunis.

Darurat berlangsung selama 12 tahun dengan negeri Melaka adalah negeri pertama yang mencapai ‘kawasan putih’ keseluruhan negeri. Di sepanjang era Darurat, kira-kira 11,000 nyawa telah terkorban menerusi serangan taktik gerila komunis, termasuklah 2,500 orang awam.

Sumber Video: British Pathe – https://www.youtube.com/watch?v=lNYnxDEIJPk

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.