#1

[Bagaimana Maulana Syaikh Ali Jumaah Membumikan Selautan Fikrahnya kepada Masyarakat Awam]

Sebenarnya tidak ramai ilmuan yang muktabar dalam bidangnya serta diiktiraf kepakaran dan kefaqihannya di dunia ini yang mampu menyalurkan idea-idea besar mereka kepada masyarakat awam atau marhaen di peringkat bawahan. Ada antara ilmuan yang hanya memfokuskan aspek penulisan dengan terminologi yang tinggi, ada ilmuan yang menumpukan pengislahan di peringkat atasan atau kerajaan, tapi masih tidak ramai yang mampu duduk menyampaikan mesej ilmu itu kepada makcik dan pakcik tua di kampungan.

Dalam pada itu, Maulana Syaikh Ali Jumaah mengubah sisi pandang itu menunjukkan beliau mampu mendampingi masyarakat, menyampaikan pemikiran beliau dengan kaedah yang efisien dan konsisten.

Maulana Syaikh Ali Jumaah menyusun satu silibus yang dikenali Dars Jumaat(Pengajian Jumaat) yang dilakukan setiap hari jumaat seusai solat jumaat selama hanya satu jam atau satu jam setengah sahaja. Dars Jumaat ini dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, ada yang tua, ada muda, miskin, kaya, ahli korporat, ahli perniagaan, para pensyarah Universiti, dan juga turut dihadiri para ulama dari serata dunia arab.

Maulana Syaikh Ali Jumaah membahagikan Dars Jumaat kepada Tazkirah Umum yang menyentuh pelbagai disiplin ilmu, Tauhid, Fiqh, Tasawuf, Mantiq, Hadis, Sirah, Tafsir diadun dengan mesra bagi memberi kefahaman mendasar serta bersistem kepada setiap minda hadirin yang datang pada dars tersebut. Sesi kedua,  Maulana Syaikh Ali Jumaah membuka sesi Q&A, sesi fatwa, dalam sesi ini, Maulana menunjukkan skill berfatwa yang sangat komprehensif dan versatile, menjawab soalan fiqh dalam pelbagai sudut pandang, mengajar masyarakat memandang fiqh sebagai suatu manhaj yang sebati dalam kehidupan seharian mereka.

Jika sesiapa yang menghadiri Dars Jumaat ini, dia akan memperolehi dapatan ilmu yang boleh dikatakan semisal orang yang mengikuti pengajian selama seminggu.

Begitu daqiq dan holistiknya pendekatan Maulana Syaikh Ali Jumaah dalam mendidik masyarakat.

Selain itu, setiap kali ada perayaan besar bagi kaum muslimin seperti Maal Hijrah, Maulid Rasul, Aidilfitri, Sambutan Ramadhan dan sebagainya, pada kebiasaannya, Maulana Syaikh Ali Jumaah akan mengadakan haflah besar-besaran di Masjid Fadhil, disertai jemputan kumpulan qasidah, memberi tausiyah, berselawat bersama-sama masyarakat, suasana yang mengasyikkan apabila melihat tokoh ilmuan besar dunia itu tiada segan silu mendekati masyarakat dan rakyat marhaen.

Semoga Allah sentiasa merahmati maulana.

#Membaca_Idea_Maulana_Imam

#2

[Bagaimana Syaikh Ali Jumaah Menghidupkan Institusi Fatwa sebagai Pusat Analisis Sosial]

Syaikh Ali Jumaah mula menjawat Mufti Republik Mesir pada tahun 2003 hingga tahun 2013. Gerak kerja terawal beliau adalah memindahkan pejabat mufti sebesar dua depa luas bilik yang terletak terpencil di Dokki ke tengah-tengah pusat tumpuan rakyat Mesir iaitu di kawasan Darrosah, Kaherah. Dengan mendanai dengan kewangan beliau sendiri, Syaikh Ali mendirikan bangunan Dar Ifta yang tersergam dengan ciri-ciri tamadun Islam di setiap inci ruangan bangunannya.

Sejak Syaikh Ali memegang portfolio Mufti Mesir, hampir setiap hari pejabat mufti dikunjungi rakyat Mesir dari seluruh pelosok negara itu. Jadi, dari situ Syaikh Ali menggunakan kebijaksanaan beliau untuk mengenalpasti sosio-budaya masyarakat Mesir secara sistematik dan holistik.

Dalam satu bulan, hampir setiap hari pihak Dar Ifta menerima berbagai aduan dan permintaan fatwa dari pelbagai lapisan masyarakat, tua, muda, kaya, miskin, pihak suami isteri, ibu bapa, guru, ahli korporat dan sebagainya.

Jadi dari soalan-soalan yang diajukan, dalam bulan pertama pihak Dar Ifta mendapat data yang terperinci tentang permasalahan semasa rakyat Mesir, tentang bagaimana cara hidup mereka, masalah rumah tangga, masalah sosial remaja, masalah kos sara hidup dan seribu satu lagi masalah yang diadu untuk diminta fatwa.

Contoh dalam bulan Julai, kebanyakan dari mustafti(orang yang meminta fatwa) meminta fatwa tentang talak, fasakh, nafkah dan sebagainya. Jadi data ini dihimpunkan di akhir bulan, dianalisis, maka dapat out-put bahawa pada bulan ini, masyarakat Mesir ada masalah penceraian dan rumah tangga. Jadi, keputusan ini akan dihantar ke kementerian dan pihak berwajib untuk diselesaikan di peringkat nasional. Begitulah di bulan-bulan seterusnya, jika kebanyakan yang meminta fatwa berkaitan salah laku anak-anak, maka keputusan analisis adalah rakyat Mesir dilanda masalah kebenjatan akhlak di kalangan remaja. Proses demikian berlanjutan hinggalah ke hari ini.

Begitulah gerak kerja yang efektif dan idea jangka masa panjang oleh Syaikh Ali Jumaah dalam memberi nafas baru dalam institusi fatwa yang selama ini dipandang suram oleh kebanyakkan orang dan menganggap hukum fiqh hanyalah dalam kitab-kitab turath.

Semoga Allah memanjangkan umur Maulana.

#pencinta_Maulana_Ali_Jumaah

#Membaca_Idea_Maulana_Imam

#3

[Bagaimana Syaikh Ali Jumaah Menyuntik Elemen Kekeluargaan dalam Sistem Pendidikan]

Maulana Syaikh Ali Jumaah sudah menggerakkan pengajian talaqi bersama murid-murid senior beliau antaranya Syaikh Amr al-Wirdani dan Syaikh Ahmad Mamduh di rumah beliau.

Selepas sahaja menjawat jawatan Mufti  Mesir, Maulana Syaikh Ali Jumaah memberi nafas baru kepada pengajian talaqqi kitab-kitab turath di Masjid Al-Azhar Asy-Syarif, beliau mula didatangi pelbagai latar belakang murid-murid untuk berteleku mengambil faedah ilmu yang luas terbentang dari beliau. Maulana Syaikh Ali Jumaah membuka kelas pengajian dalam berbagai lapangan ilmu seperti ilmu fiqh, usul fiqh, hadis, tafsir, sirah dan sebagainya bermula awal pagi hingga ke lewat malam, seharian bersama anak-anak murid beliau.

Apa yang menarik dalam sistem pengajian ‘sekolah’ Maulana Syaikh Ali Jumaah ini ialah penerapan ikatan nilai kasih sayang yang tinggi antara guru dan murid sehingga para anak murid ini sudah mengagap Syaikh Ali Jumaah ini ayah mereka kekadang melebihi kemuliaan ayah kandung, dan Syaikh Ali pula menganggap anak-anak murid beliau sebagai anak kandung beliau semuanya.

Bayangkan, bagaimana setiap hari ingin pergi ke kelas dalam masa yang sama perasaan membuak-buak ingin berjumpa seorang ayah, dan si ayah ingin berjumpa seorang anak?

Sudah pasti pengajian memakan masa berjam-jam pun tidak terasa panjang dan menghelakan, malah rasa tidak cukup masa dan akan merindui kelas-kelas yang akan datang.

Dengan penerapan nilai kasih sayang inilah lahirnya generasi rijal-rijal yang menjadi kader ummah, yang menjadi pakar dalam lapangan ilmu masing-masing, yang menafkahkan diri mereka untuk agama Allah ini. Antara ‘anak-anak’ Maulana Syaikh Ali Jumaah seperti Syaikh Dr. Majdi ‘Asyur, Syaikh Dr. Amr Al Wirdani, Syaikh Dr. Usamah Sayyid Azhari, Syaikh Dr. Ahmad Mamduh, Syaikh Sayyid Syaltut, Syaikh Ahmad Al-Hajin, Syaikh Isom Anas, Syaikh ‘Awad Manqush, Syaikh Dr Jamal Faruq adan ramai lagi.

Sehingga kini, dalam sistem kekeluargaan ini,Maulana Syaikh Ali Jumaah dianggap (الجد) iaitu Datuk. Generasi kedua dipanggil (الأب), dan lahir pula sekarang generasi ketiga yang merupakan anak-anak didik mereka yang digelar (الحفيد) iaitu cucu-cucu yang dibarisi oleh juga para alim ulama, juga asatizah kita yang terkenal seperti Al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir, Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam, Al-Fadhil Sidi Zaiemuddin, Al-Fadhil Ustaz NoorAzam Bahador, Al-Fadhil Ustaz Faiz Fateh, Al-Fadhil Ustaz Khairul Anam, dan lain-lain lagi.

Jadi, begitu jugalah perasaan para pelajar yang berada dalam sistem keluarga ini apabila ingin hadir ke kelas talaqqi, ya, perasaannya seperti mahu bertemu seorang ayah, dan lagi-lagilah bila ada muhadarah bersama datuk kami Maulana Syaikh Ali Jumaah, perasaanya hanya Tuhan saja yang tahu!

Begitulah bagaimana Syaikh Ali membina pertalian kasih sayang yang utuh dalam jiwa para penuntut ilmu agar semangat menuntut ilmu tidak pernah luntur dan sentiasa istiqamah dalam jalan ini.

#pendidikan_adalah_solusi

#pencinta_Maulana_Imam

#4

[Model Kemasyarakatan: Suatu Tinjauan Sisi Negarawan Sidna Nabi Sallallahu ‘alahi Wasallam.]

Rumusan ini dicoret berdasarkan pembentangan al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir semasa Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah bertarikh 24 September 2019. Jazakumullah khair jazak ustazna kerana berjaya mengemukakan idea besar Maulana Nuruddin Ali Jumaah dengan begitu tersusun serta membuka minda para hadirin akan keindahan Islam sebagai penyelesai masalah sehingga ke peringkat nasional.

 Antara keistimewaan Dr. Ali Jumaah adalah bagaimana beliau berusaha membuka sisi atau pandangan yang lebih terbuka juga mencapah dalam sesuatu perkara yang sebelum ini kebanyakan orang memandang dengan satu perspektif sahaja. Namun, dengan pembacaan yang luas pelbagai bidang juga kara hubung aneka bahasa, beliau tetap teguh menggenggam ilmu turath membuatkan beliau mampu mengintegrasikan antara turath lalu mengimplentasikan secara holistik dan komprehensif di dunia moden.

Dalam menanggapi sirah al-nabawiyah, Dr. Ali Jumaah sering menegaskan bahawa keperluan kita bukan membawa zaman nubuwah lebih 1400 tahun dahulu ke zaman kini, namun kita perlu menjejak cara fikir, gerak kerja Sidna Nabi serta mengambil faedah sepanjang hidup baginda dari sekecil urusan penjagaan hati hingga ke peringkat pemerintahan negara, kemudian diamalkan secara holistik di era langit terbuka kini.

Melalui pembacaan  sepanjang sirah Sidnan Nabi, kita acap kali dibentang dengan cerita bagaimana Sidna Nabi dan para sahabat memperjuangkan Islam di persada jihad, sehingga seolah-olah sirah nubuwah hanya dibayangi dengan kisah peperangan  hingga tenggelam sisi negarawan Sidna Nabi, bagaimana baginda mengurustadbir negara, bahkan bagaimana Sidnan Nabi menyelesaikan masalah masyarakat yang berbilang agama dan kaum.

Secara ringkas, Dr. Ali Jumaah menyimpulkan model masyrakat sepanjang sirah Sidnan Nabi ada empat:

1. Model Makkah

Model ini simbolik kepada sesebuah negara yang majoriti non-muslim dan minoriti muslim. Juga dalam situasi Islam ditindas, tiada kuasa dan kekuatan.

Dalam model ini, umat Islam perlu bersabar dan berusaha mengumpulkan kekuatan secara sistematik dan tersusun, malah tidak mewujudkan suasana tegang kerana ia akan memberi kesan negetif kepada gerakan dakwah juga umat islam sendiri.

2. Model Habsyah

Model di mana umat Islam adalah minoriti berada dalam pemerintahan non-muslim yang adil dan tidak menindas.

Negara yang mengamalkan model adalah negara yang dikemudi oleh pemimpin non-muslim yang adil dan meraikan hak-hak muslim yang minoriti, serta tidak menzalimi mereka. Dalam situasi begini, umat islam harus bergaul secara harmoni dengan masyarakat majoriti non-muslim, malah dituntut hingga ke tahap mempertahankan negara tersebut jika berlaku peperangan atau musibah.

3. Model Madinah Fasa Pertama

Model umat Islam majoriti di dalam sebuah negara islam yang stabil, juga terdapat non-muslim yang minoriti.

Model ini boleh dikenalpasti di kebanyakan negara Islam, di kala mana umat islam mewakili peratusan majoriti, umat islam perlu berinteraksi secara aman dan toleransi kepada non-muslim yang minoriti. Memberi hak sepatutnya kepada mereka dan tidak boleh dizalimi. Perjanjian atau sosial kontrak yang dipersetujui harus dihormati kedua-dua pihak agar keharmonian sejagat mampu dicapai dalam sesebuah negara majmuk.

4. Model Madinah Fasa Kedua

Model sebuah negara yang keseluruhan induvidu masyarakatnya beragama islam.

Dalam fasa model Madinah kedua ini, menunjukkan bahawa Islam bukan agama paksaan, panutan masyarakat Madinah kepada agama Islam atas dasar bagaimana mereka melihat urustadbir pemimpin Islam yang cemerlang, juga akhlak umat Islam membuatkan mereka tertarik dengan Islam. Selain itu, beberapa tindakan tegas Sidnan Nabi sendiri dalam menyelesaikan konflik antara-agama yang dicetuskan oleh etnik Yahudi semata untuk menjaga kestabilan negara.

Berdasarkan keempat-empat model ini, Dr. Ali Jumaah bertegas bahawa salah satu model boleh dilaksanakan dan masih relevan sehingga sekarang. Perlaksanaan tersebut bukan hanya diimplemestasikan di peringkat negara tetapi juga boleh dilaksanakan di peringkat kelompok umat islam samada majoriti atau minoriti.

Jadi apa signifikan keempat-empat model ini kepada kita di zaman sekarang?

Setelah memahami konsep model tersebut, kita boleh sama-sama berfikir kondisi masyarakat yang kita diami sekarang berada dalam  model yang mana. Dengan itu kita mampu bertaamul dengan masyarakat samada secara individu atau secara kolektif. Bukan semata di peringkat pemimpin atasan untuk menentukan polisi kerajaan untuk mengendalikan rakyat berbilang agama, juga kita secara individu persendiri jika kita berada di mana-mana negara, samada negara islam mahupun negara bukan Islam.

Kesimpulannya, perkara tunjang dalam perbahasan model oleh Dr. Ali Jumaah adalah, bagaimana kita melihat sisi pandangan serta strategi politik Sidna Nabi untuk menjaga kelestarian umat islam walaupun berada dalam situasi negara yang berbeza. Kita dapat belajar bagaimana Sidnan Nabi mengurus interaksi secara damai dan bijaksana kepada umat bukan islam samada ketika mereka sebagai majoriti mahupun minoriti.

Dengan qudwah yang ditunjukkan oleh Sidnan Nabi ini, kita sebagai umat islam di zaman kini harus meneladani baginda untuk berurusan dengan sekalian manusia yang berada di sekeliling kita dengan rahmah, harmoni dan tidak sesekali mencetuskan polemik yang menganggu keamanan masyarakat dan negara.

Sehingga sini catitan saya, mungkin ada kekurangan atau kesilapan fakta mohon diperbetulkan. Amatlah diharapkan untuk kita sama-sama mempergiatka usaha membaca dan mengkaji pemikiran Maulana Nuruddin Dr Ali Jumaah yang mana menjadi ubat mengubati krisis masyarakat yang semakin membarah.

Muhamad Hakim bin Ismail
Khadim al-Azhar al-Syarif
Pencinta Maulana Ali Jumaah

#Membaca_Idea_Maulana_Imam

RUJUKAN:

1. Kertas kerja Model Kemasyarakatan Berdasarkan Sisi Pandangan al-Allamah al-Usuli Professor Ali Jumaah Hafizohullah taala oleh al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir.

2. Kitab التعايش مع الأخر في ضوء السيرة النبوية oleh Dr. Ali Jumaah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.