Moving Forward As One

Membedah Maksud Lirik Lagu Cindai Oleh Siti Nurhaliza

4,930

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “cindai” telah ditakrifkan sebagai sejenis kain sutera berbunga yang warnanya seperti warna ular sawa. Perkataan tersebut berasal daripada Bahasa Sanskrit iaitu “cunrī (चुनरी)” yang bermaksud “sutera berbunga”.

Cindai adalah sebuah lagu dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza. Lagu sepanjang 4 minit 56 saat itu ditulis oleh Pak Ngah dan Hairul Anuar Harun. Adnan Abu Hassan merupakan penerbit lagu berkenaan di bawah syarikat Suria Records.

Sebagaimana banyak lagu lain, Cindai juga mempunyai kisahnya yang tersendiri. Persoalannya, apakah isikandungan bagi lagu tersebut. Barangkali artikel ini dapat menjawab sedikit persoalan tentang lagu bergenre Pop Etnik keluaran 29hb Oktober 1997 ini.

ISI KANDUNGAN LAGU

Rangkap pertama lagu ini adalah “Cindailah mana tidak berkias, Jalinnya lalu rentah beribu, Bagailah mana hendak berhias, Cerminku retak seribu.”. Rangkap tersebut mengisahkan tentang patah hati seorang perempuan. Beliau cuba untuk bergembira, namun tidak berjaya kerana berasa tawar hati.

Rangkap kedua lagu ini adalah “Mendendam unggas liar di hutan, Jalan yang tinggal jangan berliku, Tilamku emas cadarnya intan, Berbantal lengan tidurku.” Rangkap tersebut mengisahkan seorang perempuan yang berasal daripada golongan berada. Kekayaan beliau tidak mampu mengatasi kesedihan.

Rangkap ketiga lagu ini adalah “Hias cempaka kenanga tepian, Mekarnya kuntum nak idam kumbang, Puas ku jaga si bunga impian, Gugurnya sebelum berkembang”. Rangkap tersebut mengisahkan tentang cubaan perempuan untuk kelihatan cantik. Sebelum sempat berbuat apa-apa, kekasihnya telah mengkhianatinya
Rangkap keempat lagu ini adalah “Hendaklah hendak hendak kurasa, Puncaknya gunung hendak ditawan, Tidaklah tidak tidak ku daya, Tingginya tidak terlawan.” Rangkap tersebut mengisahkan tentang usaha perempuan untuk menawan kembali kekasihnya. Namun segala usaha kelihatannya sia-sia.

Rangkap kelima lagu ini adalah “Janganlah jangan jangan kuhiba, Derita hati jangan dikenang, Bukanlah bukan bukan kupinta, Merajuk bukan berpanjangan.”. Rangkap tersebut mengisahkan tentang pemujukan kendiri wanita tersebut. Perempuan itu memujuk dirinya supaya tidak bersedih lalu memaafkan kekasihnya.
Rangkap kelima lagu ini adalah “Akar beringin tidak berbatas, Cuma bersilang paut di tepi, Bidukku lilin layarnya kertas, Seberang laut berapi.”. Lagu tersebut mengisahkan tentang harapan dan kekuatan perempuan tersebut untuk memenangi kembali kekasihnya. Biarpun cara berkenaan mengancam nyawanya.

Rangkap keenam lagu ini adalah “Gurindam lagu bergema takbir, Tiung bernyanyi pohonan jati, Bertanam tebu di pinggir bibir, Rebung berduri di hati”. Rangkap tersebut mengisahkan tentang kejayaan usaha perempuan tersebut untuk memenangi kembali kekasihnya.Rupa-rupanya, lelaki itu hanya memberi harapan palsu.

Rangkap terakhir lagu ini adalah “Laman memutih pawana menerpa, Langit membiru awan bertali, Bukan dirintih pada siapa, Menunggu sinarkan kembali”. Rangkap tersebut mengisahkan tentang kesedaran perempuan tersebut terhadap janji palsu lelaki tersebut. Beliau yang menerima takdir itu kemudiannya meneruskan pencarian cinta sejati.

GAYA BAHASA

Gaya Bahasa merupakan susunan kata yang digunakan oleh pengarang dalam usaha mengungkapkan tema dan persoalan dalam karya”. Untuk kes ini, lagu yang bertajuk Cindai menjadi subjek kajian dalam Komponen Sastera (KOMSAS).

Aspek Gaya Bahasa yang terdapat dalam Cindai adalah Asonansi. Asonansi adalah pengulangan bunyi vokal yang sama dalam deretan kata. Vokal yang terdapat dalam lagu tersebut adalah huruf “Aa”. Senikata yang mempunyai Asonansi ialah “Hias cempaka kenanga tepian”.

Aspek Gaya Bahasa yang terdapat dalam Cindai adalah Peribahasa. Peribahasa adalah kelompok kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu. Peribahasa yang terdapat dalam lagu ini ialah “bertanam tebu di pinggir bibir”. Peribahasa tersebut bermaksud “Mengeluarkan kata yang manis untuk memujuk atau memuji”.

Aspek Gaya Bahasa yang terdapat dalam Cindai adalah Sinkope. Sinkope adalah penggunaan singkatan kata. Contoh singkatan dalam lagu ini adalah “kupinta”. Imbuhan “ku-” adalah singkatan kepada “aku” iaitu kata ganti nama diri perseorangan yang pertama dalam keadaan tidak formal.

Aspek Gaya Bahasa yang terdapat dalam Cindai adalah Bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit adalah serapan asing yang terdapat dalam lagu ini. Perkataan “Pawana” berasal daripada Bahasa Sanskrit iaitu “pavana (पवन)”. Dalam Bahasa Melayu, “pawana” membawa maksud “angin”.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah antara isikandungan tentang lagu Cindai. Setiap orang mempunyai tafsiran yang berbeza tentang lagu ini. Pendapat kami, lagu tersebut mengisahkan tentang seorang perempuan yang telah putus cinta.

Bagi pendapat kami juga, lagu tersebut agak berbeza dengan lagu cinta yang lain. Tidak seperti sebilangan lagu cinta zaman kini yang barangkali menjurus pendengar kepada masalah kemurungan(?), irama lagu Cindai dimainkan dalam nada yang gembira(?).

Apakah pendapat anda tentang lagu Cindai? Apakah isikandungan yang anda boleh temui di dalam lagu tersebut? Harap berikan ulasan anda di dalam ruang ulasan di bawah.

RUJUKAN:

Dewan Bahasa dan Pustaka: Cindai. Dicapai pada 14hb September 2020 dari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=cindai

Lirik Lagu Siti Nurhaliza: Cindai. Dicapai pada 14hb September 2020 dari https://www.wowkeren.com/…/lagu/siti_nurhaliza/cindai.html

Siti Nurhaliza – Cindai (Official Music Video – HD). Dicapai pada 14hb September 2020 dari https://m.youtube.com/watch?index=1&list=RDFRTjsEC5Os8…

Gaya Bahasa Dalam KOMSAS. Dicapai pada 14hb Ogos 2020 dari http://cikgu-rozali.blogspot.com/…/gaya-bahasa-dalam…

Ruangan komen telah ditutup.