Moving Forward As One

Membedah Maksud Lagu Ghazal Untuk Rabiah

1,437

Ghazal Untuk Rabiah merupakan sebuah lagu ciptaan M.Nasir dan Loloq yang buat pertama kalinya berjaya membawa irama Malaysia memenangi Anugerah Juara Lagu. Apa yang menariknya tentang lagu ini adalah iramanya dipengaruhi oleh melodi tengah serta liriknya agak magis. Hal ini membuatkan penulis terus ingin menganalisis lagu ini, ayuh kita mula daripada tajuk terlebih dahulu.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Pengulangan perkataan Rabiah dalam lagu ini juga menunjukkan terdapat pemujaan secara berlebihan terhadap wanita. Walaubagaimanapun, lagu ini juga seolah-olah mempamerkan pengaruh sufisme melalui tarian-tarian dalam muzik video rasmi yang amat sesuai dengan tradisi sufisme di Pakistan dan Turki. Jika dilihat secara rambang, lagu ini seakan-akan ditujukan kepada wanita sama sebagaimana lagu Rozana dan Kerana Percayakan Siti.

Seterusnya, ghazal merupakan sebuah alat muzik yang sangat dekat dengan masyarakat Melayu. Ghazal telah dimainkan dalam arena muzik Melayu sejak zaman berzaman dan pada abad ke-18 hingga ke-19, ghazal telah menjadi satu aktiviti penting di majlis keramaian di Istana Riau-Lingga (Noriah Mohamed dan lain-lain, 2006). Bukan itu sahaja, menurut Meddegoda Lekamlage (2015) muzik ghazal merupakan muzik hiburan di Riau, Lingga, Johor dan Singapura. Apabila dikatakan Ghazal Untuk Rabiah adalah bermaksud bunyi-bunyian indah untuk seorang wanita. Oleh itu, mungkin lagu ini akan bercerita berkenaan pemujaan terhadap wanita secara berlebihan.

Pada permulaan lagu, lirik “Ya Rabiah” telah diulang sebanyak tiga kali dengan alunan bertaranum. Cara nyanyian yang memberikan penekanan terhadap perkataan “Ya Rabbi” sebelum disudahi dengan akhiran “ah” pula adalah bermaksud Ya Allah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008). Secara ringkasnya, lagu ini cuba memberi gambaran pada awalan lirik bahawa ianya adalah berkonsepkan sufisme. Sementelahan itu, frasa Rabiah yang wujud dalam lirik dan lagu ini juga dikaitkan dengan sosok tubuh bernama Rabiatul Adawiyah. Beliau merupakan seorang ahli sufi yang hidup pada tahun 717 Masihi dan dilahirkan di Kota Basrah. Beliau amat terkenal sebagai salah seorang ahli atau pengamal sufisme wanita dalam dunia Islam.

Kilauan bintang berkelip-kelip di langit tinggi
Dan cahaya menari-nari di langit biru
Tidaklah dapat menenangkan perasaanku
Yang merindukan kehadiran kasih

Rangkap pertama lirik ini secara asasnya menceritakan berkenaan seorang jiwa yang terlalu mencintai kekasihnya. Baris pertama dan kedua lirik adalah tentang kekuasaan tuhan melalui jagatraya yang boleh disaksikan oleh manusia secara nyata. Frasa bintang serta cahaya itu adalah simbolik kepala kejadian siang dan malam. Kejadian siang dan malam merupakan anugerah tuhan kepada sekalian manusia. Hal ini dapat dibayangkan jika hanya satu waktu sahaja yang mewarnai bumi pasti akan memberi kesan kepada kehidupan. Sebagai contoh, malam yang melanda bumi pada setiap 24 jam mampu mengembalikan dunia kepada zaman ais. Situasi ini pasti akan memberi kejutan ataupun cabaran kepada generasi manusia untuk hidup secara normal.

Selain itu, baris kedua dan ketiga lirik ini pula membicarakan mengenai rasa resah seseorang yang terlalu cinta akan kekasihnya. Hal ini dapat dilihat apabila penulis lirik menyatakan kekuasaan tuhan seperti kejadian siang dan malam masih lagi tak mampu meredakan rasa cintanya kepada Yang Esa. Ketenangan yang cuba dimaksudkan adalah rasa rindu yang teramat dalam kepada tuhan. Kekuasaan tuhan melalui penglihatan mata kasar masih lagi tak mampu membendung rasa kasih kepada tuhan walaupun pelbagai nikmat-Nya telah dirasai. Perkara inilah yang dihadapi oleh Rabiatul Adawiyah pada ketika beliau terlalu merindui Tuhan Yang Esa.

Gemersik irama merdu buluh perindu
Dan nyanyian pari-pari dari kayangan
Tidaklah dapat tenteramkan sanubari
Yang mendambakan kepastian kasihmu

Baris pertama dan baris kedua rangkap lirik ini memiliki sedikit persamaan dengan rangkap lirik yang telah dianalisis sebentar tadi. Kedua-dua baris tersebut adalah berkisarkan tentang nikmat tuhan melalui keindahan alam. Irama buluh perindu dan nyanyian pari-pari adalah simbolik kepada nikmat Tuhan terhadap dunia. Namun begitu, suatu ketika dahulu buluh perindu serta pari-pari sering dikaitkan dengan unsur-unsur mistik seperti ilmu hitam. Walaubagaimanapun, penulis lirik menyucikan unsur tersebut melalui perlambangan kepada alam iaitu bunyi-bunyian burung dan juga mungkin cengkerik. Penggunaan terma tersebut juga adalah lambang kepada masyarakat melayu itu sendiri yang memandang pari-pari sebagai sebuah subjek yang sangat indah.

Tambahan pula, baris ketiga dan keempat lirik ini juga memiliki persamaan dengan rangkap pertama di atas. Segala keindahan melalui bunyi-bunyian merdu daripada haiwan seperti burung dan cengkerik masih belum lagi dapat memberikan cinta tuhan kepada hamba-Nya. Pengulangan lirik yang memilik unsur dan maksud yang hampir sama adalah sebuah penegasan yang cuba dibawa oleh lagu tersebut. Hal ini menunjukkan penulis lirik cuba memfokuskan tentang rasa teramat cinta kepada tuhan melalui unsur alam yang makin membangkitkan perasaan tersebut. Mungkin juga rangkap lirik kedua ini menerangkan perasaan yang dirasai oleh Rabiatul Adawiyah apabila terlalu merindukan Tuhan.

Rela lepaskan segala-gala yang ku ada
Andai itu yang kau hajatkan
Rela terima apapun syaratnya dan duga
Untuk ku buktikan cintaku

Baris lirik pertama dan kedua rangkap ketiga lirik menyatakan kesediaan seseorang itu melepaskan kesemua dalam hidupnya demi insan yang paling dicintai. Situasi seumpama ini adalah sangat bertepatan dengan rasa cinta manusia kepada tuhan sehinggakan sanggup meninggalkan segala nikmat dunia. Hal seperti ini masih lagi dapat dilihat melalui sebuah pengamalan yang diberi nama “tabligh”. Pengalaman “tabligh” ini memerlukan seseorang itu meninggalkan duniawi untuk berdakwah di jalan Allah.

Kejadian ini juga dapat dilihat melalui ulama-ulama sufi pada zaman silam. Rabiatul Adawiyah juga melaluinya dengan kesanggupan beliau meninggalkan pekerjaan mewah di istana hanya kerana dambakan cinta tuhan. Baris kedua lirik itu juga menerangkan kondisi Rabiatul Adawiyah yang menuruti perintah tuhan agar tinggalkan pekerja kotor di istana. Rangkap lirik ini bukan sahaja ditujukan kepada Rabiatul Adawiyah malahan merujuk kepada hidup beliau itu sendiri.

Di samping itu, baris ketiga dan keempat lirik juga kelihatan masih lagi mengungkapkan maksud yang sama dengan baris lirik yang sebelumnya. Baris lirik tersebut memperlihatkan keadaan seseorang yang bersedia menerima segala cabaran atau ujian semata-mata demi cinta kepada kekasih. Terma, syarat dan dugaan adalah lambang kepada ujian tuhan kepada hamba-Nya untuk melihat keupayaan serta kebijaksanaan dalam menangani ujian tersebut. Baris lirik ini juga boleh dikaitkan dengan peristiwa Rabiatul Adawiyah yang pernah diuji dengan kehadiran haiwan berbisa dalam bilik beliau. Berkat daripada keadaan beliau yang sering berzikir, haiwan berbisa tersebut tidak mengapa-apakan beliau. Oleh itu, peristiwa yang dilalui oleh beliau amat bertepatan dengan baris lirik tersebut.

Asalkan dapat ku mengubati hatiku yang cedera
Ditumpaskan cinta
Asalkan dapat ku menundukkan amukan gelora jiwa
Yang menagih kasih

Rangkap lirik kelima lirik lagu ini adalah kesinambungan kepada rangkap ketiga yang telah dianalisis sebentar tadi. Baris pertama dan kedua lirik itu sendiri adalah tentang kesediaan seseorang menghadapi segala cabaran untuk meredakan perasaan rindu yang datang mengetuk pintu hati. Frasa cedera dalam lirik ini adalah bermaksud perasaan kecewa yang terlalu dahagakan rindu dan cinta tuhan. Cedera itu sendiri boleh disamaertikan dengan perkataan luka dan hati luka sering dikaitkan dengan perasaan kecewa terhadap cinta. Namun begitu, dalam konteks lirik lagu ini, hati yang cedera adalah perasan kecewa yang perlu diubati dengan cinta Tuhan. Hal ini juga dapat dipadankan dengan kata-kata Rabiatul Adawiyah yang senantiasa memohon kepada tuhan agar segera mengisi kekosongan dan kesunyian yang membelenggu dirinya.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Di samping itu, baris ketiga dan keempat lirik juga adalah sebuah bentuk kesinambungan daripada analisis terdahulu. Baris ini adalah mengenai rasa bergelora seseorang yang terlalu mendambakan cinta kekasih. Perkataan amukan yang wujud dalam lirik ini berasal daripada terma amuk yang sangat sinonim dengan orang Melayu. Amuk merupakan sebuah tindakan brutal dan liar yang dilakukan oleh seseorang dalam minda bawah sedar (Aris Fauzan, 2017). Terma amuk yang cuba dimaksudkan dalam lirik ini adalah rasa cinta yang terlalu hebat hingga tidak mampu dikawal. Rasa cinta yang tidak terkawal ini menyebabkan seseorang itu menerima sahaja segala perbuatan orang yang dicintai asalkan perasaan itu dapat dibendung. Segala ujian dan dugaan tuhan kepada hamba-Nya itu adalah tanda kasih yang inginkan hamba-Nya selalu mencintai-Nya.

RUJUKAN:

Aris Fauzan. (2017). Amuk: Sindrom Barat dan Pemberontakan Tak Sadar (Analisis Kritis Pergeseran Makna Amuk dalam Lintasan Sejarah. Jurnal Kajian Keislaman dan Kemasyarakatan, 2(1), 47-64. doi: 10.29240/jf.v2i1.258

Che Zarrina Saari. (2007). Tokoh Sufi Wanita Rabi’Ah Al-‘Adawiyyah: Motivator Ke Arah Hidup Lebih Bermakna. Jurnal Usuluddin, 25, 29-43.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2008). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meddegoga Lekamlage. (2015). Musical Traces of Hindustani Culture in Malay Ghazal. (Tesis doktor falsafah), Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Noriah Mohamed, Muhammad Haji Salleh, Mahani Musa, Mokhtar Saidin, Ahmad Jelani Halimi, Mohd Isa Othman & Sohaimi Abd. Aziz. (2006). Sejarah Awal Pulau Pinang. (Laporan Penyelidikan Jangka Pendek), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sururin. (2010). Perempuan Dalam Lintasan Sejarah Tasawuf. Jurnal Studi Keislaman, 14(2), 311-316. doi: 10.20414/ujis.v14i2.222

Ruangan komen telah ditutup.