Filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan khazanah paling berharga dalam dunia perfileman negara kita. “Pendekar Bujang Lapok,” “Musang Berjanggut,” “Ali Baba Bujang Lapok,” “Labu Labi,” “Tiga Abdul,” “Masam-Masam Manis” dan “Nasib Do Re Mi” merupakan antara filem bergenre komedi lakonan dan arahan Allahyarham yang sentiasa melekat dalam memori setiap rakyat Malaysia tak kira usia dan bangsa.

Selain amat dikenali dengan filem-filem bergenre komedi, Allahyarham P. Ramlee juga banyak menghasilkan filem-filem berunsur keagamaan, patriotik, sejarah, seram, aksi dan kekeluargaan. Dalam artikel kali ini, penulis ingin membincangkan berkenaan sebuah filem lakonan dan arahan Allahyarham yang berunsur hubungan kekeluargaan yang bertajuk “Keluarga 69.”

Filem klasik yang diterbitkan oleh Merdeka Scope pada tahun 1967 tersebut amat menarik untuk kita fikirkan secara kritis sebenarnya. Filem tersebut berkisar berkenaan kerumitan hubungan kekeluargaan yang dialami oleh sebuah keluarga besar disebabkan perkahwinan silang antara mereka yang mengelirukan. Disebabkan masing-masing berkahwin secara sembunyi tanpa mengetahui atau menyembunyikan hubungan kekeluargaan sedia ada, perkara tersebut telah menyebabkan hubungan kekeluargaan antara mereka saling bersilang dan menjadi semakin rumit. Kita mungkin menontonnya sebagai hiburan tapi sebenarnya filem tersebut menimbulkan persoalan berkenaan hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan yang dibenarkan oleh syarak.

Secara umumnya, melalui filem tersebut, penulis boleh pecahkan hubungan kekeluargaan yang rumit tersebut berasal daripada dua buah keluarga utama:

1) Bakar (lakonan Allahyarham A. R. Tompel) + Cik Mah (lakonan Allahyarham Habibah Haron) (bercerai). Anak kandung mereka berdua bernama Osman (lakonan Allahyarham P. Ramlee).

2) Abu (lakonan Allahyarham Idris Hashim) + Siti Mariam (lakonan Allahyarham Siput Sarawak) (bercerai). Anak kandung mereka berdua bernama Aminah (lakonan Allahyarham Khatijah Hashim).

Masalah yang berlaku ialah apabila Bakar berkahwin dengan Aminah, Osman pula berkahwin dengan Siti (janda Abu), manakala Abu pula berkahwin dengan Mah (janda Bakar). Abu telah bersepakat dengan anaknya, Aminah agar mereka berdua merahsiakan hubungan ayah dan anak kandung antara mereka berdua daripada pengetahuan suami Aminah iaitu Bakar yang juga majikan Abu. Sementara itu, secara kebetulan, anak Bakar iaitu Osman yang berada di perantauan telah berkahwin dengan ibu Aminah iaitu Siti Mariam tanpa mereka berdua mengetahui yang bapa dan anak mereka telah berkahwin. Pada masa yang sama juga, Abu dan Mah telah berkahwin juga tanpa mengetahui status perkahwinan anak mereka berdua.

Maka, antara kerumitan hubungan kekeluargaan yang berlaku setelah perkahwinan silang menyilang tersebut telah menjadikan:

1) Bakar yang merupakan bapa kandung kepada Osman, juga telah menjadi menantu tiri kepada anaknya sendiri.

2) Begitu juga Osman, yang telah menjadi bapa mentua tiri kepada bapa kandungnya sendiri.

3) Abu yang juga bapa kandung kepada Aminah, telah menjadi bapa mentua kepada Bakar yang juga merupakan bekas suami kepada isterinya iaitu Mah.

4) Mah yang juga bekas isteri Bakar secara tidak langsung juga telah menjadi ibu mentua tiri kepada bekas suaminya itu.

5) Siti yang juga ibu kandung kepada Aminah, telah menjadi menantu tiri kepada anaknya itu.

6) Aminah yang juga telah menjadi ibu tiri Osman, merupakan anak tiri kepada Mah yang merupakan ibu kandung Osman.

Pada awalnya, tiada sebarang hubungan sumbang mahram dalam perhubungan-perhubungan tersebut kerana pada asalnya perkahwinan mereka semua itu tidak berkait dengan perhubungan darah daging sebagaimana hubungan mahram yang haram dikahwini kerana hubungan salasilah mengikut syarak.

Walau bagaimanapun, dalam syarak, terdapat hubungan mahram selama-lamanya yang terjadi disebabkan sesuatu perkahwinan seperti hubungan mahram yang berlaku antara menantu dengan mentua. Adakah perlu dilakukan pemisahan secara wajib pada mana-mana perkahwinan tersebut menurut hukum syarak bagi menghalalkan perkahwinan yang lain? Jika difikirkan dengan lebih jauh, masalah tersebut akan menjadi jauh lebih rumit sekiranya semua perkahwinan tersebut menghasilkan zuriat. Katakanlah Bakar yang berkahwin dengan Aminah dikurniakan seorang anak. Jadi, anak tersebut merupakan adik sebapa dengan Osman yang juga datuk tirinya? Begitu juga sebaliknya, jika perkahwinan Osman dengan Siti Mariam menghasilkan seorang anak, maka anak tersebut menjadi adik tiri kepada Aminah yang juga merupakan nenek tirinya.

Sebelum penulis membincangkan status pekahwinan-perkahwinan tersebut, ada baiknya kita mulakan daripada perkara asas dahulu iaitu merujuk kepada dalil-dalil nas yang termaktub dalam al-Qur’an dan as-Sunnah berkenaan siapakah golongan wanita yang diharamkan bagi seorang lelaki untuk berkahwin.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

“Dan janganlah kamu menikahi perempuan-perempuan yang telah dinikahi oleh ayahmu, kecuali (kejadian pada masa) yang telah lampau. Sungguh, perbuatan tersebut sangat keji, dibenci (oleh Allah) dan seburuk-buruk jalan. (22)

Diharamkan ke atas kamu (berkahwin) dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu dari sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu dari sebelah ibu, anak-anak saudara perempuan kamu dari sebelah adik-beradik lelaki kamu, anak-anak saudara kamu dari sebelah adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka, maka tiada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu, dan perbuatan menghimpunkan dua adik-beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (23) (Surah an-Nisa’, ayat 22-23)

Dua ayat di atas jelas menerangkan beberapa golongan wanita yang haram dikahwini (mahram) yang Allah SWT telah tetapkan ke atas kita, umat Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan ayat dia atas, kita boleh kategorikan golongan wanita-wanita mahram yang disebutkan kepada tiga jenis mahram bagi lelaki:

1) Mahram disebabkan nasab pertalian darah (Mahram selama-lamanya):

– Ibu kandung

– Anak-anak perempuan kandung

– Adik beradik perempuan kandung

– Ibu-ibu saudara sebelah ibu kandung (adik-beradik perempuan ibu kandung)

– Ibu-ibu saudara sebelah bapa kandung (adik-beradik perempuan ayah kandung)

 

2) Mahram disebabkan ikatan perkahwinan:

2.1) Mahram selama-lamanya (walaupun telah bercerai):

– Ibu-ibu tiri

– Ibu-ibu mentua

– Anak-anak tiri perempuan belah isteri sekiranya isterinya itu telah disetubuhi.

– Menantu perempuan

2.2) Mahram sementara:

– Ipar perempuan

3) Mahram disebabkan susuan (Mahram selama-lamanya):

– Ibu-ibu susuan

– Adik beradik perempuan susuan

Penulis tidak mahu membincangkan lebih lanjut berkenaan perhubungan-perhubungan lain yang lebih luas kerana akan menjadi perbincangan yang sangat panjang dan terperinci. Selain daripada ayat di atas, terdapat satu lagi ayat al-Qur’an yang juga panjang lebar menerangkan berkenaan golongan lelaki yang diperbolehkan melihat aurat dan perhiasan dalaman wanita iaitu dalam Surah an-Nur, ayfat 31. Dalam ayat tersebut juga, ada berkait dengan soal golongan lelaki mahram bagi seseorang wanita.

Baik, mari kita analisis perhubungan kekeluargaan dalam filem Keluarga 69. Pertama sekali, perkahwinan antara Abu dengan Mah adalah sah di sisi syarak kerana mereka tiada sebarang hubungan pertalian darah mahram atau tergolong dalam golongan mahram yang disebabkan ikatan perkahwinan, walaupun anak Mah iaitu Osman berkahwin dengan bekas isteri Abu iaitu Siti. Selesai persoalan pertama.

Persoalan kedua dan ketiga, bagaimana pula perkahwinan Bakar dengan Minah dan perkahwinan Osman dengan Siti iaitu si bapa kahwin dengan anak, manakala anak si bapa pula kahwin dengan ibunya? Jawapannya perkahwinan mereka berdua juga sah dari sisi syarak. Ini kerana perkahwinan Bakar dengan Minah tidak menjadikan ibu kepada Minah iaitu Siti, mahram dengan anak Bakar iaitu Osman disebabkan Osman bukan anak kandung Minah. Oleh sebab itu, syarak membenarkan perkahwinan Osman dengan ibu kepada ibu tirinya itu.

Begitu juga Bakar, walaupun anaknya Osman telah berkahwin dengan Siti, ini tidak menjadikan anak Siti iaitu Minah menjadi mahram dengannya (Bakar) kerana Minah bukan anak kandung Osman. Oleh sebab itu, syarak juga membenarkan perkahwinan Bakar dengan anak tiri kepada anaknya itu.

Senang cerita, perhubungan antara anak tiri lelaki atau perempuan dengan ibu atau ayah tiri adalah mahram buat selama-lamanya jika telah berlaku persetubuhan antara pasangan suami isteri tersebut sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ayat 23 Surah an-Nisa’ di atas. Ini disebabkan ikatan perkahwinan dan persetubuhan telah berlaku, maka anak-anak masing-masing hasil daripada perkahwinan mereka terdahulu (anak-anak tiri) menjadi mahram buat selama-lamanya bagi mereka, walaupun setelah mereka bercerai.

Walau bagaimanapun, perhubungan anak tiri lelaki atau perempuan dengan ibu atau ayah kepada ibu atau ayah tiri mereka adalah bukan mahram, oleh sebab itu syarak membenarkan perkahwinan antara keduanya, walaupun dari segi teknikalnya, perhubungan mereka boleh difahami sebagai cucu tiri dengan datuk atau nenek tiri. Tapi, jangan terkeliru, bila dikatakan datuk atau nenek tiri, ianya boleh membawa dua maksud. Pertama, apabila datuk atau nenek kandung kita berkahwin lain, maka isteri atau suami baharu mereka dipanggil datuk atau nenek tiri dengan kita. Perhubungan antara mereka dengan kita telah menjadi mahram buat selama-lamanya kerana berkait dengan kedudukan nasab.

Situasi kedua pula ialah apabila bapa atau ibu kandung kita berkahwin lain, maka individu tersebut adalah bapa atau ibu tiri dengan kita, dan ini menjadikan ibu bapa kepada ayah atau ibu tiri kita tersebut juga secara teknikalnya dikenali sebagai datuk atau nenek tiri dengan kita. Datuk atau nenek tiri jenis kedua inilah individu yang bukan mahram dengan kita dan boleh dikahwini sebagaimana kes Bakar berkahwin dengan Minah atau Osman berkahwin dengan Siti.

Penulis mudahkan lagi jalan ceritanya. Dalam situasi pertama tadi, iaitu status datuk atau nenek tiri kerana kedudukan nasab, katakanlah individu “A” mempunyai anak kandung (A1) dan cucu kandung (A2). Kemudian “A” berkahwin lain pula dengan individu “B.” Jadi hubungan antara “B” dengan “A2” telah menjadi mahram buat selama-lamanya.

Situasi kedua pula tadi ialah status datuk atau nenek tiri kerana perkahwinan anaknya dengan individu yang telah mempunyai anak kandungnya sendiri. Contoh, anak kandung kepada individu “A” tadi iaitu “A1” berkahwin lain, iaitu dengan individu “C.” “C” pula telah mempunyai anak kandungnya sendiri (C1) hasil perkahwinannya yang terdahulu. Jadi perhubungan antara “A” dengan “C1” tetap bukan mahram dan dari sisi syarak perkahwinan antara mereka berdua boleh berlaku. Jika kita menggunakan analogi di atas, Bakar ialah individu “A,” Osman ialah individu “A1,” Siti ialah individu “C,” dan Minah ialah individu “C1.”

Berbalik semula kepada hubungan kekeluargaan dalam filem tersebut, jadi, semua perkahwinan silang tersebut sah menurut syarak dan tiada mana-mana perkahwinan yang perlu dibubarkan. Akan tetapi, katakanlah, Bakar dan anaknya, Osman, berfikir menceraikan isteri masing-masing untuk menukar isteri antara mereka berdua, bermaksud bapa kahwin mak, anak pula kahwin anak, maka perkara tersebut diharamkan dari sisi syarak kerana perhubungan mahram antara mereka telah terikat buat selama-lamanya dengan ikatan perkahwinan tersebut. Ini kerana Minah telah menjadi anak tiri Osman dan Siti telah menjadi ibu mentua Bakar. Maka perhubungan antara mentua, menantu dan anak tiri telah mengikat perhubungan antara mereka menjadi mahram buat selama-lamanya. Lainlah jika sekiranya ada perhubungan bapa atau ibu mentua tiri dengan menantu tiri (pasangan kepada anak tiri), itu termasuk dalam kategori perhubungan mahram sementara.

Baik, dari segi syarak, ikatan perkahwinan mereka semua sah. Tapi, sebagaimana persoalan yang telah ditimbulkan pada awal perbincangan tadi dan juga dalam filem tersebut sendiri, bagaimanakah status dan panggilan mereka terhadap diri masing-masing? Ini kerana setiap seorang daripada mereka mempunyai dua pangkat “atas” dan “bawah.” Contoh: Bakar tidak boleh memanggil ibu mentuanya, Siti dengan panggilan “mak” sebab Siti juga adalah menantunya. Itu masalah yang perlu mereka fikirkan sendiri, asalkan semua ikatan perkahwinan tersebut sah di sisi syarak. Bak lirik lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri berkenaan filem tersebut:

“Biarlah apa orang kata,
Jangan peduli, jangan hairan,
Kita dah jadi satu keluarga,
Enam puluh sembilan.

 Yang mana menantu,
Yang mana ipar,
Yang mana biras dan besan,
Asalkan sah perkahwinan,
Apa yang nak hiraukan.


Keluarga 69,
Lalalala……
Keluarga 69,
Lalalala……”

Pada pandangan penulis, Allahyarham P. Ramlee amat bijak menghasilkan filem-filem sebegini yang membuatkan kita, sekurang-kurangnya diri penulis ini berfikir secara kritis walaupun persembahan jalan ceritanya bergenre komedi. Perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku kepada masyarakat pada masa kini terutamanya bagi mereka yang tidak mengenal saudara-mara, apatahlagi tidak mahu mengambil tahu asal usul keluarga sendiri.

Islam amat menitikberatkan soal perhubungan, salasilah dan zuriat nasab keturunan. Ini bagi memelihara umat manusia daripada sebarang perlakuan keji seperti zina, sumbang mahram, pergaulan bebas dan hubungan songsang yang bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan masyarakat, bahkan boleh menyebarkan wabak penyakit sama ada berkenaan kelamin mahupun genetik, pengabaian dan kezaliman dalam institusi rumahtangga serta keruntuhan akhlak dan kehidupan generasi akan datang. Ini juga berkait dengan hukum-hukum syariah dalam kehidupan seharian yang lain seperti soal nasab, wali nikah dan hak pembahagian harta pusaka.

Perlu juga kita ingat bahawa Islam telah menggariskan batas-batas pergaulan yang perlu diikuti walaupun dalam kalangan kaum kerabat ahli keluarga seperti hubungan mahram dan bukan mahram yang melibatkan aurat, adab bersalaman, safar (perjalanan bersama) dan bersekedudukan terutamanya ketika dalam majlis kenduri-kendara, rumah terbuka, ziarah hari raya dan majlis perkahwinan saudara mara.

Selamat menyambut hari raya Aidilfitri 1442 Hijrah dan terus mematuhi S.O.P yang telah dikuatkuasakan agar rantaian wabak Covid-19 ini dapat dipecahkan.

RUJUKAN:

– Artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-331: “Maksud Mahram Sementara,” dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang diterbitkan pada 13 November 2019. Dirujuk pada bulan Mei 2021.

– Rakaman VCD Kuliah Umum “Hukum & Adab Bersalaman Keluarga 69” oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Kazim bin Elias pada 16 Mei 2009 di Surau Al-Imam, Kemensah Height, Ulu Klang.

– Arisman, “Mahram dan Kawin Sesuku dalam Konteks Hukum Islam,” dalam Jurnal Ilmiah Syari’ah, Vol. 17, No. 1, Januari-Juni 2018, Institut Agama Islam Negeri Batusangkar, Sumatera Barat, Indonesia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.