Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II pada 1699 yang tiada meninggalkan waris, maka berakhirlah waris Kesultanan Melaka memeritah di Johor Lama. Hubungan Sultan Mahmud II dengan Bendahara Tun Abdul Jalil Bin Tun Habib Abdul Majid Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abdidin Al Idrus bukanlah orang lain.

Bonda Sultan Mahmud adalah anak perempuan Laksamana Tun Abdul Jamil Bin Tun Muhammad Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abidin Al Idrus. Sayyid Zainal Abidin berkahwin dengan To’Mengkudu Binti Tun Jenal @ Datuk Sekudai Bin Tun Sri Lanang.

Selepas kemangkatan baginda, atas sokongan pembesar lain tampok pemerintahan diambil alih oleh Bendahara Tun Abdul Jalil Bin Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Baginda menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Berikut pecahanan waris Sayyid Zainal Abdidin Al Idrus @ Temenggong Paduka Tuan Of Muar yang memerintah Johor, Riau Lingga, Pahang dan Terengganu.

– Keturunan Temenggong Muar dari keturunan Tun Sayyid Jaafar Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abidin Al Idrus. Tun Sayyid Jaafar bergelar Dato Pasir Diraja. Keturunan ini menjalankan pentadbiran memerintah daerah Muar dan Segamat dari 1670an hingga 1878.

– Kesultanan Terengganu dari keturunan Tun Zainal Abidin Bin Bendahara Tun Habib Abdul Majid Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abidin Al Idrus dengan bergelar Sultan Zainal Abidin I memerintah Terengganu sejak 1717 hingga kini.

– Kesultanan Pahang dari keturunan Tun Abdul Majid bin Tun Muhammad Tahir ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Bin Bendahara Tun Habib Abdul Majid Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abidin Al Idrus. Keturunan ini memerintah Pahang sehingga kini.

– Kesultanan Johor dari keturunan Dato Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman Bin Tun Abdul Hamid Bin Tun Abdul Jamal Bin Tun Abbas Bin Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Bin Bendahara Tun Habib Abd Majid Bin Tun Mat Ali Bin Sayyid Zainal Abidin Al Idrus. Temenggong Abdul Rahman ditabalkan oleh Sultan Mahmud III pada 1806 di Istana Lingga, baginda kurniakan Singapura, tanah besar Johor dan pulau-pulau sekitarnya sebagai kawasan pentadbiran dan ‘pemakanannya’. Temenggong Abdul Rahman berhijrah dari Bulang ke muara Sungai Singapura pada 1811.

(rujuk https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan…/)

Pada tahun 1855, Temenggong Tun Ibrahim membuka Iskandar Puteri sebagai pusat Pentadbiran baru bagi Temenggong.

(rujuk https://thepatriots.asia/nama-asal-johor-bharu/

Gelaran Daeng, Ungku, Wan dan Tunku

Berdasarkan catatan Genealogical Tree of the Johore Royal Families, Government Printing Office, Johore Bahru, 1923 oleh Major Dato Mohamad Said Bin Haji Sulaiman dan buku Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012 oleh Dato Rahim Ramli hanya Temenggong Tun Ibrahim menggunakan Daeng untuk gelarannya. Anak-anak Temenggong Abdul Jamal bersama Daeng Maimunah kekal menggunakan gelaran Tun pada pangkal nama mereka. Gelaran Tun ini digunakan hingga ke Temenggong Abdul Rahman.

Anak-anak Temenggong Abdul Rahman dari isteri pertamanya Encik Yah Binti Moffar dan ketiga Tun Embong Binti Tun Ahmad bergelar Tun dan Wan manakala dari isteri kedua Raja Wuk Binti Raja Sulaiman bergelar Engku. 

Cucu-cucu Temenggong Abdul Rahman ada yang bergelar Ungku dan Wan. Yang bergelar Ungku adalah waris Tun Haji Abdullah dan Temenggong Tun Ibrahim. Manakala waris Wan Abu Talib (anak Tun Embong) masih kekal bergelar Wan. 

Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai delegasi Riau yang terdiri daripada Raja Hassan (putera Raja Ali Haji), Raja Sulaiman (putera Marhum Rashid) dan Tengku Long (putera Yamtuan Muda Mohd Yusof) menabalkan Temenggong Abu Bakar di Telok Blangah Singapura dengan gelaran Maharaja Abu Bakar. Bermula dengan gelaran Maharaja, warisnya mula bergelar Tunku hingga kini. (rujuk Manuskrip Kisah Pelayaran Ke Riau Mikrofilem JQMAL 3 Perpustakaan Universiti Singapura) 

Anglo-Johor Treaty 1885 dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor

Wujudnya Anglo-Johor Treaty pada tahun 1885 untuk menyekat Inggeris dari mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor.Manakala salah seorang yang merangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang pertama dicipta di kalangan negeri-negeri Melayu, adalah Dato Seri Amar Diraja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak. Beliau merupakan Setiausaha Sulit kepada Sultan Abu Bakar. 

Petikan dari buku Hikayat Johor Penggal Kedua oleh Major Dato Mohames Said Bin Sulaiman 

“Telah diadakan satu majlis bagi istiadat meluluskan dan ditandatangan di atas Undang-undang Tubuh Kerajaan, iaitu dimulakan dengan Yang Maha Mulia Abu Bakar sendiri selaku Sultan Yang Dipertuan Johor menurunkan tandatangannya di rantau kepala undang-undang setelah itu diiringkan oleh paduka adindanya Yang Amat Mulia Ungku Muhammad Khalid Ibni Temenggong Tun Ibrahim di akhir undang-undang itu. Kemudian Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim , Tunku Mahkota Johor. Dibelakang Dari itu barulah Ahli Jumaah Menteri dan Mesyuarat Kerajaan lalu dimeterai dan ditarikhkan dengan sempurna adanya.”

Antara perkara yang yang mendorong Sultan Abu Bakar mengadakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 ini bagi menjadikannya sebagai benteng pertahanan kemerdekaan negeri dari penjajah. Pihak British terpaksa akur dengan cara pemerintahan Sultan Abu Bakar yang berasaskan undang-undang sistem pentadbiran yang cekap dan tidak berdasarkan kuasa feudalisme. Di bawah pemerintahan baginda sistem pentadbiran dimajukan, ekonomi dikembangkan, pengaruh politik di dalam dan di luar negara diluaskan.

Sultan Ali Ibni Sultan Hussein Shah 

Tengku Long Hussein @ Sultan Hussein Shah ditabalkan sebagai Sultan di Singapura oleh Stamford Raffles pada Februari 1819 tidak mendapat sokongan oleh Bendahara di Pahang, Sultan di Lingga atau Yang Dipertuan Muda di Riau.

Baginda tidak pernah ditabalkan secara adat. Oleh itu baginda tidak ada kawasan memerintah kerana Singapura, Johor dan pulau-pulau sekitarnya adalah kawasan Temenggong yang dikurnia oleh Sultan Mahmud Shah III pada 1806. Begitu juga Sultan Ali, beliau tidak ada hak ke atas tanah Johor.

Oleh itu tidak wujud soal merampas takhta. Kehilangan Muar dan Kesang bukan kerana Maharaja Abu Bakar merampas dari Sultan Ali ini adalah kerana demi menyelamatkan tanah daerah ini dari di gadai oleh Chetty Tamil kepada British.

Secara tidak langsung ia memastikan waris dan keluarga Marhum Kesang kekal bermastautin di situ. Sultan Ali menghadapi masalah kewangan akibat berhutang dengan Kavana Chana Shellapa Chetty pada tahun 1862 sehingga wilayah Kesang @ Muar tergadai.

RUJUKAN:

Sejarah Johor dan Sejarah Pahang oleh Buyong Adil halaman 128

A History of Johore 1365—1895 A.D.). R. O. Winstedt.

Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), Vol. 10, No. 3 (115), A History of Johore (1365—1895 A.D.) (December, 1932), pp. 1-167.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.