Membedah Lagu Up&Up Oleh Coldplay

0
630
views

Bagi yang meminati muzik beraliran rock, tentunya nama kumpulan Coldplay sudah tidak asing lagi bagi anda. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1996 ini semakin hari semakin mendapat tempat di hati para penggemar muzik. Nama mereka semakin ranum dan mekar di industri hiburan seantero dunia. Kumpulan yang berasal dari London ini mempunyai dua nama pada fasa awal penubuhannya iaitu Pectrolaz (1996-1997) dan Starfish (1997-1998) lalu ditukarganti namanya kepada Coldplay sehingga sekarang. Coldplay dianggotai oleh empat jejaka iaitu Chris Martin selaku vokalis utama/pemain piano/gitaris, Jonny Buckland selaku gitaris utama/pemain harmonika/penyanyi latar, Guy Berryman selaku pemain gitar bas/penyanyi latar dan Will Champion selaku pemain drum dan alat-alat perkusi.

Gaya atau pembawaan rock mereka pernah dibandingkan dengan kumpulan Radiohead dan Oasis. Walaubagaimanapun, Chris Martin telah membuat satu klarifikasi bahawa Coldplay merupakan sebuah kumpulan limestone rock berbanding kumpulan lain yang berlatarbelakangkan hard rock. Perkara ini jelas terbukti dalam pembikinan lagu yang berjudul Viva la Vida yang membawakan elemen art rock menggunakan alat muzik yang pelbagai seperti piano dan honky-tonk.

Di samping terkenal dengan video muzik yang kreatif dan di luar kotak, Coldplay turut memenangi banyak anugerah berprestij. Kumpulan ini menjadi terkenal sejak single pertama mereka yang berjudul Yellow ke udara dan berdendang di segenap corong radio serta media-media di seluruh dunia. Antara anugerah yang telah dimenangi oleh Coldplay adalah Album of The Year daripada New Musical Express (NME) dan juga Record of The Year sewaktu di Grammy Award ke-46.

Berdasarkan anugerah dan pencapaian yang telah dikecapi oleh Coldplay, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa kumpulan mereka bukanlah sebuah kumpulan picisan. Karya dan lirik lagu yang dihasilkan sarat dengan mesej dan pengajaran kepada pendengarnya. Salah satu lagu yang cukup terkenal adalah Up & Up daripada album A Head Full of Dreams dilancarkan pada 22 April 2016.

Frasa Up & Up boleh didefinisikan sebagai satu keadaan seseorang itu sedang mengalami penambahbaikan atau bergerak ke hadapan. Secara literalnya, tajuk lagu ini boleh dikatakan sebagai keadaan seseorang yang sedang bergelut dalam kesusahan dan kesukaran lalu dia berubah ke posisi yang lebih baik. Saya sarankan untuk para pembaca mendengar terlebih dahulu lagu ini sebelum membaca perkongsian yang jauh daripada kesempurnaan ini.

Saya akan bahagikan perkongsian ini kepada dua artikel. Pada artikel kali ini,  tulisannya adalah tentang maksud di sebalik lirik lagu Up & Up dan pada artikel seterusnya pula (dengan pengetahuan yang terbatas ini), saya akan cuba leraikan teka-teki atau misteri di sebalik muzik video lagunya pula.

LIRIK LAGU DAN MAKSUDNYA.

Fixing up a car to drive in it again,

Searching for the water hoping for the rain,

Up and up, Up and up…

Down upon the canvas working meal to meal,

Waiting for a chance to pick your orange field

Up and up, Up and up…

 Jika diperhatikan, rangkap ini menganalogikan kehidupan ini seperti mengendalikan sebuah kenderaan lantas jalan yang dilalui itu adalah perjalanan kehidupan kita. Sudah tentu jalan yang dilalui itu tidak senantiasa mendatar dan lurus. Akan ada naik dan turun, jalan yang berbukit bukau dan berbatu kerikil, serta jalan berlubang-lubang. Namun, perjalanan harus diteruskan kerana sekiranya kita berhenti di pertengahan, sudah pastinya akan menemukan kerugian bahkan kegagalan. Malah, lirik pada rangkap ini juga menggambarkan bahawa sewaktu dalam perjalanan sudah pastinya kita akan kehausan dan keletihan maka kita harus teruskan perjalanan untuk mencari bekal demi kelangsungan kehidupan, bukannya berhenti dan tidak berbuat apa-apa.

Kemudian, lirik ini menggambarkan kesukaran dan kepayahan untuk mengais rezeki. Mentafora kanvas yang digunakan memberikan gambaran bahawa seseorang itu bekerja sedangkan dia sedang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dan akhirnya orang tersebut berharap (atau memendam angan) untuk memiliki ladang oren lalu menuai hasilnya. Sesungguhnya dalam kehidupan ini memang ada orang yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi dia merasakan hidupnya tercukupi dan terpenuhi. Namun, ada juga orang yang hidupnya ibarat petik sahaja jari semua diperolehnya. Itu pun masih belum cukup buatnya. Hakikatnya, rasa cukup itu terletak pada rasa syukur kita terhadap nikmat dan anugerah yang telah diberikan dalam hidup masing-masing.

See a pearl form a diamond in the rough,

See a bird soaring high above the flood,

It’s in your blood, It’s in your blood…

 Pada rangkap ini, Coldplay seakan-akan ingin mengatakan bahawa ‘pearl’ atau mutiara itu merupakan satu perkara yang sangat berharga dan memerlukan kesungguhan serta pengorbanan untuk mendapatkannya di laut dalam. Manakala ‘diamond’ pula tidak akan kelihatan bersinar seandainya dibiarkan dalam lumuran lumpur. Maka, permata tersebut haruslah digilap dari hari ke hari untuk menampakkan dan menonjolkan sinarnya.

Adapun burung, saya lebih suka untuk mengaitkannya dengan lirik lagu M. Nasir pada ulasan lagu saya yang sebelum ini di lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud iaitu pada lirik “Lihat dari mata burung jangan lihat dari dalam tempurung”. Hampir sama, bukan? Kedua-duanya menggalakkan kita untuk keluar dari zon selesa berada dalam masyarakat dan menimba sebanyak-banyaknya ilmu berbanding sekadar bersedap-sedap di perbaringan sambil diulit selimut angan.

Maksudnya di sini, semua yang disebutkan di atas ; rajin, kesungguhan, keinginan untuk belajar, bakat, kebolehan terpendam dan cita-cita semuanya ada dalam diri kita. Semuanya mengalir dalam darah setiap seorang daripada kita. Tetapi bergantung kepada seseorang itu kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tepuk dada, tanya selera.

Underneath the storm an umbrella is saying,

Sitting with the poison takes away the pain,

Up and up, Up and up…

Masyarakat Melayu terutamanya sangat kaya dengan perumpamaan dan bahasa. Sudah pasti anda biasa mendengar peribahasa alah bisa, tegal biasa. Nah! Perkara ini dapat ditamsilkan kepada payung dalam lirik di atas. Tugas payung adalah melindungi seseorang daripada hujan dan panas. Walaupun dingin yang mencengkam, hatta panas yang terik dan gersang payung tersebut masih teguh memberikan teduh kepada tuannya. Meskipun payung tersebut sakit dan menanggung beban, tetapi baginya alah bisa tegal biasa.

Malah, payung tersebut mengungkapkan, “Sitting with the poison takes away the pain”, bermakna sakit yang dialami sudah tidak dirasakan lagi kerana sudah terimunisasi terhadap racun yang menyerang. Di samping itu, payung tersebut sentiasa bersiap sedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku. Oleh sebab itu, orang tua-tua gemar sekali akan peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

Waqaf Saham

We’re gonna get it, get it together,

I know we’re gonna get it, get it together somehow,

We’re gonna get it, get it together and flower,

We’re gonna get it, get it together,

 I know we’re gonna get it, get it together and float,

We’re gonna get it, get it together and go,

Up and up and up…

 Apabila kita amati dengan teliti korus lagu ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa setiap perkara yang telah dituliskan untuk kita, yang bakal direzekikan untuk kita akan tetap menjadi milik kita. Hanya masanya sahaja yang belum tentu. Allah SWT telah menentukan rezeki hamba-Nya sejak dari zaman roh lagi. Namun demikian, harus diberi perhatian bahawa yang bulat tidak datang bergolek yang pipih tidak datang melayang. Usaha juga sangat perlu dititikberatkan dan bukannya sekadar berpeluk tubuh sahaja. Namun, sekiranya seseorang itu jatuh untuk kali yang ke-10, jangan lupa bangkit untuk kali yang ke-11.

Lying in the gutter aiming for the moon,

Trying to empty out the ocean with a spoon,

Up and up, Up and up…

 Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Begitulah yang dapat dikatakan berkenaan dengan lirik di atas. Kita tidak akan dapat untuk meraih atau mencapai sesuatu tanpa wujudnya ketidakselesaan. Kerana pengorbanan itu memerlukan keringat, memerah tenaga, menguras kewangan dan menjadikan kita sentiasa tidak cukup waktu untuk berehat. Oleh hal yang demikian, barangsiapa yang sentiasa bergumul dengan cita-cita tetapi tidak keluar dari zon selesanya, maka itulah antara orang-orang yang sekadar berangan-angan. Hamka berkata bahawa sekiranya seseorang itu mempunyai hasrat dan cita-cita yang ingin dikecapi tetapi dia sekadar berpeluk tubuh sahaja maka dia ialah orang yang bodoh. Allah SWT memberikan peringatan dalam al-Quran mafhumnya,

Balasan baik yang dijanjikan oleh Allah itu tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata. Dan tidak pula dengan angan-angan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan dia akan dibalas dengan kejahatan. Dan dia tidak pula akan mendapatkan (selain daripada Allah) seseorang pun yang dapat melindunginya. Dan tidak ada pula yang dapat menolongnya.

(an-Nisa, 4:123)

Bahkan, junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga bersabda,

Dua hal yang paling aku cemaskan atas engkau. Panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Sesungguhnya panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat sedangkan mengikut hawa nafsu dapat menjauhkan diri daripada kebenaran.

Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap berangan-angan itu sebenarnya tidak digermari dan digalakkan dalam Islam. Disebabkan perkara inilah pada lirik di atas dituliskan “Trying to empty out the ocean with a spoon” iaitu tidak kira sebesar mana cita-cita itu, ia harus diiringi dengan usaha yang berterusan (istiqamah) di samping bertawakal dan memohon pertolongan daripada Yang Maha Esa.

How come people suffer? How come people part?

How come people struggle? How come people break your heart?

Break your heart?

Yes I wanna grow, yes I wanna feel,

Yes I wanna know, show me how to heal it up,

Heal it up…

 Setiap perkara yang terjadi bukanlah berlaku dengan sia-sia. Semuanya ada rahasia, sebab dan hikmah tersendiri yang mata kasar manusia tidak dapat melihat dek dipenuhi dengan dosa dan keburukan. Untuk memberi faham kepada anda, saya cuba bawakan karya Hamka yang cukup terkenal, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Lihatlah betapa terpinggir dan tersiat-siatnya hati Zainuddin.

Sudahlah jatuh, ditimpa pula dia dengan tangga. Sudahlah dikeji dan dicaci, malah ditolak lagi cintanya oleh Hayati kerana tidak sekufu. Walaubagaimanapun, cuba perhatikan bagaimana Zainuddin boleh bangkit sehingga menjadi orang yang sangat dikenal ramai? Adakah cukup sekadar meratapi nasib dan menyalahkan takdir? Tidak. Zainuddin belajar daripada rasa sakit cintanya ditolak dan perasaan terpinggir akibat adat yang menyalahi agama. Zainuddin menjadikan semua rasa sakit itu sebagai pemangkin untuknya bangkit lalu meneruskan langkah dalam perjuangan kehidupan. Lantas, kita bagaimana? Adakah mahu kita belajar atau sekadar menjadikan media sosial sebagai ‘sahabat’? Tepuk dada, tanya selera.

See the forest there in every seed,

Angels in the marble waiting to be freed,

Just need love, Just need love,

When the going is rough, saying… (ulang korus)

 Sebiji benih mempunyai keupayaan untuk menjadi sebatang pohon. Jika ada 1000 biji benih, maka 1000 batang pohon. Dan apabila dijaga dengan baik, dibajai dengan rapi maka benih-benih tersebut akan tumbuh menjadi pepohon yang sihat dan mungkin berbuah ranum. Begitu juga dengan hidup ini. Setiap seorang daripada anda mempunyai kebolehan dan keistimewaan untuk menghasilkan atau menyumbangkan sesuatu. Tergantung kepada kita adakah ingin diselami diri ini dengan lebih dalam lagi atau cukup sekadar apa yang ada sahaja? Pilihan di tangan masing-masing. Sekiranya betul cara dan jalan yang kita pilih, insya-Allah akan mampu menghasilkan sesuatu luar biasa. Setiap seorang daripada kita juga mempunyai keistimewaan tersembunyi yang sebenarnya ternanti-nanti untuk dilepaskan dan ditonjolkan. Maka, kenali diri sendiri dengan baik lantas gunakan kebolehan dan keistimewaan tersebut ke arah kebaikan.

And you can say what is, or fight for it,

Close your mind or take a risk,

You can say it’s mine and clench your fist,

Or see each sunrise as a gift…

 Setiap orang mempunyai persepsi tersendiri terhadap setiap perkara yang berlaku. J. Joanes mengatakan bahawa apa-apa yang dilihat, didengar atau persekitaran seseorang dapat mempengaruhi pemikiran lantas dapat menghasilkan persepsi atau logic yang berbeza. Ada orang yang sanggup mengambil risiko untuk mencapai cita-citanya, ada pula yang sekadar pelan-pelan saja. Ada yang berasa cukup dengan perkara yang dimiliki, ada pula yang tetap mencari walau rumah sudah sebesar gudang. Perbezaan itu tetap ada, tetapi janganlah sampai berpecah dan bertelagah. Eloklah seandainya diraikan perbezaan itu dan bermusyawarahlah.

Setakat ini saja perkongsian buat kali ini. Suka diingatkan kepada semua bahawa tulisan ini tidak mempunya apa-apa validiti kerana hakikatnya, lagu atau liriknya boleh ditafsirkan dalam pelbagai skop lagi. Seperti yang telah dikatakan pada perenggan sebelumnya bahawa setiap orang mempunyai kaca mata yang berbeza. Bukanlah ilmu yang dimiliki setinggi gunung sehingga mampu menafsirkan lagu ini, tetapi sekadar berkongsi fikiran. Nantikan tulisan seterusnya berkenaan makna tersirat di sebalik muzik video lagu Up & Up ini. Jadi, kepada yang masih belum menontonnya, dinasihati untuk berbuat demikian agar mendapat gambaran yang lebih jelas nanti.

Wallahu Ta’ala A’lam.